Saturday, July 30, 2011

kuala triang


RM100,000 jayakan AET, PPG

KUALA TRIANG – Sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk menjayakan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Program Pengekalan Pengeluaran Getah (PPG) pada tahun ini di bawah seliaan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), di sini.

Pegawai Risda Daerah, Hanan Mohd Yusuf berkata, seramai 11 pekebun kecil melalui tiga jenis projek berlainan iaitu kategori tanaman, ternakan dan industri desa melaksanakan program itu.

Menurutnya, buat masa ini, hanya enam peserta dipilih dengan lima orang daripada kategori ternakan dan seorang daripada kategori tanaman.

“Program khas ini membolehkan pekebun kecil menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi sampingan terpilih sama ada dalam kawasan ladang atau luar. AET membolehkan mereka memperoleh pendapatan tambahan selain aktiviti pertanian utama dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Peralatan PPG, AET dan Kampung Teknologi Daerah Bera 2011, dekat sini. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Norol Azali Sulaiman dan Ketua Kampung, Abd Rahim Wahad.

Pada majlis sama, seramai 20 pekebun kecil dipilih menyertai PPG pada keluasan tanah 20 hektar dan 40 orang menerima bantuan untuk menjayakan Kampung Teknologi Risda.

Seorang peserta, Harun Mat yang mengusahakan ternakan kambing bersyukur kerana terpilih dalam program AET itu.

Menurutnya, usaha Risda itu sememangnya ditunggu-tunggu pekebun kecil dalam usaha meningkatkan pendapatan terutama untuk masyarakat luar bandar.

“Sememangnya bidang pertanian sekarang diberikan perhatian serius oleh kerajaan. Apa diharapkan, bantuan ini diteruskan untuk bantu pekebun kecil seperti kami,” katanya.

Sementara itu, pengusaha tanaman pisang, Sahabudin Abd Rahman berkata, bantuan disalurkan Risda banyak memberi peluang kepada pekebun kecil untuk mengembangkan usaha mereka.

Katanya, dengan taraf hidup penduduk kampung, tidak banyak modal boleh dikeluarkan untuk memajukan bidang pertanian.

“Jika sebelum ini, hasil tanaman pisang hanya sedikit, tetapi dengan bantuan Risda, ia bukan sahaja dapat menghasilkan produk berkualiti, malah meningkatkan pendapatan saya,” katanya.

teluk cempedak


Teluk Chempedak tidak pernah 'tidur'

Oleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALIL
utusanktn@gmail.com


WALAUPUN sudah dinihari, pantai Teluk Chempedak, Kuantan masih dikunjungi oleh orang ramai yang ingin menyaksikan aktiviti tengah malam di kawasan itu termasuk gerai jualan, bermain papan luncur dan juga pameran lukisan.

BAGI mereka yang masih tercari-cari tempat bersantai pada waktu malam, pantai Teluk Chempedak merupakan antara destinasi terbaik untuk dikunjungi di bandar Kuantan.

Berbanding pantai lain, Teluk Chempedak paling menjadi tumpuan sebagai destinasi riadah bersama keluarga mahupun teman-teman sejak siang hingga ke lewat malam.

Setiap hari, pantai itu sentiasa dipenuhi pengunjung, tidak kira pada hari bekerja mahupun musim cuti kerana selain menikmati keindahan pantai dan menghirup udara segar, pelbagai aktiviti dan kemudahan disediakan di situ.

Meskipun jam menunjukkan pukul 1 pagi namun kebanyakan pengunjung masih tidak berganjak malah semakin ramai yang datang ke pantai itu, seolah-olah beranggapan malam masih muda.

Di setiap kawasan hingga ke kawasan tempat meletak kenderaan, kelihatan deretan gerai menjual pelbagai barangan termasuk makanan, pakaian, aksesori dan cenderamata.

Dengan deretan restoran makanan Melayu, Barat dan makanan segera yang dibuka 24 jam sehari, membuatkan Teluk Chempedak seolah-olah tidak pernah 'tidur'.

Bukan itu sahaja, penyediaan kemudahan taman permainan kanak-kanak yang mesra pengunjung juga memberi kelebihan kepada Teluk Chempedak sebagai destinasi pilihan utama orang ramai pada waktu tengah malam.

Mereka yang ingin mengabadikan potret diri sebagai kenang-kenangan, boleh berbuat demikian melalui khidmat pelukis profesional yang setia menunggu di pantai itu.

Di satu sudut lain, kelihatan anak-anak muda berkumpul bersama rakan-rakan sambil mempamerkan kehebatan modifikasi kenderaan masing-masing seolah-olah seperti ada satu pertandingan.

Ada antara mereka yang mengambil kesempatan mempamerkan kemahiran bermain papan luncur dan tidak kurang juga yang membawa haiwan peliharaan mereka termasuk spesies ular sebagai tontonan pengunjung.

Selain landskap yang cantik, kemudahan Wi-fi turut menjadi sebab utama lokasi itu menjadi tumpuan ramai terutama pelajar yang menggunakan perkhidmatan tersebut untuk tujuan tugasan dan sebagainya.

Dengan cahaya lampu neon melimpahi sekitar kawasan itu, ia benar-benar menghidupkan lagi suasana malah pengunjung tidak perlu bimbang mengenai keselamatan anak-anak selain bertujuan mengelakkan daripada berlaku gejala negatif seperti perbuatan sumbang.

Bagi mereka yang memilih untuk bersantai di pesisiran pantai, terdapat beberapa bangku disediakan bagi kemudahan pengunjung.

Mereka juga boleh melakukan aktiviti waktu malam seperti barbeku, berkhemah dan aktiviti sukan bermain bola tampar.

Seorang peniaga yang ditemui, Mohd. Rushidi Jaafar, 33, berkata, setiap hari pantai Teluk Chempedak tidak pernah sunyi malah sentiasa dipenuhi warga tempatan dan pelancong terutama waktu malam hingga awal pagi.

Dia yang juga seorang pelukis berkata, selain melihat telatah dan ragam manusia, permintaan pengunjung untuk melakar wajah mereka juga meningkat ketika musim cuti.

"Kebanjiran pengunjung hingga lewat malam membuatkan pantai Teluk Chempedak tidak pernah sunyi apatah lagi pelbagai aktiviti menarik disediakan oleh beberapa pihak berkenaan menambahkan lagi kemeriahan di sini," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Seorang bapa, Farikh Abdul Manaf, 39, berkata, suasana menarik dengan pelbagai kemudahan seperti taman permainan menjadi penyebab utama mereka sekeluarga memilik lokasi tersebut.

Katanya, kerana kesibukan bekerja di siang hari, waktu malam atau hujung minggu menjadi pilihan sekeluarga untuk beriadah di pantai itu.

"Suasana di sini lebih tenang dan jauh daripada kesibukan di bandar tambahan pula, aktiviti dan kemudahan yang disediakan bersesuaian dengan semua peringkat umur.

"Pelbagai jenis gerai makan dan restoran segera yang dibuka 24 jam memudahkan kami sekeluarga untuk menikmati makanan pilihan walaupun sehingga lewat malam," jelasnya.

Bagi Rahayu Zainal Abidin, 32, dia mencadangkan kerajaan negeri memperbanyakkan aktiviti terutama pada waktu tengah malam di Teluk Chempedak bagi menggalakkan kehadiran pengunjung.

"Golongan muda dapat memanfaatkan aktiviti yang lebih sihat dan berfaedah daripada membuang masa begitu sahaja," ujarnya.

it percuma


IT percuma buat pelajar

Oleh ALI MAHMOODutusanpahang@Utusan.com.my


Julita Aishah Abdul Latif (tengah) bersama para pelajar selepas merasmikan Pusat Bestari Muda Cawangan Raub di Kampung Pasir Bayam, Mukim Dong, Raub, baru-baru ini.

RAUB 30 Julai - Para pelajar di daerah ini diminta memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat (IT) secara percuma yang disediakan di Pusat Bestari Muda di sini.

Cik Puan Muda Pahang, Datuk Seri Julita Aishah Abdul Latif berkata, pusat itu yang ditubuhkan di Kampung Pasir Bayam, Dong dekat sini, menyediakan segala kemudahan pembelajaran yang bertujuan meningkatkan minda dan kemahiran pelajar.

Beliau berkata, kebolehan menguasai IT dengan baik dan berkesan akan dapat membantu mereka mengakses maklumat berkaitan dengan pelajaran secara cepat.

"Dunia yang semakin mencabar memerlukan penguasaan IT yang cekap dan jika gagal menguasainya kita akan tercicir.

"Pembukaan pusat itu secara percuma, ia perlu dimanfaatkan bagi melahirkan lebih ramai pelajar daerah ini yang celik IT dan berjaya dalam pelajaran," katanya ketika berucap pada majlis perasmian pusat itu di kampung tersebut di sini, kelmarin.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin.

Pada majlis itu, Julita Aishah turut menyampaikan 1,000 beg galas kepada pelajar terpilih di Mukim Dong.

Pusat Bestari Muda itu adalah cawangan ketiga ditubuhkan selepas Kuantan dan Pekan hasil sumbangan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Menurut beliau, ibu-bapa perlu menggalakkan anak-anak belajar di pusat tersebut bagi membolehkan mereka mahir dan mampu menguasai IT.

Beliau berkata, 40 unit komputer disediakan di pusat berkenaan bagi manfaat para pelajar.

Sementara itu, Shahiruddin berkata, pembukaan pusat tersebut secara tidak langsung dapat mengelakkan pelajar berpeleseran dan menghabiskan masa lapang dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.

anak kerdau


Anak Kerdau disaran sertai Ankad

Khairul Nizam Abdul Samad (barisan ketiga, tiga dari kiri) bersama guru dan pelajar di SK Paya Ara, Temerloh, baru-baru ini.

TEMERLOH 30 Julai - Anak Jati Kerdau di sini, digalakkan menyertai Jawatankuasa Penaja Pertubuhan Anak-anak Kerdau (Ankad) untuk bersama-sama mencurah bakti serta membangunkan kampung masing-masing.

Pengerusi jawatankuasa penajanya, Khairul Nizam Abdul Samad berkata, mereka yang ingin mendaftar sebagai ahli boleh berbuat demikian dengan melayari laman sosial Facebook pertubuhan itu.

Katanya, setakat ini 420 orang sudah mendaftar dan berharap jumlah tersebut akan bertambah bagi membolehkan pertubuhan itu melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan khidmat sosial.

"Pertubuhan itu diwujudkan bagi memberi peluang untuk mereka mencurah bakti kepada masyarakat Kerdau kerana memiliki pelbagai ilmu serta kemahiran dalam bidang masing-masing. Bukan itu sahaja penduduk yang berhijrah boleh juga menyertainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan program motivasi kepada calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah bagi tiga sekolah rendah (SK) iaitu SK Kerdau, SK Paya Ara dan SK Paya Taram di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kuala Kerdau, Abdul Rahman Rashid.

Beliau menyeru golongan muda di kawasan itu menjadi ahli bagi membolehkan segala perancangan membangunkan Kerdau dapat dilaksanakan dengan jayanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Thursday, July 28, 2011

upgrade stesen keretapi mentakab


RM950,000 naik taraf kemudahan Stesen Kereta Api Mentakab

Boon Seong (dua kiri) meninjau projek baik pulih gerai di stesen kereta api Mentakab yang menelan belanja hampir RM1 juta.

TEMERLOH 28 Julai - Kerajaan Pusat membelanjakan hampir RM950,000 bagi menaik taraf kemudahan awam berhampiran stesen kereta api Mentakab dekat sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) bagi menaik taraf gerai makan, tandas awam dan menurap jalan.

Menurutnya, peruntukan tersebut juga bagi membina benteng penahan tanah di kawasan tersebut yang mendap sebelum ini.

''Kerajaan juga membina dan menaik taraf 22 gerai makan sedia ada di kawasan itu selain membina semula 11 gerai makan yang terlibat dengan mendapan tanah di kawasan tersebut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Boon Seong memberitahu, peruntukan itu juga meliputi pembinaan bumbung semua gerai terbabit dan menurap semula jalan di hadapan medan selera tersebut.

Beliau berkata, semua kerja pembinaan itu dimulakan sejak bulan lalu dan dijangka siap November ini.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menganggap peruntukan itu terlalu besar, jelasnya, jumlah itu meliputi kerja-kerja menaik taraf kedai dan kemudahan asas, bukan hanya untuk pembangunan tembok penahan semata-mata.

Dalam perkembangan berkaitan, Boon Seong menggesa penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab terutama perkampungan tradisional Melayu supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang cuba memutarbelitkan isu tertentu. Tindakan pembangkang menabur fitnah membuktikan mereka tiada modal untuk menghentam kerajaan.

''Semua pembangunan yang dijanjikan kerajaan dilaksanakan dengan baik hinggakan pembangkang tiada modal dan terpaksa menabur fitnah," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

telefon ptg

Telefon PTG Kuantan tidak pernah dijawab

PT8527, Kuantan

Saudara Pengarang,
SAYA merupakan salah seorang pemilik tanah di bandar Kuantan yang sering berurusan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Kuantan.

Bagaimanapun, sejak akhirakhir ini, saya amat kecewa dengan perkhidmatan PTG Kuantan yang dianggap gagal memuaskan hati pelanggannya.

Apa yang menghairankan, saya berkali-kali membuat panggilan telefon tetapi tidak pernah dijawab.

Jawapan daripada operator automatik mengatakan talian sibuk.

Dalam tempoh lima hari berturut-turut pada minggu lalu, saya membuat panggilan ke nombor 09-5722334 dan 09-5722140 untuk pertanyaan permohonan pindah milik tanah saya kepada isteri saya.

Untuk makluman, saya terpaksa menunggu selama lapan bulan untuk melakukan pindah milik tanah (bagi pajakan 60 tahun), tetapi tidak pernah selesai atas sebab-sebab yang disebut di atas.

Kalau begini, bagaimana hendak merealisasikan slogan rakyat diutamakan dan mencapai Wawasan 2020?

rumah cantik untuk siapa


Rumah ‘cantik’ jadi tanda tanya

Rumah yang dibina oleh sebuah agensi kerajaan masih belum didiami sejak dua tahun lalu di Bandar Lama Jerantut, Pahang.

Saudara Pengarang,
SAYA ingin menarik perhatian mengenai status sebuah rumah yang begitu cantik dibina di tengah-tengah Bandar Lama Jerantut yang masih belum diduduki atau digunakan untuk tujuan tertentu.

Rumah yang dibina oleh sebuah agensi kerajaan di atas sebuah bukit di sini yang siap hampir dua tahun lalu berdekatan jalan yang sibuk di bandar lama itu kini menjadi tanda tanya orang ramai yang lalu lalang di laluan tersebut.

Premis yang terletak berdekatan Wisma Bina Muda yang menjadi Pusat Perkhidmatan Pergerakan Pemuda UMNO dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan juga menarik perhatian dalam kalangan penduduk yang berurusan di situ.

Ia juga menarik perhatian pelancong asing yang singgah bermalam di hotel milik pengusaha pelancongan di bandar ini yang kerap memfokus rumah berkenaan dalam lensa kamera masing-masing di samping ingin mengetahui status berkenaan.

Ada pelancong asing menyifatkan tindakan pihak tertentu membiarkan rumah berkenaan sebagai tidak wajar dan sepatutnya dijadikan pusat penerangan, pameran atau penginapan pelawat yang singgah sebelum dan selepas berkunjung ke Taman Negara, Kuala Tahan.

Projek pembinaan rumah berkenaan merupakan idea yang dipuji dalam kerangka membantu kerajaan negeri merancakkan sektor pelancongan di daerah Jerantut.

Bagaimanapun, jika dibiarkan menjadi projek ‘gajah putih,’ ia pastinya menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan orang ramai termasuk pelancong asing yang berkunjung dan menginap di hotel berdekatan.

Menerusi ruangan Rakan Pahang sebagai wadah teguran yang membina diharap agensi berkenaan dapat memanfaatkan rumah berkenaan untuk tujuan pelancongan sekali gus menaikkan reputasi agensi kerajaan di sini serta mengembalikan keyakinan orang ramai.

SITI ANNE OMAR,

Jerantut

bumbung


Ganti segera bumbung lutsinar

Mohd. Darus menunjukkan keadaan bumbung lutsinar laluan pejalan kaki ke Bazar Muadzam Shah yang kebanyakannya

Saudara Pengarang,
ORANG ramai yang melalui laluan pejalan kaki ke Bazar Muadzam Shah di sini pastinya merungut apabila melihat bumbung lutsinar di laluan itu kebanyakannya telah tercabut.

Laluan pejalan kaki yang menghubungkan Bazar Madzam Shah dengan Stesen Bas Muadzam Shah memerlukan perhatian dan tindakan segera.

Majlis Daerah Rompin (MDR) yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan itu kepada orang ramai digesa membaiki segera bumbung tersebut kerana ia mengundang bahaya kepada orang awam.

Struktur bentuk bumbung lut sinar yang ringan dan nipis menyebabkan ia mudah diterbangkan angin sehingga boleh membahayakan nyawa orang ramai yang melalui kawasan sejauh 100 meter itu untuk ke bazar dan stesen bas.

Kami meminta MDR menggantikannya dengan bumbung yang lebih tahan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Disebabkan keadaan bumbung lutsinar itu yang sebahagiannya pecah, kawasan tersebut mudah dimasuki air ketika hujan hingga menyebabkan laluan pejalan kaki itu menjadi licin sehingga boleh menyebabkan orang ramai tergelincir.

MOHD. DARUS YAAKUB,

Muadzam Shah

takde padang nok padang...


Terabai dan membazir!

AHMAD SEMANTAN, Raub


Kemudahan sukan yang terbiar dan tidak diselenggarakan di persimpangan masuk Kampung Gesing berdekatan Jalan Raub ke Benta.

Saudara Pengarang,
BARU-BARU ini, saya pulang ke Kampung Gesing, Raub, untuk menziarahi keluarga dan bercuti.

Saya singgah di sebuah kedai makan berdekatan Jalan Raub ke Benta yang suatu ketika dahulu menjadi tempat saya bersantai bersama rakan pada waktu petang sebelum bermain bola sepak.

Kebetulan padang bola sepak di kompleks sukan terletak di persimpangan masuk ke Kampung Gesing yang turut dilengkapi sebuah astaka, gelanggang badminton dan bola jaring kebetulan terletak di belakang kedai makan berkenaan.

Di situlah penduduk kampung terutama belia beriadah pada waktu petang dan hujung minggu menyaksikan pertandingan dan permainan selain majlis keramaian.

Bagaimanapun, saya agak terkejut apabila melihat padang bola sepak dan gelanggang berkenaan terbiar apabila dilitupi rumput tebal dan semak samun setinggi 150 sentimeter.

Saya bertanyakan perkara itu kepada peniaga kedai makan itu dan dia memberitahu kemudahan di situ sudah tidak digunakan lagi sejak beberapa tahun lalu akibat tidak diselenggara dengan betul.

Sebagai penduduk asal Kampung Gesing, saya tertanya-tanya kenapa kemudahan permainan yang diwujudkan dengan peruntukan yang banyak terbiar begitu sahaja.

Tidak boleh dijadikan alasan kemudahan itu gagal diselenggarakan lantaran ia jarang digunakan oleh penduduk dan belia di Kampung Gesing dan kawasan berhampiran.

Semak samun dan rumput yang semakin meninggi mengundang pertanyaan dan rasa jengkel di kalangan pelawat dan pemandu yang melalui yang singgah berehat di kedai makan berkenaan.

Saya tidak tahu pihak mana yang sepatutnya menyelenggarakan kemudahan berkenaan.

Sehubungan itu, wakil rakyat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pertubuhan belia wajar menangani segera dengan membersihkan semula kemudahan itu supaya dapat digunakan semula dengan selesa.

Menerusi ruangan Rakan Pahang ini, bukan saya mahu menyalahi mana-mana pihak, tetapi kemudahan sukan berkenaan jika diselenggarakan dengan baik, pastinya dapat memberi manfaat kepada penduduk untuk beriadah.

Ia bertepatan dengan usaha kerajaan negeri menggalakkan penyertaan penduduk dalam kegiatan riadah dan rekreasi selaras dengan amalan gaya hidup sihat.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: