Tuesday, August 20, 2013

lori masuk rumah

Treler rempuh rumah
  • Treler rempuh rumah Treler terbabit dilihat meluru laju lalu merempuh dua rumah menyebabkan rumah terbabit ranap sama sekali.
1 / 1
BERA - Dua keluarga mengalami kerugian hampir RM100,000 apabila sebuah treler merempuh rumah mereka di Kilometer 18, Kampung Durian Tawar berdekatan pondok polis, kira-kira jam 2.15 petang semalam.

Mangsa, Sapura Ismail, 36, berkata, semasa kejadian, dia sedang duduk di sofa berdekatan pintu masuk sambil membaca SMS dihantar kakaknya.

Menurutnya, semasa menoleh ke arah luar, dia melihat treler itu meluru laju ke arah rumahnya menyebabkan dia tidak sempat melarikan diri.

“Saya nampak treler itu meluru laju merempuh bahagian rumah jiran. Sedar-sedar saya sudah tersepit antara dinding dan rak TV. Saya tak boleh keluar kerana hampir separuh kayu menimpa daripada aras pinggang hingga kaki saya,” katanya.

Sapura berkata, mujur pada ketika itu dia sedang memegang telefon bimbit dan cuba menelefon suaminya walaupun dalam keadaan masih trauma, sementara dua anaknya tiada kerana berada di sekolah.

Sementara itu, pemilik kedai runcit dikenali sebagai Yap berkata, ketika kejadian, dia dan bapanya berada di dalam kedai kerana menerima bekalan roti baru.

Katanya, kejadian itu turut membabitkan kereta dan tiga motosikal di situ.

“Lori roti yang diletak di hadapan kedai juga dirempuh, tetapi nasib baik pemandu lori itu berada dalam kedai. Kalau tidak, mungkin dia boleh cedera sebab lori itu tercampak dan terbalik,” katanya.

Sunday, August 11, 2013

program empower

Program Empower mampu tingkatkan pendapatan
RAUB - Program Empower anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) perlu diperluaskan supaya lebih ramai golongan sasaran memiliki kemahiran tertentu dan dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawan dan Kepenggunaan Pahang Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata sejak program itu diadakan di Pahang pada 2008, seramai 7,350 orang golongan belia dan ibu tunggal telah mengikuti program berkenaan.

"Modul latihan menerusi program Empower merupakan mekanisme serampang dua mata untuk pembangunan modal insan ECERDC yang memfokuskan latihan membina keusahawanan, selain kecemerlangan akademik," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata latihan selama 10 bulan itu antaranya melibatkan kursus membuat kuih, menjahit, dandanan, masakan, pendawaian, membaiki paip, teknologi maklumat, perniagaan runcit, pengurusan kaunter dan membaiki telefon bimbit.

"Sejumlah 80 peratus daripada 7,350 orang itu yang mengikuti kursus serta latihan berjaya meningkatkan taraf penghidupan keluarga dengan pendapatan yang lumayan," katanya.

Shahiruddin turut mencadangkan supaya kursus membaiki jentera berat dan kursus kimpalan dapat diadakan bagi membolehkan para belia dan lepasan sekolah mengikuti latihan yang mencabar itu.

"Tidak ramai belia dan pelajar kita yang mengikuti kursus tersebut sedangkan bidang itu boleh memberikan pendapatan lumayan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan pasaran, mereka yang mahir dalam bidang itu dibayar gaji lebih RM5,000 sebulan, atau mampu mengusahakan bengkel sendiri yang dapat menjana pendapatan lebih tinggi.

Shahiruddin yakin menerusi program sedemikian, matlamat kerajaan bagi melahirkan rakyat berkemahiran dan berilmu akan mencapai sasaran selain meningkatkan taraf kehidupan mereka. - Bernama

Thursday, August 1, 2013

ceroboh hutan

400 hektar hutan dicerobohi
  • 400 hektar hutan dicerobohi Mohamed Jidi (dua dari kanan) , Mokhtar (kanan), Mohd Zuldin Mat Zin (tiga dari kanan) dan Mohd Zaid Omar (kiri) meninjau tanah tapak Ramsar di Tasik Bera yang dicerobohi oleh peneroka haram yang dipercayai hampir dua tahun lalu.
1 / 1
BERA – Mengejutkan apabila kawasan hutan seluas 400 hektar di sekeliling Tasik Bera yang diisytiharkan Konvensyen Ramsar 1994 sebagai tanah lembap berkepentingan antarabangsa itu dicerobohi tanpa disedari pihak berkuasa.

Timbul persoalan bagaimana kawasan tanah Ramsar yang meliputi keluasan 6,150 hektar itu mudah dicerobohi sedangkan kawasan itu dilindungi dan dijaga oleh kakitangan Jabatan Perhutanan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kawasan hutan yang ditumbuhi dengan pelbagai jenis pokok-pokok kayu yang bernilai seperti meranti, tembaga, mersawa, merbau dan nemesu yang berusia ratusan tahun sebelum ini ditebang pihak tidak bertanggungjawab yang kini digantikan dengan pokok sawit.

Seorang penduduk, Mohamed Jidi Yaakob, 55 berkata, berdasarkan kesan penebangan dan pembersihan kawasan yang dicerobohi itu, ia dipercayai dilakukan sejak dua tahun yang lalu dengan menggunakan jentera berat.

“Saya percaya, pihak terbabit mengambil masa yang lama untuk menebang dan membersihkan pokok kayu yang berusia ratusan tahun itu. Tetapi, sepatutnya kelibat jentera berat yang memasuki tanah Ramsar ini dapat dikesan pihak berkuasa.

“Tetapi, dalam tempoh itu, tiada tindakan diambil pihak berkuasa, malah kawasan seluas 400 hektar terus digondolkan dengan rakus semata-mata untuk mengaut keuntungan sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Thursday, May 23, 2013

pulihkan jalan terbengkalai

Minta pulih segera jalan terbengkalai
Wartawan Sinar Harian
21 Mei 2013
Minta pulih segera jalan terbengkalai
Keadaan jalan bercabang antara jalan lama dengan baru menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.
JERANTUT - Orang ramai minta supaya Jalan Timur-Barat berdekatan Kampung Felda Sungai Tekam yang terbengkalai dapat dilaksanakan semula.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Felda Sungai Tekam, Abdul Manaf Abdul Kadir berkata, jalan dijangka siap pada 2007 itu kini terbengkalai.

Menurutnya, jalan itu digunakan 70,000 penduduk di Gugusan Kota Gelanggi, Lepar, Jengka dan perkampungan tradisional.

“Jalan ini jalan utama digunakan penduduk semasa belum negara mencapai kemerdekaan lagi dan merupakan jalan darat utama selain menggunakan jalan air.

“Kita sedih melihat pembinaan jalan ini yang terbengkalai dan harap kerajaan dapat melaksanakan semula projek pembinaan jalan ini untuk keselesaan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Manaf berkata, keadaan jalan itu boleh menyebabkan kemalangan berlaku terutama pada pemandu luar yang tidak mengetahui keadaan jalan di situ.

Menurutnya, beliau  mahu apabila jalan itu siap kelak dapat dimanfaatkan generasi masa depan.

Tuesday, May 7, 2013

ismail sabri menang di bera

Ismail Sabri menang saat akhir
Wartawan Sinar Harian
7 Mei 2013
Ismail Sabri menang saat akhir
Dari kiri: Calon DAP, Yu Man, Ismail Sabri, Mohd Fadil dan Norol Azali meraikan kemenangan yang turut dirai Zakaria (kanan).
BERA - Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bera (P90), Dun Guai (N37) dan Dun Kemayan (N39) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertanding kerusi P90 menewaskan Zakaria Abdul Hamid dari PKR Mohd Wali Alang Ahamad (Bebas) dengan majoriti 2,143 undi.

Pada awal pengiraan undi, Zakaria mendahului BN dan Bebas dengan kelebihan hampir 3,000 undi tetapi apabila saluran ke 90 ke atas tiba di Pusat Pengumpulan Undi, undian Ismail Sabri semakin bertambah bagi memastikan kemenangannya.

Berdasarkan pengiraan itu, ia menunjukkan penurunan bilangan undi majoriti pada PRU kali ini berbanding PRU12 namun jumlah yang mengundi beliau meningkat.

Bagi kerusi Dun Guai, Norol Azali Sulaiman (BN) mendapat 8,320 undi menewaskan Musaniff Ab Rahman (Pas) yang mendapat 5,922 undi dengan majoriti 2,398 undi.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan undi majoriti dari 1,941 pada PRU12 kepada 2,398 undi dan hanya 184 undi rosak dilaporkan.

Sebelum ini, Norol Azali dijangka menghadapi kesulitan kerana terpaksa berhadapan calon Pas, namun bilangan undi bertambah apabila lebih banyak peti undi dibawa pusat terbabit.

Seperti Norol Azali, Mohd Fadil Osman yang bertanding di Kemayan berjaya mempertahankan kerusi Dun bagi penggal kedua.

Mohd Fadil yang memperoleh undi majoriti sebanyak 4,063 menewaskan Bob Manolan Mohammad yang hanya mendapat 4,316 sahaja berbanding undi yang diterimanya iaitu 8,379.

Bagaimanapun wakil DAP bagi kerusi Dun Triang, Leong Yu Man berjaya menewaskan Tan Tin Loon dari BN walaupun baru pertama kali bertanding.
Anak kepada mantan Adun Triang itu menang besar di kawasan tersebut dengan majoriti 5,009 undi sekali gus menunjukkan perubahan pengundi terhadap parti DAP.

Dalam pada itu, hampir 80 peratus sokongan masyarakat Cina di setiap saluran memihak kepada semua calon PR yang bertanding.

Saturday, May 4, 2013

surat palsu

Surat palsu calon BN bagi duit RM500 kepada pengundi India

Mohd. Sharkar Shamsuddin (duduk tiga dari kiri) memegang surat palsu yang diedarkan kepada kaum India di Lanchang pada sidang akhbar semalam. Yang turut sama Pengerusi MIC Temerloh, Datuk A.Shivalingam (duduk dua dari kiri).
TEMERLOH 2 Mei - Pembangkang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang dikesan menyebarkan fitnah kononnya calon Barisan Nasional (BN) akan memberi wang sebanyak RM500 kepada setiap pengundi India di DUN berkenaan.
Pengerusi BN Temerloh, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pengundi kaum India menerima surat daripada ‘MIC’ yang ditandatangani Presidennya, Datuk Seri G. Palanivel meminta mereka mengambil wang tersebut di pejabat BN Temerloh.
Beliau yang juga calon BN bagi kerusi DUN Lanchang memberitahu, hakikatnya surat dan tandatangan Presiden MIC itu adalah palsu.
“Sebagai calon BN bagi DUN Lanchang saya menafikan akan memberi RM500 kepada setiap pengundi kaum India seperti yang heboh diperkatakan selepas penyebaran surat palsu mengenai perkara tersebut di sekitar Lanchang semalam.
“Tindakan parti lawan menyebarkan surat palsu tersebut adalah fitnah besar terhadap BN selepas mereka gentar dengan sokongan berterusan masyarakat kaum India di Lanchang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, beliau telah mengarahkan MIC dan Gerakan membuat laporan polis berkenaan penyebaran surat palsu itu dan berharap polis menyiasat perkara tersebut dan mengheret individu ke muka pengadilan.
Menurut beliau, jika semua 3,800 pengundi di Lanchang menerima RM500 bermakna beliau perlu mengeluarkan sebanyak RM1.9 juta untuk diagih-agihkan kepada pengundi.
“Saya terima sistem pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon mengenai perkara ini daripada rakan-rakan MIC di Lanchang hari ini dan ini jelas pembohongan dan fitnah.
“Kandungan surat palsu itu menggesa orang India ambil duit dengan saya pukul 10 pagi hari ini, tandatangan Presiden MIC dalam surat itu juga palsu," katanya.
Mohd. Sharkar berkata, sebelum ini, calon BN bagi Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah dan calon DUN Kuala Semantan, Mohamad Anuar Mohd. Yunus turut menjadi mangsa fitnah pembangkang.
Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai khususnya pengundi di Lanchang membuat semakan dan pengesahan daripada BN jika menerima berita atau SMS yang meragukan selepas ini.

pekebun kecil dibantu

ARKIB : 02/05/2013

RM11.1 juta bantu pekebun kecil

Khalid Awang Said (duduk dua dari kanan) bersama kakitangan pejabat RISDA selepas majlis penyampaian Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah di Maran, Pahang, kelmarin.
MARAN 1 Mei - Pihak Berkuasa Tempatan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Pahang memperuntukkan sebanyak RM11.1 juta untuk Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah kepada 42,928 pekebun kecil di seluruh negeri ini.
Pengarah Bahagian Input dan Pertanian RISDA, Khalid Awang Said berkata, pemberian bantuan itu adalah langkah segera kerajaan bagi meringankan beban kos sara hidup mereka yang terjejas akibat kejatuhan harga getah di pasaran dunia.
Tambahnya, setiap pekebun kecil yang mempunyai tanah seluas 2.5 hektar dan ke bawah, layak menerima pemberian bantuan berkenaan sebanyak RM500 setiap orang.
"Jumlah pekebun kecil di Pahang merupakan antara 320,000 orang yang berdaftar dengan RISDA di seluruh negara layak dipertimbangkan menerima bantuan khas tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian tersebut kepada 2,978 orang bernilai RM1.5 juta yang berlangsung di Pejabat RISDA Maran semalam.
Khalid berkata, bantuan tersebut akan dibayar kepada para pekebun kecil secara berperingkat-peringkat sehingga akhir tahun ini.
"Aliran harga komoditi tersebut perlu dijadikan pengalaman berguna supaya sentiasa berjimat cermat dan menabung ketika senang,'' katanya.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, tahun ini agensi itu menumpukan kempen bidang amalan pertanian baik iaitu rangsangan lateks.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130502/wp_01/RM111-juta-bantu-pekebun-kecil#ixzz2SMkHzvY5
© Utusan Melayu (M) Bhd

peneroka dapat duit tanam semula

ARKIB : 30/04/2013

1,000 bakal terima insentif tanam semula di Bera

ISMAIL Sabri Yaakob menunjukkan surat kelulusan Skim Intensif Tanaman Semula untuk 1,000 peneroka dalam sidang akbar di Pejabat UMNO, di Bera, semalam.
BERA 29 April - Sebanyak 1,000 peneroka di Parlimen ini yang masih belum mendapat bayaran Skim Insentif Tanaman Semula (SITS) sawit menerima khabar gembira apabila permohonan mereka sudah diluluskan kerajaan.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan itu, Lembaga Pelesenan Minyak Sawit (MPOB) akan membuat pembayaran tersebut secara berperingkat bermula dengan pekebun di Felda Triang 1 dan Mengkuang tidak lama lagi.
Katanya, keseluruhan bayaran tersebut berjumlah RM4 juta melibatkan RM1,000 untuk setiap hektar yang mana setiap peneroka akan menerima RM4,000.
''Sebab mereka tidak terima sebelum ini kerana tempoh penebangan pokok sawit masih baharu. Mana yang ditebang sebelum 2011, semua telah menerima bayaran masing-masing.
''Selain itu, kesemua permohonan ini melibatkan peneroka yang mengusahakan kebun secara sendiri, tetapi alhamdulillah isu ini sudah selesai dan tarikh pembayaran ditentukan kemudian," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jentera BN di sini hari ini.
Katanya, peneroka Felda yang terlibat ialah di Purun iaitu 32 orang, Mayam (15), Triang 3 (110), Triang 1 (231), Kumai (177), Tementi (102), Rentang (65), Bukit Mendi (251), Bukit Puchong (185) dan Mengkuang, 85 orang.
Menurut Ismail Sabri, dengan pengumuman ini diharapkan pekebun terlibat tidak perlu lagi berasa bimbang kerana permohonan mereka diluluskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi sepucuk surat bertarikh 10 April lalu.
Katanya, sehubungan itu, mereka tidak perlu mendengar tohmahan pembangkang yang menjadikan perkara ini sebagai isu di Parlimen ini, sebaliknya bersabar sementara menanti bayaran dibuat.
''Jadi, kalau ada masalah bukan pembangkang yang patut mereka cari tetapi kita, kerana sebagai kerajaan, BN mampu menyelesaikan masalah mereka.
''Sebab ada peneroka kadang-kadang terpengaruh dengan janji pembangkang kononnya kalau memerintah permohonan mereka akan luluskan. Namun, kita sekarang sedang memerintah, dan kita luluskan sekarang.
''Yang pembangkang, semuanya kalau tetapi kita ambil tindakan segera," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130430/wp_02/1000-bakal-terima-insentif-tanam-semula-di-Bera#ixzz2SMk18azQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

temerloh akan dapat masjid baru

Pembinaan masjid baharu Temerloh September ini

Muhammad Safian
KUANTAN 4 Mei - Pembinaan masjid baharu di Bukit Angin, Temerloh dekat sini yang mampu memuatkan kira-kira 3,000 jemaah dijangka dapat dimulakan September ini, selepas segala urusan berkaitan pelan dan kerja-kerja mengukur tanah selesai dilakukan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, sehubungan itu, tender pembinaan masjid berkenaan akan dikeluarkan bulan depan dengan kerajaan Pusat memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan tersebut.
"Pembinaan masjid itu dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM26 juta dengan kos lebihan akan ditanggung kerajaan negeri.
"Dua lagi perkara yang terkandung dalam perancangan asal iaitu pembinaan menara dan rumah untuk kakitangan hanya akan dilakukan kemudian," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di sini semalam.
Sementara itu, beliau berkata, permohonan peruntukan tambahan kepada Kerajaan Pusat akan dibuat untuk menampung pembinaan dua perkara tambahan itu.
Dalam pada itu, Muhammad Safian turut menasihatkan mana-mana pihak tidak mempolitikkan usaha kerajaan membina masjid baharu tersebut.
"Saya dimaklumkan oleh Pegawai Daerah Temerloh terdapat pihak yang mempolitikkan usaha ini dengan mendakwa pembinaan masjid ini hanya cakap-cakap kosong," katanya.
Beliau menambah, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah selesai menguruskan pelan pembinaan masjid itu dan kini dalam fasa pemeriksaan terakhir sebelum tander dikeluarkan.
"Projek berkenaan dijangka mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan," katanya.

Friday, May 3, 2013

orang pas bera kena undi bn

ARKIB : 03/05/2013

Ahli Pas di Bera digesa undi BN

Ismail Sabri Yaakob turut beratur untuk menikmati hidangan yang disediakan dalam Program Moh Ngeteh di Felda Mengkuang, Bera, semalam.
BERA 2 Mei - Semua ahli Pas Kawasan Bera digesa mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 sebagai cara terbaik memberi amaran kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merampas kerusi Parlimen itu daripada mereka.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sokongan kepada BN akan membuka mata PKR yang menipu mereka dengan mengambil tindakan bertanding di Parlimen Bera.
"Terus terang saya katakan Pas kena tipu dengan PKR sebab kerusi ini mereka dah bertanding selama dua penggal. Oleh itu Pas mesti membalas dendam.
"Daripada mereka sokong PKR yang telah menipu mereka, lebih baik memberi sokongan kepada BN yang tidak pernah menipu malah banyak membantu memberi pelbagai kebaikan untuk rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Moh Ngeteh di Felda Mengkuang, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, beberapa janji calon PKR, Zakaria Abdul Hamid kepada penduduk Bera menunjukkan pencabarnya itu langsung tidak menyedari pembaharuan yang dibuat kerajaan di Bera.
"Maaf kalau saya kata, dia sudah terlalu lama tidak ke Bera, dia tidak tahu mengenai semua yang dijanjikan itu sudah pun kita laksanakan dan sebahagian lagi dalam peringkat pelaksanaan.
"Penduduk Bera dan penyokong Pas yang menjadi peneroka di Felda pun tahu semua itu telah dilaksanakan kerajaan pimpinan BN," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130503/wp_06/Ahli-Pas-di-Bera-digesa-undi-BN#ixzz2SHIn1HoR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, April 23, 2013

bendera siapa yg cucuk mataku ni

Buluh bendera terkena mata
Wartawan Sinar Harian
23 April 2013
Buluh bendera terkena mata
Asaari menunjukkan lokasi buluh bendera yang tumbang mengenai matanya di Kuala Krau, kelmarin.
Buluh bendera terkena mata
Asaari menunjukkan mata kanannya yang merah.
KUALA KRAU – Seorang kakitangan pejabat hutan Gunung Senyum cedera di mata kanan selepas terkena buluh bendera yang dipacakkan di tengah pembahagi jalan dekat persimpangan ke Rumpun Makmur, petang kelmarin.

Mangsa, Asaari Hassan, 53, berkata, kejadian berlaku pada jam 5.30 petang Ahad lalu ketika dia menunggang motosikal seorang diri dari pekan Kuala Krau menuju ke rumahnya.

Namun katanya, ketika dia cuba membelok di persimpangan itu, tiba-tiba sebatang buluh bendera yang dipacakkan di tengah pembahagi jalan, tumbang lalu mengenai mata kanannya.

“Saya rasa sangat pedih dan terpaksa menghentikan motosikal. Nasib baik saya masih mampu mengawal motosikal daripada terjatuh,” katanya, di sini, semalam.

Asaari berkata, kejadian itu menyebabkan bahagian dalam matanya merah dan pedih, selain kesan bengkak kelihatan di sekeliling mata sehingga kini.

Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati dengan perkara itu kemudiannya membuat laporan polis pada malam kejadian.

“Sampai sekarang keadaan mata kanan saya masih pedih dan penglihatan pula jadi kabur,” katanya.

Dalam pada itu, Asaari juga menggesa semua parti politik bertanding berhati-hati ketika memasang bendera parti dan mengambil kira keselamatan orang lain.

Menurutnya, kerja-kerja pemasangan bendera dan poster terutama di bahu serta simpang jalan juga perlu mengambil kira faktor keselamatan pengguna.

“Saya harap apa yang berlaku pada saya, tidak akan berulang lagi pada orang lain. Harap petugas yang memasang bendera parti lebih mengutamakan keselamatan orang lain selepas ini,” katanya.

Saturday, April 20, 2013

kedai tutup dapat imbuhan

Lapan bulan tutup kedai
ERMA YUSNIDA JUSOH
20 April 2013
Lapan bulan tutup kedai
Mohamad Safian bergambar bersama peniaga Taman Esplanade yang menerima wang imbuhan Ehsan.
KUANTAN - Seramai 15 peniaga di Taman Esplanade menerima wang imbuhan ehsan bernilai RM240,000 untuk tempoh lapan bulan berikutan kerja naik taraf yang dilakukan di Taman Esplanade, Sungai Kuantan.

Kerja naik taraf yang dilaksanakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu bakal menjadikan pinggiran Sungai Kuantan itu sebagai ikon pelancongan utama di bandar ini dengan persekitaran yang lebih tersusun dan menarik.

Pengerusi Persatuan Peniaga Taman Esplanade, Rohaya Mohamad, 56, berkata, dia bersyukur dengan keprihatinan ECERDC dan kerajaan negeri yang membela nasib peniaga di kawasan itu.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak pembangunan yang dilaksanakan di Taman Esplanade dan mengakui kerja naif taraf itu mampu meningkatkan imej bandar Kuantan dan kawasan itu khasnya.

“Selepas kerja naik taraf diluluskan, pada mulanya kami risau kerana perniagaan terpaksa ditutup dalam tempoh beberapa bulan.

“Justeru, satu perbincangan diadakan antara peniaga dengan pihak terbabit dan kata putus dicapai apabila peniaga menerima wang imbuhan ehsan bagi meringankan beban,” katanya pada Majlis Penyampaian Wang Imbuhan Ehsan kepada Peniaga Taman Esplanade di Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di sini, semalam.

Hadir menyampaikan wang imbuhan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohamad Safian Ismail.
Turut hadir, Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob dan Pengurus Besar Pejabat ECERDC, Mazlan Sharuddin.

Sementara itu, Mohamad Safian berkata, semua peniaga menerima wang imbuhan bernilai RM2,000 sebulan memandangkan perniagaan mereka terjejas akibat kerja naik taraf Taman Esplanade.

Katanya, kerja naik taraf yang memakan masa kira-kira lapan bulan itu akan menyebabkan perniagaan yang diusahakan peniaga terbabit terpaksa ditutup untuk sementara waktu.

“Wang imbuhan ini diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam tempoh perniagaan tidak dapat dijalankan,” katanya.

Thursday, April 18, 2013

calon bn

calon bn pru13

Senarai Calon PRU13 DUN Negeri Pahang

  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N1) - Datuk Ho Yip Kap (DUN Tanah Rata)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N2) - Datuk Wan Rosdy Wan Ismail (DUN Jelai)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N3) - Datuk Abdul Rahman Mohamad (DUN Padang Tengku)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N4) - Wong Kong Hui (DUN Cheka)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N5) - Datuk Mohd. Soffi Abdul Razak (DUN Benta)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N6) - Datuk Abdul Aziz Kiram (DUN Batu Talam)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N7) - Wing Lay Hiang (DUN Tras)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N8) – Datuk Shahiruddin Ab. Moin (DUN Dong)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N10) – Datul Lau Lee (DUN Damak)
  • Calon BN PRU13 (Parlimen N11) – Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail (DUN Pulau Tawar)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N12) – Datuk Mohd Hazmi Yusof (DUN Beserah)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N13) – Datuk Pang Tsu Ming (DUN Semambu)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N14) – Datuk Chang Hong Seong (DUN Teruntum)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N15) – Datuk Tengku Zulkifli Tengku Ahmad (DUN Tanjong Lumpur)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N16) – Datuk Shafik Fauzan Sharif (DUN Inderapura)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N17) – Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah ( DUN Sungai Lembing)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N18) – Mohd. Shohaimi Jusoh ( DUN Lepar)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N19) – Datuk Mohd Zaili Besar (DUN Panching)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N20) – Khairuddin Mahmud (DUN Pulau Manis)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N21) – Datuk Sheikh Mohd Fauzi (DUN Peramu Jaya)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N22) – Ibrahim Awang Ismail (DUN Bebar)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N23) – Datuk Abu Bakar Harun (DUN Chini)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N24) – Nur Hidayah Muhd Suhaimi (DUN Luit)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N25) – Datuk Shahaniza Shamsuddin (DUN Kuala Sentul)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N26) – Mohd Ariffin Awang Ismail (DUN Chenor)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N27) – Datuk Mohamed Jaafar (DUN Jenderak)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N28) – Syed Ibrahim Syed Ahmad (DUN Kerdau)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N29) – Wan Salman Wan Ismail (DUN Jengka)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N30) – Datuk Chuah Boon Seng (DUN Mentakab)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N31) – Datuk Mohd Sharkar Shamsudin (DUN Lanchang)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N32) – Mohd Anuar Mat Yunus (DUN Kuala Semantan)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N33) – Leong Kim Soon (DUN Bilut)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N34) – Woong Choo Yak (DUN Ketari)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N35) – R Goonasekaran (DUN Sabai)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N36) – Datuk Seri Adnan Yaakob (DUN Pelangai)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N37) – Norolazali Sulaiman Noorol Azali Sulaiman (DUN Guai)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N38) -Tan Tin Loon (DUN Triang)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N39) – Mohd Fadil Osman (DUN Kemayan)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N40) – Datuk Wan Kadri Wan Mahusin (DUN Bukit Ibam)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N41) – Datuk Maznah Mazlan (DUN Muadzam Shah)
  • Calon BN PRU13 (Pilihanraya N42) – Mohd Johari Hussain (DUN Tioman)

Wednesday, April 17, 2013

muka baru

Wanita lulusan Al-Azhar antara muka baharu Barisan Nasional

KUANTAN 17 April - Barisan Nasional (BN) negeri menampilkan gabungan calon baharu yang berwibawa termasuk berlatar belakang pendidikan agama pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Antara calon baru itu, Nurhidayah Mohamed Shahaimi, 30, adalah berkelulusan Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir yang diketengahkan pucuk pimpinan BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit.
Nurhidayah yang pernah berkhidmat sebagai guru agama dan pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Maran, berkata, Luit bukan satu kawasan yang asing baginya dan beliau bertekad untuk melakukan yang terbaik bagi memberi kemenangan kepada BN.
"Walaupun terkejut apabila diumumkan sebagai calon oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob, saya akan berusaha bersungguh-sungguh memikul tanggungjawab yang diamanahkan ini.
"Saya akan melipat gandakan usaha selama ini agar dapat meningkatkan majoriti kemenangan BN berbanding pada 2008," kata anak jati Luit kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Nurhidayah yang dilahirkan di Kampung Sentosa, Maran dekat sini merupakan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Maran dan menyertai UMNO pada 2006.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maran ini berkata, berbekalkan pengalamannya bersama masyarakat ketika mengetuai aktiviti Pergerakan Puteri UMNO di kawasan berkenaan, beliau yakin dapat menawan hati pengundi.
Sementara itu, calon DUN Chenor, Mohamed Ariffin Awang Ismail yang juga muka baharu bertekad berjuang habis-habisan bagi memberi kemenangan kepada BN pada pilihan raya ini.
"Walaupun saya tidak sehebat Allahyarham Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak iaitu penyandang sebelum ini namun, saya akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik.
"Pengalaman saya sebagai penjawat awam akan digunakan sebaik mungkin bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi penduduk di sini," katanya yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Maran.
Bagi calon BN DUN Tanjung Lumpur, Datuk Tengku Zulkifli Tengku Ahmad, beliau tidak menyangka akan tercalon pada pilihan raya umum ini kerana kerja yang dilakukan untuk UMNO Bahagian Kuantan semata-mata mahu parti itu terus berkhidmat kepada rakyat.
Beliau yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri berharap akan meneruskan kesinambungan wakil rakyat terdahulu dalam memastikan masyarakat di kawasan tersebut terus terbela.

Friday, March 8, 2013

salai babi

Premis salai babi dekat perumahan
Wartawan Sinar Harian
8 Mac 2013
Premis salai babi dekat perumahan
Gambar yang dirakamkan AJK Rukun Tetangga yang menunjukkan potongan daging babi digantung sebelum disalai.
KERAYONG - Penduduk di Taman Merbau Indah mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan dan menutup premis perniagaan menyalai daging babi di bangunan perniagaan dalam taman perumahan tersebut.

Pengerusi Rukun Tetangga, Ismail Awang Ngah berkata, penduduk menyedari kewujudan premis itu Oktober tahun lalu apabila melihat pemilik premis itu sedang mengangkat dan mencangkuk potongan daging babi sebelum disalai.

Dakwanya, kedudukan premis di kawasan itu tidak sesuai berikutan ia mengeluarkan bau busuk selain pemilik tidak menjaga kebersihan sekitar kawasan premis dengan betul.

“Di sini, 97 peratus penduduk adalah orang Melayu dan beragama Islam manakala selebihnya adalah penduduk berbangsa Cina dan India. Tidak sepatutnya lesen perniagaan itu diluluskan PBT di kawasan ini.

“Kami terpaksa berhadapan dengan bau busuk setiap hari. Malah, lebih menjijikkan apabila darah binatang itu dibiarkan mengalir keluar dari premis,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, kanak-kanak yang sering bermain di kawasan tersebut juga mungkin tidak akan menyedari keadaan lantai kaki lima premis yang dibasahi darah babi.

Difahamkan, Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) nekad untuk melakukan siasatan sendiri sebelum memaklumkan kepada Majlis Daerah Bera (MDB) mengenai perkara tersebut.

Tinjau pada waktu malam

Ismail berkata, beberapa AJK KRT melakukan tinjauan di premis terbabit terutamanya pada waktu malam bagi melihat aktiviti di situ.

Menurutnya, walaupun perniagaan yang dijalankan pemilik itu sah tetapi ia tidak sesuai beroperasi di kawasan perumahan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Apabila mendapat bukti kukuh termasuk gambar, kami membuat laporan kepada MDB dan berjumpa sendiri dengan pegawai bertanggungjawab.

“Malangnya, kami menerima maklum balas daripada MDB menyatakan premis itu tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Rukun Tetangga, Shahrul Anuar Safi’ei berkata, penduduk kecewa dengan maklum balas itu sedangkan premis terbabit beroperasi hampir setiap malam.

Katanya, setiap kali isu itu dibangkitkan kepada pihak MDB, aktiviti perniagaan di premis terbabit akan dihentikan serta-merta sehingga kekecohan kembali normal.

“Tapi, bila kami (penduduk) senyap, pemilik premis rancak pula meneruskan aktiviti perniagaannya," dakwanya.
Shahrul Anuar berkata, disebabkan tidak berpuas hati dengan tindakan MDB, mereka sekali lagi mengemukakan aduan berserta gambar yang diambil sebagi bukti.

Katanya, sehingga kini, penduduk masih menanti tindakan sewajarnya dilakukan MDB berhubung aduan penduduk itu namun hampa.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghalang pemilik untuk berniaga tetapi memintanya tidak beroperasi di kawasan perumahan.

Katanya, beliau berharap MDB mengambil tindakan segera berhubung aduan itu kerana ia melibatkan sensitiviti agama.
Pengusaha dinasihat pindah

Mengulas mengenai aduan penduduk itu, Setiausaha MDB, Ibrahim Malek berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis kepada pemilik premis dan menasihatkannya supaya segera berpindah ke lokasi lain.

Menurutnya, keputusan itu diambil setelah memperoleh maklum balas daripada Jabatan Kesihatan Daerah (JKD) yang mengesahkan bahawa aktiviti menyalai daging khinzir terbabit mengeluarkan bau busuk.

“Kita juga cuba mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Alam sekitar (JAS) tetapi perkara itu adalah di luar bidang kuasa mereka.

“Dalam perkara ini, jika pengusaha enggan berpindah dalam tempoh ditetapkan, MDB berhak menarik balik lesen perniagaannya atau tidak akan meluluskan pembaharuan lesen sekiranya dia enggan mematuhi arahan,” katanya.

Ibrahim berkata, pihaknya akan memantau perkara tersebut dan akan menyelesaikan aduan penduduk dengan sebaik mungkin.

Tuesday, March 5, 2013

pampasan pindah

Orang Asli terima pampasan RM355,029
Wartawan Sinar Harian
4 Mac 2013
Datuk Wan Rosdy Wan Ismail
Datuk Wan Rosdy Wan Ismail
CAMERON HIGHLANDS - Seramai 40 penduduk Orang Asli yang terlibat dengan proses perpindahan berikutan pembinaan Empangan Hidroelektrik Hulu Jelai, di sini, menerima wang pampasan antara RM6,000 hingga RM70,000 setiap seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, secara keseluruhannya, Tenaga Nasional Berhad (TNB) membayar pampasan sebanyak RM355,029 melibatkan penduduk Kampung Teiji dan Kampung Leryar.

“Penduduk berkenaan kini ditempatkan di Projek Pemajuan Kampung di Kampung Leryar setelah projek pembinaan empangan bernilai RM2.15 bilion dimulakan tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Orang Asli di Pos Betau, di sini.

Sempena majlis berkenaan, Wan Rosdy menyampaikan baucar BR1M bernilai RM125,500 untuk 500 penerima belum berkahwin serta baucar bernilai RM850,000 untuk 1,700 penduduk Orang Asli berkeluarga di 18 kampung di Pos Betau.Wan Rosdy yang juga Adun Jelai berkata, kerajaan negeri sedaya upaya memastikan pengambilan tanah Orang Asli untuk projek pembangunan dilakukan secara terkawal dan mengikut peraturan, di samping membelanjakan wang yang banyak untuk bayaran pampasan
supaya kaum minoriti itu beroleh keselesaan hidup.

“Kerajaan juga menyediakan projek kediaman baru di Kampung Leryar agar mereka dapat hidup dalam satu komuniti di bawah pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di samping bekerja di sektor pertanian di kawasan Cameron Highlands,” katanya.

Saturday, February 23, 2013

lauk mata kail

Mata kail dalam lauk
Wartawan Sinar Harian
23 Februari 2013
Mata kail dalam lauk
Abdul Rizal memegang laporan polis yang dibuatnya berhubung penemuan mata kail dalam lauk singgang ikan haruan dibeli di kafe HosHAS.
Mata kail dalam lauk
Abdul Rizal memegang mata kail yang nyaris ditelan isterinya.
TEMERLOH – Seorang guru yang baru enam hari melahirkan anak nyaris tertelan mata kail ketika menikmati hidangan nasi bungkus berlauk singgang ikan haruan yang dibeli di kafe Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas).

Suaminya yang juga seorang guru, Abdul Rizal Anzah, 35, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 petang, Rabu lalu ketika dia sedang menemani isterinya menikmati hidangan terbabit di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital berkenaan.

Menurutnya, ketika asyik menyuap makanan tersebut, mereka terpandang mata kail yang masih terlekat pada ikan haruan berkenaan.

“Isteri saya baru makan tiga suap nasi dan ketika mahu meneruskan suapan seterusnya, kami terpandang mata kail yang masih terlekat pada kepala ikan haruan itu.

“Kami berdua sangat terkejut dan mengambil beberapa gambar mata kail berkenaan dengan telefon bimbit sebelum bertanyakan hal tersebut kepada kakitangan hospital bertugas," katanya.

Abdul Rizal berkata, hasil nasihat kakitangan berkenaan, beliau segera ke kafe untuk bertemu pengurusnya namun hampa kerana tiada respons selepas lima minit menunggu.

"Kerana kecewa, saya kemudian menulis laporan lengkap mengenai penemuan mata kail dalam makanan tersebut sebelum memasukkannya dalam peti cadangan di lobi HosHAS.

"Saya juga membuat laporan polis kira-kira jam 12.05 pagi, selain mengirimkan e-mel kepada pengurusan Hoshas berhubung perkara itu," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, sehingga tengah hari semalam, beliau tidak menerima sebarang respons mengenai perkara tersebut sehingga terpaksa membuat kenyataan media.

“Saya bukan hendak mencari publisiti, kalau boleh saya tidak mahu perkara ini berpanjangan tetapi pihak terbabit gagal memberikan kerjasama selain tidak memberi respons terhadap masalah yang berlaku.

"Tahap kebersihan makanan di kafe berkenaan wajar dipersoalkan kerana jika ikan haruan berkenaan dibersihkan dengan teliti tentunya perkara ini tidak berlaku," katanya.

Beliau berkata, nyawa isterinya mungkin terancam sekiranya tertelan mata kail tersebut.

"Nasib baik kami nampak, kalau tidak mungkin isteri tertelan mata kail itu dan tentunya perkara lebih sulit berlaku kerana ia mungkin melibatkan nyawa," katanya.

Sementara itu Pengarah Hoshas, Datuk Dr Bahari Awang Ngah mengesahkan ada menerima emel daripada Abdul Rizal mengenai perkara tersebut dan sedang melakukan siasatan mengenai kejadian.

"Jika benar berlaku, ia sememangnya tidak patut dan bagaimanapun, kita sedang menyiasat perkara itu," katanya.

Wednesday, February 20, 2013

br1m di bera

ARKIB : 20/02/2013

19,565 penduduk Bera terima BR1M 2.0

BERA 19 Feb. - Sebanyak 19,565 penduduk daerah ini telah menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 membabitkan peruntukan lebih RM8.4 juta dalam Parlimen Bera.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian tersebut secara langsung merancakkan ekonomi setempat apabila rakyat berbelanja dan peniaga mendapat untung daripada perniagaan mereka.
''Lebih memberi makna sebanyak 5,340 golongan muda di Bera turut menerima faedah apabila masing-masing bakal mendapat RM250 sebelum akhir bulan ini.
"Jumlah penerima dijangka mencecah 20,000 orang di kawasan Parlimen ini berikutan ada yang tercicir kerana baharu sahaja mengisi borang permohonan itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan BR1M 2.0 fasa dua di Kompleks Rakan Muda Bera di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Fadil Osman dan ADUN Guai, Norol Azali Sulaiman.
Beliau berkata, kerajaan tidak berjanji kosong, malah setiap yang dijanji oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap akan ditunaikan.
Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, pelbagai bantuan telah disalurkan kepada rakyat bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi.
"Kerajaan mampu melaksanakan pembangunan untuk rakyat kerana kedudukan ekonomi negara kini semakin berkembang berikutan keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara ini," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130220/wp_03/19565-penduduk-Bera-terima-BR1M-20#ixzz2LTWIEU1W
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, February 19, 2013

pusat yg prihatin

ARKIB : 16/02/2013

84 peniaga Terminal Darul Makmur terima saguhati

Muhammad Saffian Ismail (dua dari kanan) menyerahkan wang RM2,000 kepada sebahagian peniaga berikutan premis mereka terpaksa ditutup selama sebulan pada majlis penyerahan bantuan kepada peniaga Terminal Makmur di Majlis Perbandaran Kuantan di Kuantan, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN 15 Feb. - Seramai 84 peniaga menerima saguhati RM2,000 setiap seorang berikutan premis perniagaan mereka terpaksa ditutup selama sebulan bagi memberi laluan kepada pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan di Terminal Makmur di sini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Saffian Ismail berkata, saguhati itu diberikan oleh kerajaan Pusat kepada mereka yang terlibat dalam pembinaan UTC.
"Apabila siap, mereka dibenarkan berniaga semula di kedai yang diubah suai dan harga sewa dijangka seperti kadar sekarang," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan tersebut di sini hari ini.
Beliau berharap peniaga di situ bersabar dan berjanji projek tersebut akan dapat disiapkan dalam tempoh sebulan.
"Saya telah berjumpa dengan kontraktor yang dipertanggungjawabkan dan mereka berjanji menyiapkan dalam tempoh tersebut.
"Mereka juga memaklumkan akan menjalankan kerja 24 jam sehari dengan 400 pekerja untuk setiap shif," katanya.
Dalam pada itu, katanya, UTC akan merangkumi 50 jabatan kerajaan dan 80 premis perniagaan yang akan beroperasi sehingga pukul 10 malam dan dibuka setiap hari termasuk cuti hujung minggu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130216/wp_03/84-peniaga-Terminal-Darul-Makmur-terima-saguhati#ixzz2LL35ZKJi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, February 14, 2013

ikan kelah

ARKIB : 14/02/2013

Bercuti sambil menangkap kelah

Roslan Abu Kassim menunjukkan spesies ikan kelah yang dipulihara di kolam Melantai Dua, Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.
JERANTUT 13 Feb. - Pahang sememangnya terkenal dengan pelbagai produk pelancongan sekali gus menjadikannya salah satu negeri yang wajib dikunjungi oleh pelancong yang mahu menghabiskan percutian mereka bersama keluarga atau rakan-rakan.
Keindahan alam sekitar dan pantainya yang indah selain mempunyai pelbagai artifak sejarah di beberapa daerah di sini, menyaksikan para pelancong ingin berada lebih lama di sesuatu destinasi tersebut.
Kini terdapat produk terbaharu yang boleh diketengahkan sebagai salah satu destinasi pelancongan ialah bermain dan menangkap ikan kelah di Lubuk Tenor dan Melantai Dua di Taman Negara Kuala Tahan di sini.
Spesies ikan itu yang dikenali sebagai Tor Tambroides boleh juga ditemui di kawasan sungai kecil di hutan rimba Hulu Tembeling iaitu Sungai Pengau, Sungai Sepia dan Sungai Kenyam.
Bagaimanapun mereka yang mahu memancing atau menangkap ikan berkenaan perlu mendapat kebenaran permit daripada pihak berkuasa di Taman Negara untuk berbuat demikian.
Di kawasan tersebut telah dijadikan lokasi menternak ikan berkenaan bersama spesies lain yang dilakukan oleh pengusaha tempatan menggunakan sistem tagal.
Sistem berkenaan membolehkan pengunjung yang datang ke situ boleh bermain dengan ikan tersebut iaitu menangkap dan melepaskannya semula ke sungai selain memberi makanan terhadap spesies berkenaan.
Seorang pengusaha pelancongan, Roslan Abu Kassim, 47, berkata, spesies ikan berkenaan mengambil masa selama tiga tahun untuk membesar dan mencapai seberat tiga kilogram.
''Ikan itu boleh mencapai berat sehingga lapan kilogram dan hidup selama 40 tahun bergantung pada kesesuaian habitat, persekitaran dan makanan.
''Sememangnya, Lubuk Tenor dan Melantai Dua merupakan habitat ikan tersebut sejak dahulu lagi di Taman Negara kerana persekitaran yang sesuai dan mempunyai banyak makanan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Seorang penduduk Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 42, berkata, tangkapan ikan itu kini dikawal memandangkan spesies tersebut mendapat permintaan tinggi di pasaran luar.
"Kegiatan menangkap ikan tersebut di sungai itu kini dikawal untuk menghindarkan kepupusan, cuma mereka yang memiliki permit Jabatan Perikanan Pahang sahaja dibenarkan menangkapnya," ujarnya.
Bagi rakannya, Zainuddin Nong, 43, aktiviti seperti itu dapat mendekatkan pelawat untuk mengenali ikan tersebut dengan lebih dekat.
"Konsep tangkap dan lepas dalam kalangan pelancong memang patut dipuji walaupun tujuan berseronok dan bersantai, tetapi pada masa dapat memulihara anak-anak ikan air tawar tersebut," katanya.
Tambahnya, langkah kerajaan memulihara spesies berkenaan di dua kawasan itu akan memberi kesedaran mengenai penjagaan habitat yang menjadi aset pembangunan pelancongan di situ.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130214/wp_01/Bercuti-sambil-menangkap-kelah#ixzz2Kw5IUIBY
© Utusan Melayu (M) Bhd

bl1m belia bera

ARKIB : 14/02/2013

2,300 belia Bera mohon lesen motosikal BL1M

BERA 13 Feb. - Seramai 2,300 belia yang tinggal di sekitar daerah ini memohon untuk mendapatkan lesen memandu B2 menerusi program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M).
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, Datuk Mohd. Azizan Che Omar berkata, menerusi program tersebut, Pergerakan Pemuda Bahagian itu turun padang bagi membantu dan memudahkan golongan terbabit mendapatkan lesen motosikal.
Katanya, berdasarkan sambutan tersebut membuktikan golongan terbabit yang selama ini menunggang motosikal tanpa lesen mempunyai hasrat untuk memohonnya tetapi atas faktor tertentu golongan itu mengambil sikap 'tidak kisah'.
''Kita tidak boleh memandang ringan risiko membawa motosikal tanpa lesen kerana jika terbabit dalam kemalangan ia bukan sahaja menyusahkan diri sendiri tetapi keluarga dan mangsa lain turut terbabit dalam kemalangan itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mewakili Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan BL1M di Kompleks Rakan Muda Bera di sini semalam.
Menurutnya, lebih malang lagi jika terdapat mangsa lain yang turut terbabit dalam kemalangan itu meninggal dunia dan keluarga berkenaan bertindak menyaman pihak tertentu untuk menuntut ganti rugi.
Sehubungan itu, katanya, BL1M bukan sahaja memudahkan golongan belia mendapatkan lesen tetapi memberikan kesedaran kepada mereka supaya menunggang motosikal dengan cara yang selamat dan berhemah.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130214/wp_04/2300-belia-Bera-mohon-lesen-motosikal-BL1M#ixzz2Kw4a9NBW
© Utusan Melayu (M) Bhd

masjid diperbaiki

Kenapa tiada papan tanda umum penutupan masjid?

Masjid Abu Bakar di Temerloh ini ditutup untuk memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf sehingga Julai ini.
Saudara Pengarang,
MASJID Abu Bakar di Temerloh merupakan masjid tertua dan memiliki sejarahnya yang tersendiri serta lokasinya terletak di pinggir Sungai Pahang.
Berikutan usianya lebih 50 tahun, banyak kerosakan struktur yang perlu dibaiki segera bagi memastikan rumah ibadat umat Islam itu selamat dan menjadi destinasi serta mercu tanda terbaharu di Temerloh.
Usaha pembaikan dan menaik taraf masjid itu yang dimulakan bulan lepas menyebabkan rumah ibadat tersebut ditutup kepada penggunaan orang ramai.
Masjid itu yang ditutup sehingga Julai ini sangat mengelirukan orang ramai terutama pengunjung luar yang menjadikan rumah ibadat tersebut sebagai tempat menunaikan tanggungjawab sebagai orang Islam.