Thursday, March 29, 2012

bantu orang asli

Bantu Orang Asli ubah kehidupan


Belia orang Asli yang terlibat dalam projek penternakan biri-biri Skim Agropolitan memberi makanan kepada biri-biri Dorper di Runchang, Pekan, Pahang. - UTUSAN/Mahathir Ali


PEKAN 28 Mac - Projek agropolitan merupakan sebuah projek sosioekonomi bersepadu yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
Matlamatnya adalah untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat miskin tegar di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Melalui aktiviti-aktiviti ekonomi yang dilaksanakan, para peserta projek dijangka mampu menjana pendapatan tetap di antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.
Salah satu projek Agropolitan yang kini sedang dilaksanakan ialah projek pembiakan biri-biri Dorper di Pusat Agropolitan Rancangan Penempatan Semula (RPS) Runchang di Pekan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Datuk Ishak Muhammad berkata, projek pembiakan biri-biri Dorper itu bertujuan membantu masyarakat Orang Asli untuk lebih berdaya saing, membolehkan mereka mempunyai pekerjaan tetap dan memperoleh pendapatan lebih baik.
Selain itu, katanya, projek tersebut juga bertujuan menjadikan Pekan sebagai lokasi pembiakan biri-biri Dorper dan menjadi hab pembiakan terbesar di Asia dengan populasi 25,000 biri-biri menjelang akhir 2015.
"Bertempat di Pusat Agropolitan RPS Runchang, hab pembiakan biri-biri Dorper itu nanti bakal menjana aktiviti-aktiviti berkaitan seperti pemprosesan daging, baja organik dan barangan kulit.
"Kini terdapat 95 unit pengeluaran haiwan (APUs) bagi biri-biri Dorper untuk menampung jumlah keseluruhan ternakan di bawah projek Agropolitan Pekan.
"Para peserta iaitu Orang Asli di kawasan ini (RPS Runchang) dijangka menjana pendapatan tambahan antara RM750 hingga RM1,200 sebulan," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sijil projek Agropolitan ECER dan penyerahan biri-biri Dorper kepada 72 Orang Asli di Pusat Agropolitan RPS Runchang di sini baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, seramai 72 lagi Orang Asli menyertai skim Agropolitan di bawah ECER di Runchang itu susulan tambahan 1,800 biri-biri Dorper dari Australia, menjadikan kini 102 peserta terlibat berbanding 30 orang sebelumnya.
Sehingga kini, projek Agropolitan di Runchang menunjukkan kemajuan yang baik dan kumpulan pertama projek tersebut telah menerima insentif serta bonus hasil daripada lelongan biri-biri tersebut.
Pada tahun pertama, para peserta di kalangan keluarga berpendapatan rendah dan keluarga Orang Asli yang terlibat dalam projek di Runchang itu telah berjaya memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM750 sebulan.
Daripada lelongan pertama biri-biri Dorper yang berlangsung pada bulan Ogos 2010, jumlah jualan mencecah RM265,550 dan setiap peserta telah menerima insentif bonus tambahan sebanyak RM500.

Wednesday, March 28, 2012

karnival pendidikan mara

25,000 kunjungi Karnival Pendidikan Mara di Pahang


RIBUAN pengunjung membanjiri Karnival Pendidikan Mara 2012 peringkat negeri Pahang bagi mendapatkan maklumat berhubung peluang pendidikan dan kerjaya di Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 27 Mac - Karnival Pendidikan Mara 2012 peringkat negeri yang berakhir semalam mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 25,000 pengunjung membanjiri karnival itu di Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini.
Pengarah Mara negeri, Salemi Yusof berkata, karnival yang diadakan selama dua hari itu memberi tumpuan kepada pelajar khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang baru mendapat keputusan peperiksaan.
"Melalui penganjuran ini, pihak Mara bukan sahaja memberi peluang untuk pelajar mencari laluan pendidikan malah yang ingin mencari kerja juga berpeluang kerana terdapat agensi pekerjaan serta institusi pendidikan yang mengambil bahagian.
"Menariknya, karnival ini turut memberi bimbingan kepada mereka tentang bidang yang bersesuaian yang ingin mereka ceburi demi masa depan yang lebih terjamin," katanya di sini, baru-baru ini.
Beliau memberitahu, Mara akan mengambil inisiatif dengan mengadakan karnival di daerah-daerah bagi memudahkan golongan belia khususnya mereka yang tinggal di luar bandar agar tidak keciciran untuk mendapatkan maklumat tentang kerjaya.
"Kita sedar, tempoh dua hari tidak mencukupi bagi mereka terutama lepasan SPM dan SPTM mendapatkan maklumat mengenai institusi pengajian tinggi pilihan mereka lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
"Oleh itu kita akan adakan program seumpama ini di daerah-daerah terutamanya luar bandar bagi membolehkan pelajar ini mendapat maklumat mengenai kerjaya masa depan mereka," jelasnya.

Friday, March 23, 2012

apa da lari ikut jantan ckap kena culik

Polis kesal kehilangan anak gadis disifatkan satu penculikan
23/03/2012 9:25pm

KUALA LUMPUR 23 Mac – Polis kesal dengan sikap sesetengah ibu bapa yang menyifatkan kehilangan anak gadis mereka satu penculikan sedangkan ia sebenarnya tindakan melarikan diri dari rumah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kes sedemikian bukan satu jenayah tetapi merupakan masalah sosial yang berpunca daripada kegagalan institusi kekeluargaan.

"Sebelum ini, kita dapat kes yang menyatakan kononnya ada anak gadis yang diculik, tetapi sebenarnya apabila disiasat, mereka bukanlah diculik sebaliknya keluar rumah dan ikut teman lelaki sebelum kembali semula ke pangkuan keluarga.

"Kerana gagal menguruskan institusi kekeluargaan, ia membawa kepada masalah sosial hari ini,” katanya kepada pemberita selepas acara turun padang bersama masyarakat di Berjaya Times Square hari ini.

Ismail berkata, bagaimanapun, polis tetap memandang serius kes itu dan berusaha mendapatkan maklumat sehingga menjumpai mangsa.

Beliau berkata, meskipun ia masalah sosial, polis tetap sedia memberi kerjasama bagi membendung penularan kejadian seperti itu. – BERNAMA

Thursday, March 22, 2012

eksiden

Dua maut, seorang parah
Wartawan Sinar Harian
22 Mac 2012
Dua maut, seorang parah
TRIANG – Dua maut dan seorang cedera parah apabila kereta dinaiki tujuh sekeluarga terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Kilometer 34 Jalan Temerloh – Bahau, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, kejadian berlaku pada jam 12.05 pagi semasa keluarga itu menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara dalam perjalanan dari arah Bahau ke Paloh Hinai, Pekan.
Menurutnya, kereta itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di sebelah kanan jalan menyebabkan dua penumpang mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Mereka dikenali sebagai Sadan Pendek, 36 dan Subia Lidin, 12, yang beralamat di Kampung Runchang, Pekan.
“Sementara itu, pemandu, Kassim Law, 20, kritikal berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian, kaki, muka serta badan dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas).
“Penumpang lain pula cedera ringan dan masih menerima rawatan di hospital sama. Keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mereka yang cedera ialah Rosnani Lidin, 15; Adila Adi, 16; Rosnita Lidin, 13 dan Kitie Mail, 13.
Mohd Zahid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Triang, Zamri Sidek berkata, tugas menyelamat dan mengeluarkan mangsa tersepit mengambil masa lebih kurang 15 minit.
Menurutnya, seramai tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian apabila menerima panggilan orang awam.
Menurutnya, anggota terbabit terpaksa menggunakan peralatan menyelam

Tuesday, March 20, 2012

akibat tidak daftar dengan cidb

35 kontraktor diberhentikan

Oleh ZAMZURINA AHMADzamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 19 Mac - Sebanyak 35 kontraktor di negeri ini yang mengendalikan projek bernilai antara RM500,000 hingga RM50 juta terpaksa diberhentikan tahun lalu kerana tidak berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Pengarah CIDB Pahang, Suhaimi Mansor berkata, kebanyakan kontraktor sama ada yang utama atau subkontraktor dikenakan tindakan tersebut setelah gagal berdaftar dengan CIDB walaupun telah diberikan notis.

"Daripada jumlah itu, sebanyak lima kontraktor dihadapkan ke mahkamah kerana masih menjalankan operasi walaupun tindakan diambil.

"Ini kerana, menurut Seksyen 25 Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520) tidak membenarkan sesiapa menjalankan dan menyiapkan apa-apa kerja pembinaan melainkan ia berdaftar dengan CIDB," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Operasi Penguatkuasaan Bersepadu bersama agensi kerajaan seperti Majlis Perbandaran Kuantan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurut Suhaimi, setiap kontraktor perlu berdaftar bagi memastikan mereka yang melaksanakan kerja-kerja pembinaan mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan kerja tersebut.

"Jika gagal mematuhinya mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 dan menghadapi risiko projek pembinaan dihentikan serta-merta," jelasnya.

Sementara itu katanya, program yang pertama kali diadakan dengan kerjasama agensi kerajaan ini bertujuan memudahkan pihak kontraktor untuk memahami prosedur berkaitan penguatkuasaan di dalam industri pembinaan.

"Selain mewujudkan kerjasama strategik, ia merupakan satu landasan untuk menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan kepada penggiat industri dengan komprehensif dan optimum," jelasnya.

mau pampasan

Rayu kerajaan bayar pampasan
Wartawan Sinar Harian
20 Mac 2012
Rayu kerajaan bayar pampasan
TEMERLOH - Seramai 30,000 ahli Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buroh Binaan Landasan Kereta api Siam ke Burma 1942-1946 merayu kerajaan membayar wang pampasan yang sepatutnya.
Pengerusinya, Kamarulzaman Salleh berkata, permohonan tersebut sudah dipohon sejak 1954 bertujuan membela nasib bekas buruh paksa dan hamba seks semasa perang kedua.
Menurutnya, dikatakan wang pampasan itu sudah dibayar oleh kerajaan Jepun dan sepatutnya mangsa ini menerima pampasan masing-masing.
“Difahamkan juga kerajaan Jepun sudah membayar pampasan itu kepada rakyat negara lain di Asia Tenggara seperti Filipina, Indonesia dan sebagainya. Mangsa di negara itu sudah menerima wang pampasan mereka.
“Sudah 58 tahun persatuan ini memperjuangkan hak mangsa buruh paksaan ini namun hingga kini masih belum ada tanda-tanda atau ura-ura kerajaan mahu membayarnya,” katanya.
Kamarulzaman berkata, dalam hal ini pihaknya sudah membuat banyak kali mesyuarat agung dan menghantar surat kepada beberapa Perdana Menteri.
Menurutnya, pihaknya juga sudah membawa perkara ini kepada Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia.
“Kami harap perkara ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Apa yang menyedihkan ada mangsa buruh ini yang menanti wang pampasan itu hingga akhir hayat. Mereka mahu merasa wang itu untuk menunaikan haji dan umrah.
“Waris pula mahu menggunakan wang itu untuk membuat haji kepada mangsa buruh paksaan itu,” katanya.
Timbalan Pengerusinya, Alias Ismail berkata, daripada penceritaan arwah abangnya, Adam Ismail yang merupakan salah seorang buruh paksa itu menyebabkan dirinya begitu sedih kerana mangsa diperlakukan seperti binatang dan tanpa ada belas kasihan.
Beliau berkata, difahamkan seramai 72,000 rakyat Malaysia yang dihantar ke Burma dan hanya 30,000 yang selamat pulang ke tanah air manakala seramai 20,000 wanita menjadi hamba seks.
Menurutnya, kira-kira 42,000 orang buruh paksa yang berusia awal 20an dan belasan tahun hilang dipercayai meninggal dunia di sana.
“Mangsa buruh paksa ini dipaksa membina landasan api sejauh 415 Kilometer (KM) bermula stesen Tha Rua Noi hingga ke stesen Thanbyuzayat yang meliputi 60 perhentian stesen.
“Pecahan mengikut kaum mendapati Melayu sebanyak 60 peratus, India 20 peratus, Cina dengan 15 peratus dan lima peratus lagi lain-lain kaum,” katanya.

Thursday, March 15, 2012

jerantut uptown

Uptown Jerantut tarikan baru


Sekumpulan penari pelbagai kaum mempersembah tarian 1Malaysia dan joget kepada pelancong sempena pelancaran Uptown Jerantut di Jalan Tahan, Bandar Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 14 Mac - Bandar Jerantut yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara Kuala Tahan di sini menambah satu lagi produk baru pelancongan berkonsepkan pasar malam sekali gus dapat menjana ekonomi dan pendapatan tambahan peniaga kecil di daerah itu.
Pelancaran Uptown Jerantut yang bermula di Jalan Tahan sehingga ke laluan Stesen Keretapi Jerantut di bandar itu menjadi salah satu produk pelancongan berkonsep laluan beli-belah.
Perancangan Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dalam melaksanakan aktiviti secara tidak langsung menghidupkan suasana malam dengan pelbagai kemudahan rekreasi dan hiburan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, produk pelancongan baru itu memberi keselesaan kepada pengusaha kecil menjana pendapatan menerusi kira-kira 100 lot niaga di situ.
"Jenama Tahan Street dan Uptown mampu memacu impak yang baik bukan sahaja dalam bidang ekonomi setempat tetapi berupaya meningkatkan kehadiran pelancong Barat dan domestik ke daerah ini.
"Persinggahan mereka semakin ramai menyebabkan MDJ membuka dimensi baru, iaitu melaksanakan sebuah kawasan berkonsepkan rekreasi untuk menghidupkan bandar itu pada waktu malam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, MDJ juga memberi peluang kepada seramai 50 usahawan tempatan merintis jualan pelbagai jenis cenderamata, pakaian dan makanan tempatan untuk pengunjung pada setiap malam.
Lee berkata, konsep 'uptown' di bandar itu masih bercirikan tempatan apabila MDJ juga membina Dataran Mat Kilau, pentas budaya dan pusat penerangan pelancong asing.
Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Mohamad Roslan Harun berkata, produk tempatan yang diperkenal adalah antara langkah membantu memberikan nilai tambah kepada imej sedia ada bandar Jerantut sebagai lokasi persinggahan pelancong dari seluruh dunia.
"Kini, pelancong yang singgah ke sini dapat melihat suasana waktu malam dengan pelbagai kegiatan di bandar ini termasuk menikmati kemudahan rekreasi yang disediakan membabitkan peruntukan kira-kira RM1 juta," katanya.

Monday, March 12, 2012

bandar melayu terulung

Impian warga Felda tercapai


Gambaran pelukis Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu Wilayah Ekonomi Pantai Timur bernilai RM10 juta yang sedang dibina di Bandar Tun Abdul Razak Jengka.


MARAN 12 Mac - Bandar Tun Abdul Razak, Jengka di sini yang menjadi kebanggaan orang Melayu Pahang khususnya warga Felda terus melonjak maju setanding dengan bandar lain berikutan beberapa projek bernilai RM250 juta sedang rancak dibangunkan di lokasi tersebut.
Salah satu projek yang dinantikan warga peneroka ialah Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu Wilayah Ekonomi Pantai Timur bernilai RM10 juta yang sedang dalam pembinaan sekali gus bakal menjadi mercu tanda baru bandar Melayu terulung di negeri ini.
Projek yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu itu kini sudah kira-kira 35 peratus pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada 17 November ini.
...

Sunday, March 11, 2012

rampas triang

Ismail Sabri: BN Bera perlu kerja lebih kuat untuk tawan semula DUN Triang

12 Mac 2012
Ismail Sabri: BN Bera perlu kerja lebih kuat untuk tawan semula DUN Triang
BERA - Parti komponen Barisan Nasional (BN) kawasan Bera perlu bekerja lebih keras mendekati rakyat dan mengetepikan hal remeh bagi menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Triang pada pilihan raya umum akan datang.
Anggota Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata BN Bera perlu merampas kerusi DUN itu yang telah dipegang DAP selama lima penggal.
"BN tidak kira siapa calon pembangkang, matlamat kita merampas kembali kerusi itu.
Saya yakin jika semua komponen BN terdiri daripada Umno, MCA, Gerakan, MIC bersepadu kita boleh menang.
"DUN Triang 70 peratus pengundi Cina, 24 peratus Melayu dan baki lain lain tidak menjadi halangan untuk BN menang jika semua anggota bersatu dan bekerja keras sekali gus merampas semula kerusi DUN Triang itu," katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu berkata demikian ketika berucap merasmikan kursus ejen mengundi kepada 400 anggota jentera pilihan raya komponen BN di Kompleks Rakan Muda, di sini semalam.
Ismail Sabri berkata BN Bera harus mengambil peluang daripada peningkatan sokongan pengundi kepada kerajaan BN untuk menawan semula DUN Triang.
"Walaupun sebahagian besar rakyat kawasan Triang berketurunan Cina, namun sokongan mereka terhadap BN kini semakin meningkat, lebih-lebih lagi apabila kerajaan berjaya membuktikan kaedaan ekonomi negara yang semakin stabil. Perubahan serta sokongan masyrakat Cina terhadap BN  telah dapat diterjemahkan apabila semakin ramai masyarakat tersebut mengikuti ceramah, penerangan serta dailog yang dianjurkan BN sejak akhir-akhir ini yang mendapat sambutan," katanya. - Bernama

mau roboh bangunan

Bangunan terbiar perlu diroboh
ZAIRUL AFIZA HAMZAH
12 Mac 2012
Bangunan terbiar perlu diroboh
TEMERLOH - Bangunan terbiar berdekatan belakang bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dekat sini, perlu dirobohkan ekoran mengundang pelbagai kesan negatif.
Kakitangan swasta, Hairudin Mohd Ali, 27, berkata, bangunan yang terletak berdekatan dengan Dewan Tun Razak itu juga dipercayai kuarters lama yang kini sudah tidak berpenghuni.
Menurutnya, apa yang lebih membimbangkan, kawasan tersebut juga dipenuhi semak samun sekali gus menjadi habitat serangga berbisa.
“Lokasi ini sering jadi tumpuan orang ramai memandangkan ia terletak berdekatan dengan dewan utama. Selain mencacatkan pemandangan, orang ramai bimbang sekiranya diserang haiwan berbisa seperti ular,” katanya.
Hairudin berkata, orang ramai mencadangkan supaya bangunan tersebut dirobohkan dan kawasan lapang itu dijadikan sebagai kawasan letak kereta.
“Daripada terbiar begitu sahaja, adalah lebih baik sekiranya kuarters lama tersebut dirobohkan dan tapak bangunan lama itu dijadikan kawasan letak kenderaan. Lagipun, sekiranya terdapat program di dewan utama itu, masalah parkir kerapkali menjadi isu utama kerana ketiadaan tempat untuk meletakkan kenderaan,” katanya.
Dia berkata, orang ramai minta pihak bertanggungjawab supaya memantau keadaan di situ dan memastikan bangunan terbiar itu diambil tindakan segera demi kebaikan bersama.

sungai kenong

Sungai Kenong tarikan terbaru pelancong ke Lipis


KEINDAHAN landskap gua batu kapur di sepanjang Sungai Kenong bakal menarik pelancong ke kawasan berkenaan di Lipis.


KUALA LIPIS 11 Mac - Sungai Kenong yang terletak di selatan Taman Negara dilihat mampu menarik pelancong asing ke kawasan berkenaan kerana ia mempunyai landskap gua batu kapur yang indah.
Menyedari hakikat itu, perkhidmatan bot telah disediakan di Jeti Kiara, Sungai Kenong bagi memudahkan pelancong menyusuri sungai berkenaan yang memakan masa selama 30 minit.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Kenong, Abdul Rahman Bilal Endil (gambar) dengan bayaran sebanyak RM30, perkhidmatan bot tersebut membolehkan penduduk sekitar menambah pendapatan mereka.
Melalui perkhidmatan bot itu, pelancong berpeluang melintasi di bawah gua batu kapur yang diberi nama Gua Bukit Tinggi dan Gua Batu Kajang yang juga menjadi 'rumah' kepada kelawar.
...

Saturday, March 10, 2012

mentakab banjir

Banjir kilat kerap berlaku
Wartawan Sinar Harian
10 Mac 2012
banjir kilat
MENTAKAB – Lebih 20 keluarga di Taman Rimba di sini terpaksa berhadapan dengan kerugian setiap kali hujan lebat berikutan berlaku banjir kilat sejak lebih lima tahun lepas akibat kawasan kediaman mereka yang rendah.

Menurut penduduk, masalah itu juga berpunca daripada longkang yang terlalu kecil dan keadaan bertambah teruk apabila sebuah kompleks membeli belah dibina di kawasan kediaman mereka.


Mangsa banjir rugi lebih RM2,000

Sobaratul Kadri Ab Aziz, 42, berkata, kawasan kediaman yang sering dinaiki air akibat hujan lebat adalah ­jalan Inai, Mengkudu dan Selasih membabitkan lebih 20 rumah.

Menurutnya, mereka terpaksa menanggung rugi ekoran perabot dan mesin basuh sering kali rosak apabila berlaku hujan lebat lebih setengah jam.

“Terbaru, saya kerugian lebih RM2,000 apabila air masuk ke dalam rumah menyebabkan mesin basuh dan perabot tidak dapat digunakan lagi,” katanya.

Tan Cheng Sui, 66, berkata, dulu air masuk ikut pintu belakang rumah tetapi sejak pembinaan kompleks membeli belah air longkang dari se­luruh taman masuk dari kedua-dua arah depan dan belakang.

“Kami sudah tidak tahan dengan keadaan begini kerana terpaksa menanggung rugi setiap kali hujan lebat dan menggesa Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) melakukan sesuatu,” katanya.

Lee Ang Aun, 46, berkata, keadaan bertambah buruk sejak setahun lepas apabila longkang di tepi jalan utama bersebelahan kompleks beli belah itu runtuh dan pecah ketika kerja binaan dilakukan menyebabkan aliran air semakin tersekat.

“Kami tidak tahu nak buat macam mana lagi kerana sentiasa rugi setiap kali berlaku hujan lebat,” katanya kepada Sinar Harian.

Chow Thin Sang, 67, mendakwa terpaksa membelanjakan duit poket sendiri bagi membina tembok di hadapan dan belakang rumah bagi menyekat aliran air masuk.

“Saya pernah rugi RM2,000 tahun lepas akibat banjir kilat ini,” katanya.


PBT perlu kaji secara teliti

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lanchang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat kajian teliti terutama berkaitan dengan potensi banjir sebelum meluluskan sesuatu kawasan bagi melaksanakan projek perumahan dan pembangunan kepada pemaju hartanah.

Mohd Sharkar berkata, terdapat beberapa kawasan perumahan di daerah ini yang terdedah kepada banjir.

Menurutnya, Taman Rimba dan Taman Mentakab Indah adalah antara kawasan yang mudah dinaiki air apabila berlaku hujan lebat kerana ia dibina di kawasan rendah dan terdedah kepada banjir.

“Ia menyebabkan penduduk terpaksa menanggung penderitaan dan berpindah ke pusat pemindahan sementara setiap kali hujan terutamanya musim tengkujuh.

“Adalah tidak adil kepada mereka yang terpaksa menanggung kerugian apabila barangan keperluan rumah seperti peralatan elektrik dan perabot rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat dan menyampaikan bantuan kepada 47 mangsa banjir kilat dari Taman Mentakab Indah dan Taman Rimba, di sini.

Selain itu, beliau menggesa PBT memastikan pemaju perumahan melaksanakan tanggungjawab mereka membina sistem perparitan mengikut spesifikasi yang betul termasuk membina tembok menahan banjir di kawasan berpotensi dinaiki air.

Menurutnya, banjir kilat yang berlaku di Taman Rimba tiga hari lepas berpunca daripada kerja pembinaan kompleks membeli-belah di kawasan itu apabila pemaju tersebut tidak membuat saluran betul bagi membolehkan air ­mengalir apabila hujan lebat.

Beliau berkata, jika PBT mengambil mudah masalah tersebut ia akan menyebabkan kerajaan dan agensi itu sendiri menanggung beban serta dipersalahkan rakyat yang terbabit dengan banjir.

“Mereka akan mempersalahkan PBT kerana tidak menyelenggarakan kawasan kediaman mereka dengan baik sedangkan pemaju boleh lepas tangan,” katanya.

pustaka baru

Bangunan baru Perpustakaan Negeri siap 2014
Wartawan Sinar Harian
11 Mac 2012

KUANTAN- Bangunan baru Perpustakaan Negeri yang dibangunkan berkonsepkan bangunan pintar dengan penggunaan teknologi hijau dijangka siap dan dibuka sepenuhnya kepada pengunjung 2014.
Bangunan setinggi tiga tingkat itu bakal dibina atas tanah seluas 1.618 hektar di Kemunting di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob berkata, bangunan baru yang serba canggih dengan keluasan lantai 12,000 meter persegi itu akan menggantikan bangunan Perpustakaan Negeri sedia ada lama di Jalan Gambut di sini.

Menurutnya, bangunan Perpustakaan Negeri yang sedia ada sudah uzur dan digunakan sejak 1956.

“Asalnya bangunan papan itu merupakan pejabat Dewan Undangan Negeri sebelum diserahkan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang (PPAP) ,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya selepas hadir merasmikan Karnival Buku Pahang 2012, anjuran PPAP di Dewan Pameran, Hotel Zenith di sini, semalam.

Adnan berkata, dengan siapnya bangunan baru itu, pengunjung dapat menggunakan kemudahan itu dengan lebih selesa manakala koleksi bahan bacaan juga dapat dibekalkan dengan jumlah lebih banyak berbanding hanya 200,000 naskah di perpustakaan negeri kini.

Majlis turut dihadiri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Induk Karnival Buku Pahang 2012, Datuk Shahaniza Shamsuddin, Exco Pelancongan, Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Pengarah PPAP, Faridzah Jaafar.

curi air ka

Syarikat kontraktor curi air
M FEISAL NORAWI
11 Mac 2012
Cuai
TEMERLOH – Sebuah syarikat kontraktor di negeri ini didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen Temerloh minggu lalu selepas mengaku salah mencuri air untuk kerja pembinaan sebuah bangunan di kawasan perindustrian Temerloh.
Ketua Unit Komunikasi Korporat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Lionel Lim berkata, syarikat itu menjadi entiti komersial pertama di negeri ini yang didenda atas kesalahan mencuri air.

Menurutnya, keputusan itu dibuat Hakim Dazuki Ali setelah mengambil kira pengakuan bersalah syarikat kontraktor berkenaan serta faktor mitigasi yang dikemukakan, syarikat itu didenda sebanyak RM14,000 atau dua bulan penjara. 

Bagaimanapun, wakil syarikat tersebut menjelaskan denda sebaik sahaja sesi perbicaraan tamat.

“Kes ini dibicarakan di bawah Seksyen 123, Akta Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) di mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau satu tahun di penjara atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam kenyataan media dikeluarkan Lionel berkata, syarikat tersebut didapati membuat satu sambungan tidak sah ke sesalur utama milikan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang, kini Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) semasa satu serbuan dilakukan SPAN dua tahun lalu.

Beliau berkata, serbuan mengejut itu dibuat bersama pegawai JBA Pahang pada 26 April 2010 di sebuah tapak projek pejabat pembinaan di Taman Perindustrian Temerloh, Mentakab, Pahang.

“Siasatan lanjutan pegawai SPAN menunjukkan satu “tapping” tidak sah sedang aktif dibuat pada paip 400 mm “high density polyethylene” (HDPE) kepunyaan JBA Pahang dan air yang sedang dicuri diguna untuk kerja-kerja pembinaan dan ia tidak melalui meter yang sah.

Menurutnya, kes tersebut disebut buat kali pertama minggu lepas di mahkamah berkenaan dan wakil kontraktor tersebut mengambil keputusan untuk mengaku salah. 

Pada tahun lepas, terdapat satu lagi kes kecurian air yang dicatat di Pahang tetapi ia melibatkan seorang individu.

Menurutnya, SPAN juga telah membawa dua kes lain ke mahkamah di Seremban di mana dua syarikat pembinaan, dijatuhi hukuman dan didenda RM10,000 serta RM11,000 (atau tiga bulan penjara bagi kedua-duanya).

lega sakit bila menteri datang

Terkedu terima ziarah menteri
Wartawan Sinar Harian
11 Mac 2012
KUANTAN - Mangsa kemalangan, Noor Wahidah Abdul Wahab, 16 tidak menyangka nasib malang yang menimpanya sehingga menyebabkan dia terlantar di hospital mendapat perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Menurut pelajar tingkatan 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Selendang, Rompin itu, dia amat terharu dan bangga kerana pemimpin tersebut sanggup menjenguk dan mengambil tahu perkembangannya selepas terlibat dalam kemalangan bersama guru dan tiga rakannya, 6 Mac lalu.

“Kesakitan yang saya alami seolah-olah reda seketika setelah menerima kunjungan Datuk Seri (Ismail) dan rombongannya tadi (semalam),” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan pemimpin itu di Wad 2A, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, semalam.

Noor Wahidah berkata, kunjungan bersejarah itu bukan sahaja menggembirakan hatinya malah menyuntik semangat baru untuk dia belajar dengan lebih tekun demi mencapai cita-citanya.

“Buat masa ini saya terpaksa menerima rawatan dan perlu banyak berehat atas nasihat doktor.

“Saya akan kembali semula ke sekolah sebaik kecederaan pada kaki ini sembuh sepenuhnya,” kata pelajar yang aktif sejak tingkatan 1 dalam Persatuan Pengguna.

Menceritakan semula kejadian yang menimpanya beberapa hari lalu, Noor Wahidah berkata, dia dan tiga rakan serta seorang guru dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Pontian Jaya, Johor untuk menghadiri satu program.

Menurutnya, mereka bertolak dari sekolah menaiki kereta yang dipandu guru itu namun kira-kira 20 kilometer perjalanan mereka, kenderaan yang dinaiki hilang kawalan dan terbabas.

“Akibat kejadian itu, kami semua mengalami kecederaan dan dihantar ke HTAA serta Hospital Pekan untuk menerima rawatan.

“Salah seorang rakan yang turut menerima rawatan di sini (HTAA), Shahirah Zaroni, 16 disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya yang patah kaki kanan akibat kemalangan itu.

Ibunya, Fauziah Mat Noor, 47 berkata, dia berbesar hati kerana menteri itu sanggup meluangkan masa melawat anaknya,” katanya.

Dalam kunjungan itu, Ismail mendengar penjelasan doktor mengenai keadaan pelajar itu dan turut menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga itu.

ambil anak angkat

LKPIM ambil dua anak angkat
Wartawan Sinar Harian
11 Mac 2012
LKPIM
KUANTAN - Biarpun keadaan rumah kian usang dan sempit namun bagi 12 penghuni yang tinggal di Kampung Baru di sini tetap tabah menjalani kehidupan seharian walaupun serba sederhana.
Itu yang dialami bagi seorang ibu tunggal, Rahmah Mamat, 49, yang kehilangan suaminya sejak enam tahun lalu hidup bersama tujuh anak dan empat cucunya di rumah tersebut.

Menurutnya, keadaan bertambah perit selepas dia sendiri tidak dapat bekerja sebagai tukang masak sejak tiga tahun lalu kerana penyakit semput dan jantungnya yang membatasi dirinya mencari rezeki.

“Kini selain mengharapkan bantuan anak-anak dan bekas menantu, jiran dan penduduk kampung di sini banyak membantu kami anak-beranak.

“Selain itu, bantuan bulanan sebanyak RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digunakan secermat mungkin untuk perbelanjaan harian,” katanya.

Rahmah ditemui ketika kunjungan Lembaga Kemajuan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Pahang Cawangan Perkampungan Sekilau di sini, semalam yang diketuai Pengerusinya, Rashidah Osman.

Hadir sama, Timbalan Pengerusinya yang juga Pengerusi Biro Pendidikan, Habibah Mahayudin dan Bendaharinya, Fatimah Rohana Liki.

Dalam kunjungan itu, keluarga tersebut menerima bantuan bekalan harian dan wang tunai daripada LKPIM cawangan terbabit.

Rahmah berkata, dia terharu kerana nasibnya turut mendapat perhatian dan berterima kasih kepada LKPIM tersebut kerana peka dengan kesukaran yang dihadapi mereka.

Sementara itu, Habibah memberitahu, dua anak Rahmah iaitu,Siti Nurhafika, 12 dan Mohd Khairul Hafizi Razak, 7 dijadikan anak angkat cawangan tersebut.

Menurutnya, perkembangan pendidikan kedua-duanya yang juga murid Sekolah Kebangsaan Abdullah akan didibantu dari semasa ke semasa.

“Ini adalah aktiviti julung kalinya bagi tahun ini dan kita akan memastikan keperluan kedua-dua mereka ini akan diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu bagi Siti Nurhafika ketika ditemui berkata, dia gembira kerana dia dapat belajar dengan lebih selesa dan tidak terlalu risau dengan masa depannya dan bertekad untuk mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal didudukinya pada tahun ini.

“Saya akan membalas jasa yang diberikan dan berhasrat menjadi seorang doktor haiwan dan merubah nasib keluarga untuk masa depan lebih cerah,” katanya.

masih pakai titi

Rombongan pengantin guna titi
ROSILAWATI ROSEDI
11 Mac 2012
Titi
KUANTAN - Hari bersejarah buat pasangan pengantin baru, Nuraifidah Abdullah, 25 dan Hafiz Hakim Hakim Hassan, 26 di Kampung Sungai Darat di sini sedikit terjejas semalam berikutan kawasan rumah mereka dikelilingi air akibat masalah longkang yang tidak dapat menampung aliran air sejak tiga minggu lalu,
Kira-kira 2,000 tetamu di Kampung Sungai Karang Darat di sini terpaksa menempuh kesulitan meniti jamban kayu sementara lebih 12 meter yang dibina semalam.

Abang pengantin, Zulkifli Abdullah, 29 berkata, jambatan sementara itu terpaksa dibina bagi memastikan tetamu dapat menghadiri kenduri perkahwinan adiknya walaupun mungkin dalam suasana kurang selesa.

Menurutnya, dia dan penduduk sekitar membantu menyiapkan jambatan kayu itu lebih dua jam.

“Nak tak nak kami terpaksa bina jambatan ini untuk memastikan tetamu dapat pergi walaupun kenduri ini juga terpaksa beralih ke rumah saudara-mara berhampiran.

“Bagi penduduk kampung ini, mungkin faham dengan situasi yang dialami namun ini saja alternatif terbaik untuk atasi masalah ini,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati tetamu terpaksa menunggu giliran untuk meniti jambatan tersebut.

Laporan Sinar Harian semalam menyiarkan keresahan 20 pemilik rumah di kampung terbabit kerana longkang dari perumahan baru tidak dapat menampung aliran yang mengakibatkan kawasan rumah mereka digenangi air.

Ia menyebabkan bau busuk terhasil daripada longkang tersebut dan tampah parah, air akan memasuki ruang tamu beberapa buah rumah selepas hujan selain menyukarkan perjalanan keluar masuk penghuni rumah.

Thursday, March 8, 2012

buang sampah merata

Buang sampah di lereng bukit
Wartawan Sinar Harian
8 Mac 2012
sampah dilereng bukit
KUANTAN – Beberapa penduduk di Indera Mahkota Dua di sini kesal dengan sikap segelintir penduduk yang mengamalkan sikap tidak bertanggungjawab membuang sampah di kawasan lereng bukit berhampiran hutan di sini.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Hamzah berkata, keadaan ini sudah berlanjutan hampir beberapa tahun dan sehingga kini belum ada usaha membanteras sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

Menurutnya, kawasan itu merupakan jalan utama digunakan penduduk di sini termasuklah pelajar untuk ke sekolah.

“Ia turut mencemarkan imej kawasan ini dengan sampah berlonggok dan berbau busuk. Saya kesal kerana bukan tidak ada lori mengangkut sampah, tetapi tanpa kesedaran sivik, masih ada yang mengamalkan sikap seumpama ini.

“Selain itu, longgokan sampah ini menjadi tempat haiwan seperti biawak dan kera datang yang mana menambahkan lagi imej buruk di ini,” katanya.

Seterusnya, beliau menjelaskan laluan tersebut merupakan laluan untuk murid dan pelajar yang sering dilalui awal pagi dan petang.

Hamzah berkata, dia risau jika keadaan sampah itu boleh menyebarkan penyakit berbahaya seperti denggi.

“Kawasan kotor boleh menyebabkan penularan pelbagai penyakit.

“Sehubungan itu, saya harap masalah ini dapat perhatian pihak berwajib dan jika perlu mereka yang membuang sampah ini dikenakan denda sebagai tauladan agar tidak berbuat demikian,” katanya.

Pihak bertanggungjawab diharap dapat membersihkan kawasan ini supaya tiada individu lain terus membuang sampah.

Saturday, March 3, 2012

jba jadi paip

1,279 setuju bersama Paip
Wartawan Sinar Harian
3 Mac 2012

BENTA - Seramai 1,279 pegawai dan kakitangan Jabatan Bekalan Air Pahang (JBAP) memilih untuk bersetuju bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) setelah syarikat itu dikorporatkan pada 1 Februari tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengang-kutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata, seramai 53 penjawat pula memilih bersara termasuk ditamatkan kontrak atas persetujuan sendiri.

“Paip menawarkan pelbagai kemudahan kepada pegawai dan kakitangan berkenaan iaitu gaji kompetitif termasuk elaun perumahan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta prasyarat munasabah,” katanya selepas menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada seramai 124 penduduk di Sekolah Menengah Teknik Lipis, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan kakitangan JBAP setelah perjanjian pengkorporatan antara Kerajaan Negeri dan Paip ditandatangani, baru-baru ini.

Mohd Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benta berkata, Kerajaan Negeri mengambil kira semua aspek pengkorporatan termasuk kebajikan pegawai dan kakitangan supaya mereka dapat bertugas dengan lebih selesa dan memberi perkhidmatan penuh integriti.

“Isu pengkorporatan bekalan air di negeri ini sudah selesai dan tidak wajar diuar-uarkan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

“Sehubungan itu, saya minta wakil rakyat bersama JBAP menerangkan kepada penduduk mengenai kerelevanan pengkorporatan jabatan itu,” katanya.

Menurutnya, tujuan pengkorporatan supaya Paip dapat meningkatkan kecekapan operasi dengan memberi fokus kepada peningkatan hasil seperti mengurangkan air tanpa hasil, mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan dan kutipan.

tipu orang asli

Tindakan licik dua wanita cantik
Wartawan Sinar Harian
3 Mac 2012
Sebahagian-daripada-mangsa-tipu-menunjukkan-emas-mereka-yang-disadur-oleh-ketia-tiga-suspek-dipercay
KEDAIK, ROMPIN – Gara-gara hanya mahu mencuci emas serendah RM2, seramai kira-kira 20 suri rumah dari Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kampung Orang Asli Kedaik, di sini, ditipu ‘tukang celup emas’ yang datang dari rumah ke rumah penduduk.

Modus operandi yang dilakukan sindiket itu sungguh licik dengan mendakwa mereka dari negara China serta tidak pandai berbahasa Melayu dan mahu menolong penduduk mencuci emas dengan tawaran harga yang rendah.

Bagaimanapun, penduduk yang ‘termakan janji manis’ dua wanita dan seorang lelaki dipercayai warga China itu, terkejut besar apabila mendapati emas yang disadur bertukar warna serta kandungan emasnya jauh menyusut daripada nilai asalnya.

Kesemua penduduk yang ditipu sindiket terbabit dianggarkan mengalami kerugian lebih RM50,000 dalam sekelip mata sahaja apabila kehadiran tetamu asing yang tidak diundang itu menyebabkan mereka kini hidup dalam tekanan.


Alami kerugian hampir RM20,000

Sarimah Ada, 32, berkata, kesemua emas yang disimpannya itu diserahkan kepada warga asing tersebut kononnya mahu mencuci emasnya bagi mengembalikan warna emas yang lebih berkilat.

Namun, sangkaannya untuk melihat emasnya kembali kilat jauh meleset apabila kesemua barangan emas yang dicelup dalam bekas cecair yang dibawa seorang lelaki China itu tiba-tiba bertukar warna.

“Pada masa itu, saya hanya diam membisu dan tidak banyak cakap serta menuruti sahaja apa yang disuruh oleh pihak terbabit.

“Namun, setelah mereka beredar dan pulang saya menyedari telah menjadi mangsa tipu apabila melihat emas yang diserahkan kepada mereka bertukar warna dan barangan kemas saya menjadi lebih ringan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, antara barang kemas yang dileburnya kepada ketiga-tiga suspek adalah, seutas rantai tangan, empat cincin dan tiga rantai leher dengan anggaran kesemuanya bernilai hampir RM20,000.


Suspek wanita dipercayai muda, kelihatan cantik

Wati Acha, 43, berkata, dua wanita itu mempunyai kulit yang halus dan gebu serta berpenampilan menarik serta dipercayai masih berusia dalam lingkungan 20-an berdasarkan paras rupa paras wanita tersebut.

Katanya, dua wanita itu juga memakai beg poket pinggang bagi memudahkan mereka memasukkan wang yang diterima mereka daripada ‘pelanggan’ selepas kerja menyadur emas dilakukan.

“Wanita muda itu kelihatan berperwatakan menarik dan hanya dengan senyuman mereka sahaja, kami terus terpukau dan menyerahkan emas seperti yang diminta suspek melalui bahasa isyarat,” katanya.

Menurut Wati, semasa kejadian itu, dia hanya tinggal keseorangan bersama dua orang anaknya yang masih kecil dan aktiviti itu dilakukan dalam tempoh masa tidak kurang 10 minit sahaja.

“Mereka datang dengan tergesa-gesa dan minta saya keluarkan emas kononnya mahu sadur, namun selesai mengambil upah menyadur emas, mereka pulang dengan selamba,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia tergerak hati melihat semula emas yang disadur, namun alangkah terkejutnya apabila mendapati sebentuk cincin gred 916 bertukar warna menjadi putih, manakala barangan kemas lain kelihatan semakin ringan.

“Saya berasa sungguh kesal kerana emas ini adalah harta yang saya simpan jika berlakunya kecemasan dan memerlukan wang untuk perbelanjaan keluarga, tetapi kesemuanya hilang begitu sahaja,” katanya.


Cari suri rumah yang tinggal keseorangan di rumah

Timah Bidun, 60, berkata, suspek biasanya mencari suri rumah yang tinggal keseorangan pada waktu itu di rumah kerana bimbang kegiatan licik mereka memperdaya suri rumah mungkin boleh ‘dihidu’ suami.

Timah berkata, biasanya mereka akan mengintai terlebih dahulu ke dalam rumah sebelum masuk ke dalam setelah yakin hanya suri rumah sahaja yang ada dalam rumah itu, sebelum suspek bertindak ‘memasang jerat’.

Katanya, walaupun tidak diundang, namun dua wanita itu terus menyelinap masuk ke dalam rumah, sementara seorang lagi rakan lelaki mereka tunggu di dalam kereta sebelum lelaki itu dipanggil suspek masuk ke rumah yang sama.

“Lelaki yang sedia menanti di luar terus masuk ke rumah dengan membawa barangan untuk mencuci emas dan menjalankan aktiviti itu selepas meminta kami mengambil emas yang disimpan,” katanya.

Menurutnya, kesemua mereka yang terpedaya dengan taktik licik itu seolah-olah dipukau suspek tersebut dan modus operandi yang dilakukan suspek adalah sama iaitu dengan mengintai, menyelinap masuk ke dalam rumah dan meminta barang kemas untuk dicuci,”
katanya.

Friday, March 2, 2012

rumah kosong port baik

Rumah kosong port strategik
Wartawan Sinar Harian
1 Mac 2012
Rumah kosong  port strategik
SABAK FERI - Penduduk di Kampung Sabak Feri, di sini, bimbang dua rumah kosong berhampiran tangki air Perbadanan Air Pahang (Paip) dijadikan sebagai sarang penagihan dadah jika ia dibiarkan tanpa pengawasan.

Ketua Umno Cawangan Sabak Feri, Bhakhira Awang Zakaria berkata, sebuah rumah kosong dua tingkat dan sebuah lagi rumah dipercayai bekas pejabat itu sudah lama dibiarkan kosong sejak lebih dua tahun lalu.

Menurutnya, lokasi rumah tinggal itu yang terletak jauh ke dalam dan jauh dari rumah penduduk serta ditutupi semak disifatkan sebagai ‘kawasan strategik’ untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.

“Dua rumah kosong yang sudah terbiar lama ini seharusnya dipantau pihak berkuasa kerana kita khuatir tempat ini berpotensi menjadi sarang penagih,” katanya kepada Sinar Harian.

Bhakhira mengakui pernah terserempak dengan ­beberapa lelaki di ­rumah kosong itu dalam ­ke­adaan mencurigakan ketika dia keluar dari hutan ber­hampiran selepas mencari ulam-ulaman.

“Saya pernah terserempak dengan kelibat beberapa lelaki yang tidak dikenali keluar dari rumah berkenaan tergesa-gesa dan saya percaya mungkin ada sesuatu yang mereka lakukan di situ,” katanya.

Beliau berkata, polis perlu menjalankan intipan dan pengawasan lebih kerap bagi memastikan kawasan rumah tinggal itu bebas daripada sarang penagihan dadah serta perlakuan tidak bermoral lain.

Katanya, rumah kosong itu sebelum ini pernah menjadi sasaran pencuri yang mencuri pintu, cermin tingkap, siling, mangkuk tandas dan barangan lain.

“Barangan yang bernilai kebanyakannya sudah dikebas mereka yang tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan persekitaran tidak terurus dan rumah mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Beliau berharap pihak berwajib dapat mengenal pasti status sebenar rumah kosong itu dan mengambil langkah terbaik bagi memastikan ­kawasan berkenaan tidak dicemari dengan kegiatan tidak bermoral.

“Saya berharap masalah ini dapat dibendung dengan segera kerana kita bimbang akan berlakunya peningkatan kes sosial anak muda terutama mereka yang terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.

hampir kena tipu

Nyaris jadi mangsa ‘Aisha’
Wartawan Sinar Harian
2 Mac 2012
TEMERLOH – Seorang pemuda di Kampung Paya Pulai di sini mendakwa hampir menjadi mangsa tipu individu sama seperti laporan muka depan Sinar Harian bertajuk ‘Jerat Cinta Aisha’ semalam.

Rohaizat Ismail, 30, berkata, dia berkenalan dengan seorang gadis yang menggunakan nama ‘Turazak Meriam’ kira-kira sebulan lalu melalui laman sosial, Facebook.

Menurutnya, laporan Sinar Harian semalam sama dengan pengalaman dia berkenalan dengan seorang wanita berasal dari Sabah dan kini mempunyai sebuah syarikat di United Kingdom serta menetap di London.

Menceritakan pengalamannya, Rohaizat berkata, dia pada mulanya berasa ragu-ragu sepanjang berbalas mesej dengan wanita terbabit kerana wanita itu enggan menjadi kenalannya dalam ruangan rakan di Facebook.

“Namun, wanita ini masih berbual dan menghantar mesej setiap hari dan pernah menyuruh saya mencari sebuah kondominium kerana katanya akan bercuti di Malaysia dan turut meminta saya menjadi pemandu pelancong.

“Oleh kerana dia sudah lama tidak pulang ke negara ini, dia sudah tidak ingat lokasi menarik dan meminta saya menemaninya sepanjang berada di Malaysia,” katanya semalam.

Rohaizat berkata, kelmarin wanita sama memaklumkan kepadanya supaya memeriksa e-mel kerana telah mengirim sejumlah barangan berharga kepadanya.

“Saya mula mengesyaki sesuatu tidak kena dan cuba menyiasat lebih lanjut helah digunakannya untuk memperdayakan saya.

“Pagi semalam selepas membaca Sinar Harian, saya menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang mendakwa bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mahukan saya mengambil barang yang terkandas di sana.

“Tetapi lelaki itu memberi syarat memasukkan wang RM2,500 ke dalam sebuah akaun bagi melepaskan barang saya yang terkandas itu,” katanya.

Rohaizat berkata, dia mula mengesyaki berlaku penipuan dan tidak akan melayan lagi panggilan dan e-mel daripada wanita terbabit selepas ini.

Rohaizat seorang pengumpul barangan lama berkata, dia menggunakan laman sosial Facebook bagi tujuan perniagaan akan lebih berhati-hati selepas ini dan menasihati orang ramai di luar sana supaya berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

selalu curi balak

Tidak sempat dapat upah
ERMA YUSNIDA JUSOH
2 Mac 2012
balak
KUANTAN - Hasrat seorang pemandu lori untuk mendapatkan upah lumayan berjumlah RM150 bagi satu perjalanan memindahkan kayu balak curi hanya tinggal impian apabila ditahan oleh anggota Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, lori yang membawa muatan sembilan batang kayu spesies keruing lebih 40 kilometer itu terpaksa dikejar oleh anggota penguat kuasa sebelum berjaya ditahan dalam kawasan Taman Perumahan Seri Ku, dekat sini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Paiz Kamarazuman berkata, kayu spesies keruing berukuran 4.8 meter panjang itu bernilai lebih RM11,000 dimuatkan dalam sebuah lori lima tan.

Menurutnya, kayu berkenaan dipercayai ditebang tanpa lesen dari Hutan Simpan Chini, Pekan sebelum dimuatkan dalam lori untuk dihantar ke kilang papan.

“Dalam siasatan yang dibuat, kami mendapati pemandu lori berkenaan sebelum ini pernah ditahan atas kesalahan sama malah dia ternyata tidak serik walaupun pernah dikenakan tindakan sebelum ini.

“Bagaimanapun lelaki yang berasal dari Felda Chini itu hanya bertindak sebagai pemandu sahaja, sementara itu lori berkenaan disewa oleh individu lain yang menjadi dalang kepada kegiatan tersebut,” katanya.

Mohd Paiz berkata, sebelum berjaya ditahan, anggota penguat kuasa terpaksa mengejar lori terbabit selepas usaha menahannya gagal apabila pemandunya bertindak licik dengan memasuki kawasan taman perumahan sebelum mereka tersekat di situ.

Beliau berkata, kejayaan melumpuhkan sindiket itu hasil maklumat orang awam yang sentiasa prihatin dengan aktiviti pencerobohan hutan terutama di kawasan Hutan Simpan Chini.

Katanya, lelaki terbabit kini ditahan bagi siasatan dalam usaha mengenal pasti lokasi sebenar pokok keruing yang ditebang seterusnya laluan yang digunakan.

“Saya berharap masyarakat dapat bekerjasama dengan kita dengan memberi maklumat terutama membabitkan aktiviti pencerobohan dan pengeluaran hasil hutan tanpa lesen.

“Terdapat beberapa kawasan hutan di negeri menjadi tumpuan aktiviti tidak bertanggungjawab itu dan usaha menyekatnya akan terus dilakukan oleh Unit Penguat kuasa negeri dan daerah,” katanya.