Wednesday, May 23, 2012

pantai kotor

Sampah sarap penuhi persekitaran, pemandangan jadi hodoh
Wartawan Sinar Harian
23 Mei 2012
Sampah sarap penuhi persekitaran, pemandangan jadi hodoh
Keadaan Pantai Lagenda dipenuhi sampah sarap yang menjelikkan pandangan mata
KAMPUNG SERANDU – Keindahan Pantai Legenda dekat sini terjejas akibat pembuangan sampah sarap sekali gus memburukkan pandangan bentuk muka bumi pantai yang landai itu.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati pantai yang dikenali dengan nama ‘Air Leleh’ itu dicemari plastik, botol kosong dan pembungkus makanan mencemari kawasan itu serta boleh memberi kesan kepada hidupan laut.

Beberapa pengunjung yang ditemui kesal kerana pantai yang berpotensi sebagai tempat pelancongan itu tidak mendapat perhatian pen­duduk dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Seorang pengunjung, Mohd Faris Hilmie Ali, 22, berkata, pantai itu perlu disenaraikan antara lokasi yang mampu menarik pelancong dan penduduk tempatan untuk ­aktiviti rekreasi.

Katanya, PBT boleh menaiktarafkan kawasan itu supaya menjadi lokasi kunjungan pilihan orang ramai untuk berkelah dan mandi-manda.

“Walaupun keadaannya ­tidak pernah berubah, namun pantai ini sentiasa dikunjungi orang ramai pada hujung minggu,” katanya.

Pemuda itu berpendapat, usaha mengubah keadaan pantai itu perlu dilaksanakan ­supaya lebih berpotensi ­sebagai pusat pelancongan yang ­menarik di daerah Pekan.

Seorang lagi pelancong, Zulkarnain Isa, 37, berkata, kehadiran peniaga makanan dan minuman di kawasan ini suatu masa dahulu memberi keceriaan kepada alam semula jadi di sini.

Katanya, walaupun pantai itu semakin hilang ­keindahannya tetapi masih menjadi pilihan orang ramai yang ingin merehatkan ­fikiran serta membawa keluarga bersantai.

“Pantai ini sebenarnya mempunyai banyak ­kelebihan kerana lokasinya berada di kawasan perkampungan yang memberi peluang kepada pengunjung untuk ­menikmati pemandangan indah di sini.

Zulkairnain turut mencadangkan PBT menambah­ ­infrastruktur di pantai itu selain pembersihan.

Katanya, pengunjung ­sudah pasti memerlukan kemudahan seperti papan ­tanda, taman kanak-kanak, surau dan tandas serta ­tapak ­perkhemahan yang ­boleh membantu meningkatkan ­industri pelancongan di ­daerah ini.

No comments:

Post a Comment