Thursday, May 31, 2012

orang asli mahu liputan

Rayu liputan telekomunikasi di Pos Betau

DUA Orang Asli yang mempunyai telefon bimbit tidak dapat menggunakan kemudahan itu kerana tiada rangkaian telefon mudah alih di Pos Betau, Lipis.
SAYA penduduk Orang Asli Pos Betau, daerah Lipis dan beberapa kampung berdekatan memohon kerajaan negeri agar supaya meminta jasa baik syarikat telekomunikasi melebarkan perkhidmatan talian mudah alih dan jalur lebar di kawasan ini.
Untuk makluman kerajaan, dalam kancah era moden, kami berasa tersisih dengan dunia luar kerana kawasan kampung ini masih belum menerima kemudahan rangkaian telefon mudah alih.
Kami berasa cemburu dengan penduduk Kampung Kuala Medang dan Gugusan Felda Sungai Koyan yang sudah menikmati kemudahan berkenaan begitu lama dan selesa untuk berhubung dengan saudara-mara dan rakan di tempat lain.
Untuk makluman kerajaan negeri, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menziarahi penduduk Pos Betau dan kami memperoleh jaminan daripada seorang pegawai telekomunikasi bahawa Pos Betau akan diberi talian mudah alih iaitu pemasangan satu menara berkaitan tidak lama lagi.
Sampai sekarang janji berkenaan belum direalisasikan dan kami masih mengharapkan agar teknologi rangkaian telefon mudah alih itu boleh dinikmati sepenuhnya sebelum pilihan raya tidak lama lagi.
Sayugia dinyatakan, iaitu hampir 2,000 penduduk, termasuk remaja dan belia masing-masing mempunyai satu telefon selular, tetapi tidak dapat dimanfaatkan kerana tidak ada talian berkenaan.
Kami terpaksa ke pekan Sungai Koyan atau ke tempat tinggi yang agak jauh dari kampung kami untuk menikmati perhubungan rangkaian dan berkomunikasi dengan saudara mara dan rakan di tempat lain.
Inilah pengisian pembangunan yang kami tagih walaupun pemimpin setempat dan agensi kerajaan kerap kali berbicara soal penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tetapi pengetahuan berkenaan diibaratkan seperti 'mengajar si pekak membaca'.
Saya optimis jika menara telekomunikasi didirikan di Pos Betau sudah tentu perkhidmatan telefon mudah alih, talian jalur lebar khususnya kemudahan Internet memberi impak kepada anak cucu kami yang mempunyai notebook dapat mengkases maklumat ketika pulang bercuti dan membuat kerja sekolah.
Pun begitu, saya tidak nafikan kemudahan itu juga memberi manfaat besar kepada agensi kerajaan, iaitu Klinik Kesihatan, balai penghulu, sekolah, tadika dan orang perseorangan dapat menikmati akses komunikasi dengan lebih selesa.
Kemudahan itu juga dapat dinikmati oleh pemandu dan pengguna jalan raya dari Sungai Koyan ke Cameron Highlands yang melalui kawasan Pos Betau khususnya untuk meminta bantuan kecemasan ketika kemalangan atau kerosakan kenderaan semasa perjalanan.
Menerusi Rakan Pahang minggu ini, saya berharap kemudahan talian berkenaan dapat direalisasikan dengan pembinaan menara telekomunikasi untuk keperluan penduduk Orang Asli di Pos Betau dan kampung berhampiran.
Kami juga ingin menikmati transformasi pembangunan modal insan dan sosial kerajaan Barisan Nasional BN dan mencanai kemahiran ICT dalam kalangan penduduk dan anak Orang Asli yang mampu menjangkau zaman asalkan diberi peluang dan kemudahan tersebut.

No comments:

Post a Comment