Friday, August 31, 2012

kantoi

'Kantoi', pasangan mengeluh ketika ditahan Jaip
ASWANY OMAR & ERMA YUSNIDA JUSOH
1 September 2012
'Kantoi', pasangan mengeluh ketika ditahan Jaip
Pasangan kekasih yang dicekup disoal siasat sebelum dibawa ke Pejabat Jaip.
KUANTAN - “Saya tahu itu silap saya, perkara dah berlaku, nak buat macam mana,” keluh seorang lelaki berusia 23 tahun yang ditahan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita di sebuah hotel bajet di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 5 pagi yang dilakukan empat pegawai Penguat kuasa Jaip yang menjalankan operasi di hotel di Jalan Wong Ah Jang mendapati pasangan itu  berada bersama di dalam bilik ketika pintu dibuka.

Graduan sebuah universiti teknikal berkenaan mendakwa, dia bersama teman wanitanya yang juga bakal guru itu bertemu malam itu sebelum dia pulang ke Kelantan untuk bercuti sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55.

Ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki berkenaan hanya memakai seluar pendek dan baju T manakala teman wanitanya memakai baju tidur.

Wanita berusia 24 tahun itu juga mengaku sedang belajar di sebuah pusat pengajian tinggi awam di Perak.

Selepas disoal siasat kira-kira 20 minit, mereka kemudiannya dibawa ke pejabat Jaip untuk siasatan lanjut.

Jaip sebelum ini sudah memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang menjadikan cuti kemerdekaan sebagai peluang melakukan maksiat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Raffli Ab Malek  berkata, Jaip melaksanakan Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena cuti umum 31 Ogos bagi mengelakkan individu menyalahgunakan cuti hari kemerdekaan untuk melakukan maksiat.

Beliau berkata, seramai 38 individu berusia di antara 19 hingga 40 tahun ditangkap dalam dua sesi operasi itu.

“Kita memulakan operasi dari jam 10.30 malam hingga 12 tengah malam manakala sesi kedua bermula jam 4 hingga 6 pagi,” katanya.

Katanya, beberapa lokasi hotel bajet sekitar Kuantan diperiksa termasuk di Jalan Wong Ah Jang, Jalan  Tun Ismail, Jalan Pasar, Jalan Besar.

Ahmad Raffli berkata,  kesemua mereka yang ditahan akan didakwa di mahkamah tetapi dibenarkan ikat jamin,” katanya.

bendera punya hal

Wanita, lima anak ketakutan diancam pemuda
Wartawan Sinar Harian
1 September 2012
Wanita, lima anak ketakutan diancam pemuda
Norzaili (kanan) bersama ahli keluarganya berharap agar kejadian sama tidak lagi berulang.
SUNGAI BILUT – Seorang wanita bersama lima anaknya berada dalam ketakutan apabila terdengar teriakan seorang pemuda 20-an menyuruhnya keluar dari rumah pada jam lebih kurang 11.40 malam semalam iaitu 20 minit sebelum sambutan merdeka.

Norzaili Khalil, 35, berkata, ketika kejadian dia bersama anak-anaknya berusia antara 5 hingga 12 tahun berada dalam rumah.

Menurutnya, pada ketika itu datang lelaki yang dikenali terjerit-jerit menyuruhnya keluar dan mengarahkannya supaya menurunkan beberapa bendera politik yang dikibarkan di hadapan rumah.

“Semasa kejadian suami saya, Mohd Khir Zainudin, 41, tidak ada di rumah, saya dan anak-anak berasa takut sehingga seorang daripada anak saya menangis.

“Tidak beberapa lama selepas itu kelihatan pemuda itu bertindak mencantas tiang bendera di hadapan rumah saya menggunakan parang,” katanya.

Norzaili berkata, laporan polis dibuat beberapa jam selepas insiden itu setelah memastikan keadaan tidak lagi kecoh dan beberapa pegawai polis terus tampil melakukan siasatan.

Katanya, dia dan anak-anaknya kini trauma dengan kejadian itu berikutan kedudukan lokasi rumahnya bersama beberapa penghuni lain berada agak jauh di pinggir penempatan.

“Saya harap sangat agar pihak keselamatan dapat memantau keadaan kawasan di sini secara berkala supaya individu yang berniat jahat tidak berpeluang melakukan sebarang jenayah.

“Saya lebih risaukan keselamatan anak-anak yang kadang kala terpaksa sendirian pulang dari sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan masih dijalankan.

Thursday, August 30, 2012

rakyat tertipu

Terkejut tanah ada kaveat, didakwa tanggung hutang
Wartawan Sinar Harian
31 Ogos 2012
Terkejut tanah ada kaveat, didakwa tanggung hutang
Dari kiri, Hassan, Sabariah dan Osman menunjukkan geran tanah asal milik mereka dan salinan pelan lokasi tapak tanaman tetapi tidak mempunyai salinan perjanjian dengan agensi te
RAUB  - Peserta tanaman kelapa sawit berkelompok, di sini, tidak berpuas hati selepas mendapat tahu tanah milik mereka yang dipertanggungjawabkan kepada sebuah agensi pembangunan pertanian mempunyai kaveat selepas 20 tahun perjanjian berlalu.

Seorang peserta, Hassan Mat, 65, berkata, lebih 60 penduduk di situ menyerahkan keseluruhan tanah seluas 80.94 hektar untuk dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit bermula 1988.

Menurutnya, pada 1989 tanah di Sungai Keleh itu diusahakan dan mula mengeluarkan hasil pada 1993.

“Perjanjian bagi projek perusahaan tanaman kelapa sawit ini berlangsung selama 25 tahun tetapi kami tidak mempunyai sebarang salinan surat perjanjian dan geran asal tapak tanah yang terlibat.

“Sepanjang hasil dijana, kami memperoleh pendapatan secara tunai dua kali setahun, tetapi agensi berkenaan menukar corak pemberian tunai kepada tiga bulan sekali iaitu empat kali setahun bermula 2009,” katanya kepada Sinar Harian.

Hassan berkata, baru-baru ini dia dan isteri, Sabariah Kintong, 60, mendapat tahu tanah terbabit telah di kaveat atas nama Pengurus Besar Negeri dan mereka difahamkan perkara itu terus berkuat kuasa sehingga peserta melunaskan kos selenggaraan perusahaan tanaman kelapa sawit itu.

Katanya, lebih memeranjatkan permohonan kaveat persendirian itu dilakukan pada 2009 iaitu selepas 20 tahun perjanjian dibuat.

“Kami dapat tahu apabila seorang peserta berhasrat menukarkan nama pada geran miliknya itu kepada anaknya tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana semua tanah peserta mempunyai kaveat.

“Perkara ini dilakukan agensi berkenaan tanpa memaklumkan kepada kami terlebih dahulu sebagai tuan tanah dan kami rasakan tindakan ini tidak betul sama sekali,” katanya.

Seorang lagi peserta, Osman Tan, 74, berkata, sepanjang projek tanaman itu iaitu sejak 1989, semua peserta langsung tidak menerima sebarang penyata pendapatan termasuk jumlah hasil yang dipotong sebagai kos selenggaraan.

Katanya, selama lebih 20 tahun mereka hanya menerima wang yang diberi beberapa kali setiap tahun tetapi tidak mengetahui jumlah sebenar hutang ditanggung setiap peserta dan berapa jumlah yang sudah dilunaskan setakat ini.

“Sudahlah kita tidak menyimpan salinan perjanjian awal melaksanakan perusahaan ini, kita juga tidak mendapat penyata kewangan yang memaklumkan jumlah perolehan dan potongan hasil bagi tujuan kos selenggaraan.

“Kini kami tidak dapat melakukan sebarang pertukaran nama atau apa sahaja yang berkaitan selepas tanah milik kami ini di kaveat pada 2009, sekali gus menjadikan seolah-olah kami terpaksa menanggung hutang sepanjang hayat dan tanah itu tidak akan diperoleh waris kami,” katanya.

Osman berharap penjelasan telus dan terperinci dilakukan agensi pembangunan pertanian terbabit termasuk memansuhkan arahan kaveat persendirian itu memandangkan tempoh perusahaan sudah melebihi 23 tahun.

Katanya, pada masa sama, peserta terlibat memohon supaya dijelaskan jumlah sebenar hutang yang ditanggung setiap peserta mengikut perjanjian awal dan berapa kos yang sudah dilunaskan serta bakinya.

“Sebahagian peserta ada yang sudah meninggal dunia dan ‘urusan’ mereka masih belum selesai berikutan terdapat hutang yang belum dijelaskan tetapi keluarga juga tidak mengetahui status jumlah keseluruhan hutang itu.

“Perkara ini perlu dijelaskan segera kerana kebanyakan peserta semua sudah berusia dan tidak sewajarnya masih menanggung hutang dengan agensi berkenaan kerana perusahaan sudah menjangkau usia 23 tahun,” katanya.

Monday, August 20, 2012

rumah terbakar

Reda dugaan hilang rumah
Wartawan Sinar Harian
21 Ogos 2012
Reda dugaan hilang rumah
Soama (dua kiri) ditenangkan ahli keluarga ketika melihat rumah yang dibina 40 tahun lalu musnah dijilat api.
Reda dugaan hilang rumah
Anggota bomba cuba memadam api dan mengawal kebakaran daripada merebak 8 ogos lalu.
TEMERLOH – Lapan beranak yang kehilangan tempat tinggal apabila kediaman mereka di Kampung Pengkalan Jaya, Lebak musnah dalam kebakaran 8 Ogos lalu kini terpaksa beraya dalam keadaan serba kekurangan.

Mohd Adam Abdul Latif, 34, dan isteri Nor Rashidah Mohd Abdul,33, serta enam anaknya kini terpaksa menumpang di rumah kakak Nor Rashidah di Taman Temerloh Jaya sejak lebih seminggu lalu.

Mohd Adam berkata, persiapan menyambut hari raya juga terpaksa bergantung kepada simpati rakan-rakan dan penduduk kampung yang menghulurkan bantuan pakaian kepada anak-anaknya.

“Mujur majikan saya, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) memahami keadaan saya sekarang dan mereka banyak membantu dari pelbagai sudut,” katanya semalam.

Mohd Adam berkata, sehingga kini bantuan yang diterima hanya cukup untuk digunakan bagi kerja-kerja membaiki pulih kerosakan akibat bencana itu.

“Bantuan daripada kerajaan perlu mengikut prosedur tertentu dan sudah tentu mengambil sedikit masa, tetapi akan dapat juga nanti.

“Bantuan yang banyak diterima setakat ini adalah dalam kalangan orang perseorangan yang menyumbang hasil kutipan derma dan sumbangan peribadi,” katanya.

Mohd Adam berkata, dia juga bersyukur kerana pihak MPT memberi kemudahan jentera berat untuk digunakan bagi kerja menyodok dan membersihkan tapak rumah lamanya.

Menurutnya, ibunya Soama Mat Akil 72, yang juga tinggal bersamanya sebelum ini kini terpaksa tinggal bersama kakaknya di kampung yang sama buat sementara waktu.

Mohd Adam berkata, kejadian yang berlaku 8 Ogos lalu begitu kuat menguji kehidupan keluarganya dan menganggapnya dugaan paling berat untuk dia sekeluarga.

Ini kerana katanya, persiapan menyambut hari raya anak-anaknya seminggu sebelum kejadian musnah sekelip mata.

“Saya sudah siap belikan mereka baju sepasang seorang, memang niat saya untuk beli awal supaya tidak terlalu sibuk di hujung Ramadan,” katanya.

Kejadian 8 Ogos lalu berlaku ketika pemilik rumah, Soama Mat Akil 72, bersama empat cucu iaitu anak Mohd Adam dan menantunya Nor Rashidah Mohd Abdul 33, berada dalam rumah.

Ketika kejadian, dua lagi cucu Soama masih belum pulang dari sekolah manakala anaknya Mohd Adam, sedang bertugas MPT.

Soama berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang mencabut rumput di halaman rumah dikejutkan dengan teriakan menantunya dari dalam rumah.

“Saya dengar menantu jerit api dalam rumah, dia kemudian mendukung dua anak dalam bilik air dan dua lagi anak kembarnya keluar dari rumah.

“Masa dia cuba masuk semula untuk selamatkan beberapa barang, api sudah mula marak bermula di bahagian tengah rumah,” katanya,

Sementara itu menantu Soama, Hamidin Mat Isa berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi letupan kecil dari arah rumah ibu mentuanya.

“Selang beberapa saat kemudian saya nampak asap, saya masuk ke dalam rumah ambil tiga baldi air siram tetapi api semakin marak, saya cari emak dan kemudian keluar menyelamatkan diri.

“Ketika melarikan diri dari api yang marak, saya lihat anak saudara dan kaum keluarga yang lain dah berkumpul di halaman rumah,” katanya.

Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga Saoma dan Mohd Adam boleh terus menyalurkan bantuan kewangan melalui akaun bank BSN Soama di 06400-29-00012419-2 atau berhubung dengan Mohd Adam di talian 014-8128507.

Tuesday, August 14, 2012

cara aki jual kuih

16 tahun jual kuih atas kereta
Wartawan Sinar Harian
13 Ogos 2012
Mohd Hanafiah Chik
Gelagat dan celoteh Mohd Hanafiah mempromosikan jualan putu kacangnya menarik perhatian pengunjung Pasar Malam Pekan Awah.
CHENOR - Gelagat seorang peniaga kuih raya warga emas yang duduk di atas bumbung kereta mempromosikan produk jualannya menarik perhatian orang ramai di Pasar Malam Pekan Awah, di sini.
Penduduk Kampung Awah, Mohd Hanafiah Chik, 63, yang membahasakan dirinya sebagai Aki itu membuatkan setiap pengunjung menoleh ke arahnya kerana keriuhan mulutnya yang tidak henti-henti berceloteh.
Menurutnya, kuih hasil buatan tangan isterinya itu hanya dijual di pasar malam tersebut sepanjang bulan Ramadan setiap tahun.
“Bulan lain Aki tak jual tapi ketika Ramadan sahaja, malah putu kacang ini memang digemari orang ramai ketika menyambut Syawal.
“Sudah 16 tahun Aki berniaga putu kacang di pasar malam ini, tempat lain Aki tak pergi sebab jauh. Jika orang lain berniaga menggunakan khemah, tapi Aki nak buat kelainan, lagi pun lebih menjimatkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Bapa kepada lima anak itu berkata, pegawai penguat kuasa tidak pernah 'kacau' tindakannya berniaga di kawasan letak kenderaan itu kerana dia mengakui tidak mampu untuk menyewa tapak dan memiliki khemah niaga sendiri.
Menurutnya, keuntungan yang diperoleh hasil jualan putu kacang dengan RM14 sebalang tidak seberapa dan hanya sekadar sampingan bagi menampung perbelanjaan keluarga termasuk persekolahan anak bongsu yang berada di tingkatan dua.

Saturday, August 11, 2012

rebut durian runtuh

Isteri rebut durian runtuh
Wartawan Sinar Harian
11 Ogos 2012
Isteri rebut durian runtuh
Rashid membaca akhbar berhubung kenyataan Isa supaya mengagihkan durian runtuh secara sama rata bagi peneroka yang berkahwin dua.
JENGKA - Seorang peneroka Felda Sungai Tekam Getah menuntut Felda mencari kaedah paling berkesan mengagihkan durian runtuh kepada isteri peneroka yang mempunyai madu berikutan timbul masalah isteri pertama enggan berkongsi wang terbabit.

Peneroka, Rashid (bukan nama sebenar), 63, berkata, ada isteri pertama yang tidak mahu membahagikan durian runtuh berkenaan dengan isteri kedua seperti disarankan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

“Mereka (isteri pertama) bagi alasan wang tersebut haknya kerana cek tersebut ditulis atas namanya.

“Saya sudah menyuarakan masalah ini kepada pengurus Felda dan juga pejabat Felda Wilayah Jengka dan diberitahu akan membuat siasatan perkara ini, namun sehingga kini belum ada keputusan,” katanya kepada Sinar Harian.

Rashid berkata, pengagihan durian runtuh yang dibuat sekarang kurang tepat kerana ia banyak menimbulkan masalah bukan sahaja kepada peneroka yang berkahwin lebih daripada satu, tetapi kepada anak-anak peneroka yang sudah kematian ibu bapa.

“Pada pandangan saya, lebih baik pengagihan untuk peneroka yang berkahwin dua ini diserahkan kepada pengurus Felda.

“Pengurus diberi hak menguruskan cek tersebut dengan menukarkannya ke dalam bentuk tunai dan diagihkan terus secara sama rata kepada penerima,” katanya.

Dia turut mencadangkan perkara sama dilakukan ke atas anak peneroka yang menerima durian runtuh bagi pihak ibu bapa mereka yang sudah meninggal dunia..

“Ini kerana, sudah ada kejadian di mana anak yang dipertanggungjawabkan menerima durian runtuh itu tidak mengagihkannya secara sama rata dalam kalangan adik-beradik.

“Malah baru-baru ini ada yang sampai bergaduh sehingga dimasukkan ke dalam penjara semalaman semata-mata berebut durian runtuh ini,” katanya.

Tuesday, August 7, 2012

uitm berusaha tambah penginapan

ARKIB : 01/08/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 3
UiTM sentiasa berusaha atasi masalah tempat tinggal pelajar di Jengka
ALFINA BAKAR
Pengarah, Jabatan Komunikasi Korporat, UiTM

TERLEBIH dahulu pihak pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengadu, Insan Kecewa, Bandar Pusat Jengka yang menyentuh berkaitan Sewa rumah pelajar UiTM mahal dalam ruangan ini bertarikh 16 Julai 2012.

Untuk pengetahuan, luahan pengadu juga turut dirasai oleh sebahagian kakitangan UiTM Pahang dan juga keseluruhan pelajar lain yang menyewa di beberapa taman perumahan sekitar Bandar Tun Abdul Razak, Jengka.

Bagaimanapun pihak pengurusan UiTM amat prihatin dengan masalah dihadapi dan langkah proaktif telah dan akan diusahakan, antaranya:-

l Pembinaan bangunan asrama yang dapat menampung seramai 4,000 pelajar yang dijangka akan bermula pada akhir tahun ini.

l Penyelesaian jangka masa terdekat, pihak pengurusan UiTM telah mendapat kelulusan untuk membuat pajakan Kompleks Sukan MSN yang terletak di hadapan kampus UiTM Pahang yang boleh menampung seramai 500 pelajar.

l Mendapat kerjasama Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) untuk menyewakan bangunan yang dibeli oleh mereka di Bandar Tun Abdul Razak Jengka kepada pelajar UiTM dengan kadar yang amat berpatutan.

l Berkomunikasi dengan masyarakat setempat bagi mendapatkan kerjasama mereka berkaitan dengan kadar sewa rumah.

Kepada pengadu, pihak Pengurusan UiTM mengharapkan penjelasan dan langkah jangka pendek dan jangka panjang yang telah dan akan diambil oleh UiTM dengan sendirinya menggambarkan bahawa UiTM amat mengambil berat akan masalah serta keluhan pelajarnya.

Friday, August 3, 2012

speed trap di bkt makro

Pengurus kena dua saman sehari
Wartawan Sinar Harian
3 Ogos 2012
Pengurus kena dua saman sehari
Shaw Xiang menunjukkan kertas saman bergambar yang diterima akibat memandu laju di kawasan terbabit.
TEMERLOH – Seorang pengurus syarikat perumahan terkejut apabila menerima dua saman ‘speed trap’ dalam masa sehari selepas memandu melebihi had dibenarkan di selekoh maut Bukit Makro Jalan Temerloh Mentakab di sini.
Pengurus tersebut, Sam Shaw Xiang 33, berkata, dia yang kerap berulang alik dari Mentakab ke Kerdau melalui jalan itu setiap hari terkejut apabila menerima saman itu yang lengkap dengan gambar kenderaan dipandunya.
“Saya tidak marah kepada polis, tetapi terkejut kerana sepanjang menggunakan jalan itu ini adalah yang pertama dikenakan saman.
“Mungkin ini adalah cara terbaik pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar kemalangan yang kerap berlaku di kawasan itu.
“Kepada rakan-rakan lain saya nasihati supaya berhati-hati kerana kawasan ini sudah dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Shaw Xiang berkata, dia mencadangkan supaya had laju dibenarkan di kawasan itu dinaikkan dari 60 kepada 80 kilometer sejam untuk lebih adil kepada pengguna jalan raya.
Mengikut sumber polis, sepanjang Jun lalu, sebanyak 3,781 saman dikeluarkan pihak polis kepada pengguna jalan raya di kawasan itu sahaja.
Pada Julai lalu, jumlah saman dikeluarkan berkurangan kepada 2,045 sahaja berikutan orang ramai mula sedar kawasan terbabit dilengkapi CCTV.

uitm baru

Terima kasih kepada PM, bina kampus UiTM di Raub

3 Ogos 2012

RAUB - Penduduk di daerah ini berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kerana meluluskan pembinaan sebuah kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Raub.

Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Raub Seikh Salehuddin Seikh Abdul Rahim berkata rata-rata penduduk tidak menduga sebuah pusat pengajian tinggi akan dibina di daerah pedalaman itu.

"Kewujudan UiTM itu juga secara tidak langsung memberi perangsang dan galakan kepada para pelajar di daerah ini untuk berusaha ke menara gading sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar berkualiti," katanya, di sini hari ini.

Beliau juga yakin pembinaan kampus UiTM itu bakal merancakkan pembangunan setempat dan meningkatkan ekonomi penduduk. Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno Raub Jariah Kasim berkata
pembinaan projek itu menjadikan daerah Raub lebih terkenal dan meningkatkan jumlah penduduknya.

Manakala anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Dong yang juga Ketua Umno Raub Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata pelaksanaan projek sedemikian membuktikan kerajaan BN prihatin untuk memajukan bidang pendidikan.

Perdana Menteri ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama warga Raub di Padang Ulu Gali Tengah Rabu lalu, mengumumkan sebuah kampus cawangan UiTM berharga RM230 juta akan dibina di tapak seluas 31.6 hektar di Raub tidak lama lagi.

Kerja-kerja membersih tapak kampus baru itu sedang dijalankan dan pembinaan dijangka siap pada 2015 dengan kapasiti 3,000 pelajar. - Bernama

bekas isteri hampa

Bekas isteri tidak layak
Wartawan Sinar Harian
2 Ogos 2012
Bekas isteri tidak layak
Ismail (dua, kiri) menyampaikan durian runtuh kepada penerima sambil diperhatikan Shahaniza (dua, kanan) dan Saari (tengah).
JENGKA  - Bekas isteri peneroka tidak lagi menetap di tanah rancangan atau berkahwin lain tidak layak menerima durian runtuh fasa kedua walaupun pernah bersusah-payah membangunkan tanah rancangan di awal penubuhannya dahulu.

Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din berkata, perkara itu jelas dinyatakan dalam 12 kategori atau kriteria golongan tidak layak menerima durian runtuh fasa kedua tersebut.
“Hanya janda bercerai mati dengan arwah suaminya dan masih mempunyai ikatan perkahwinan tidak menghadapi masalah berhubung pengagihan durian runtuh itu.

“Masalah tidak timbul jika janda terbabit tidak berkahwin lain dan masih tinggal di dalam tanah rancangan sama. Justeru melayakkannya menerima 50 peratus atau sebahagian daripada RM5,000 tersebut,” katanya.

Saari berkata, begitu juga kes di mana peneroka mempunyai lebih daripada seorang isteri.

“Sekiranya peneroka meninggalkan dua isteri, maka isteri-isterinya itu perlu membahagikan durian runtuh ini.

“Namun masalah timbul apabila bekas isteri berkahwin lain. Saya tegaskan, mereka sememangnya tidak layak menerima durian runtuh walaupun pernah duduk dan bersusah-payah di tanah rancangan,” katanya.

Menurutnya, pengurus Lembaga Kemajuan Tanah Persektuan (Felda) di setiap tanah rancangan perlu memainkan peranan mereka untuk memastikan durian runtuh itu diagihkan sebaiknya.

“Sebagai contoh di Felda Jengka 3 baru-baru ini, terdapat cek durian runtuh diletakkan di atas satu nama, tetapi penerimanya pula ada dua.

“Peneroka terbabit sudah meninggal dunia dan mempunyai dua isteri. Bagi mengelak sebarang masalah, pengurus itu membawa mereka menunaikan cek, lalu mengagihkan durian runtuh tersebut secara sama rata,” katanya.

Justeru, beliau sekiranya ada masalah sebegitu di tanah rancangan, pengurus perlu bekerja lebih sedikit untuk memastikan tidak berlaku lagi masalah membabitkan pengagihan durian runtuh.

Dalam pada itu, majlis pengagihan durian runtuh fasa kedua diadakan di Dewan Orang Ramai Felda Jengka 1, semalam.

Penyerahan itu disempurnakan Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Datu Shahaniza Shamsuddin.