Thursday, May 3, 2012

orang asli kena hiv

ARKIB : 03/05/2012

40 Orang Asli Pahang dikesan menghidap HIV

BENTONG 2 Mei - Seramai 40 masyarakat Orang Asli di negeri ini dikesan menghidap virus HIV sehingga Mac 2012 dan lapan daripadanya dijangkiti AIDS.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kes pertama virus itu mula dikesan dalam kalangan Orang Asli sejak 1994 di Rompin telah membawa kepada sembilan kematian.
Katanya, 31 Orang Asli yang menghidap virus itu masih hidup dan 26 daripada mereka adalah wanita.
"Bagi mengelakkan daripada virus itu merebak, saya menasihati pasangan suami isteri Orang Asli dan juga rakyat negara ini supaya setia dengan pasangan masing-masing.
"Selain itu, wanita juga kini semakin ramai menghidap virus tersebut dan sebahagian besar daripada mereka adalah dalam kalangan suri rumah," katanya selepas merasmikan Bengkel Khas Untuk Wanita Orang Asli Tentang Cara Melindungi Diri Daripada HIV dan Keganasan di Cheringin Hills Convention & Spa Resort, Janda Baik, dekat ini baru-baru ini.
Bengkel tersebut dianjurkan oleh Institut Pengurusan Wanita (WIM) dan turut dihadiri pengerusinya, Tan Sri Napsiah Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif WIM, Datuk Dr. Nellie Tan Wong.
Dalam perkembangan lain, Tiong Lai memberitahu, wanita Orang Asli juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, masalah itu berlaku apabila suami atau pasangan masing-masing berada dalam keadaan mabuk serta melakukan kekerasan secara fizikal, seksual dan psikologi.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu dianggap terpencil kerana golongan wanita terbabit tidak membuat laporan polis.
"Seperti isteri kaum-kaum lain di negara, mereka juga menganggap ia sangat sensitif dan dirahsiakan dan patut diselesaikan dalam konteks keluarga sendiri.
"Hakikatnya keganasan rumah tangga merupakan satu masalah sosial yang besar dan perlu ditangani segera. Jika tidak mangsa akan mengalami trauma psikologi yang berpanjangan dan boleh menjejaskan kualiti kehidupan dan produktiviti mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment