Saturday, May 19, 2012

kampung tanpa wayar

ARKIB : 18/05/2012

Sasar 318 Kampung Tanpa Wayar

KUANTAN 17 Mei - Kerajaan negeri menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 318 lokasi Kampung Tanpa Wayar (KTW) di seluruh negeri yang menyediakan akses Internet tanpa wayar dalam lingkungan 250 meter dari lokasi terpilih.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 200 kampung telah dilengkapi dengan perkhidmatan jalur lebar (WiFi), manakala baki sebanyak 118 akan dilaksanakan pada tahun ini.
"Langkah ini akan memberi lonjakan kepada penembusan jalur lebar di kawasan kampung dan di luar bandar seterusnya merapatkan lagi jurang digital.
"Pelaksanaan jalur lebar ini merupakan bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) manakala Telekom Malaysia (TM) sebagai agensi pelaksana," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Jaafar (BN-Jenderak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-12 di Wisma Seri Pahang di sini hari ini.
Menurut Mohd. Sharkar, kerajaan Pusat telah melaksanakan program KTW ini mengikut perancangan secara berperingkat.
"Bagi program di bawah kerajaan negeri pula, pembangunan kemudahan teknologi maklumat dan komuniti dilaksanakan melalui Program ICT Desa.
"Program ICT Desa ini melibatkan kerjasama di antara pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang," jelasnya.
Katanya, kerajaan negeri hanya membekalkan kemudahan infrastruktur ICT kepada perpustakaan bagi menyokong perlaksanaan aktiviti komuniti.

No comments:

Post a Comment