Friday, May 4, 2012

ika anak polis

Kebiadaban perusuh Bersih dirasai anak polis - Ika

BENTONG 4 Mei - Perhimpunan haram didalangi parti pembangkang di ibu negara Sabtu lalu, yang berakhir dengan rusuhan nyata menimbulkan kemarahan majoriti rakyat negara ini termasuk penghias Gadis Pahang minggu ini.
Apatah lagi, gadis manis bermata bundar ini, Wan Nor Atiqah Wan Mohd. Sakri, 20, merupakan anak seorang anggota polis yang setia berkhidmat kepada negara, bangsa dan agama.
Sebagai anak sulung empat beradik, dia sangat tersinggung dengan kebiadaban peserta perhimpunan haram itu yang sewenang-wenang menghina malah mencederakan anggota polis yang bertugas.
Menurutnya, mereka langsung tidak menghormati penjawat awam, apatah lagi anggota polis yang bertanggungjawab menjamin ketenteraman awam.
Wan Nor Atiqah yang mesra dengan panggilan Ika dalam kalangan keluarganya berkata, dia menyokong penuh tindakan kerajaan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dengan rusuhan Sabtu lalu.
"Perhimpunan haram seperti ini perlu dihalang lebih awal kerana implikasinya sangat buruk. Mereka membawa budaya samseng yang menjejaskan kestabilan dan perpaduan rakyat malah mencemarkan imej negara di mata dunia.
"Hanya sebilangan kecil menyokong perhimpunan didalangi pembangkang itu. Namun, ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga, kesannya memberi imej negatif kepada negara khususnya sektor pelancongan," tegasnya.
Ika yang dilahirkan di Felda Lurah Bilut, Bentong berharap rakyat membuka mata menilai secara positif kemakmuran negara.
Sebagai contoh, kata Ika, Malaysia sangat bertuah kerana Allah mengurniakan pemimpin negara, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sangat mengambil berat mengenai kebajikan rakyat.
"Siapa pun tidak dapat menafikan program transformasi pentadbiran yang dibawa oleh Perdana Menteri telah menunjukkan kesan yang amat positif terhadap kemakmuran rakyat,'' katanya.
Ika yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Khazanah Alam Bandar Tun Abdul Razak Jengka itu bercita-cita menjadi seorang akauntan.
Menurutnya, kerajaan telah berjaya menyediakan kemudahan pendidikan tinggi yang bertaraf dunia kepada rakyat khususnya orang Melayu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di dunia.
"Penyediaan pinjaman pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mahasiswa menjadi pemangkin kepada kemajuan pendidikan tinggi masyarakat Melayu dan bumiputera.
"Namun kebaikan PTPTN itu cuba dipolitikkan oleh pihak tertentu. Apakah kesan negatif kepada pelajar Melayu jika PTPTN yang menjadi sandaran mereka dihapuskan?'' katanya lagi.

No comments:

Post a Comment