Saturday, May 5, 2012

mangsa kera tak dapat bantuan

Mangsa gigitan kera terkilan permohonan ditolak
NOOR AZIANTY NORMAN
5 Mei 2012
Mangsa gigitan kera terkilan permohonan ditolak
$entry.content.caption.value
KUANTAN – Ibu kepada mangsa serangan kera ganas tiga tahun lalu, Norjahan Nabi Ahmad, 41, terkilan selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menolak permohonan wang bantuan mangsa serangan binatang buas anaknya, Nuha Nurfaiqah Sheikh Ahkbar, 10, yang sepatutnya dibayar dahulu.

Katanya, sebelum ini, dia tidak pernah meminta wang bantuan itu sebaliknya JKM sendiri meminta dia mengisi borang tuntutan itu kerana anaknya layak membuat permohonan.
“Sudah tiga tahun saya menunggu, namun sehingga kini masih tiada sebarang bayaran dibuat. “Apa yang membuatkan saya terpanggil untuk kembali membuat tuntutan selepas membaca notis pemberitahuan di dalam akhbar meminta pemohon yang masih belum menerima wang bantuan itu untuk membuat tuntutan di JKM,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Kampung Sri Damai, di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, selepas dua kali berkunjung ke JKM, pegawai di situ memberitahu bahawa kera tidak termasuk dalam tujuh senarai haiwan yang boleh dibuat tuntutan.
“Pegawai itu menerangkan kepada saya, tujuh senarai haiwan itu termaktub dalam syarat baru untuk membuat permohonan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas JKM.

“Saya jadi bingung kerana sebelum ini pihak terbabit memberitahu saya sekiranya seseorang itu mengalami kecederaan yang melibatkan lebih daripada 10 jahitan, mereka layak untuk memohon,” katanya.

Norjahan berkata, sekiranya mereka menetapkan syarat baru sekalipun, anaknya masih layak untuk membuat tuntutan kerana insiden yang menimpa anaknya berlaku tiga tahun lepas.
“Anak saya ini bukan kes baru. Kalau nak ikutkan, sepatutnya dia sudah lama dapat. Saya sendiri tidak pasti bagaimana mereka membuat penilaian kes anak saya ini sehingga permohonannya ditolak,” katanya.

Katanya, dia tidak pernah mengharapkan wang bantuan itu, namun apa yang dikesali, sikap tidak acuh JKM menyelesaikan tuntutan itu. “Jika benar anak saya tidak layak, mengapa mereka biarkan kami menunggu sehingga tiga tahun. Sepatutnya mereka perlu berhubung dengan pemohon untuk menjelaskan hal itu. “Ini tidak, jika kita sendiri tidak ke sana (JKM), agaknya mereka buat tidak tahu,” katanya.

Pada 22 November 2009 lalu, Nuha Nurfaiqah bersama tiga kanak-kanak termasuk seorang bayi diserang seekor kera yang tiba-tiba mengganas di Taman Murni, Sungai Isap.

Kejadian itu telah menyebabkan Nuha Nurfaiqah mengalami kecederaan parah di kedua-dua bahagian tangan serta kaki kanannya.

Sementara itu, JKM berjanji akan menyelesaikan tuntutan Nuha Nurfaiqah itu dalam masa terdekat.

Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sosioekonomi dan Bantuan, Salihah Kamarudin berkata, jumlah bayaran yang diterima bergantung pada tahap kecederaan yang dialaminya. “Saya tidak dapat nyatakan jumlah bayaran yang bakal diterima adik Nuha Nurfaiqah kerana semuanya ditetapkan ibu pejabat JKM di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi semalam.

No comments:

Post a Comment