Wednesday, November 30, 2011

lemas di sungai triang

Murid dikhuatiri lemas tergelincir di Sungai Triang
Oleh : BERNAMA
Tarikh : November 30, 2011

BERA - Seorang murid lelaki tahun tiga Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Triang 2, Pua Ru Xiang dikhuatiri lemas di Sungai Triang dipercayai tergelincir ketika bermain bersama dua lagi rakannya berhampiran jeti
sungai itu pada pukul 5.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, DSP Mohd Zahid Mohd Noor berkata gerakan mencari dan menyelamat mangsa dimulakan semalam sejurus pasukan polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Katanya usaha mencari yang dijalankan sehingga petang ini bagaimanapun masih gagal berikutan arus air sungai yang deras.

"Pasukan berkenaan akan meneruskan gerakan mencari di kawasan melebihi 100 meter dari tempat mangsa dipercayai tergelincir termasuk mencari di kawasan yang dipenuhi dengan pokok-pokok kerana dibimbangi mangsa tersangkut di kawasan tersebut," katanya kepeda pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau gerakan mencari dan menyelamat menggunakan tujuh buah bot termasuk dua bot milik orang awam.

Berikutan kejadian ini, beliau menasihati ibu bapa supaya memantau pergerakan anak masing-masing pada musim cuti persekolahan ini dan menjauhi kawasan sungai bagi mengelak

pelajar seberang melawat kota gelangi

Pelajar Indonesia lawat SMK Felda Kota Gelanggi

JERANTUT 30 Nov. - Seramai 36 pelajar dan enam guru Sekolah Menengah Perempuan (SMP) Negeri 1 Kabupaten Karimun, Indonesia mengadakan lawatan sambil belajar dan muhibah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini baru-baru ini.

Lawatan sekolah yang merupakan antara sekolah elit di kepulauan Indonesia itu merupakan kunjungan balas setelah guru dan pelajar SMK Felda Kota Gelanggi Dua melakukan kunjungan yang sama pada tahun lalu.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengetua SMP Negeri 1 Kabupaten Karimun, Bapak Sigianto; Pegawai Pelajaran Jerantut, Adnan Abdul Kadir dan Pengetua SMK Felda Kota Gelanggi Dua, Dr. Azman Uzir.

Lawatan selama dua hari itu memberi peluang kepada mereka untuk bertukar-tukar fikiran dan mengikuti senario pengajaran serta pembelajaran di bilik darjah di negeri ini.

Pengetua SMK Felda Kota Gelanggi Dua, Dr. Azman Uzir berkata, program akademik kedua sekolah itu bertujuan mewujudkan hubungan antarabangsa antara guru dan pelajar khususnya bagi pemantapan bidang pengajaran serta pembelajaran.

''Saya berusaha menaikkan imej sekolah kawasan Felda di negeri ini pada kelasnya tersendiri melalui interaksi dengan dunia luar sekali gus aspirasi ke arah mencapai status sekolah berprestasi tinggi di negara ini," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Bapak Sigianto berkata, lawatan itu mengakrabkan hubungan antara pelajar sekolah kedua-dua negara khususnya mengenali aspek budaya, akademik dan kokurikulum.

''Pertemuan ini menimbulkan rasa persaudaraan serumpun yang lebih akrab dan pelajar kami boleh mengenali iklim pengajaran dan pembelajaran di Malaysia khususnya di sekolah ini," katanya.

Tuesday, November 29, 2011

dapat penghargaan melawan penyamun

Terima penghargaan tangkap 3 penyamun


Sharifuddin Abd. Ghani (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada Mohd. Shahidi Ismail, (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Ismail Mohamad (kanan sekali), Ahmad Johari (kiri), Al Hafiz (dua kiri) dan Mohd. Faiz (tiga dari kiri) ketika ditemui di Felda Jengka 10, Maran, baru-baru ini.


MARAN 29 Nov. - Empat pemuda termasuk tiga beradik yang cedera ditetak tiga penjenayah dalam kejadian samun di Felda Jengka 10 di sini minggu lalu terharu apabila menerima kunjungan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd. Ghani di sini kelmarin.
Keempat-empat mereka ialah Mohd. Shahidi Ismail, 23; dan dua adiknya, Mohd. Faiz, 20, dan Al-Hafiz,16, serta seorang anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS), Saiful Amri Kamaruddin, 29.
Sharifuddin berkata, beliau memuji keberanian pemuda terbabit dan bersimpati dengan kejadian yang menimpa mereka.
Selain itu, beliau turut gembira dengan komuniti Felda Jengka 10 yang menubuhkan unit SRS bagi membantu pihak polis menguatkuasakan ketenteraman awam.
"Ahli komuniti perlu segera menghubungi polis yang bersiap sedia membantu jika membabitkan kes samun atau rompakan bersenjata bagi mengelak sebarang risiko terutama melibatkan nyawa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Dalam kejadian pada 25 November lalu, tiga lelaki warga asing bersenjatakan parang menceroboh rumah Ismail Mohamad bertindak menyamun sembilan unit telefon bimbit, seutas gelang emas, sebuah jam tangan, sebuah komputer riba dan wang tunai RM70.
Pada kunjungan itu, Sharifuddin menyampaikan sijil penghargaan ke atas keberanian mereka melawan dan menangkap penjenayah tersebut.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan ketika melakukan samun berkawan tanpa senjata.
Turut hadir di majlis penghargaan tersebut, Ketua Polis daerah Maran, Ahmad Johari Shahabudin Mohamad.

Saturday, November 26, 2011

sungai pahang

Sg. Pahang lebihi paras amaran

KUANTAN 25 Nov. - Tiga sungai di negeri ini mencatatkan bacaan melebihi paras amaran ekoran hujan lebat dan cuaca tidak menentu yang bermula sejak kelmarin.

Menurut laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai tersebut ialah Sungai Pahang di daerah Maran, Jerantut dan Temerloh, Sungai Triang di Bera dan Sungai Belat di Kuantan.

"Air Sungai Pahang di Maran berada pada paras 17.27 meter, Sungai Pahang di Jerantut 49.16 meter, Sungai Pahang di Temerloh 30.02 meter, Sungai Triang 33.9 meter dan Sungai Belat 3.11 meter.

"Berikutan itu, penduduk di sekitar sungai terlibat diminta berjaga-jaga," menurut kenyataan dalam laman http://publicinfobanjir.water.gov.my.

Friday, November 25, 2011

rumah mau bayar xmau

Penyewa PAKR liat bayar sewa


Adnan Yaakob bertanya sesuatu kepada salah seorang penerima geran rumah pada Majlis Pelancaran e-Perumahan, e-Pelaburan dan Penyerahan Hak Milik PAKR Tanah Putih Baru 1 dan 2 serta PAKR Kempadang Soi di Kuantan, kelmarin.


KUANTAN 25 Nov. - Sikap segelintir penyewa Projek Perumahan Kos Rendah (PAKR) di negeri ini yang liat menjelaskan bayaran bulanan menyebabkan berlaku tunggakan sebanyak RM10.42 juta sehingga Oktober tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, jumlah tunggakan yang membabitkan 4,239 penyewa rumah murah itu jauh lebih tinggi berbanding kutipan sewa iaitu hanya RM7.26 juta.
"Kerajaan negeri sentiasa bertimbang rasa dan bertolak-ansur kepada golongan berkenaan walaupun terpaksa menanggung beban tunggakan yang tinggi.
"Bagaimanapun, kita tidak akan halau mereka kerana kita merupakan kerajaan yang prihatin. Malah, kita sediakan beberapa pilihan supaya mereka dapat menjelaskan hutang masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran e-Perumahan, e-Pelaburan dan Penyerahan Hak Milik PAKR Tanah Putih Baru 1 dan 2 serta PAKR Kempadang Soi di sini semalam.
Hadir sama pada majlis yang dihadiri kira-kira 400 penerima hak milik rumah ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan negeri, Datuk Mohd. Soffi Abdul Razak dan Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Unit Perumahan), Zaeidah Mohamed Isa.
Menurut Adnan, penyewa yang ingkar menjelaskan sewa boleh membuat penjadualan semula perjanjian sewa beli supaya bayaran bulanan dapat diselaraskan dengan kemampuan mereka.
"Mereka juga boleh memilih mengeluarkan wang dalam akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membuat bayaran penuh harga rumah berkenaan.
"Pelbagai cara boleh dilakukan bagi menjelaskan bayaran termasuk meminta bantuan daripada anak-anak yang telah bekerja jika mereka tidak berkemampuan," jelasnya.
Tambahnya, kerajaan sentiasa prihatin kepada keperluan rumah oleh rakyat terutama golongan miskin namun jika masalah pembayaran balik berlaku, usaha untuk membina lebih banyak PAKR akan terganggu.
"Sekiranya RM10 juta itu berjaya dikutip, kerajaan berupaya membina 250 unit rumah kos rendah lagi untuk rakyat miskin di negeri ini," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan supaya pemilik PAKR yang mendapat surat hak milik atau geran tidak menjual rumah mereka sebaliknya menghargai hasil titik peluh mereka selama ini.

Thursday, November 24, 2011

artis menjolok mata

Pengunjung uptown kecewa

Saudara pengarang,
Saya mengunjungi Uptown Jerantut bersama keluarga kerana difahamkan kawasan tersebut meriah waktu malam dengan pelbagai jenis jualan.

Memang tidak dinafikan bahawa pembukaan perniagaan waktu malam sedikit sebanyak menceriakan bandar Jerantut, kerana orang ramai khususnya penduduk sekitar dapat menghabiskan malam hujung minggu bersama keluarga di situ.

Namun, apa yang menyedihkan, suasana malam di situ agak terganggu apabila aksi penyanyi tempatan yang kurang terkenal menghiburkan pengunjung.

Saya difahamkan, artis tersebut terkenal kerana sering membuat persembahan terutama pada ekspo jualan di Jerantut.

Bagi saya, kehadiran penyanyi itu menghiburkan pengunjung tidak salah, namun cara pemakaian dan lenggok tariannya tidak sesuai kerana persembahan tersebut diadakan di khalayak ramai, termasuk kanak-kanak.

Pada malam tersebut, dia mengenakan pakaian ketat dan seksi mendedahkan aurat sehingga paras paha yang mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

Pada masa yang sama, ia turut menjemput beberapa kanak-kanak untuk sama-sama menyanyi dengan tarian gelek di atas pentas dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana tidak sesuai.

Saya rasa pihak penganjur sepatutnya mengenakan syarat yang perlu dipatuhi untuk memanggil seseorang artis atau penyanyi, terutama daripada aspek pemakaian dan gaya tarian kerana ramai orang menyaksikan persembahannya.

Saya berharap, pihak penganjur memandang serius perkara ini supaya tidak berulang dan memberi kesan negatif kepada masyarakat khususnya penduduk luar bandar.

WARGA KESAL,

Jerantut

tumpas

Kumpulan pecah rumah tumpas


AHMAD Johari Shahabudin Mohamad (tengah) bersama sepasukan pegawai polis menunjukkan barangan rampasan seperti parang yang digunakan oleh perompak yang berjaya diberkas di Jengka 10 di Maran, semalam.


MARAN 24 Nov. – Polis percaya dapat menyelesaikan empat kes samun dan pecah rumah di tanah rancangan Felda Jengka 10 di sini, sejak awal tahun ini, dengan tertangkapnya tiga suspek semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ahmad Johari Shahabudin Mohamad berkata, ketiga-tiganya ditangkap selepas memecah masuk sebuah rumah peneroka di tanah rancangan itu, pukul 3 pagi.
Menurutnya, suspek yang dipercayai warga asing turut bergelut dengan mangsa sebelum menetak mangsa dan melarikan diri bersama barangan berharga di rumah itu.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek ditahan polis dengan kerjasama penduduk kampung dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) semasa mereka cuba melarikan diri di kawasan belukar berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal, polis menemui semula barangan yang dicuri iaitu empat telefon bimbit, masing-masing satu jam tangan, gelang emas, dompet dan komputer riba.
Tambahnya, tiga beradik dan seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang cedera semasa bergelut dengan suspek menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.
“Kumpulan itu berbahaya kerana sanggup menetak mangsa sekiranya cuba melawan.
“Kita percaya empat kes samun di tanah rancangan itu sejak awal tahun ini dapat diselesaikan,” katanya sambil memberitahu suspek ditahan reman untuk membantu siasatan.

Monday, November 21, 2011

gempar moto

Mekap motor sampai RM12,000
Teks dan gambar oleh Mohd Rafi Mamat
rencana@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PERBELANJAAN sehing�ga RM12,000 bukan penghalang kepada peminat motosikal untuk melakukan pengubahsuaian atau ‘mekap’ semata-mata bagi memuaskan hati selain menarik perhatian.

Ada yang berbuat demikian untuk meraih kemenangan setiap kali menyertai pertandingan.

Ini dibuktikan apabila lebih 20 peserta pertandingan motosikal tercantik dalam beberapa kategori sempena Karnival Gempaq Motor Pahang di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, baru-baru ini.

Peserta, Abu Daut Razali, 26, berkata dia membelanjakan lebih RM12,000 untuk menghias dan mengubah suai beberapa bahagian skuter Yamaha Egonya itu.


Menurutnya, selain memberi tumpuan kepada warna yang menarik dan beberapa kelengkapan lain, sistem audio diberi kelebihan hingga mampu menarik perhatian juri setiap kali pertandingan.


Katanya, kerana minat dia sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar yang tidak mungkin dilakukan orang lain.

“Saya mengubah suai secara berperingkat dengan bantuan rakan-rakan yang meminati aktiviti ini dan bagi menjimatkan kos saya turut menggunakan barangan terpakai.

“Hanya mereka yang berminat mampu terbabit dengan aktiviti seperti ini yang memerlukan perbelanjaan besar dan ketekunan,” katanya yang berasal dari Jerantut, Pahang itu.

Abu Daut yang berniaga burger di bandar Kuantan berkata, bagi mengimbangi bebanan sistem audio, dia terpaksa mengubah suai tayar motosikalnya.

Katanya, tayar motosikal Yamaha Ego yang sebelum ini bersaiz kecil ditukar kepada lebih besar menggunakan tayar kereta Perodua Kancil.

“Walaupun motosikal saya tidak mampu bergerak pantas namun saya berpuas hati dapat menghasilkan kenderaan unik hingga mampu meraih kemenangan pada setiap pertandingan.

“Sepanjang tahun ini sudah 15 pertandingan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan disertai kebanyakan berakhir dengan kejayaan membanggakan,” katanya.

Bagi Mohd Mahadi Abd Manan, 37 dari Dungun, Terengganu, sebanyak RM10,000 dibelanjakan untuk mengubah suai motosikal jenis Yamaha LC sejak terbabit dalam pertandingan.

Menurutnya, wang bukan alasan untuk dia mengubah suai motosikal menjadi lebih menarik dan menakjubkan setiap kali menyertai pertandingan.

“Saya lebih banyak memberi tumpuan pada warna dan semburan angin pada beberapa bahagian motosikal, tema diguna berinspirasikan filem adiwira Spiderman yang diminati kanak-kanak dan dewasa.

“Gabungan hijau, merah dan hitam mampu menarik perhatian setiap mata memandang walaupun motosikal jenis ini banyak berada di jalan raya,” katanya yang bekerja di loji Petronas Dungun.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini sebanyak lima pertandingan tempatan disertai, tiga kemenangan berpihak kepadanya sekali gus meningkatkan semangat untuk terus terbabit dalam aktiviti berkenaan.

Mohd Mahadi berkata, aktiviti mengubah suai motosikal lebih ‘meriah’ dilakukan secara berkumpulan, kerana masing-masing mempunyai idea yang mampu menghasilkan rekaan lebih menarik dan mantap.

Bagi menjimatkan kos selain menggunakan komponen terpakai yang dicat baru, kita juga saling bertukar antara satu sama lain.

“Hobi menghias motosikal kini semakin diminati golongan remaja dapat mengelak mereka dari terbabit dengan aktiviti tidak sihat seperti lumba haram dan melepak.

“Aktiviti berkenaan mempunyai nilainya tersendiri yang hanya dapat diselami insan tertentu saja,” katanya.

Peminat aktiviti berkenaan, Mohd Imran Izad Abdullah, 25 berkata, tidak semua remaja berminat dengan aktiviti menghias motosikal yang memerlukan perbelanjaan besar.

“Peminat aktiviti ini terdiri dari insan berjiwa lembut dan memiliki pelbagai idea yang mampu diserapkan pada motosikal walaupun tidak pernah terlintas di fikiran sebelum ini.

“Kerajaan perlu terus memberi sokongan dan galakan dengan cara menganjurkan lebih banyak pertandingan,” katanya.

rm 100

317 pelajar terima bantuan RM100


RIDZUAN Mansor (dua dari kanan) sambil disaksikan Dr. Azman Uzir (dua dari kiri) menyampaikan wang bantuan RM100 kepada seorang penjaga pelajar di SMK Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 21 Nov. - Seramai 317 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini menerima bantuan wang RM100 untuk persiapan persekolahan tahun depan.
Pelajar berkenaan yang ditemani ibu bapa masing-masing menerima bantuan itu yang disampaikan oleh pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Ridzuan Mansor.
Menurut Ridzuan, bantuan itu diberi sebelum cuti persekolahan akhir tahun ini sebagai membuktikan keprihatinan kerajaan Persekutuan meringankan beban ibu bapa pelajar dalam membuat persiapan persekolahan anak masing-masing.
Katanya, walaupun jumlahnya kecil, tetapi ia boleh menampung perbelanjaan ibu bapa yang mempunyai tanggungan ramai.
"Kita bertuah kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak begitu prihatin dengan kebajikan penduduk lalu menyegerakan bantuan ini menerusi pengumuman dalam pembentangan Bajet 2012 baru-baru ini," katanya.
Hadir sama, Pengetua SMK Felda Kota Gelanggi Dua, Dr. Azman Uzir.
Menurutnya, bantuan itu wajar disyukuri oleh pelajar dan mereka perlu berbelanja secara berhemah.

kelawar lagi

Menghapuskan tanggapan negatif terhadap kelawar


Pelajar yang menyertai MyBats Camp 2011 menunjukkan kemahiran mereka menggunakan bahan terbuang sebagai alat muzik ketika mengadakan persembahan di Lanchang, baru-baru ini.


TEMERLOH 21 Nov. - Pendedahan mengenai kepentingan melindungi kehidupan kelawar menjadi titik permulaan untuk menghapuskan pandangan negatif masyarakat terhadap mamalia tersebut.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Unggah Embas berkata, kelawar juga memainkan peranan penting bagi mengekalkan warisan semula jadi hutan hujan tropika yang begitu unik sejak wujud 130 juta tahun lalu.
''Hutan hujan tropika di negara ini merupakan teras biodiversiti yang begitu penting kerana kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.
''Hutan semula jadi negara kita mempunyai beribu-ribu spesies tumbuhan dan menjadi habitat kepada lebih 600 spesies burung, 286 mamalia, 140 ular serta 80 spesies cicak," katanya ketika berucap merasmikan Mybats Camp di sini baru-baru ini.
Katanya, negara perlu mengambil langkah-langkah konservasi biodiversiti sebagai salah satu keutamaan dalam mencapai pembangunan yang lestari.
Sehubungan itu, tambahnya, masyarakat setempat perlu melibatkan diri dalam aktiviti konservasi biodiversiti dan untuk meningkatkan kesedaran itu ia perlu dimulakan di peringkat pelajar sekolah.
Beliau memberitahu, media massa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadi saluran penting untuk membantu pihak berkuasa meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kelawar dalam kehidupan harian manusia.
Katanya, pendedahan dan pengalaman yang diperolehi oleh para pelajar dapat mencetuskan minat di kalangan mereka untuk mengenali spesies itu dengan lebih dekat.

kelawar

Memahami kehidupan kelawar


SEBAHAGIAN daripada peserta termasuk pelajar Sekolah Menengah Damansara Damai dan beberapa sekolah menengah daerah Temerloh bergambar selepas perasmian MyBats Camp 2011 di Lanchang, Pahang, baru-baru ini.


TEMERLOH 21 Nov. – Industri filem Hollywood menggambarkan Batman atau lelaki kelawar sebagai hero dan penyelamat bandar Gotham apabila keluar menentang penjenayah pada waktu malam.
Namun, dalam dunia realiti, kewujudan kelawar adalah sebaliknya, binatang yang aktif waktu malam ditakuti dan digeruni apabila spesies mamalia itu sering kali dikaitkan dengan perkara-perkara yang menyeramkan.
Hakikatnya kelawar sebenarnya memainkan peranan penting dalam ekosistem dan ia perlu dilindungi dan dipulihara demi kepentingan biodiversiti.
Mamalia itu yang tergolong dalam order chiroptera boleh ditemui di merata-rata tempat di seluruh dunia.
Terdapat 1,200 spesies dan negara ini juga merupakan pusat utama bagi kepelbagaian kelawar dunia yang mana 118 spesies mamalia boleh terbang serta mendiami dalam pelbagai jenis hutan, paya bakau, gua serta kawasan perumahan.
Daripada jumlah tersebut, 72 spesies kelawar terdapat di hutan Rezab Hidupan Krau yang terletak dalam Hutan Simpan Kekal Krau di Lanchang, di sini menjadikan antara kawasan habitat hidupan mamalia cukup unik.
Menyedari faedah dan sumbangan besar yang disumbangkan oleh kelawar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil inisiatif melaksanakan program meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan kelawar.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Abd. Rasid Samsudin, haiwan itu merangkumi hampir suku daripada spesies mamalia di dunia.
‘‘Menerusi kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pelajaran, Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) dan Zoo Negara, Perhilitan menganjurkan program Mybats Camp 2011 di Institut Biodiversiti Bukit Rengit, Lanchang baru-baru ini.
‘‘Melalui program ini, kesedaran terhadap kepentingan melindungi dan pemuliharaan kelawar terhadap orang awam dimulakan di kalangan pelajar sekolah menengah yang membabitkan pelajar tingkatan dua dan empat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Seramai 80 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Damai, Kuala Lumpur dan pelajar beberapa sekolah menengah daerah itu menyertai kem tersebut selama empat hari sempena Hari Kelawar Sedunia.
Mereka dibawa meneroka Hutan Simpan Krau bagi menjejaki dan memahami kehidupan kelawar dari dekat.
Sementara itu, beberapa pelajar yang ditemui berkata, kem tersebut sangat berguna apabila mereka didedahkan mengenai peranan dan habitat sebenar kelawar dalam ekosistem dan proses biodiversiti negara.
Pelajar SMK Damansara Damai, Farah Diana Mohd. Fauzi, 16, berkata, usaha penyelidikan oleh Perhilitan dapat menambah maklumat mereka mengenai kelawar.
‘‘Kem ini dapat mendedahkan kami mengenai kepentingan untuk membantu usaha memulihara spesies mamalia ini yang mempunyai peranan yang penting dalam proses ekosistem.
‘‘Daripada penerangan yang disampaikan dapat difahami bahawa kelawar mempunyai peranan tersendiri sebagai habitat terhadap flora dan fauna perlu terus dikekalkan dalam biodiversiti hutan Simpan Krau,” katanya.
Seorang lagi pelajar SMK Lanchang, Chow Yen Kien, 16, memberitahu, usaha Perhilitan mengadakan kem tersebut dapat memberi banyak pengetahuan mengenai kelawar.
Katanya, sebelum ini, dia juga mempunyai persepsi negatif dan takut terhadap kelawar.
Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Hua Lian, Noraeni Iskandar, 16, berkata, kelawar juga merupakan sumber biologi yang berpotensi dan turut menyumbang kepada bidang perubatan, makanan, ekopelancongan, pendidikan dan sumber genetik.
‘‘Seperti lebah dan burung, kelawar yang memakan buah dan manisan adalah sama penting dalam memelihara ekosistem seperti penyebaran biji serta pendebungaan untuk kepentingan generasi hutan dan hidupan liar di masa depan,” katanya.

Friday, November 18, 2011

serah komputer

20 komputer diagih kepada tujuh sekolah


Mazlan Mohamad (kiri) menyerahkan komputer riba kepada wakil sekolah pada satu majlis ringkas di Jabatan Pelajaran Negeri di Kuantan, kelmarin.


KUANTAN 18 Nov. - Sebanyak 20 komputer riba yang disumbangkan oleh syarikat Nexbis Sdn. Bhd. (NEXBIS) diagihkan kepada tujuh sekolah di Pahang dalam satu majlis ringkas di Jabatan Pelajaran negeri di sini semalam.
Sekolah yang menerima komputer riba itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia, Bentong; SMK Gali, Raub; SMK Rompin Permai, Rompin; Sekolah Kebangsaan (SK) Mentakab Jaya, Temerloh; SK Kerayong, Bera; SK Sentosa, Maran dan SK Pulau Serai, Pekan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad berkata, sumbangan itu merupakan satu tanggungjawab sosial syarikat berkenaan bagi membolehkan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah dapat dijalankan dengan baik.
"Pemberian kepada sekolah ini adalah berdasarkan potensinya untuk menjadi sekolah cemerlang selain daripada faktor terletak di luar bandar," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan komputer riba itu kepada wakil sekolah terlibat.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Yahya Zainal Abidin.
Mazlan berkata, sekolah yang menerima komputer riba itu diharap menggunakannya dengan berhemah agar pengurusan sekolah dapat dijalankan dengan sempurna.
Dalam pada itu, beliau meminta syarikat-syarikat korporat terutama syarikat milik kerajaan (GLC) supaya tampil menjalankan tanggungjawab sosial mereka kepada sektor pendidikan di dalam negara.
Katanya, tanggungjawab sosial penting bagi memastikan pendidikan para pelajar di Malaysia terus maju.

judi internet

Judi Internet semakin menular


Ti Lian Ker menyerahkan wang bantuan khas RM100 kepada ibu pelajar menerusi penjaga mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Putih (SMKAP) di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.


KUANTAN 18 Nov. - MCA Kuantan bimbang dengan aktiviti perjudian Internet yang didapati semakin menular di kalangan pelajar sekolah menengah di sekitar bandar ini.
Pengerusi MCA Kuantan, Datuk Ti Lian Ker berkata, masalah itu difahamkan semakin serius sehingga ada pelajar sanggup berhutang dengan ah long untuk melepaskan ketagihan mereka kepada judi Internet yang ditawarkan di kafe-kafe siber.
''Saya minta sangat ibu bapa pantau aktiviti anak-anak bagi mengelakkan terjebak dengan perkara ini. Biasanya ibu bapa hanya tahu yang anak mereka terlibat judi apabila dihubungi ah long.
''Saya sendiri ada menerima aduan daripada ibu bapa yang terkejut anak-anak mereka terlibat dengan ah long akibat judi Internet.
''Malah sudah ada beberapa kes yang saya sendiri bantu ibu bapa selesaikan hutang ah long yang dibuat anak-anak mereka," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian wang bantuan khas persekolahan 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Putih (SMKAP) di sini kelmarin.
Kira-kira 1,500 pelajar SMKAP layak menerima wang RM100 sebagai bantuan persekolahan yang diberikan kepada pelajar di seluruh negara.
Hadir sama, Pengetua SMKAP, K. Nandakumar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKAP, K. Rajagopal.
Lian Ker berkata, sehubungan itu, sebaik-baiknya ibu bapa sendiri menyimpan wang RM100 yang diberikan itu bagi memastikan ia dibelanjakan sebagai persediaan pelajar untuk sesi baharu persekolahan akan datang.
"Wang berkenaan perlu digunakan dengan baik bagi persediaan persekolahan pada tahun depan.
"Saya nasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak dan mengelakkan mereka menggunakan wang berkenaan untuk tujuan negatif seperti berjudi di kafe-kafe siber," katanya.

anak pemandu bas

Kejayaan UPSR dorong bela nasib keluarga

KUANTAN 18 Nov. - Kejayaan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan semalam diharap menjadi pendorong dan landasan terbaik bagi anak seorang pemandu bas di sini untuk membela nasib keluarganya.

Nur Ain Najwa Che Ngah, 12, dari Tanjung Api di sini menyimpan cita-cita untuk menjadi arkitek agar dapat membalas jasa ibu dan bapa selama ini.

Menurut murid Sekolah Kebangsaan (SK) Teruntum itu, selama ini dia terpaksa mengulang kaji pelajaran di samping membantu ibunya menjaga adik yang menghadapi masalah perut tidak berotot iaitu prune belly syndrome.

"Sebelum menduduki peperiksaan, bapa, Che Ngah Abdullah, 48, terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan pergerakannya terbatas.

"Dalam kepayahan itu, bapa tetap berusaha menghantar saya ke sekolah dan semua ini menguatkan semangat untuk terus belajar dengan bersungguh-sungguh," katanya di sini semalam.

SK Teruntum merupakan sekolah harian terbaik di negeri ini dengan 54 calon mendapat 5A dan jumlah tersebut adalah peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding tahun lalu.

Sementara itu rakannya, Nur Sabrina Aliya Asman, 12, yang juga memperoleh 5A menyifatkan kejayaan tersebut adalah hasil dorongan ibu bapanya.

"Mereka berdua (Noorlili Mohd. Amin, 42, dan Asman Amirullah, 48,) sering membantu saya membahagikan masa antara pelajaran dan sukan.

"Saya akan pastikan memberi sepenuh tumpuan di dalam kelas dan mengulang kaji pelajaran apabila menjelang peperiksaan," katanya yang merupakan pemain catur negara.

Tuesday, November 15, 2011

koperasi sebertak

Kedai Felda Sebertak koperasi pertama sertai Tukar


ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) turut membeli produk COOP 1M selepas merasmikan kedai Tukar Koperasi Felda Sebertak di Bera, baru-baru ini.


BERA 15 Nov. – Kedai Tukar Koperasi Felda Sebertak Pahang Berhad di sini menjadi kedai runcit milik koperasi pertama di negeri ini yang telah siap dimodenkan di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar).
Kedai milik Koperasi Felda Sebertak Pahang Berhad (KFSPB) itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Felda Sebertak, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Md. Yusof Samsudin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Padil Osman dan Pengerusi KFSPB, Jaafar Hamli.
Kedai runcit ini juga merupakan salah satu daripada lapan kedai runcit di Pahang yang dalam proses penukaran di bawah program Tukar.
Sementara itu, Jaafar ketika berucap pada majlis itu berkata, kedai koperasi itu ditubuhkan bertujuan membekalkan barangan keperluan dengan harga yang terendah bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat di luar bandar.
“Dengan program Tukar ini diharap kedai ini dapat meningkatkan lagi keuntungan bagi menambahkan pendapatan setiap ahli koperasi,” katanya di sini.
Sementara itu, katanya, KFSPB ditubuhkan pada 1979 dengan keahlian seramai 500 orang yang terdiri daripada peneroka dan ahli keluarga mereka.
“Selain kedai ini, KFSPB turut mempunyai perniagaan yang lain seperti Stesen Minyak Petronas Sebertak dan Setesen Minyak Petronas Mukim Bangau, Temerloh,” katanya.

cemerlang boleh pakai jubah

UiTM beri peluang pelajar lalui pengalaman majlis konvokesyen


DZULKIFLI Abd. Wahab (depan) pada Hari Graduasi sekolah berkenaan di Maran, baru-baru ini.


MARAN 15 Nov. – Pengalaman memakai jubah seperti dalam istiadat penganugerahan ijazah hanya dilalui oleh mereka yang bergelar graduan setelah menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).
Namun, berlainan dengan 144 pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat di sini yang berpeluang melalui saat-saat istimewa itu pada Hari Graduasi sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Bertempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Khazanah Alam, Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini, pelajar-pelajar berkenaan diraikan oleh graduan universiti pada hari bersejarah mereka.
Pada majlis itu, Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab diangkat sebagai Canselor yang bertindak menyampaikan sijil khas kecemerlangan kepada pelajar terlibat yang terdiri daripada 91 ‘graduan’ Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 53 ‘graduan’ Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Hadir sama, Rektor UiTM Kampus Khazanah Alam, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail dan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Maran, Mohd. Rodzik Abdul Razak.
Pengetua SMK Jengka Pusat, Hafidzah Jono berkata, pemakaian jubah seperti istiadat penganugerahan ijazah di universiti diharap menjadi titik permulaan untuk kejayaan yang lebih cemerlang buat pelajar terlibat.
‘‘SMK Jengka Pusat berjaya menduduki tempat pertama di daerah Maran dalam peperiksaan percubaan SPM dan STPM, baru-baru ini.
‘‘Dengan usaha gigih graduan, SMK Jengka Pusat akan melakar sejarah berterusan sebagai sekolah bestari Felda yang gemilang dan terbilang,’’ katanya pada majlis itu.

Sunday, November 6, 2011

lari

Remaja nekad larikan diri
Oleh : ROSILAWATI ROSEDI
Tarikh : November 5, 2011
remaja lari
KUANTAN - Akibat tidak tahan didera ibu tirinya sejak lebih 10 tahun lalu, seorang remaja nekad melarikan diri sehelai sepinggang dari rumah bapanya di Kota Damansara, Kuala Lumpur, Rabu lalu untuk mencari ibu kandungnya yang terpisah sejak berusia setahun.

Chin Ping Heng, 13, memberanikan diri menaiki bas ekspres seorang diri menuju ke Kuantan dengan hanya berbekalkan dokumen penceraian ibu bapanya.

Remaja itu mendakwa didera dan dipukul ibu tirinya yang berusia 33 tahun setiap kali bapa kandungnya berusia 43 tahun yang bekerja sebagai tukang masak tiada di rumah.

Dia bagaimanapun selamat tiba di rumah kakaknya di Lorong Sekilau 34, Bukit Sekilau, di sini, kira-kira jam 10.45 malam kelmarin hasil keprihatinan seorang pemandu teksi di Terminal Makmur di sini yang menghantarnya ke rumah itu.

Ditanya bentuk penderaan yang dialaminya, dia menceritakan selain dipukul dengan penyangkut baju hampir setiap hari, remaja itu juga mendakwa dia dikurung dalam bilik dan tidak dibenarkan ke sekolah dan hanya diberi makan nasi serta sup kosong setiap hari.

Dakwanya, bapanya juga kerap memukulnya apabila ibu tirinya mencipta pelbagai cerita mengenai dirinya kepada lelaki berkenaan.

Anak bongsu daripada lima adik-beradik itu ditemui ketika membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan ditemani kakak sulungnya, Chin Yik Jenk, 20, bersama Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chon Siang kira-kira jam 3 petang, di sini, kelmarin.

Yik Jenk, 20, yang bekerja sebagai juru kecantikan berkata, dia terkejut apabila adik bongsunya itu tiba-tiba sahaja muncul di pintu rumah kira-kira jam 10.45 malam kelmarin.

Menurutnya, penderitaan adiknya itu bermula apabila ibunya, Lui Lay Choo, 40, bercerai dengan bapanya kira-kira 13 tahun lalu dan bapanya itu mendapat hak penjagaan terhadap adik bongsunya itu manakala dia dan tiga lagi adiknya dijaga ibunya itu yang kini bekerja sebagai tukang jahit di Singapura sejak enam tahun lalu.

“Kami tidak tahu yang adik mengalami penderitaan sehingga begitu, dipukul dan langsung tidak dapat bersekolah seperti adik-adik tirinya.

“Paling kami tidak tahan melihat tubuh adik yang sangat kurus kering dan tidak bermaya,” katanya.

Lay Choo berkata, dia tidak menyangka bekas suaminya sanggup melakukan perkara itu terhadap anak kandung sendiri dan menyangka anak bongsunya itu dijaga dengan baik tetapi perkara sebaliknya pula yang berlaku.

Menurutnya, dia akan berusaha mendapatkan kembali hak penjagaan anaknya daripada bekas suaminya itu.

Sementara itu, Chon Siang yang membawa remaja itu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan memberitahu, doktor mengesahkan remaja itu pernah menjadi mangsa dera.

Friday, November 4, 2011

ziarah pemimpin

Ziarah Mesra dekati penduduk

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

BERA 3 Nov. - Sebanyak sebelas penduduk di Felda Purun di sini menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui program Ziarah Mesra Rumah ke Rumah, baru-baru ini.

Melalui program tersebut, penduduk terpilih menerima sumbangan berdasarkan keperluan mereka seperti kerusi roda, makanan dan wang tunai.

Menurut Ismail Sabri, program berkenaan merupakan aktiviti mingguan yang dilakukan di sekitar kawasannya bagi tujuan mengurangkan beban penduduk, khususnya golongan kurang berkemampuan.

"Setiap minggu saya akan menziarahi penduduk di kawasan sekitar terutama di tanah rancangan Felda bagi mendekati dan mendengar masalah yang mereka hadapi.

"Sasaran program kali ini ialah warga emas, pesakit kronik dan golongan tidak berkemampuan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, sumbangan yang disalurkan berdasarkan keperluan atau penyakit yang dialami oleh mereka.

Sementara itu, menurut salah seorang penerima bantuan, Halimah Maridin, 80, dia yang lumpuh separuh badan terharu apabila menerima kunjungan tersebut.

"Terima kasih kepada beliau yang sudi berkunjung ke rumah saya dengan membawa sebuah kerusi roda untuk kegunaan saya.

"Saya bersyukur teramat sangat kerana dengan kerusi roda ini, saya akan dapat bergerak dengan mudah," katanya sambil menitiskan air mata.

Bagi Syed Fadhil Syed Yassin, 74, keprihatinan kerajaan benarbenar membuatkannya terharu dan rasa dihargai.

"Saya gembira dengan kehadiran beliau. Terima kasih banyakbanyak kerana berkunjung ke rumah untuk menziarah saya yang kini sakit," katanya yang menghidap penyakit angin ahmar.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

jalan rosak teruk

Segera baiki jalan kampung


SEORANG penduduk menunjukkan jalan kampung yang kini rosak dan berlopak di Kampung Petola, baru-baru ini.


SAYA ingin menarik perhatian pihak pentadbiran daerah Lipis dan wakil rakyat supaya segera membaiki jalan kampung dengan menurap tar di Kampung Petola, Kampung Dada Kering, Kampung Bukit dan kawasan berdekatan.
Aduan saya bersebab kerana jalan sejauh dua kilometer yang diturap tar pada 1998 kini sudah rosak dan berlopak digenangi air.
Ia juga menyukarkan murid di kawasan sekolah berdekatan kerana setiap kali musim hujan, jalan berlopak dan lumpur menyebabkan pakaian seragam mereka kotor terutama jika membonceng motosikal.
Untuk makluman pihak berwajib, sudah beberapa kali Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Petola dan Dada Kering membuat aduan dan memohon supaya jalan itu dinaik taraf, tetapi sehingga kini masih belum ada jawapan.
Penduduk di sini berasa hairan apabila sejak digunakan 13 tahun lalu, jalan ini belum diturap sedangkan kemudahan asas yang sama di kampung lain iaitu di kawasan Padang Tengku sudah menikmati keselesaan perhubungan berulang alik ke bandar Kuala Lipis.
Jalan yang rosak ini merupakan perhubungan keluar ke Jalan Lipis - Merapoh dan bandar Kuala Lipis tanpa ada laluan alternatif lain untuk digunakan oleh penduduk di sini.
Kesulitan yang sama juga dialami oleh penduduk khususnya dalam kalangan warga emas yang kerap berulang alik ke masjid dengan berjalan kaki dan menunggang motosikal, manakala ahli kariah menunaikan solat Jumaat terpaksa mengharungi laluan berlopak pada musim hujan sejak bulan lepas.
Kami juga tertanya-tanya mengapa jalan cuma dua kilometer itu masih terlepas pandang untuk dibaiki kerana ia pasti hanya memerlukan peruntukan kecil berbanding kos projek jalan raya lain.
Melalui Rakan Pahang berasaskan situasi 'menang-menang', kerajaan negeri perlu prihatin dengan kebajikan penduduk di pedalaman di sini sambil mengharapkan mereka turun padang supaya segala masalah pembangunan di tempat kami boleh dirungkaikan secara telus dan saksama.
Apa yang penting baiki dahulu jalan kampung yang rosak supaya penduduk di sini lebih selesa bergerak dan memudahkan kenderaan keluar masuk ke desa terpencil di sini.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

mohon jalan

Menanti jalan raya persekutuan siap


KEADAAN jalan persekutuan dari simpang Jengka Lapan ke Sungai Tekam yang berlubang dan rosak teruk mengundang bahaya dan rasa tidak selesa dalam kalangan pemandu yang menggunakan laluan berkenaan.


SAYA merupakan antara peneroka Felda yang kerap menggunakan jalan persekutuan antara Maran ke Jerantut dari tempat tinggal kami, iaitu Felda Kota Gelanggi 2 sejauh 10 kilometer ke Simpang Jengka 8.
Laluan berkenaan amat penting kerana satu-satunya jalan yang digunakan oleh penduduk Felda Sungai Tekam, Felda Tekam Utara, Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak (PPPTR) Tekam dan Gugusan Felda Kota Gelanggi serta Gugusan Felda Lepar berurusan ke bandar Jerantut melalui Simpang Jengka 8.
Apa yang menimbulkan tanda tanya, iaitu status projek kemudahan asas berkenaan bermula dari simpang Jengka 8 ke Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak (PPPTR) Tekam yang masih dalam pembinaan kini berkeadaan teruk.
Turut menghairankan, kedudukan jajaran laluan masih berlopak dan sistem perparitan tidak sempurna sehingga berlaku takungan air setiap kali hujan lebat.
Kerosakan yang berlaku juga menyebabkan menyukarkan kenderaan berselisih, manakala pemandu terpaksa mencari ruang supaya tidak tersangkut atau terjatuh di dalam lopak yang dalam.
Lebih dahsyat lagi kesan lubang dan lopak yang dalam mengundang kerosakan kenderaan sehingga ada pemandu kesal apabila tangki minyak hitam kereta mereka bocor serta kerosakan pada rim tayar.
Dipercayai pihak kontraktor berkenaan telah membina laluan alternatif, iaitu jalan tanah merah di kiri kanan untuk mengelakkan jalan berlubang dan jajaran yang teruk sehingga menimbulkan rungutan kepada pemandu.
Laluan tanah merah pada jangkaan pihak tertentu boleh memberi sedikit keselesaan, tetapi bertambah sukar akibat berlumpur apabila musim hujan.
Saya difahamkan projek berkenaan sudah beberapa kali terbengkalai dan kini kerja disambung oleh kontraktor baru, tetapi senario yang sama seperti empat atau lima tahun lalu masih menghantui penduduk kawasan ini.
Soalannya, bilakah projek itu dapat disiapkan sedangkan pihak kerajaan negeri sering menguar-uarkan jalan persekutuan dari Maran ke Jerantut akan dinaik taraf.
Melalui Rakan Pahang ini, saya memohon wakil rakyat kawasan ini lebih proaktif menangani setiap projek kemudahan asas khususnya jalan raya kawasan ini untuk memacu pembangunan ekonomi dan sosial penduduk sekitar Sungai Tekam dan Gugusan Felda Kota Gelanggi.
Justeru, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) diharap dapat membaiki kerosakan berkenaan untuk menghindarkan berlakunya kemalangan jalan raya akibat kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku.

ada gajah putih kat temerloh

Rumah kedai jadi 'gajah putih'


Bangunan kedai tiga unit ini siap dibina tiga tahun lalu tetapi sehingga kini masih belum beroperasi.


SAYA mewakili penduduk Kampung Tan Sri Yahya, Temerloh ingin meminta penjelasan daripada pihak berwajib mengenai sederet bangunan kedai tiga unit yang telah siap, tetapi belum digunakan.
Bangunan itu siap pada Julai 2009 dan sehingga kini ia masih belum diserahkan untuk diguna pakai oleh mereka yang layak.
Difahamkan sebelum pembinaan bangunan itu, ia diletakkan di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tan Sri Yahya namun selepas siap, ia diletakkan pula di bawah JKKK Paya Keladan.
Saya bersama penduduk kampung ini tidak kisah ia diletakkan di bawah JKKK mana pun, tetapi menjadi persoalan bilakah bangunan kedai tersebut mahu diserahkan.
Sudah semestinya apabila bangunan itu siap, tentunya para peniaga kecil yang menyewa di situ ingin membuka perniagaan mereka secepat mungkin.
Selain itu, masalah lain timbul terhadap bangunan itu seperti tidak mempunyai meter bekalan air serta keadaan semak berikutan tiada pihak yang menjaga kawasan tersebut.
Jika dibiarkan bangunan yang terletak di laluan utama Temerloh-Jerantut itu pasti akan menjadi usang dan orang ramai akan dapat melihat persekitaran bangunan kedai berkenaan.
Sekiranya semak-samun itu dibiarkan, ia boleh menjadi kawasan pembiakan binatang berbisa seperti ular, lipan dan kala jengking.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Thursday, November 3, 2011

tnb

26 tahun tunggu bayaran TNB


RIPAH Abd. Rahman menunjukkan keratan akhbar dan surat tuntutan bayaran kepada TNB berikutan pencawang elektrik yang dibina di atas tanahnya di Felda Purun, Bera.


Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kerana akhbar Utusan Malaysia memberi ruang kepada saya untuk menuntut apa yang sepatutnya menjadi hak saya dan keluarga daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Tiga tahun lalu suami yang kini uzur menerima memorandum daripada pihak TNB berhubung tuntutan sewa tapak pencawang TNB di kawasan seluas 34.3 meter persegi di atas tanah milik kami.
Kami terpaksa berhempas-pulas turun naik pejabat TNB, Pejabat Tanah dan pejabat berkaitan bagi menuntut sewa kira-kira RM100,000 sejak pencawang substesen TNB dibina di tanah kami, 26 tahun lalu.
Jawapan yang kami terima daripada pihak TNB tiga tahun lalu ialah mereka akan meneliti semua dokumen dan membuat semakan sebelum membuat penjelasan kepada suami.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang maklum balas daripada pihak berkenaan dan kami seolah-olah menunggu buah yang tidak jatuh.
Malah, suami yang menghidap penyakit jantung dan kencing manis kini tidak mampu lagi untuk ke mana-mana bagi mempertahankan haknya.
Justeru itu, melalui ruangan ini saya harap pihak TNB memberi penjelasan dengan segera berhubung perkara tersebut.
Pada masa sama, saya mohon pihak berkenaan menjelaskan bayaran yang sepatutnya memandangkan pencawang tersebut telah lama beroperasi di atas tanah kami.