Saturday, May 26, 2012

rebut durian runtuh

Bergaduh rebut durian runtuh
Wartawan Sinar Harian
26 Mei 2012
Bergaduh rebut durian runtuh
Penerima durian runtuh menandatangani borang sebagai tanda menerima cek RM5,000.
BANDAR TUN RAZAK – Sejak pengagihan durian runtuh fasa pertama, terdapat aduan mengatakan berlaku pergaduhan dan perbalahan dalam keluarga peneroka berkaitan hak mengambil wang tersebut.

Perkara itu diakui Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Rancangan (JKKR) Felda Jengka 13, Zainuddin Jantan.

Zainuddin berkata, beliau pernah didatangi anak peneroka sudah ketiadaan ibu bapa yang mempersoalkan cara pengagihan durian runtuh itu sehingga berlaku pergaduhan dalam keluarganya.

“Dia datang menuntut hak untuk mendapatkan duit durian runtuh itu memandangkan kedua-dua ibu bapanya sudah meninggal dunia.

“Dalam tuntutan itu dia menyatakan haknya sebagaianak yang menjaga ibu bapa ketika masih hidup, sedangkan adik-beradik lain hanya lepas tangan,” katanya.

Beliau berkata, bukan sahaja ketua peneroka, malahan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) turut membincangkan mengenai masalah tersebut.

“Saya sebagai ketua kampung hanya mampu memberikan nasihat. Pada saya, jalan terbaik dengan mengagihkan durian runtuh itu sama rata.

“Tidak kira siapa pernah menjaga ibu bapa, durian runtuh itu sepatutnya menjadi harta pusaka dan perlu diagihkan sesama mereka,” katanya.

Zainuddin berkata, pengagihan durian runtuh itu turut membimbangkan banyak pihak walaupun belum terjadi lagi pergaduhan besar di tanah rancangan tersebut.

“Ini baru pengagihan durian runtuh fasa pertama. Belum lagi memasuki fasa kedua dan ketiga tidak lama lagi.

“Justeru, saya berharap ada persefahaman dalam kalangan adik-beradik. Mereka perlu sedar sebusuk mana sekalipun adik-beradik, mereka tetap darah daging kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, pergaduhan terjadi untuk merebut durian runtuh dianggap kepincangan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

“Inilah dinamakan kepincangan dalam institusi keluarga. Namun saya percaya hanya sesetengah keluarga menghadapi masalah sebegini. “Bagi mereka tidak menghadapi sebarang masalah, tahniah saya ucapkan kerana berjaya mengawal institusi keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah menunjukkan cara untuk mengagihkan durian runtuh tersebut dan kini terserah kepada peneroka menguruskannya.

“Berikan kepada mereka yang berhak dan agihkan durian runtuh itu secara adil dengan apa cara sekalipun,” katanya.

No comments:

Post a Comment