Friday, May 18, 2012

bahaya di selekoh kota gelangi

ARKIB : 18/05/2012

Selekoh maut di Kota Gelanggi Satu

ORANG ramai melihat kenderaan kakitangan Felda yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Felda Kota Gelanggi Satu, Jerantut, baru-baru ini.
Saudara Pengarang,
BARU-baru ini saya melihat kemalangan ngeri di jalan berselekoh menghala ke Felda Kota Gelanggi Satu dekat Jerantut yang membabitkan sebuah lori dan kereta yang membawa kakitangan Felda Kota Gelanggi Tiga.
Saya sempat melihat insiden menyayat hati itu apabila pemandu kenderaan Felda yang juga kenalan saya maut di tempat kejadian, manakala rakannya yang juga seorang pengurus yang duduk di sebelah mengalami kecederaan serius dan kini masih di hospital.
Malah, pada hari berkenaan juga berlaku kecelakaan di lokasi sama membabitkan seorang kakitangan kerajaan yang berulang-alik ke tempat kerja.
Saya tidak boleh membuat andaian bagaimana kemalangan itu boleh berlaku. Siapakah yang yang menyebabkan kecelakaan itu atau adakah ia berpunca daripada kenderaan terbabit kerana tiada di tempat kejadian, malah di luar pengetahuan saya.
Justeru, saya mahu memberi sedikit pandangan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil rakyat agar lebih menumpukan kawasan yang dianggap lokasi hitam di kawasan Felda Gugusan Gelanggi dan Pulau Tawar.
Tahniah kerajaan negeri kerana menyediakan kemudahan jalan raya yang cukup baik tetapi belum memadai menyedarkan pemandu termasuk penunggang motosikal yang kerap berulang-alik termasuk saya saban hari ke tempat kerja.
Apa yang saya hendak memberi teguran kepada pihak berwajib iaitu spesifikasi jalan berselekoh tidak dipasang papan tanda isyarat keselamatan termasuk lampu refleksi dan garisan belang kuning yang tebal untuk mengingatkan pengguna agar lebih berwaspada.
Untuk makluman pihak berwajib, jalan melalui Kota Gelanggi Satu berkenaan merupakan laluan alternatif kenderaan dari bandar Jerantut ke Felda Kota Gelanggi Dua, Felda Tekam Utara dan Gugusan Felda Lepar.
Penduduk setempat menganggap selekoh yang berbahaya itu sebagai 'selekoh betik' yang kini sudah meragut empat nyawa ketika waktu sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan termasuk motosikal pelajar ke sekolah menengah berdekatan.
Senario kesesakan kenderaan di laluan lurus dan selekoh tempat kejadian antara fenomena yang berbahaya lebih-lebih lagi ketika kabus pada waktu pagi dan malam.
Apa yang saya harapkan JKR dapat memasang papan tanda dan lampu amaran bahaya, lampu refleksi dan lebih relevan iaitu garisan belang kuning yang tebal yang dapat mengurangkan kelajuan kenderaan.
Kita berharap ada usaha penambahbaikan spesifikasi keselamatan jalan raya di semua laluan kawasan Felda di negeri ini kerana lokasi berkenaan antara penyumbang kemalangan maut.
Kemalangan membabitkan kematian dan kecederaan dua kakitangan Felda yang berpengalaman telah merugikan Felda sendiri dan sumber manusia penjawat kerajaan yang sepatutnya tidak berlaku walaupun konotasi 'malang tidak berbau' sentiasa menghantui kehidupan manusia.

No comments:

Post a Comment