Wednesday, December 28, 2011

jenayah siber

26 kes jenayah siber

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanktn@gmail.com

KUANTAN 28 Dis. - Polis negeri ini mencatatkan sebanyak 26 kes penipuan jenayah siber, bermula sejak Januari sehingga 21 Disember lalu, mengakibatkan jumlah kerugian RM1.3 juta.

Lebih membimbangkan, kebanyakan mereka yang ditipu terdiri daripada golongan berpendidikan serta berjawatan tinggi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Supritendan Thomas Navamoney berkata, kebanyakan modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan komputer selain telefon bimbit untuk menipu mangsa.

Beliau berkata, antaranya adalah panggilan palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, polis Hong Kong dan panggilan daripada pegawai kad kredit bank.

"Nombor-nombor telefon yang tertera pada skrin telefon bimbit mangsa pula adalah dari BNM atau Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Mangsa yang mudah terpedaya, tanpa berfikir panjang terus memindahkan wang atau berikan nombor akaun mereka beserta nombor pin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang mencatatkan jumlah kerugian tertinggi adalah sehingga RM400,000.

Thomas meminta orang ramai mengabaikan segera sekiranya mendapat panggilan daripada bank khususnya BNM atau polis yang memaklumkan berlaku masalah berhubung akaun atau kad kredit mereka.

"Mereka boleh terus pergi ke bank itu bagi mendapatkan pengesahan tentang perkara berkaitan atau pergi ke balai polis berhampiran.

"Jangan pindahkan wang atau mendedahkan maklumat akaun melalui telefon, emel kepada individu yang tidak dikenali," katanya.

Katanya, jika mempunyai maklumat, orang ramai diminta menghubungi segera polis Pahang di talian 09-5902222.

ceriakan bandar kuantan

RM2 juta ceriakan bandar Kuantan
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 27, 2011
Bandar Kuantan
KUANTAN – Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menceriakan bandar Kuantan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2012 yang akan berlangsung Julai tahun depan.
 
Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, peruntukan itu termasuk menceriakan landskap dan pencahayaan.
 
“Kerja-kerja menceriakan bandar Kuantan akan dilaksanakan awal tahun depan.
 
“Sebagai tuan rumah, kita perlu bersiap sedia dalam semua aspek supaya tetamu yang datang selesa berada di negeri ini,” katanya ketika Majlis Pelancaran ‘Kuantan Liveliest Host’ sempena Sukma 2012, kelmarin.
 
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz.
 
Zulkifli menambah, peruntukan yang disediakan bukan hanya untuk menceriakan venue-venue sukan, malah seluruh bandar Kuantan.
 
“MPK tampil untuk membantu Kerajaan Negeri bagi merealisasikan permintaan rakyat. Kita mahu acara itu nanti berlangsung dengan meriah dan ceria di samping layanan mesra masyarakat Kuantan kepada tetamu,” katanya.
 
Menurutnya lagi, pelancaran ‘Kuantan Liveliest Host’ merupakan satu kempen kesedaran kepada mereka yang berkepentingan.
 
“Kita harap, dengan adanya kempen ini, masyarakat khususnya peniaga, pemilik pasar raya, pemilik hotel, orang kampung akan meraikan penghormatan sebagai tuan rumah.
 
“Selain MPK, mereka juga bertanggungjawab untuk mengekalkan kebersihan serta keceriaan bandar Kuantan,” katanya.
 
Sementara itu, Mohamad Sahfri berkata, sebagai tuan rumah, Kuantan perlu membuat persiapan mantap kerana Sukma 2012 bakal ditonton di seluruh Malaysia termasuk Brunei.
 
“Kita juga perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan kerana bukan semua perkara berjalan seperti apa yang dirancang," katanya.

toyol kena tangkap

‘Toyol’ masjid kena cekup
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 28, 2011
toyol
RAUB - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai mencuri wang milik salah seorang jemaah Masjid Tengku Abu Bakar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superin-tendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, seorang remaja berusia 19 tahun meletakkan begnya yang berisi dompet dan wang tunai RM200 di ruang solat wanita.

Menurutnya, lebih kurang jam 8.50 pagi itu, mangsa ke tandas sebelum masuk semula ke dalam masjid dan mendapati beg pakaiannya terbuka dan dompet telah tiada.

“Mangsa sempat bertanyakan beberapa individu yang berada di sekitar masjid dan pihak pengurusan masjid juga mendapat makluman awal berkaitan kes kecurian itu.

“Berdasarkan maklumat orang ramai, suspek berjaya ditahan di Perhentian Bas dekat Pusat Perdagangan Raub,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Serendah, Selangor itu menyimpan wang RM200 dalam dompetnya.

Katanya, suspek bertindak mengeluarkan wang dan membuang dompet mangsa ke dalam salah sebuah pasu di masjid berkenaan.

“Suspek juga menunjukkan sendiri lokasi dompet mangsa yang dibuangnya dan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati negatif.

“Suspek pernah bekerja sambilan di sebuah kedai makanan dekat Bandar Raub dan difahamkan baru sahaja berhenti kerja,” kata Wan Mohd Samsudin.

Beliau berkata, pada malam sebelum kejadian, suspek dipercayai baru sahaja sampai dari Serendah dan tidur di masjid itu.

Katanya, suspek mendakwa melakukan perbuatan mencuri itu kerana ingin dijadikan tambang bas untuk pulang semula ke kampungnya di Serendah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan dan orang ramai perlu sentiasa berhati-hati termasuk ketika berada dalam kawasan masjid atau surau supaya menjaga barangan berharga termasuk wang dan telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, tindakan suspek memulangkan semula dompet yang diambilnya dalam beg pakaian mangsa akhirnya memerangkap dirinya sendiri.

Imam Dua Masjid Tengku Abu Bakar, Abd Rahman Mohd Ali berkata, ketika kejadian beliau sedang memeriksa alat pembesar suara dalam masjid itu.

Menurutnya, pada masa itu dia terlihat seorang remaja lelaki mencampak dompet ke dalam sebuah pasu di penjuru masjid berhampiran tempat wuduk dan tandas wanita.

“Pada waktu itu saya menggunakan mikrofon untuk menguji sistem bunyinya dan sempat saya menjerit sebagai respons apabila melihat perbuatan remaja itu.

“Orang ramai juga keluar dari premis berdekatan dan sempat melihat kelibat suspek melarikan diri keluar dari kawasan masjid menuju ke bandar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Abd Rahman berkata, dia sempat menceritakan kepada anggota polis berdekatan tentang kejadian berkenaan dan menerangkan ciri-ciri fizikal remaja itu.

“Dalam masa singkat sahaja, polis dapat mengesan kedudukan lokasi suspek ketika itu dan berjaya memberkasnya,” katanya.
 

Tuesday, December 27, 2011

dapat rumah

Ibu tunggal terima rumah bantuan JKKK Kg. Penak, GiatMara

TEMERLOH 27 Dis. - Seorang ibu tunggal di Kampung Penak, Mentakab di sini tidak pernah bermimpi mendapatkan sebuah rumah yang selesa memandangkan kesempitan hidup yang dilaluinya sekeluarga.

Namun, Siti Esah Mohamad, 53, kini boleh menarik nafas lega apabila menerima sebuah rumah baru hasil keprihatinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama GiatMara yang membantu membina sebuah rumah baru di belakang rumah lamanya.

Menurut Siti Esah, sebelum ini, jika hujan mereka sekeluarga tidak dapat duduk di dalam rumah lamanya kerana atap bocor dan strukturnya juga sangat uzur.

"Selama ini memang saya tidak pernah bermimpi mendapat sebuah rumah baru kerana kehidupan kami sangat susah. Saya tidak bekerja dan hanya ditanggung oleh anak-anak lelaki saya selepas kematian suami.

"Saya mempunyai sembilan orang anak dan dua orang anak perempuan saya sudah mendirikan rumah tangga. Saya tinggal bersama tujuh anak lelaki dan seorang daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU)," katanya ketika ditemui di Mentakab dekat sini, baru-baru ini.

Penyerahan kunci rumah tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong. Hadir sama, Pengurus GiatMara Temerloh, Lokman Awang dan Pengerusi JKKK kampung tersebut, Abdul Rahman Omar.

Siti Esah berkata, anaknya yang tergolong sebagai OKU itu mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, dia bergantung hidup pada anak-anak lelakinya yang membuka bengkel di hadapan rumah secara kecil-kecilan.

"Apa yang menyedihkan saya, semua anak-anak saya tidak pernah bersekolah kerana kesempitan hidup. Alhamdulillah, walaupun begitu mereka ada kemahiran dan membuka bengkel," katanya.

Sunday, December 25, 2011

warga bera digesa rebut peluang

Penduduk diajak promosi daerah
Oleh : AZIZAH SHAFIEI
Tarikh : December 26, 2011
DEWAN
BERA - Penduduk di Bera diajak untuk bersama-sama mempromosikan daerah itu bagi meningkatkan pendapatan ekonomi terutamanya dari sektor pelancongan.

Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Norol Azali Sulaiman berkata, Tasek Bera merupakan salah satu lokasi pelancongan yang boleh dijadikan daya tarikan masyarakat luar ke daerah itu.

Menurutnya, dalam perancangan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, aktiviti ekonomi di daerah Bera adalah pelancongan berasaskan pertanian.

“Tasek Bera merupakan kawasan tanah lembap atau kawasan perlindungan bagi habitat ekologi yang perlu ­dipelihara dan sering menjadi tumpuan migrasi burung-burung pada waktu tertentu.

“Tetapi, setakat ini lokasi pelancongan itu masih belum dikenali ramai, malah tiada tarikan yang membolehkan orang luar datang ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Moh Menjenamakan Bera sempena Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) Dun Guai 2011.

Norol Azali berkata, pengisytiharan itu sepatutnya sudah membolehkan rakyat Bera menerima tempias peningkatan ekonomi, tetapi ia masih belum lagi berlaku.

Katanya, selain mempromosikan lokasi pelancongan, pelbagai produk buatan rakyat di daerah itu juga perlu diperkenalkan dan ia bukan sekadar tanggungjawab satu pihak tetapi semua harus memainkan peranan.

“Walaupun Bera merupakan antara daerah yang baru, tetapi usaha untuk memajukan dan membangunkan daerah ini perlu dilakukan segera seiringi dengan pembangunan di kawasan lain.

“Dengan kelebihan produk pelancongan yang ada, seharusnya kita boleh mara ke hadapan dan orang ramai juga mesti bersama-sama mempromosikan produk-produk yang ada di daerah ini,” katanya.

sempit nya rumah

11 kali tukar rim motosikal
Oleh : NOR ATIEYAH YUSOFF
Tarikh : December 26, 2011
jalan lopak
KUANTAN - Pengguna jalan di kawasan perindustrian Gebeng berhadapan risiko kemalangan akibat keadaan jalan raya yang rosak dan tidak diselenggarakan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa kerosakan termasuk lubang dikesan dari jalan simpang masuk ke perindustrian Gebeng hingga ke Jalan Gebeng 2/3.

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Jamal, 30-an, berkata, masalah jalan rosak di kawasan itu tidak pernah selesai walaupun sudah beberapa kali diadukan kepada pihak bertanggungjawab.

Katanya, dia pernah ­menghubungi pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu, ­tetapi sehingga kini belum ­menampakkan sebarang tindakan.

“Sudah beberapa kali saya menghubungi pihak berkenaan kerana tidak tahan dengan keadaan jalan yang hanya menunggu mangsa kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jamal berkata, dia juga terpaksa menukar rim motosikalnya sebanyak 11 kali kerana bengkok akibat melalui jalan terbabit.

“Banyak kejadian berlaku terutamanya ketika hujan. Lubang yang dalam ditenggelami air mengakibatkan kemalangan melibatkan kenderaan kecil,” katanya.

Jamal berkata, jalan itu sudah banyak kali diturap, tetapi tidak tahan lama berkemungkinan tiada kualiti atau tidak menepati piawaian menyebabkannya ia rosak semula selepas dilalui kenderaan berat.

Katanya, sebagai pengguna dia cuba menghubungi Jabatan Kerja Raya tetapi dimaklumkan jalan itu di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Saya kemudian mengadu kepada MPK dan mereka memberi maklum balas untuk mengambil tindakan terhadap perkara itu,” katanya.

tolong la baiki jalan

11 kali tukar rim motosikal
Oleh : NOR ATIEYAH YUSOFF
Tarikh : December 26, 2011
jalan lopak
KUANTAN - Pengguna jalan di kawasan perindustrian Gebeng berhadapan risiko kemalangan akibat keadaan jalan raya yang rosak dan tidak diselenggarakan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa kerosakan termasuk lubang dikesan dari jalan simpang masuk ke perindustrian Gebeng hingga ke Jalan Gebeng 2/3.

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Jamal, 30-an, berkata, masalah jalan rosak di kawasan itu tidak pernah selesai walaupun sudah beberapa kali diadukan kepada pihak bertanggungjawab.

Katanya, dia pernah ­menghubungi pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu, ­tetapi sehingga kini belum ­menampakkan sebarang tindakan.

“Sudah beberapa kali saya menghubungi pihak berkenaan kerana tidak tahan dengan keadaan jalan yang hanya menunggu mangsa kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jamal berkata, dia juga terpaksa menukar rim motosikalnya sebanyak 11 kali kerana bengkok akibat melalui jalan terbabit.

“Banyak kejadian berlaku terutamanya ketika hujan. Lubang yang dalam ditenggelami air mengakibatkan kemalangan melibatkan kenderaan kecil,” katanya.

Jamal berkata, jalan itu sudah banyak kali diturap, tetapi tidak tahan lama berkemungkinan tiada kualiti atau tidak menepati piawaian menyebabkannya ia rosak semula selepas dilalui kenderaan berat.

Katanya, sebagai pengguna dia cuba menghubungi Jabatan Kerja Raya tetapi dimaklumkan jalan itu di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Saya kemudian mengadu kepada MPK dan mereka memberi maklum balas untuk mengambil tindakan terhadap perkara itu,” katanya.

jatuh pokok petai

Orang Asli maut jatuh pokok petai
Oleh : NORFARAHAH OTHMAN
Tarikh : December 26, 2011
jenazah orang asli
PELANGAI – Niat seorang Orang Asli memetik petai untuk dijual tidak kesampaian apabila dia ditemui mati di bawah pokok petai muda, dekat sini, awal pagi kelmarin

Ketua Polis Daerah Ben­tong, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa, Jefri Icok, 36, ber­alamat di Kampung Rengai, Simpang Durian, Negeri Sembilan.

Menurutnya, mangsa dipercayai keluar untuk mencari dan memanjat pokok petai di sebuah kebun getah di Kampung Pomsun, dekat sini, sejak awal pagi.

“Ketika memanjat, mang­sa dipercayai terjatuh dari pokok petai muda itu akibat licin.

“Mayat mangsa ditemui orang awam kira-kira jam 9.50 pagi sebelum melaporkannya kepada polis,” katanya.

Mohd Yusri berkata, ma­yat mangsa kemudiannya di­bawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Menurutnya, mangsa di­percayai mati akibat menga­lami kecederaan parah di bahagian belakang kepala.

“Susulan kejadian itu, saya menasihati orang awam su­paya berhati-hati ketika men­jalankan aktiviti mencari hasil hutan pada musim hujan,” katanya.

Saturday, December 24, 2011

kaji elaun jkkk

Kaji semula penarikan elaun mesyuarat JKKK

JERANTUT 24 Dis. - Kerajaan negeri diminta mengkaji semula keputusan menarik balik elaun mesyuarat RM50 kepada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini yang mula berkuat kuasa pada awal bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, dalam pertemuannya dengan 14 JKKK di bawah DUN Pulau Tawar semalam, perkara itu menjadi antara isu yang dibangkitkan.

Katanya, ia berikutan kerajaan negeri tidak menyatakan sebab pemansuhan elaun berkenaan sehingga menimbulkan tanda tanya dan tidak puas hati di kalangan pihak pengurusan JKKK di negeri ini.

''Elaun mesyuarat itu perlu dikekalkan kerana ia bukan masa yang sesuai untuk kerajaan negeri menarik balik perkara itu sedangkan pada masa sama pelbagai bantuan lain dengan jumlah yang lebih besar terus disalurkan kerajaan negeri kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

''Saya tidak bersetuju dengan pembatalan pemberian elaun JKKK ini kerana jumlah itu amat kecil jika hendak dibandingkan dengan peranan dan tugas JKKK yang menjadi penghubung serta perantara masyarakat dengan pemimpin dan kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan cek elaun bulanan sebanyak RM11,200 kepada seramai 14 orang ketua kampung DUN Pulau Tawar, di sini semalam.

Menurutnya, elaun mesyuarat RM50 itu dapat menyuntik semangat kalangan Ahli JKKK bagi membincangkan kebajikan penduduk setempat dengan wakil rakyat dan agensi kerajaan.

''Kerajaan negeri perlu melihat elaun RM50 ini sebagai satu platform untuk menggerakkan pengurusan JKKK di samping dapat menghargai jasa dan perkhidmatan mereka kepada masyarakat setempat selama ini.

''Pemansuhan elaun RM50 ini perlu dikaji semula dan saya sedia berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk menyelesaikan masalah ini berasaskan situasi menang-menang," ujarnya.

Tambah beliau, Ahli JKKK perlu bertugas seperti biasa dan meneruskan komitmen kepimpinan secara aktif untuk menjana pembangunan dan kebajikan penduduk di kawasan masing-masing walaupun elaun berkenaan ditarik balik.

agropolitan pahang dapat bonus

200 peserta Agropolitan Pekan terima RM200


PESERTA projek Agropolitan Pekan, melihat sumbangan persekolahan yang diterima sambil diperhatian Khairudin Mahmud (kiri) dan Zulkifli Yaacob (kanan) di Batu 8, Lepar, Pekan, semalam.


PEKAN 24 Dis. - Seramai 200 peserta termasuk 100 Orang Asli di bawah projek Agropolitan Pekan di Runchang dan Batu 8, Lepar di sini menerima bantuan persekolahan sebanyak RM200 seorang.
Pengurus Besar Sosial Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Zulkifli Yaakob berkata, bantuan tersebut adalah daripada pihaknya untuk meringankan beban ibu bapa bagi membeli barang keperluan sekolah anak-anak mereka.
"Ini untuk memastikan ibu bapa mendapat motivasi bagi menyekolahkan anak-anak mereka mengikuti penggal persekolahan akan datang.
"Pada masa sama, ia juga menggalakkan para pelajar untuk cemerlang dalam pelajaran dan meningkatkan prestasi akademik mereka," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Persekolahan di Projek Agropolitan Batu 8, Lepar, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Manis, Khairudin Mahmud.
Beliau berkata, inisiatif itu akan melengkapkan program sedia ada ECERDC yang dikenali sebagai Sinar ECER untuk meningkatkan kemahiran akademik dan sosial kanak-kanak daripada peserta Agropolitan Pekan.
''ECERDC bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan semata-mata tetapi turut berperanan melahirkan masyarakat seimbang dari segi kemahiran dan pendidikan," jelasnya.

Tuesday, December 20, 2011

empower

Empower: 500 terima manfaat

TEMERLOH 20 Dis. - Seramai 500 penduduk di daerah ini berjaya mengubah kehidupan masing-masing apabila menyertai program kemahiran Empower di bawah kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini.
Pengurus Besar Sosialnya, Zulkifli Yaakob berkata, mereka yang terdiri daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah itu mengikuti program tersebut yang menawarkan 10 kursus kemahiran selain pembangunan usahawan.
Menurutnya, program yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu itu dilihat membuahkan hasil apabila mereka mampu menjalankan perniagaan sendiri selain bekerja dengan syarikat swasta menerusi bidang kemahiran tertentu.
"Kursus yang ditawarkan ini tidak menetapkan tempoh masa tertentu untuk mengikutinya kerana ia diadakan selama dua kali seminggu.
"Maklumat yang diperoleh mendapati ada peserta terbabit bekerja dengan syarikat korporat dan menerima pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada tiga murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Kampung Gentok, Mentakab di sini baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong.
Zulkifli berkata, selain daerah ini, program seumpama itu diadakan di Bentong dan Kuala Lipis serta masing-masing satu di Terengganu dan Kelantan.
Menurutnya, tujuan diadakan program tersebut adalah untuk memastikan mereka mampu menjana pendapatan sendiri selain menyahut saranan kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan.
Dalam pada itu, Boon Seong memuji langkah ECERDC kerana menyediakan program tersebut dan berharap lebih ramai agensi swasta turut sama mengadakannya.
Katanya, langkah sedemikian selari dengan konsep 1Malaysia yang mahu semua masyarakat tidak kira kaum menikmati pendapatan sejajar menjadi negara maju menjelang 2020.

francais

Bera lokasi kelima program Jelajah Francais


Orang ramai turut menikmati roti bakar dan kopi di gerai franchais Bangi Kopitiam pada Program Jelajah Francais Malaysia di Bera, Pahang, semalam.


BERA 20 Dis. - Program Jelajah Francais 1Malaysia memilih daerah ini sebagai lokasi kelima bagi menarik minat orang ramai khususnya golongan usahawan menceburi bidang francais.
Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sebelum ini empat negeri telah diadakan program itu dan ia mendapat sambutan menggalakkan.
Menurut beliau, pemilihan daerah ini untuk program itu adalah bagi menarik golongan usahawan di pinggir bandar menyertai francais kerana ia memberi keuntungan kepada mereka.
"Alhamdulillah, program itu mendapat sambutan memberangsangkan di setiap lokasi yang dikunjungi.
"Selain itu, kita juga mendapat kerjasama daripada Persatuan Pedagang-pedagang Melayu Malaysia (Perdasama) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) bagi menjayakan program itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian program itu yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Rakan Muda di sini kelmarin.
Shohaimi berkata, antara pengisian program tersebut ialah memberi taklimat berkenaan pembiayaan francaisi kepada para peserta.
Menurutnya, jalinan kerjasama antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dengan bidang francais akan memudahkan peserta mendapat maklumat lebih jelas tentang perniagaan berkenaan.
"Saya berharap dengan adanya program itu ia dapat membantu kerajaan untuk mempromosikan peluang perniagaan francais secara menyeluruh yang risiko kegagalannya amat rendah," katanya.

Sunday, December 18, 2011

terminal bas

Terminal bas berubah wajah
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
bhnews@bharian.com.my
2011/12/19

TERMINAL Makmur yang kini berubah wajah.
TERMINAL Makmur yang kini berubah wajah.
MPK belanja lebih RM230,000 perindah Kompleks Terminal Makmur

KUANTAN: Kompleks Terminal Makmur, di sini, kini berubah wajah selepas Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membelanjakan lebih RM230,000 bagi memperindahkan dan menambah baik beberapa kerosakan di terminal pengangkutan awam itu.
Terminal yang wujud sejak 1995 itu kali pertama dinaikkan taraf besar-besaran sekali gus menyediakan persekitaran lebih ceria, selamat dan selesa kepada orang ramai sekali gus mampu menarik perhatian orang ramai termasuk pelancong asing.
Bahagian luar terminal empat tingkat itu dihiasi dengan lukisan mural bermotifkan gambar ikon pelancongan seperti pusat perlindungan gajah di Kuala Gandah, pusat peranginan Cherating, pusat pelancongan Bukit Fraser.

Ia dihasilkan gabungan pelajar Kolej Universiti Shahputra, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Chempedak, SMK Paya Besar dan SMK Air Putih.

Turut dinaikkan taraf ialah sistem pendawaian elektrik di semua aras, mengecat semula dinding di medan selera sertai menggantikan kerusi dan meja yang rosak, menyusun atur semula kiosk jualan, menaik taraf tandas serta menyediakan lebih banyak tong sampah di ruang menunggu.

Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob, berkata MPK turut menempatkan 10 anggota penguat kuasa setiap hari di terminal itu bagi memastikan orang ramai tidak membuang sampah sesuka hati dan akhirnya mengotorkan terminal berkenaan.
Malah, beliau berkata, mereka tidak teragak-agak mengenakan kompaun serta merta RM50 kepada individu yang membuang sampah merata-rata.

Sementara itu, penumpang bas ekspres dari Johor, Shahrul Nasran Sharif, 27, menyifatkan imej baru kompleks berkenaan dapat mengubah persepsi orang ramai terhadap keadaan di terminal itu.

Beliau yang sering berulang alik ke sini berkata, sebelum ini, keadaan persekitaran terminal bas itu selalu mengundang rasa tidak selesa kerana banyak kerosakan berlaku seperti kebocoran pada saluran paip, berbau, tandas uzur dan ruang niaga yang tidak tersusun.

Warga bandar ini, Mazlan Nor, 26, berkata, usaha MPK menambah baik terminal perlu dipelihara oleh semua pihak kerana ia menjadi pintu 'gerbang' pantai timur apabila semua syarikat bas dari seluruh negara menggunakan kompleks berkenaan untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

rumah 1m

Rumah 1Malaysia untuk orang muda
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 18, 2011

KUANTAN - Orang muda di Pahang bakal menikmati harga rumah serendah RM100,000 berbanding harga sedia ada selepas perancangan pembinaan Rumah 1Malaysia mendapat kelulusan Kerajaan Negeri.

Setiausaha Kerajaan Ne­geri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, kertas kerja projek perumahan itu sudah disediakan dan dijangka dibentangkan kepada pada awal Januari tahun depan.

Menurutnya, cadangan pembinaan Rumah 1Malaysia itu tiada kaitan politik tetapi atas inisiatif bahawa orang muda kini sukar memiliki rumah kerana kenaikan harga rumah tinggi.

“Perancangan awal pem­binaan rumah yang dijangka seluas kira-kira 1,000 kaki persegi membabitkan dua kawasan di daerah Kuantan iaitu Jaya Gading dan Gambang.

“Dua kawasan yang di­kenal pasti itu membabitkan keluasan lebih 40 hektar dan boleh memuatkan sebanyak 700 unit rumah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ketua Kampung daerah Kuantan 2011 di sini, semalam.

Katanya, per­mo­honan boleh dibuat melalui Unit Perumahan Setiausaha Kera­jaan Negeri.

jiran larikan anak

Anak hilang dilarikan jiran
Oleh : SHARIFAH HAZIRAH AL-JEFFREY
Tarikh : December 18, 2011
Hilang
KUANTAN - Sepasang suami isteri hanya mampu berdoa selepas anak angkat yang dipelihara sejak lahir hilang dipercayai dilarikan jiran mereka di Kampung Sungai Ular Darat, di sini sejak 11 Disember lalu.
 
Bapa angkat kanak-kanak itu, Jamaludin Musa, 50, berkata, Muhamad Arief Idmran, 4, diambil jirannya Ahad lalu dengan alasan mahu bermain-main dengan kanak-kanak berkenaan, namun tidak dipulangkan kembali selepas lapan jam.
 
Jamaludin berkata, dia dan isterinya, Zaharah Yahaya, 43, mengambil keputusan untuk pergi ke rumah jiran mereka itu untuk mengambil Muhamad Arief.
 
Menurutnya, sebaik tiba di rumah jiran mereka dipercayai pasangan dari Indonesia itu, Jamaludin mendapati pintu pagar rumah jirannya itu berkunci dan dia dimaklumkan oleh jirannya yang lain pasangan itu sudah menghilangkan diri.
 
“Sebelum itu, mereka (jiran) meminta izin membawa pulang Muhamad Arief kerana mahu bermain-main dengan anak saya. Selepas mendapati anak saya tidak pulang, saya mengambil keputusan pergi ke rumah mereka tetapi sudah menghilangkan diri.
 
“Saya jadi bingung dan cuba mengesan di kawasan berhampiran namun gagal menemui mereka,” katanya.
 
Jamaludin yang juga pengurus di sebuah resort membuat laporan di Balai Polis Cherating berhubung kehilangan Muhamad Arief.
 
Menurutnya, kanak-kanak itu dipercayai sudah dibawa lari ke Medan, Indonesia melalui laut.
 
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
 
“Polis sedang menjalankan siasatan dan cuba mengesan kanak-kanak terbabit. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya.
 
Jamaludin dan isterinya mendapat hak penjagaan Muhamad Arief selepas ibu bapa kandung kanak-kanak itu menyerahkan Muhamad Arief kepada mereka kerana tidak mampu memeliharanya akibat kemiskinan hidup.
 
Ibu bapa kandung Muhamad Arief menyerahkannya selepas dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada 27 Julai 2008.

Saturday, December 17, 2011

simen sebab banjir

Baki simen punca banjir
Oleh : NOOR AZIANTY NORMAN
Tarikh : December 17, 2011
simen2
KUANTAN – Sikap sambil lewa dan ambil mudah sekumpulan pekerja yang didakwa dari Pejabat Telekom Malaysia (TM) yang melakukan tugas di Jalan Penjara dikesali kerana boleh mengakibatkan banjir kilat di jalan raya dan bangunan berdekatan.

Mereka dikatakan membuang baki simen ke dalam longkang selepas menyiapkan tugas tanpa memikirkan kesan yang bakal berlaku terutama dalam musim tengkujuh.

Seorang peniaga kesal dengan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab itu membuang lebihan simen ke dalam longkang di hadapan kedainya sehingga lebihan simen di dalam longkang melimpah ke atas jalan.

Na’imran Yunus, berkata, perbuatan itu menyebabkan saluran longkang tersumbat dan boleh mengakibatkan banjir kilat bukan sahaja di hadapan kedainya malah membabitkan kawasan sekitar.

“Dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang, apa sahaja boleh berlaku. Saya tidak mahu kerana perbuatan orang lain, kami di sini yang terpaksa menanggung akibatnya,” katanya yang menjalankan perniagaan kad kahwin.

Katanya, sikap ambil mudah itu boleh mengundang masalah kepada pelanggannya kerana keadaan itu menjejaskan tempat letak kereta di kedainya dan mungkin menyusahkan pengguna jalan raya jika hujan lebat.

“Selepas ini, mungkin tidak ada pelanggan yang mahu berurusan di kedai saya memandangkan kawasan tempat letak kereta yang tidak sempurna,” katanya.

Katanya, selain kedainya, beberapa buah kedai lain serta kawasan perumahan berdekatan menggunakan saluran longkang yang sama.

“Sebelum ini, saya sudah membuat aduan kepada beberapa pihak. Namun, hingga kini masih belum ada tindakan yang diambil.

“Saya dimaklumkan, masalah itu berpunca daripada kontraktor TM. Justeru, saya harap pihak terbabit dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Pengiklanan dan Promosi TM Pahang, Yang Maziah Abdul Ghani berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan terperinci dan mendapati masalah yang timbul bukan berpunca daripada pihak TM mahupun kontraktornya.

“Masalah itu mungkin berpunca daripada syarikat pembekal utiliti yang lain. Pihak kami telah menghubungi pengadu untuk menjelaskan perkara tersebut dan dia menerima penjelasan daripada pihak kami.

“Bagaimanapun, kami mengucapkan terima kasih kepada pengadu di atas maklum balas diberikan,” katanya.

lemas

Pembantu kedai mati lemas
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 16, 2011
jenazah
TANJUNG GEMOK - Hajat seorang pembantu kedai makan untuk merasai sendiri pengalaman bermandi manda di sebuah kolam terbiar di Ladang Yayasan Pahang Plantation, di sini, tidak kesampaian apabila dia ditemui lemas, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Nor Azila Mohamad, 16, pergi ke kolam itu sendirian untuk mandi, namun dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam kolam terbabit.

Majikan mangsa, Samsudin Hassan, 52, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang pekerja warga asing.

“Selepas diberitahu berhubung perkara itu, saya terus berlari ke tempat kejadian dan mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri dan berkemungkinan telah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian.

Samsudin berkata, sewaktu kejadian, pekerja Indonesia yang berada berhampiran kolam terbabit dikejutkan dengan jeritan mangsa meminta tolong, sebelum melihat mangsa beberapa kali tenggelam timbul.

“Melihat keadaan panik itu, pekerja itu terus terjun ke kolam untuk menyelamatkan mangsa, tetapi tidak berjaya kerana dipercayai mangsa sudah pun meninggal dunia,” katanya.

Bagaimanapun katanya, penduduk yang menyaksikan kejadian itu masih belum berputus asa kerana sebaik saja mangsa dinaikkan ke darat, dia diberikan bantuan pernafasan (CPR).

“Denyutan nadi mangsa pada waktu itu sudah terhenti, namun kami (penduduk) tetap memberi bantuan kecemasan dengan harapan dia boleh diselamatkan,” katanya.


Mangsa tidak pernah mandi kolam

Samsudin berkata, dia hairan bagaimana mangsa boleh ke kolam berkenaan kerana sebelum ini, mangsa tidak pernah mandi di kolam itu sejak mengenalinya lebih tiga bulan lalu.

“Nor Azila sebelum ini pernah bekerja dengan saya, tetapi dia ambil keputusan untuk berhenti, namun sejak seminggu lalu, saya panggil dia bekerja semula kerana saya kekurangan pekerja.

“Apa yang saya tahu, Nor Azila sebelum ini tidak pernah ke sana (kolam terbiar) walaupun jarak kedai dengan kolam itu hanya 100 meter, tapi tak tahu kenapa hari ini (semalam) dia tiba-tiba ke kolam itu tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Menurutnya, kolam berkenaan sebelum ini memang digunakan penduduk, tetapi ia sudah lama terbiar dan dipercayai mempunyai kedalaman empat meter.

“Saya percaya kolam itu dalam dan jika tak pandai berenang sudah tentu boleh lemas.

"Lebih-lebih lagi musim hujan sekarang ini menyebabkan air kolam terus meningkat dan merbahaya kepada orang ramai,” katanya.


Berubah sikap

Ibu mangsa, Sun Md Isa, 56, berkata, kepulangan Nor Azila ke rumah mereka di Jalan Pantai 7, Kampung Jawa, di sini, Sabtu lalu adalah kali terakhir dia menatap wajah anak ketiga daripada empat beradik itu.

“Saya masih terkejut dengan kejadian ini kerana merasakan masih baru melihat Nor Azila pulang ke rumah dengan tergesa-gesa sebelum dia mengambil pakaiannya untuk kembali semula ke tempat kerja,” katanya.

Sun berkata, dia langsung tidak menduga, kain baju yang diambil Nor Azila untuk dipakai sewaktu bekerja di sana, adalah petanda anaknya itu akan pergi menghadap Ilahi buat selama-lamanya.

“Mungkin ini sudah suratannya. Walaupun jauh di sudut hati saya merasakan kehilangannya, tapi saya reda dengan ketentuan ini kerana menganggap ada hikmah di sebalik sesesuatu kejadian itu,” katanya.

Sun berkata, sewaktu pulang ke rumah, Nor Azila lebih banyak mendiamkan diri dan langsung tidak mengendahkan anak saudaranya berusia dua tahun yang mahu bermanja dengannya.

“Dia jadi pendiam, tak banyak cakap, malah langsung tak layan anak buahnya yang datang dekat dengannya untuk bermain. Saya dapat lihat sikapnya berubah,” katanya.

Bapa mangsa, Mohammad Hassan, 62, berkata, dia terkejut apabila anaknya itu tidak bermalam di rumah kerana tergesa-gesa pulang ke tempat kerja.

“Biasanya dia tidur di rumah ini satu atau dua malam, namun pada hari itu dia hanya singgah ambil kain baju. Saya macam tak percaya dia kini sudah tiada lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya me­ngesahkan kejadian itu.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan berisiko bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Polis minta orang ramai jangan hampiri kawasan rendah dan berbahaya seperti di sungai, kawasan persisiran pantai, longkang serta kolam terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Poliklinik Tanjung Gemok sebelum dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

banjir kilat di kuantan

Banjir kilat berlaku lagi
Oleh : NOR ATIEYAH YUSOFF
Tarikh : December 17, 2011
banjir kilat2
KUANTAN – Penduduk di Taman Pelindung Perdana, Beserah, terpaksa berdepan banjir kilat akibat sistem perparitan yang didakwa sempit dan tidak mampu menakung air ketika hujan lebat.

Lebih mengecewakan, mereka berhadapan banjir dua kali seminggu pada musim hujan yang tidak menentu.

Terbaru, banjir kilat yang berlaku mengakibatkan Lorong 4, 5 dan 6 perumahan itu dinaiki air 0.5 meter.

Seorang penduduk, Aziz Ismail, 39, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 5 petang, air naik terlalu cepat mengakibatkan beberapa barang terpaksa dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi.

“Dalam keadaan hujan lebat, air sudah melimpahi longkang dan kami mengambil bertindak mengalihkan kenderaan yang diparkir di hadapan rumah ke kawasan lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.

Aziz berkata, dia tidak menyangka air naik dengan cepat dan dalam tempoh sejam, air mula memasuki rumah sehingga paras betis,

Katanya, ketika itu, semua jirannya juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengalihkan kenderaan ke tempat selamat selain mengemas barang supaya tidak rosak.

Jirannya, Widyawati Osman, 38, pula mendakwa, sejak perumahan baru dibina, longkang menjadi sempit dan kecil menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik.

“Kami tidak dapat tidur nyenyak setiap kali hujan kerana bimbang rumah dinaiki air,” katanya.

Katanya, penduduk taman itu terpaksa membina benteng setinggi satu meter sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku banjir kilat namun keadaan itu tidak membantu kerana masih berhadapan bencana ini,” katanya.

Katanya, penduduk di kawasan ini sudah banyak kali melaporkan hal itu kepada pihak berkuasa namun sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil.

rumah relai

Blok rumah jatuh satu demi satu
Oleh : SHARIFAH HAZIRAH AL-JEFFREY
Tarikh : December 16, 2011
tiada dinding
KUANTAN – “Sejak seminggu yang lalu, memang saya perasan struktur rumah semakin renggang tetapi sejak tiga hari kelmarin satu persatu blok rumah jatuh bermula dari bilik air dan ruang dapur,” kata Khamisah Ibrahim, 38 yang tinggal di Felda Bukit Kuantan di sini.

Dalam kejadian dua hari lalu, rumah yang didiami lapan beranak ini tidak selamat diduduki lagi berikutan berdepan dengan risiko tanah mendap yang teruk.

Menurutnya yang sudah lima tahun tinggal di rumah tersebut terkejut melihat dinding rumah yang semakin merenggang.

“Sejak dua tahun lalu, kami tambah rumah sedikit demi sedikit untuk keselesaan, tetapi apabila tiba musim tengkujuh ini, kami langsung tidak lena berikutan rumah yang seolah-olah bergegar setiap kali hujan lebat.

“Lebih menakutkan melihat dinding yang merekah dan kini sudah ‘melopong’,” katanya.

Bagi anaknya, Raja Badrul Amin Raja Bari Shah,14 yang bernasib baik apabila segera keluar dari bilik air rumahnya yang akhirnya jatuh menyembah bumi.

“Saya dengar bunyi mencurigakan dan selepas itu dinding bilik air jatuh lalu terus saya memanggil ahli keluarga yang lain untuk keluar rumah sebelum kesemuanya jatuh disebabkan kejadian tanah mendap ini.

“Saya juga tengok dinding dapur yang jatuh perlahan-lahan dengan bunyi yang kuat,”katanya.

Selain itu, kerugian juga dianggarkan lebih RM10,000 dan keluarga Khamisah kini hilang tempat tinggal berikutan rumah yang tidak selamat diduduki lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, pihaknya sudah menyampaikan bantuan segera untuk meringankan beban keluarga ini.
“Saya akan berbincang dengan pihak atasan untuk mendapatkan bantuan rumah murah kepada mereka kerana rumah ini sememangnya tidak selamat lagi.,” katanya.

pesara maut

Pesara JKR maut dirempuh treler
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 17, 2011
pesara-jkr-dilanggar
BENTONG – Seorang pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) maut apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 2 Jalan Bentong-Raub berhampiran Klinik Kesihatan Batu Satu, dekat sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa, Othman Hamid, 75, beralamat di Kampung Kuala Repas, dekat sini, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Bentong.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 pagi membabitkan dua kenderaan iaitu treler jenis Hino dan motosikal jenis Honda ditunggangi mangsa.

“Treler membawa muatan kertas bersama seorang kelindan ketika itu dalam perjalanan dari arah Raub ke Bentong.

“Setibanya di tempat kejadian, treler itu dipercayai merempuh motosikal mangsa yang keluar dari sebuah simpang ke jalan utama, dekat sini,” katanya.

Mohd Yusri berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bentong kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dituntut keluarga untuk dikebumikan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Friday, December 16, 2011

curi lagi kuali burger

Padah curi kuali burger
Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 16, 2011
Padah curi kuali burger
KUANTAN - Hasrat seorang pemandu untuk memulakan perniagaan menjual burger bagi menambah pendapatan tidak kesampaian apabila dia ditangkap polis kerana mencuri kuali burger milik seorang peniaga di tapak niaga berhampiran sebuah pasar raya, Batu 6, Jalan Gambang dekat sini, 21 November lalu.

Hairul Azhar Hamzah, 29 dari Indera Mahkota di sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam bagi menghadapi tuduhan mencuri mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dia mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah dalam keputusannya mengarahkan tertuduh membayar denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Tertuduh yang juga bapa kepada seorang anak didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira-jam 9.10 pagi 21 November lalu.

Nasib tertuduh tidak baik kerana perbuatannya disedari pemilik gerai yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian.

Berdasarkan fakta kes, peniaga terbabit ternampak sebuah kereta Perodua Kancil berwarna perak diletakkan berhampiran gerainya.

Pada masa yang sama, dia ternampak seorang lelaki (tertuduh) sedang mengangkat kuali burgernya dan dimasukkan ke dalam bonet kereta tersebut.

Peniaga berusia 36 tahun mendekati tertuduh lalu bertanya berhubung tindakan lelaki itu mengambil kuali bersama rantai besi dari gerai di situ.

Tertuduh yang berpura-pura sebagai pemilik gerai itu menjelaskan dia datang untuk berniaga tanpa menyangka lelaki itu pemilik sebenar gerai yang dicurinya.

Lelaki tersebut kemudian menangkap tertuduh dan merampas semula perkakasan itu bersama satu alat pemotong besi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan.

Dalam rayuannya, tertuduh memilih hukuman denda memandangkan dia terpaksa menyara anak dan kedua ibu bapanya yang sudah tua dengan pendapatan RM900 sebagai pemandu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal memandangkan lelaki itu memiliki tiga rekod kesalahan lampau dan pernah dipenjarakan selama 20 bulan atas kesalahan memiliki dadah.

Wednesday, December 14, 2011

rumah roboh

Terkejut lihat tandas bergerak
Oleh : ASWANY OMAR & SHARIFAH HAZIRAH
Tarikh : December 14, 2011
Tanah runtuh
KUANTAN – “Saya berdebar tengok tandas bergerak dan terus memanggil adik keluar,” kata Mohd Taufik Mohd Shafie, 11, yang masih panik dengan kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan bahagian belakang rumah neneknya runtuh, kelmarin.
 
Tanah runtuh itu mengakibatkan ruang bilik neneknya runtuh dan beberapa barang termasuk tilam, katil dan televisyen terjatuh kira-kira dua meter di belakang rumah.
 
“Ketika itu saya mahu ke tandas, tiba-tiba nampak tandas bergerak perlahan-lahan. Saya berdebar melihat dan terus memanggil adik dan ayah keluar rumah,” katanya.
 
Katanya, walaupun belum membeli peralatan sekolah baru namun beberapa barang sekolah lamanya juga jatuh dan rosak.
 
Selepas itu, katanya, mereka semua keluar dari rumah dan menunggu neneknya, Wan Nah Wan Ali, 70 pulang dari kedai sementara beberapa jiran membantu bapanya mengeluarkan perkakas rumah.
 
Wan Nah ketika ditemui berkata , dia bergegas pulang dari kedai sebaik sahaja dimaklumkan seorang jiran kira-kira jam 10.30 pagi.
 
Katanya, dia tidak menyangka rumah yang didiaminya sejak 30 tahun lalu di Jalan Sungai Lembing, Kampung Panching, itu rosak teruk akibat tanah runtuh.
 
Bagaimanapun, Wan Nah bersyukur kerana nyawa dua cucu, Mohd Taufik dan Nor Shafika, 10, serta anaknya, Mohd Shafie Adam, 30, yang berada di dalam rumah ketika itu selamat.
 
Sementara itu, Mohd Shafie berkata, dia tidak selalu berada di rumah kerana bekerja sebagai pemandu lori tetapi pernah memohon bantuan bagi membaiki rumah ibunya yang sudah usang.
 
Menurutnya, dalam tempoh setahun lalu, dia membuat lebih lima permohonan untuk membaiki rumah dan ada beberapa individu datang mengambil gambar dan maklumat berkaitan.
 
Sementara itu, nasib Wan Mah sekeluarga mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang turut melihat lokasi kejadian, semalam.
 
Turut hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Zaili Besar dan Pegawai Daerah Kuantan Datuk Norhayad Ahmad.
 
Menurut Abdul Manan, pihaknya telah memberikan bantuan segera kepada keluarga Wan Mah dan akan memanjangkan perkara ini kepada pihak atasan untuk memberikan sebuah petempatan baru kepada keluarga ini.
 
“Buat sementara waktu ini pihak kami menempatkan mangsa di Pusat Komuniti DUN Panching, dan selepas itu saya akan membuat permohonan untuk rumah PPRT bagi membantu mangsa yang telah kehilangan rumah akibat bencana ini.
 
“Oleh itu, saya harap keluarga ini bersabar kerana bantuan daripada pihak kerajaan akan disampaikan kelak,” katanya.

jerat babi punya pasal

Nyaris maut angkara tembakan
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 15, 2011
Nyaris maut angkara tembakan
BENTONG – Lapan sekeluarga Orang Asli yang tinggal di sebuah pondok di kebun durian berhampiran Kampung Gemeti, dekat sini, berdepan detik mencemaskan apabila dihujani tembakan bertalu-talu daripada pihak tidak dikenali.

Amat Stek, 40, berkata, dia bersama isteri, adik, dua anak serta tiga anak saudaranya tinggal di pondok itu sementara waktu untuk menjaga durian milik majikannya.

Menurutnya, kira-kira jam 9.15 malam ketika mereka semua ingin masuk tidur, dia terdengar bunyi bising di luar pondok.

“Saya cuba menjenguk di bahagian luar pondok dan mendapati seseorang sedang menghalakan senapang patah ke arah pondok serta menembak bertalu-talu. Atas dasar keselamatan, saya meminta semua ahli keluarga meniarap dan berlindung,” katanya.

Amat berkata, selepas itu, tembakan dapat didengari dari sebelah tepi pondok menyebabkan mereka semua terus berlindung.

Menurutnya, kemudian secara tiba-tiba ruang pondok diliputi asap berwarna merah hasil daripada tin yang dilemparkan pihak tidak dikenali itu.

“Kami semua melarikan diri dari pondok itu dan merentasi kebun untuk menyelamatkan diri seterusnya memaklumkan kepada majikan berhubung perkara itu,” katanya.


Majikan lapor polis

Sementara itu, majikan mangsa, Lum Kwong Chee, 53, berkata, selepas dimaklumkan pekerjanya, dia terus ke tempat kejadian sebelum ke balai polis untuk membuat laporan.

Menurutnya, selain pondok, kenderaan Ford Ranger yang diletakkan di hadapan pondok juga turut menjadi sasaran tembakan pihak tidak dikenali itu.

“Terdapat kesan tembakan di bahagian pintu dan keempat-empat cermin tingkap juga dipecahkan. Wang tunai yang terdapat di dalam kereta bernilai RM200 turut lesap,” katanya.

Kwong Chee berkata, walaupun terdapat kesan tembakan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Menurutnya, pihaknya tidak mengetahui punca kejadian dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.


Polis jalankan siasatan

Manakala, Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, selepas menerima laporan daripada majikan mangsa, pihaknya terus menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati terdapat kesan tembakan di dinding rumah dan kenderaan Ford Ranger yang diletakkan di hadapan pondok itu.

“Selain itu, polis juga menemui butir peluru dipercayai peluru penabur.

“Siasatan awal mendapati, kejadian kemungkinan berpunca daripada perasaan tidak puas hati atas pemasangan jerat babi dilakukan pekerja Orang Asli itu yang terkena individu atau kumpulan dipercayai sedang memburu.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api dan suspek dalam kes ini sedang kami kenal pasti,” katanya.

ngaku bujang

Cuba berlagak bujang elak dicekup
Oleh : NOR AINNA HAMZAH
Tarikh : December 15, 2011
kahlwat
LEDANG – Seorang pekerja bengkel membaiki jentera yang sudah berkahwin tergamak mengaku bujang apabila disoal siasat penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Ledang (PPADL) ketika dicekup berkhalwat, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 29 tahun dan pasangannya berusia 21 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi ketika sedang berdua-duaan dalam sebuah rumah di Batu 1 ½ Tanjung Agas, di sini, untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, lelaki itu mengaku sudah tujuh tahun berkahwin dan memiliki dua anak yang kini menetap di Melaka selepas didesak PPADL.
Dia juga mendakwa datang ke rumah teman wanitanya untuk berehat seketika, tetapi tertidur kerana keletihan selepas pulang bekerja dari Johor Bahru.

Manakala, pasangannya adalah warganegara Kemboja dan baru sahaja memeluk Islam pada Julai lalu.

Mereka berkenalan sejak setahun lalu dan bercadang untuk mendirikan rumah tangga pada April tahun depan.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota diketuai Pegawai Penguat Kuasa, Zainal Kadiran memeriksa rumah itu.

Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang hanya berseluar dalam membuka pintu.

“PPADL terpaksa menunggu hampir 15 minit sebelum lelaki itu membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang remaja perempuan memakai baju-T paras lutut sedang baring di atas tilam,” katanya.

Pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Mati dan Balai Polis Sagil untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama untuk siasatan lanjut, sebelum dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.

Katanya lagi, mereka ditahan dan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) a b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, 1997 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

bantu pulihkan city liner

Selesai segera masalah operasi bas City Liner

TEMERLOH 14 Dis. - Kerajaan negeri diminta supaya menyelesaikan masalah operasi perkhidmatan bas henti-henti yang dikendalikan oleh syarikat City Liner bagi memastikan pengangkutan awam itu kembali pulih seperti sediakala.

Selain itu, lebih 30 pemandu bas syarikat tersebut kehilangan sumber pendapatan utama dan mendesak kerajaan negeri campur tangan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Seorang pemandu bas, Ahmad Bila Adam, 46, berkata, pemandu dan penumpang merayu kerajaan menyelesaikan masalah itu segera memandangkan perkhidmatan pengangkutan itu menjadi keutamaan penduduk di daerah itu.

Menurutnya, sejak bekerja dengan syarikat itu lebih 20 tahun lalu, masalah yang berlaku kali ini agak perit kerana kehilangan sumber pendapatan utama dalam keadaan harga barangan semakin mahal sekarang.

"Kami tidak ada punca pendapatan lain, sebab itu menggesa kerajaan negeri atau agensi berkaitan berkaitan campur tangan dalam isu ini.

"Mereka kena turun sendiri dan sekurang-kurangnya adakan perbincangan supaya perkara itu diselesaikan segera," katanya kepada pemberita selepas mengadakan demonstrasi aman di Stesen Bas Henti-Henti di Lurah Semantan di sini baru-baru ini.

Seorang lagi pemandu bas, Mohd. Safran Abdul Karim berkata, pendapatan mereka kini hanya bergantung pada gaji pokok antara RM300 dan RM600 sebulan.

Menurutnya, dia sendiri dibayar di bawah RM400 sebulan dan pendapatan sebanyak itu tidak cukup untuk menyara keluarga dan anak-anak yang masih bersekolah.

Dalam pada itu, seorang penumpang bas, Shamsudin Bakar, 95, yang menggunakan perkhidmatan bas berkenaan sebagai pengangkutan utama ke bandar Temerloh merayu supaya kerajaan menyelesaikan isu berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini, masalah itu tidak pernah wujud dan berharap kerajaan dapat menyelesaikan demi kepentingan rakyat.

Bagi Jumina Juhani 49, dari Temerloh Jaya berkata, dulu dia membayar RM1.60 untuk ke bandar Temerloh dengan menaiki bas, tetapi kini terpaksa bayar RM10 sehari menaiki teksi untuk ke sana.

suku che wong

Transformasi suku Che Wong


Sultanah Kalsom melihat kanak-kanak Orang Asli mewarna lukisan di Bangunan Kebudayaan Orang Asli Che Wong.


TEMERLOH 14 Dis. - Masyarakat Orang Asli suku Che Wong di Kuala Gandah, Lanchang dekat sini mengalami transformasi dalam kehidupan mereka dengan kerjasama Genting Malaysia Berhad.
Tanggungjawab sosial korporat syarikat itu yang menyumbangkan sebuah bangunan serbaguna dikenali sebagai Bangunan Kebudayaan Orang Asli Che Wong amat bermakna kepada hampir 388 penduduk yang menetap di kawasan tersebut.
Bangunan seluas 2,800 kaki persegi bernilai RM180,000 itu dilengkapi bilik darjah, bilik bacaan dan ruangan khas untuk aktiviti kebudayaan serta kraf tangan.
Naib Presiden Kanan Perhubungan Awam dan Komunikasi Genting, Datuk Anthony Yeo (gambar) berkata, bangunan tersebut dibina bertujuan mengubah cara hidup masyarakat Orang Asli di situ dalam bidang akademik dan meningkatkan hasil pendapatan menerusi kraf tangan mereka.
“Masyarakat di sini terpinggir dan ramai yang buta huruf termasuk golongan dewasa. Mereka juga pemalu untuk berinteraksi dengan orang luar.
“Jadi, kami mengambil inisiatif mendampingi dan menyelami masalah mereka supaya masyarakat Orang Asli di sini mendapat pendidikan lebih baik dan mampu berkomunikasi dengan orang luar terutama pelancong yang datang ke Kuala Gandah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian bangunan tersebut baru-baru ini.
Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom berkenan menyempurnakan majlis yang turut dihadiri isteri Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Berhad, Puan Seri Cecilia Lim; Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin.
Pada majlis tersebut, Sultanah Kalsom turut beramah mesra dengan rakyat dan menyampaikan sumbangan beras serta hamper kepada 83 keluarga Orang Asli suku Che Wong.
Anthony berkata, pada November 2008 pihaknya mengadakan program di Kuala Gandah dan ketika itu timbul idea membina bangunan tersebut apabila melihat kesukaran masyarakat Orang Asli di situ menjalani kehidupan seharian.
Beliau memberitahu, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang dan membuat keputusan membina bangunan tersebut sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.
“Pembinaan bangunan tersebut turut mendapat bantuan sukarela daripada pasukan khidmat masyarakat Genting yang bergotong-royong bersama penduduk Orang Asli di sini,” katanya.
Menurutnya, 388 Orang Asli di kampung berkenaan kini mempunyai tempat selesa untuk membuat kraf tangan di samping menjadikan ruang legar bangunan itu sebagai tempat mempersembahkan tarian Sewang kepada pelancong.
Selain membina bangunan tersebut, syarikat itu juga menjalankan beberapa aktiviti kemasyarakatan lain termasuk Badan Amal Nur Zaharah, Janda Baik, Yayasan Sunbeams Home di Batang Kali, Selangor dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Tinggi, Bentong.
Sementara itu, seorang guru dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Zaliah Ali berkata, pembinaan bangunan tersebut bagaikan satu dunia baru kepada masyarakat Orang Asli di situ.
“Sebelum ini mereka terpaksa berhimpit dan menjalankan tiga aktiviti iaitu pembelajaran, kebudayaan dan kraftangan secara serentak di dalam sebuah pondok yang tidak selesa,” katanya.
Zaliah berkata, dengan adanya bangunan kebudayaan tersebut, masyarakat Orang Asli itu akan mendapat pendidikan lebih sempurna dan berlatih aktiviti kebudayaan serta membuat kraftangan di tempat yang lebih selesa.

pendapatan orang asli

Menjana pendapatan Orang Asli

TEMERLOH 14 Dis. - Pembinaan Bangunan Kebudayaan Kampung Orang Asli Che Wong dapat mengubah cara hidup dan menjana pendapatan masyarakat itu di Kuala Gandah, Lanchang dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, penduduk di kampung tersebut tidak lagi perlu bergantung hidup dengan mencari hasil hutan kerana mereka boleh menghasilkan pelbagai jenis produk kraftangan di ruangan lebih luas dalam bangunan tersebut.

"Purata pendapatan masyarakat Orang Asli di kampung tersebut ialah RM350 sebulan, jadi mereka boleh manfaatkan kemudahan yang disediakan oleh Genting Malaysia Berhad untuk menambah pendapatan dengan menjual hasil kraf tangan kepada pelancong di Kuala Gandah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tok Batin kampung itu, Bakri Raja Teh mengucapkan terima kasih kepada syarikat itu kerana membina bangunan tersebut untuk kegunaan mereka menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik.

"Kami tak perlu lagi berhimpit untuk belajar dan membuat kraftangan seperti di dalam pondok sebelum ini. Kami akan gunakan se gala kemudahan yang diberi untuk kebaikan bersama," katanya.

Sementara itu seorang penduduk kampung itu, Najib Ning, 38, berkata, mereka dapat berlatih pelbagai aktiviti kebudayaan dengan lebih selesa dan sempurna.

"Ruang legar yang luas membolehkan kami berlatih dan mempersembahkan tarian Sewang kepada orang ramai dan pelancong yang datang ke sini," ujar penoreh getah itu.

Seorang kanak-kanak, Nurain Abdullah, 9, pula gembira kerana kanak-kanak di perkampungan itu dapat menjalani proses pembelajaran dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

"Sekarang kami sudah ada kelas lebih selesa yang dilengkapi dengan banyak kemudahan seperti kerusi, meja, kipas dan bahan bacaan yang mampu menarik minat penduduk di sini untuk menuntut ilmu," katanya.

Monday, December 12, 2011

asli sokong bn

Orang Asli sokong BN


Ismail Sabri Yaakob ketawa melihat gelagat seorang pelajar perempuan yang sedang mencuba tudung selepas majlis Penyampaian Sumbangan Pakaian Sekolah Parlimen Bera di Bera, kelmarin.


BERA 12 Dis. – Barisan Nasional (BN) yakin masyarakat Orang Asli di daerah ini akan menyokong dan mengundi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masyarakat itu perlu terus menyokong kerajaan sedia ada kerana BN banyak menabur jasa dalam memberi kemudahan dan membela nasib mereka.
Katanya, sejak dahulu lagi masyarakat Orang Asli di daerah ini sentiasa menyokong BN dan kali ini diharap sokongan tersebut tidak akan berubah terutama pada pilihan raya nanti.
“Kerajaan sudah banyak melaksanakan projek pembangunan di perkampungan Orang Asli di Parlimen Bera sejak dahulu hingga kini, malah sebahagian perkampungan terbabit mendapat kemudahan prasarana serba lengkap.
“Kerajaan menyediakan prasarana seperti dewan, jalan, bekalan air dan elektrik serta membaiki serta membina rumah kepada masyarakat pribumi itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan pakaian sekolah Parlimen Bera yang disumbangkan oleh Bank Rakyat kepada lebih 2,500 pelajar termasuk anak-anak Orang Asli di sini semalam.
Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman dan Datuk Mohd. Aini Taib.
Menurut beliau, kerajaan telah membina dan membaiki lebih 40 rumah di beberapa perkampungan Orang Asli di daerah itu.
Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, Orang Asli tidak lama lagi akan mendapat geran hak milik tanah masing-masing seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Tanjung Sepat, Selangor baru-baru ini.
“Kerajaan tidak akan membezakan masyarakat Orang Asli, malah mereka akan diberi pembelaan bagi meningkatkan taraf hidup yang mana bantuan wang persekolahan RM100 serta Bantuan Rakyat 1Malaysia RM500 akan turut diberikan kepada mereka,” katanya.

Sunday, December 11, 2011

galeri mat kilau

Galeri bernilai RM150,000
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 10, 2011
AHMAD-SHUKRI
PULAU TAWAR - Projek Galeri Mat Kilau bernilai RM150,000 kini sedang giat dilaksanakan di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, di­lihat mampu menjadi pemacu baru bidang pelancongan di daerah Jerantut dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, galeri itu antara usaha kerajaan mengetengahkan artifak sejarah Pahlawan Melayu Pahang Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman untuk tarikan pelancong ­domestik dan luar.

Menurutnya, projek itu juga sekali gus berperanan sebagai pusat dokumentasi, ­rujukan sejarah serta pameran yang kedua khususnya ­mengenai tokoh Pahlawan Melayu negeri ini selepas Muzium Negeri di Pekan.

“Bukit Rang amat sesuai dan strategik kerana kawasan ini telah dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan bandar serta dirancang dengan pel­bagai program pembangunan dan ekonomi lainnya.

“Projek ini juga memboleh­kan bidang pelancongan dikembangkan seperti kawasan projek inap desa untuk pelancong luar dan domestik tidak lama lagi,” katanya di sini.

Ahmad Shukri berkata, ­tapak galeri itu berdekatan dengan Makam Mat Kilau di Kampung Kedondong, masjid lama Pulau Tawar. Menurutnya, galeri tersebut diharap dapat menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke Pulau Tawar dan Jerantut, ­seterusnya memberikan pelbagai impak positif kepada semua.

“Lebih utama, bidang pelancongan berasaskan sejarah dapat dikembangkan, seterusnya meningkatkan lagi imej kawasan di sini dan memperluaskan potensi pelancongan sedia ada,” katanya.

xpakai topi keledar

Jarak bukan penentu selamat
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 12, 2011
motosikal
KUANTAN – “Bukan saya tidak mahu pakai topi keledar, tapi dengan jarak yang dekat antara sekolah dan rumah, saya rasa selamat. Lagipun agak leceh nak pakai topi keledar untuk jarak yang dekat,” kata seorang pelajar tingkatan empat yang mahu dikenali sebagai Fahmi.

Fahmi yang tinggal di Indera Mahkota di sini berkata, sejak dahulu dia sememangnya sudah biasa tidak memakai topi keledar untuk ke tempat-tempat yang dekat.

Menurutnya, setiap hari ke sekolah, dia akan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar kerana jarak rumah ke sekolah tidak sampai lima minit.

“Kadang-kala memang terfikir juga malang tidak berbau, apa-apa boleh terjadi semasa kita menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar, tetapi saya lebih selesa untuk tidak pakai.

“Tengok iklan di televisyen mengenai kepentingan memakai topi keledar, saya insaf sekejap, selepas itu tak pakai semula,” katanya.

Fahmi yang mula menunggang motosikal sejak tingkatan dua ini berpendapat kurang kesedaran di kalangan belia mengenai kepentingan memakai topi keledar ini.

Katanya, disebabkan jiwa muda yang mahu menunjukkan keberanian, remaja sepertinya sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapat perhatian ramai.

“Jika saya memakai topi keledar ke sekolah, saya akan berasa kekok walaupun itu merupakan satu keperluan untuk semua bagi menjamin keselamatan.

“Melihat kepada statistik di mana penunggang motosikal adalah penyumbang terbanyak dalam kemalangan jalan raya dan maut, saya sedar nyawa kita hanya di hujung tanduk sahaja jika tidak memakai topi keledar,” katanya.

Sehubungan itu, juga dia kini dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran diri dengan memakai topi keledar untuk ke mana-mana.

“Bukan senang untuk berubah kerana saya sudah biasa dan selesa, bagaimanapun saya sedar bahawa perubahan positif perlukan dilakukan dan dimulakan oleh kita dahulu sebelum orang lain mengikutinya.

“Sebagai remaja saya sedar hidup ini masih panjang lagi dan oleh kerana satu kesilapan saya boleh memusnahkan masa depan saya sendiri. Oleh itu, saya kini dalam usaha untuk berubah, walaupun tidak secara drastik, tetapi saya akan cuba yang terbaik,” katanya.

lintasan maut

Umpama perangkap maut
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 12, 2011
melintas jalan
BENTONG – Pematuhan terhadap amalan melintas jalan yang betul dapat mengelakkan kejadian tidak diingini dari berlaku hingga boleh mengundang maut.

Sikap sesetengah orang awam yang suka membahayakan nyawa sendiri untuk melintas jalan di tempat tidak sesuai seperti di lebuh raya sememangnya dilihat boleh membawa bahaya.

Seorang pengguna jalan raya, Ahmad Khairul Zulkiflie, 32, berkata, dia pernah beberapa kali terserempak dengan orang awam yang cuba melintas lebuh raya terutama berhampiran susur masuk ke Bentong dekat sini ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.

 Menurutnya, kemungkinan jarak untuk keluar ke jalan besar agak jauh menyebabkan mereka menggunakan jalan mudah dengan melintas di tengah lebuh raya lebih-lebih bagi yang tinggal di kawasan Taman Benus Jaya dekat sini.

“Keadaan seperti ini cukup berbahaya kerana di lebuh raya kenderaan dipandu dengan laju dan mempunyai laluan yang lebih besar dari jalan biasa.

“Mungkin mereka yang suka melintas di lebuh raya ini merasakan mereka tidak melakukan kesalahan tetapi ia sebenarnya memberi kesan kepada pengguna lain,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, orang awam dinasihatkan tidak melintas di lebuh raya terutama pada waktu malam kerana ia berbahaya.

Menurutnya, pada waktu malam pencahayaan terhad dan kenderaan biasanya dipandu laju.

“Elakkan melintas di tempat tidak sepatutnya kerana ia akan mengundang bahaya dan boleh membawa maut.

“Pengguna diminta mencari alternatif yang bersesuaian untuk melintas jalan terutama sekali menggunakan kemudahan jejantas atau menggunakan laluan yang biasa digunakan pengguna lain,” katanya.

tunas manja terbakar

Tunas Manja Kerayong terbakar
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 12, 2011
pasaraya
BERA  - Bangunan Tunas Manja Kerayong yang turut disewa tujuh peniaga lain hangus dalam kebakaran, kira-kira jam 3 pagi semalam.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Triang, Manoharan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam jam 3.21 pagi.

Menurutnya, dua jentera bersama sembilan anggota bergegas ke tempat kejadian dengan bantuan dua lagi jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dan Bomba Sukarelawan Kemayan.

“Saya tidak pasti bila kebakaran itu berlaku tetapi semasa kami tiba di tempat kejadian, api sudah marak bermula dari tengah bangunan.

“Memandangkan api marak, kerja memadamkan kebakaran dilakukan pada jarak 10 meter, tambahan pula semua kedai ditutup dengan pintu besi,” katanya kepada Sinar Harian.

Manoharan berkata, 95 peratus bangunan berkenaan hangus dan tiada apa yang dapat diselamatkan.

Katanya, kebakaran menyebabkan bahagian bumbung tengah bangunan jatuh ke dalam bangunan.

Menurutnya, sehingga jam 11 pagi semalam, pihaknya masih melakukan kerja memadamkan bara api dalam setiap premis yang ada.

“Walaupun api sudah berjaya dikawal tetapi masih kedengaran bunyi letupan kecil dalam bangunan ini. Kawasan ini akan ditutup sementara kepada orang awam sehingga keadaan dijamin selamat,” katanya.

Pemilik kedai muzik dan cakera padat, Tan Ling Chee berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 4 pagi, menerusi panggilan telefon dari seorang kenalannya.

“Saya bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan barang dalam kedai, tetapi apabila sampai, api sudah marak. Saya langsung tidak dapat mendekati kedai untuk keluarkan barang.

“Saya kerugian kira-kira RM150,000, lebih-lebih lagi saya baru menerima stok baru untuk dijual,” katanya.

Pemilik padang futsal tertutup, Khairul Najmi Ahmad berkata, walaupun premisnya terletak di hujung bangunan Tunas Manja, tetapi dia turut mengalami kerugian melebih RM100,000.

Menurutnya, hampir 90 peratus barangan dalam premisnya hangus.

“Apa yang saya usahakan lebih setahun lalu musnah sekelip mata.

“Saya menyewa dua lot kedai di sini. Semua barang dalam kedai tidak dapat diselamatkan kecuali yang kelihatan tiang gol masih teguh berdiri,” katanya.

bas temerloh

Desak campur tangan
Oleh : M FEISAL NORAWI
Tarikh : December 12, 2011
desak
TEMERLOH - Lebih 30 pemandu dan penumpang bas City Liner mendesak Kerajaan Negeri membantu mereka meneruskan operasi bas henti-henti yang digantung perkhidmatannya sejak 10 hari lalu.

Mereka mendesak kerajaan campur tangan kerana kebanyakan pemandu bas kehilangan sumber pendapatan utama, selain turut mengakibatkan ratusan pengguna perkhidmatan itu terkandas.

Pemandu bas, Ahmad Bila Adam 46, berkata, pemandu dan penumpang merayu kerajaan menyelesaikan masalah itu segera.

Menurutnya, sejak lebih 20 tahun bekerja dengan syarikat terbabit, masalah yang berlaku kali ini disifatkan paling buruk kerana kehilangan sumber pendapatan, terutama ketika harga barangan semakin mahal.

“Kami tidak ada punca pendapatan lain, sebab itu menggesa Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan campur tangan dalam isu ini.

“Mereka kena turun sendiri selesaikan masalah kami, sekurang-kurangnya adakan perbincangan dan jenguk kami di sini yang semakin tertekan,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan demonstrasi aman di Stesen Bas Henti-Henti Lurah Semantan, semalam.

Pemandu bas, Mohd Safran Abdul Karim berkata, pendapatan mereka kini hanya bergantung pada gaji pokok antara RM300 hingga RM600 sebulan.

Menurutnya, dia sendiri dibayar di bawah RM400 sebulan dan dengan pendapatan sebanyak itu sudah tentu tidak mencukupi untuk menyara keluarga serta anak-anak yang masih bersekolah.

“Perkhidmatan bas digantung bermakna kami tidak ada kerja. Tidak ada kerja bermakna tidak ada gaji, macam mana nak sara keluarga,” katanya.

Sementara itu, Shamsudin Bakar 95, yang menggunakan perkhidmatan bas sebagai pengangkutan utama ke bandar Temerloh sejak hampir 80 tahun lalu merayu kerajaan menyelesaikan isu berkenaan.

Menurutnya, dia menggunakan perkhidmatan bas dari rumahnya di Kampung Lebak, kira-kira tujuh kilometer dari Temerloh untuk bersarapan sejak tahun1937.

“Dulu tak pernah ada masalah macam sekarang. Elok juga buat demonstrasi macam ini supaya kerajaan dapat tahu apa masalah rakyat sekarang,” katanya.

Jumina Juhani 49, dari Temerloh Jaya berkata, dulu dia membayar RM1.60 untuk ke bandar Temerloh menaiki bas, tetapi kini terpaksa bayar RM10 sehari menaiki teksi.

“Kos yang tinggi seperti ini sangat membebankan terutama mereka yang berpendapatan kecil,” katanya.

Pada 3 Disember lalu Sinar Harian melaporkan puluhan pengguna bas henti-henti kecewa apabila pengangkutan awam yang digunakan saban hari di daerah ini menggantung sementara operasi berikutan tidak mampu menampung kos yang semakin meningkat.

kr1m

KR1M bukan untuk monopoli pasaran produk murah
Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 11, 2011
KR1M bukan untuk monopoli pasaran produk murah
BERA - Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) diwujudkan bukan untuk memonopoli pasaran barangan pengguna yang berharga rendah tetapi sebagai penanda aras bagi syarikat-syarikat lain melakukan perkara yang sama supaya lebih kompetitif.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha kementerian mewujudkan KR1M dilihat boleh mewujudkan persaingan secara sihat dengan syarikat lain dalam memberikan faedah kepada rakyat dengan penawaran produk pada harga lebih rendah.
“KR1M bukan untuk memonopoli produk tiada jenama tetapi supaya lebih banyak syarikat lain bersaing dengan mengeluarkan produk sama dan dengan cara itu harga lebih murah dapat ditawarkan kepada pengguna,” katanya kepada pemberita di majlis penyampaian sumbangan program Jalinan Murni di sini, semalam.
 
Beliau berkata syarikat-syarikat produk lain di pasaran kini sudah berlumba-lumba menurunkan harga barangan mereka sejak KR1M diwujudkan dan perkara itu dilihat sebagai sesuatu yang positif.
 
“Selepas ini, kita harap lebih banyak lagi syarikat pengeluar lain mengeluarkan produk yang tiada jenama dengan tawaran harga lebih murah seperti yang dilakukan oleh syarikat Mydin,” katanya.
 
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pihaknya mensasarkan menjelang hujung tahun depan, semua kedai runcit di setiap daerah di seluruh negara menjual sekurang-kurangnya satu produk KR1M.
 
Katanya setakat ini produk KR1M telah dijual di 167 buah kedai runcit di seluruh negara manakala jumlah KR1M sehingga kini berjumlah 17 buah dan hingga hujung tahun ini ia akan mencecah angka 25 buah.
 
Selain itu, katanya, mulai tahun depan orang ramai boleh memohon mengusahakan KR1M daripada kerajaan dengan mengisi borang permohonannya apabila ia dikeluarkan nanti.

kemalangan ngeri di bera

Satu maut, sembilan parah
Oleh : AZIZAH SHAFIEI
Tarikh : December 11, 2011
Satu maut, sembilan parah
BERA – Hasrat sebuah keluarga berketurunan Orang Asli untuk menerima sumbangan persekolahan tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Simpang Kerayong - Purun – Kepayang, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 pagi itu membabitkan dua kereta jenis Nissan Pulsar berwarna hijau dan Proton Satria berwarna merah.

Pemandu kereta Proton Satria, Mohd Alif Abu, 19, maut di tempat kejadian, sementara sembilan mangsa lain cedera parah.

Seorang mangsa, Norlijah Lee Nai Kown, 32, berkata, kereta Proton Satria itu tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum menghentam kereta dipandu suaminya, Nordin Anjah, 34.

Menurutnya, suaminya tidak sempat berbuat apa-apa kerana kereta itu terlalu laju.

“Saya nampak kereta itu memasuki arah bertentangan dan berpusing-pusing sebelum merempuh kereta kami,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Norlijah sempat menghubungi saudara-mara dan kenalan untuk memaklumkan kejadian itu kerana bimbangkan keadaan suaminya yang tersepit dan ahli keluarga lain yang cedera parah.


Dakwa kereta dipandu laju

Sementara itu, seorang saksi, Nora Huing, 36, berkata, mereka termasuk keluarga mangsa dalam perjalanan ke Kompleks Rakan Muda, Kerayong untuk menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jalinan Murni.

Menurutnya, semasa kejadian, hampir semua penduduk dari Batu 10, Kampung Ibam secara konvoi sama ada menaiki kereta atau motosikal menuju ke tempat sama.

“Kami berkonvoi tiga kereta. Kereta mangsa berada di belakang. Saya perasan kereta merah itu dipandu laju dan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat.

“Bila menoleh, saya dapati kereta itu merempuh kereta mangsa dengan bahagian depan remuk menyebabkan pemandu dan penumpang di hadapan tersepit,” katanya.


Bantu selamat mangsa

Manakala, Ismail Yusuf, 57, berkata, pada awal kejadian, semua mangsa tidak mampu keluar dari kenderaan masing-masing.

Katanya, sehubungan itu, dia bersama beberapa orang awam yang tiba di tempat kejadian segera mengeluarkan mangsa.

“Saya cuba mengeluarkan mangsa dari kereta Proton Satria, tetapi pintu tidak dapat dibuka walaupun ditendang beberapa kali.

“Jadi, saya mengopak sedikit bahagian atas pintu sebelah pemandu untuk menarik keluar mangsa mengikut tingkap. Pada masa itu, semua mangsa masih hidup,” katanya.

Semua mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bandar 32 sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk pemeriksaan lanjut.


Tiada kesan brek pada jalan

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor berkata, dalam kejadian itu, kereta jenis Proton Satria dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki jalan bertentangan.

Menurutnya, mangsa bersama tiga penumpang lain berasal dari Felda Triang 1 dalam perjalanan ke arah Felda Kepayang, sementara sebuah lagi kereta jenis Nissan Pulsar dinaiki keluarga Orang Asli menuju ke arah Kerayong.

“Siasatan awal mendapati tiada kesan brek pada jalan di lokasi kejadian. Dipercayai kereta Proton Satria itu dipandu laju dan hilang kawalan.

“Dalam kejadian itu juga, dua mangsa di bahagian hadapan kereta Nissan Pulsar itu tersepit, sementara penumpang di bahagian belakang cedera parah,” katanya.

Mereka yang cedera parah ialah Nordin Anjah, 34 (pemandu Nissan Pulsar); Leboi Pendek, 54; Hor Pui Kuan, 14; Hor Pui Yee, 12; Norlijah Lee Nai Kwon, 32 dan anak perempuannya berusia 6 tahun, sementara maklumat mangsa yang menaiki Proton Satria masih belum diperoleh.

Mohd Zahid berkata, semasa kejadian, keadaan jalan di lokasi kejadian adalah lurus, rata dan kering.

“Semua mangsa dibawa ke Hoshas untuk rawatan susulan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya.

Beliau turut memuji keprihatinan orang awam membantu mengeluarkan mangsa terutama kakitangan Klinik Kesihatan Purun yang kebetulan dalam perjalanan ke Hoshas dan sanggup berhenti untuk memberi rawatan kecemasan kepada semua mangsa.

Tuesday, December 6, 2011

litar di jenderak

Cadang wujud litar di Jenderak


AHLI Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed (kanan) bersalaman dengan para pelumba cilik yang menyertai Mini Karnival Rakyat DUN Jenderak di Kuala Krau, baru-baru ini.


KUALA KRAU 5 Dis. - Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenderak, bercadang mewujudkan satu litar motosikal di kawasan ini bagi memudahkan kanak-kanak dan remaja aktif dalam sukan itu secara berjadual.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar berkata, cadangan pembinaan litar itu dilihat mampu menangani gejala lumba haram yang membimbangkan masyarakat ketika ini.
"Kegiatan itu dilihat mendatangkan banyak faedah kepada anak muda, kerana dapat menghindarkan mereka terjebak dalam melakukan kegiatan tidak berfaedah," katanya di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelumba kanak-kanak, Umi Kalsum Md. Jusoh, 12, berkata, dia meminati sukan mini motorbike sebelum memasuki darjah enam lagi dan kini telah menyertai banyak pertandingan berkenaan.
"Sukan ini sangat menyeronokkan dan banyak perkara baharu yang dapat saya pelajari.
"Tambahan pula, ibu bapa sangat menggalakkan dan memberikan sokongan padu kepada saya untuk terus aktif dalam sukan ini," katanya.
Ibunya, Hasnah Mohd. Arif, 51, berkata, dia tidak kisah anaknya menyertai sukan lasak kerana sukan berkenaan mengajarnya untuk menjadi lebih matang dan aktif dalam sukan secara berdisiplin.
Katanya, dia mahu anaknya meneruskan apa yang diminati dan tidak akan menghalangnya kerana sukan tersebut terbukti boleh memberikan manfaat kepada para peserta.
Seorang lagi peserta, Amninol Hafiz Muhamad, 12, berkata, dia baharu seminggu menyertai pertandingan itu dan berpeluang bertanding dengan rakan-rakan yang banyak pengalaman.
Katanya, sukan itu mendidik dirinya menjadi lebih berdisiplin dan memupuk jati diri.

roboh rumah

Rumah empat keluarga miskin bakal diroboh


AHMAD Khalizam Mohamad (kanan) bersama keluarganya di hadapan rumah sewa mereka di 73, Jalan Lipis - Benta di Taman Pacu Lama, Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 5 Dis. - Kerajaan negeri diminta campur tangan dalam menempatkan empat keluarga yang tinggal di pesisiran Sungai Lipis, berikutan kediaman mereka akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek perumahan baharu.
Empat keluarga terdiri daripada Melayu dan India yang tinggal di situ, telah menduduki tanah milik seorang pengusaha tempatan sejak 13 tahun lalu.
Selain itu, mereka juga kesal kerana sudah beberapa kali memohon rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi tidak diendahkan oleh pihak berwajib.
Seorang penduduk, Ahmad Khalizam Mohamad, 53, berkata, fikirannya buntu apabila pemilik tanah berkenaan memberi tempoh singkat supaya mereka berpindah segera.
"Ke mana lagi saya dan empat ahli keluarga lain hendak menetap, lantaran kami tidak mempunyai tapak rumah serta wang untuk membina penghidupan di tempat lain.
"Saya kerap kali mengajukan masalah ini dan memohon rumah di bawah PPRT menerusi wakil rakyat di sini dan pihak tertentu, malangnya tidak ada jawapan sehingga kini," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pemilik tanah tersebut yang cuma memiliki kelulusan berstatus Tanah Pemilikan Sementara (TOL) mengarahkannya bersama tiga keluarga yang tinggal di situ keluar segera dari kawasan berkenaan.
"Alasan yang diberikan oleh pemilik tanah ini, iaitu merobohkan segera rumah kayu yang sedia ada bagi dimajukan projek perumahan baharu," ujarnya.
Isterinya, Sharipah Ismail, 48, berkata, mereka tidak mampu menyewa rumah di bandar itu kerana kadarnya mahal.
"Pendapatan saya yang bekerja sebagai tukang sapu di sebuah agensi kerajaan, mana mampu menyewa rumah di bandar ini, malahan belanja dapur dan persekolahan juga kian terhimpit," katanya.