Thursday, May 3, 2012

cikgu kayuh basikal

ARKIB : 02/05/2012

Bakal guru berbasikal ke Taman Negara

Para penuntut Unit Pendidikan Jasmani Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Lipis berkayuh menuju ke Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, baru-baru ini.
KUALA LIPIS 1 Mei - Seramai 19 penuntut Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Unit Pendidikan Jasmani semester lima, Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) di sini mengadakan Program Kembara Berbasikal ke Taman Negara Kuala Tahan, dekat sini baru-baru ini.
Program itu merupakan kegiatan kokurikulum penuntut untuk pemantapan fizikal dan mental menerusi cabaran jalan berbukit dan menempuh cuaca hujan sepanjang kayuhan tersebut.
Kembara itu turut dibantu oleh anggota peronda polis trafik Lipis dan Jerantut, manakala Pensyarah Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) mengiringi para penuntut menggunakan motosikal berkuasa tinggi.
Perjalanan dari pekarangan institut pendidikan itu mengambil masa selama empat jam untuk sampai ke jeti Kuala Tembeling di sini iaitu pintu masuk pertama pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan.
Penuntut terbabit berpeluang meninjau kehidupan Orang Asli suku kaum Batek di Dedari berdekatan pusat pelancongan itu untuk beramah mesra dan mempelajari cara menyumpit dengan kaum minoriti di situ.
Ketua Unit PJK, Baharom Bahari Muda berkata, kegiatan riadah berkenaan merupakan medium bagi melengkapkan penuntut bidang PJK dengan nilai kepimpinan serta pengurusan sebelum bertugas sebagai guru pendidikan jasmani di sekolah.
"Kegiatan ini berupaya menjana ketahanan dan kecergasan diri, berdisiplin dan semangat kerjasama yang boleh diimplementasi apabila mereka bertugas di sekolah kelak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Baharom yang juga Ketua Penyelaras Program tersebut berkata, kegiatan itu secara tidak langsung menzahirkan gaya hidup sihat menerusi acara berbasikal yang perlu diperkenal oleh guru PJK di sekolah.
Seorang Pensyarah Kanan Jabatan PJK, Zakari Zakaria berkata, sebelum melaksanakan kayuhan, penuntut diberikan latihan menguasai teknik berbasikal melalui permukaan jalan yang rata, berselekoh dan berbukit.
"Sebelum kayuhan, penuntut perlu menyiapkan diri dengan kekuatan fizikal dan mental serta membawa kelengkapan peralatan untuk membaiki kerosakan basikal," katanya.

No comments:

Post a Comment