Monday, May 7, 2012

deviden

ARKIB : 07/05/2012

20,000 peserta dapat RM186.4j

TEMERLOH 6 Mei - Felcra Pahang Berhad telah membayar dividen sebanyak RM186.4 juta kepada lebih 20,000 pesertanya di seluruh negeri pada tahun ini.
Ketua Bahagian Perladangannya, Mohammad Nassir Abdul Aziz berkata, pembayaran dividen tersebut adalah daripada hasil pengeluaran ladang milik agensi itu sepanjang tahun lalu.
Katanya, bayaran dividen itu meningkat lebih RM40 juta berbanding 2010 yang membabitkan peruntukan RM147.5 juta.
“Peningkatan dividen pada tahun ini berikutan harga komoditi kelapa sawit dan getah yang melonjak di pasaran dunia.
“Selain itu, kestabilan politik serta bekerja secara berpasukan kakitangan Felcra bagi mencari pasaran baru antara faktor yang memberikan pulangan dividen lumayan tahun ini," katanya pada majlis penyerahan agihan dividen Felcra Kerdau Berhad di Kerdau baru-baru ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengurus Kawasan Felcra Kerdau, Yahya Bokhari.
Menurut Mohammad Nassir, agensi itu telah membayar dividen RM678.9 juta kepada lebih 90,000 peserta Felcra di seluruh negara berbanding tahun sebelumnya yang membabitkan RM527.9 juta.
Tambah beliau, pertambahan 30 peratus dividen itu membuktikan Felcra berupaya menggalas tanggungjawab memajukan ladang dan menguruskan modal insan.
Beliau memberitahu, bagi kawasan Felcra Kerdau pula, hampir RM10 juta diperuntukkan untuk membayar dividen kepada 1,666 pesertanya.
Katanya, sehingga hari ini Felcra berjaya membangunkan kira-kira 56,000 hektar tanah di negeri ini membabitkan kawasan seluas 41,000 hektar ditanam kelapa sawit manakala getah seluas 15,000 hektar dengan penyertaan 20,000 orang.
Menurutnya, Pahang merupakan negeri yang mempunyai tanah paling luas dimajukan oleh Felcra setakat ini dan Felcra Pahang Bhd. merupakan penyumbang hasil yang banyak kepada Felcra secara keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment