Friday, May 18, 2012

bidang ict

ARKIB : 16/05/2012

Tambah pengetahuan bidang ICT

SEORANG pelajar bertanyakan soalan kepada salah seorang penceramah pada Seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi: Transformasi Kehidupan Manusia di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan.
KUANTAN 15 Mei - Seramai 250 pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi sekitar daerah ini dan Pekan menyertai Seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi: Transformasi Kehidupan Manusia yang diadakan di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang di sini baru-baru ini.
Seminar anjuran penuntut Sarjana Sains Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP) itu bertujuan mendedahkan peserta mengenai perhubungan manusia dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
Antara peserta yang hadir ialah penuntut UMP, Kolej Universiti Shahputra, Kolej Polytech Mara, Kolej Antarabangsa IKIP, Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) dan Kolej Profesional Mara.
Selain itu, pelajar sekolah yang turut serta ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib dan SMK Ahmad, Pekan.
Dekan FSKKP, Prof. Madya Dr. Jasni Mohamad Zain berkata, penganjuran itu memberi pengetahuan tambahan tentang penggunaan teknologi secara berhemah dalam kalangan masyarakat supaya mereka memanfaatkan perkara tertentu dalam kehidupan.
"Seharusnya manusia lebih peka terhadap kemajuan teknologi ICT dan mampu menyumbang ke arah meningkatkan penggunaan sumber, fasiliti serta mengurangkan kos operasi selain menjamin keselamatan masyarakat," katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, peserta juga dapat meningkatkan pengalaman, pengetahuan dan kefahaman mereka tentang ICT, sekali gus mengurangkan stigma serta kekeliruan berkaitan isu penyalahgunaan perkara tersebut.
"Saya percaya penyertaan peserta dalam seminar itu dapat menambahkan lagi maklumat dan penggunaan ICT dalam kehidupan seharian," katanya.
Antara penceramah yang hadir pada seminar itu ialah Pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Komputer Malaysia (MNCC), Datuk Dr. Raja Malik Mohamed dan Naib Presiden Cyber Security Response Services, Adli Wahid.
Turut sama menyampaikan ceramah ialah Presiden Hi Tech Padu Berhad, Safiee Mohamad dan wakil dari Local Host Sdn. Bhd., Amir Haris Ahmad yang menyampaikan ucapan bertajuk Rangkaian dan Internet Dalam ICT.

No comments:

Post a Comment