Friday, August 26, 2011

ibu tunggal sakit


Ibu tunggal terlantar sakit kekejangan otot

JURIAH Mat Saman (kanan) sentiasa menjaga anaknya, Normah sambil dibantu cucu, Mohd. Afiq Shahmi dan Mohd. Afiq Zuhairi (kiri) di Jalan Bukit Palas, Kampung Cherating, baru-baru ini.

KUANTAN 26 Ogos - Setelah mengalami demam panas Disember tahun lalu, seorang ibu tunggal, Normah Idris, 42, hanya mampu terlantar sakit akibat kekejangan otot di rumah ibu bapanya di Jalan Bukit Palas, Kampung Cherating di sini.

Menurut ibunya, Juriah Mat Saman, 75, Normah yang kematian suami, Abdul Aziz Abdul Rahman sejak tiga tahun lalu akibat barah otak sebelum ini bekerja di sebuah pusat anyaman.

Katanya, anaknya itu bekerja bagi menampung perbelanjaan seharian tiga anak lelakinya, Mohd. Afiq Nuruldin, 15, Mohd. Afiq Shahmi, 12 dan Mohd. Afiq Zuhairi, 9.

Katanya, sejak terlantar sakit, dia yang mengusahakan kedai makan bersama suaminya, Idris Abdul Rahman, 75, terpaksa menghentikan perniagaannya semata-mata memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak ketiga dari lapan beradik itu.

''Saya sedih mengenangkan Normah dan anak-anaknya kerana sebelum ini dia seorang peramah dan periang. Kini dia tidak mampu bercakap dan hanya memandang sekeliling sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediamannya di sini baru-baru ini.

Juriah berkata, selain mendapatkan rawatan di hospital dan klinik, mereka turut berikhtiar secara tradisional sebagai usaha untuk melihat Normah kembali sihat seperti dahulu.

Jelasnya, setakat ini, anaknya itu belum menerima bantuan daripada mana-mana pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kecuali menerima sumbangan daripada anak- anak, saudara mara dan pihak tertentu yang simpati dengannya.

Mengenai kos rawatan katanya, Normah memerlukan kira-kira RM800 setiap bulan bagi membeli keperluan seperti susu tepung khas, lampin dewasa serta ubat-ubatan.

Dia kini buntu memikirkan nasib anak dan cucu-cucunya pada masa depan sekiranya tiada sesiapa yang dapat menguruskan mereka.

''Setiap hari saya berdoa mengharapkan anak saya kembali pulih seperti sedia kala kerana tidak sanggup melihatnya menderita dan kadang-kala mengerang seperti menahan kesakitan," jelasnya.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menghubungi Murni Amat Daud, 44, di talian 014-2126099.
TAJUK-TAJUK BERIT

Tuesday, August 23, 2011

curi kerbau


Curi kerbau menjelang Aidilfitri

Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanktn@gmail.com


NAZRI Aman (berdiri) menunjukkan kepala kerbau yang dijumpai sekitar Kampung Belengu, kelmarin.

TEMERLOH 23 Ogos – Tiga rakan kongsi mengalami kerugian RM6,000 apabila tiga ekor kerbau milik mereka dicuri pada Sabtu lalu dipercayai untuk dijual dagingnya menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Salah seorang daripada mereka, Nazri Aman, 48, berkata, ini merupakan kali kedua kecurian ternakan ini berlaku dan kali pertama, seekor kerbau milik mereka dicuri kira-kira sebulan lalu.

Katanya, kehilangan tiga ekor kerbau ini disedarinya pagi Ahad lalu ketika dia hendak melepaskan ternakan itu keluar dari kandang kira-kira pukul 10 pagi.

“Saya tidak sedap hati apabila melihat pintu pagar terbuka dan dikopak. Tekaan saya tepat apabila selepas meninjau kira-kira 200 meter saya ternampak tali perut kerbau terburai bersama kepala,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Belengu dekat sini semalam.

Katanya, dia kesal kerana kerbau mereka itu dicuri dalam kandang menggunakan tembakan peluru hidup.

“Pada pukul 2 petang saya jumpa satu lagi kepala bersama perut dan saya tidak berpuas hati lalu membuat rondaan dan pada pukul 5 petang satu lagi kepala kerbau bersama perut dijumpai,” katanya.

Beliau percaya pencuri itu menggunakan senjata api tanpa lesen untuk menembak dan mencuri haiwan ternakannya.

Katanya, dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dan berharap polis dapat menangkap segera pencuri tersebut.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Thursday, August 18, 2011

tagih janji 20 tahun


Mohon jalan sejak 20 tahun lalu

ZAINAL IBRAHIM, Kampung Batu Kapor, Mentakab


ZAINAL Ibrahim menunjukkan lorong masuk ke rumah pusaka ayahnya yang dijanjikan pihak berkenaan untuk membina jalan tar.

Saudara pengarang,
SAYA penduduk Kampung Batu Kapor, Mentakab ingin menuntut janji yang dibuat 20 tahun lalu untuk membina jalan masuk ke rumah saya.

Pihak berkenaan membuat janji tersebut kepada Allahyarham abang saya, Harith Azmi Ibrahim pada 1991 tetapi tidak pernah ditunaikan sehingga arwah meninggal dunia pada 2008.

Pihak berkenaan berjanji akan membina jalan tar ke rumahnya sejauh kira-kira 50 meter.

Ketika masih hidup, arwah sentiasa berjumpa dengan pihak berkenaan untuk memastikan janji itu ditunaikan.

Bagaimanapun, hasrat arwah untuk mendapatkan jalan itu tidak kesampaian. Jalan itu sangat diperlukan kerana apabila hujan, jalan menghala ke rumahnya itu becak dan mengotorkan.

Saya berharap pihak berkenaan dapat menunaikan janji ke atas arwah abangnya itu kerana kami tidak mampu untuk membina jalan tar untuk keluar masuk.

Pihak yang berkenaan pernah datang ke rumah arwah untuk kerja-kerja mengukur bagi membina jalan tar tersebut.

Selepas pihak berkenaan mengukur, kami sangkakan akan mendapat jalan yang diminta.

Bagaimanapun kami hampa kerana dari sehari ke sehari menunggu, jalan tar yang diharapkan tidak kesampaian.

Jalan itu tidaklah terlalu panjang atau lebar tetapi cukup untuk kemudahan kenderaan keluar masuk.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Thursday, August 11, 2011

mau kubur


Mohon tanah kubur Islam

MOHD. NAZLIFAH MOHAMAD,
Kampung Perpat, Rompin


IMAM masjid Kampung Perpat, Mohd. Nazlifah Mohamad menunjukkan kawasan tanah kubur Islam yang dimohon penduduk berhampiran Jalan Ladang Felcra Tanjung 100, Rompin.

Saudara pengarang,
PENDUDUK Kampung Perpat dan kalangan saudara baru Orang Asli di Kampung Kemendol, Rompin ingin memohon kepada pihak tertentu khususnya kerajaan negeri menyediakan tanah perkuburan di kampung itu dengan segera.

Tanah perkuburan di situ amat penting memandangkan berlaku pertambahan jumlah penduduk dan peningkatan kes kematian di kawasan itu.

Terdapat satu kejadian apabila jenazah penduduk di situ terpaksa dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kuala Rompin atau disemadikan di tanah perkuburan tempat lain.

Ada juga jenazah terpaksa dikebumikan di kampung tempat tinggal ibu bapa mereka yang terletak jauh dari kampung tersebut.

Keadaan itu sudah tentu menyukarkan proses pengurusan jenazah memandangkan terpaksa menghantar jenazah di tanah perkuburan yang terletak jauh dari kampung ini.

Keperluan mewujudkan tanah perkuburan di kampung ini penting kerana urusan pengkebumian jenazah dapat dikendalikan segera tanpa perlu membawa jenazah ke tempat lain.

Selain itu, penduduk juga berhadapan dengan masalah van jenazah kerana tidak mempunyai kemudahan itu sejak sekian lama selain terpaksa menggunakan van sekolah untuk membawa jenazah.

Justeru, penduduk di situ menerusi Jawatankuasa Khairat Kematian Kampung Perpat menjadikan kawasan berhampiran Jalan Ladang Felcra Tanjung 100 di situ sebagai tapak tanah perkuburan Islam.

Permohonan itu dikemukakan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Rompin dan masih menunggu kebenaran tersebut serta berharap masalah itu dapat ditangani segera.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

parkir teksi


Parkir teksi diceroboh pemilik kenderaan awam

ABDULLAH LEBAI DIN
Bandar Jerantut


BEBERAPA buah kenderaan awam diletakkan sewenang-wenangnya di petak kuning milik Persatuan Pemandu Kereta Sewa di stesen teksi Bandar Baru Jerantut.

Saudara pengarang,
SAYA ingin melahirkan rasa kesal dan tidak berpuas hati dengan sikap segelintir pemilik kenderaan di bandar Jerantut yang menceroboh parkir kuning.

Parkir tersebut merupakan kawasan yang dimiliki oleh Persatuan Pemandu Kereta Sewa (PPKS) di stesen teksi Bandar Baru Jerantut.

Boleh dikatakan setiap hari, khususnya pada waktu puncak pemilik kenderaan terbabit menceroboh masuk ke kawasan petak kuning sehingga mengganggu pemandu teksi meletakkan kenderaan mereka.

Senario yang sama juga semakin serius pada Ramadan apabila pemilik kenderaan awam menceroboh petak kuning dan meletakkan kenderaan mereka untuk berbelanja juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan berdekatan stesen teksi di sini.

Saya dan rakan pemandu teksi lain hairan kenapa mereka seolah-olah tidak memahami papan tanda larangan kenderaan awam yang dipasang oleh Majlis Daerah Jerantut (MDJ) di pintu masuk stesen teksi.

Hal itu menimbulkan kesesakan dan mengundang rungutan malah, timbul rasa marah dalam kalangan pemandu teksi kerana kawasan parkir kuning diceroboh kenderaan lain.

Pada mulanya saya dan rakan pemandu teksi lain menasihat pemilik kenderaan yang menceroboh parkir stesen teksi, tetapi teguran secara baik dan berlembut tidak diendahkan.

Untuk makluman orang ramai, Persatuan Pemandu Kereta Sewa di sini menyewa tapak untuk stesen teksi di sini sebanyak RM400 sebulan daripada pihak MDJ.

Jika keadaan ini berterusan, pemandu teksi tidak dapat meletakkan teksi masing-masing untuk menunggu pelanggan dan berkemungkinan akan mengurangkan punca pendapatan.

Ini menimbulkan masalah bagi pengurusan stesen teksi apabila pelancong dan penumpang domestik terpaksa menunggu lama kerana ketiadaan teksi.

Menerusi ruangan Rakan Pahang ini, saya mencadangkan MDJ mengenakan parkir berbayar di semua lokasi Bandar Baru, Bandar Lama Jerantut dan Bandar Baru Inderapura agar pemilik kenderaan lebih berdisiplin tanpa meletakkan kenderaan sesuka hati.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

nyaris maut


Wanita nyaris maut kereta terbakar

KEADAAN kereta Perodua Kancil dipandu Nik Selmi Firdaus Nik Mohd. Suhaimi yang musnah terbakar dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Jerantut-Temerloh, kelmarin.

JERANTUT 11 Ogos - Seorang wanita nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Jerantut-Temerloh berdekatan Pasar Borong Jerantut petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang, wanita itu, Nik Selmi Firdaus Nik Mohd. Suhaimi, 29, yang memandu kereta Perodua Kancil dari arah Temerloh menuju ke Jerantut.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zakaria Kasim berkata, kereta dipandu wanita itu dipercayai hilang kawalan dan merempuh dua kenderaan dari arah bertentangan sehingga mengakibatkan ia terbakar.

"Pihak Bomba dan Penyelamat Jerantut sempat ke lokasi kejadian dan memadam kebakaran. Pemandunya pula dikejarkan ke Hospital Jerantut sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, Nik Selmi dipercayai cedera parah di muka akibat rempuhan kuat dalam kemalangan itu.

Katanya, bagaimanapun pemandu kereta Proton Iswara, Mohd. Azmi Abu Bakar, 34, hanya mengalami cedera ringan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

ceria dapat lampu


Terima kasih kerajaan Pahang

VETERAN UMNO
Jerantut


LAMPU jalan yang dipasang sejak dua minggu lepas menambahkan keceriaan waktu malam di Jambatan Sungai Pahang berdekatan Kampung Jerantut Feri, Jerantut.

Saudara pengarang,
SAYA antara kalangan penduduk Kampung Jerantut Feri merakamkan terima kasih atas usaha Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang begitu prihatin dan peka dengan masalah dan aduan dikemukakan oleh rakyat luar bandar.

Menerusi ruangan Rakan Pahang, saya ingin menyampaikan penghargaan kepada pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) negeri ini kerana semasa lawatan kerja beliau ke Jerantut akhir bulan lalu bertemu dengan penduduk telah membuahkan hasil.

Buktinya, aduan mengenai ketiadaan lampu di Jambatan Sungai Pahang berdekatan Kampung Jerantut Feri yang bergelap sejak dibina 35 tahun lalu kini bertukar menjadi ceria pada waktu malam setelah pemasangan lampu berkenaan baru-baru ini.

Saya menjangkakan aduan penduduk di sini menerusi surat rasmi dan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Menteri Besar menyebabkan beliau begitu prihatin dan tindakan pantas telah dilaksanakan kemudiannya.

Tiga hari selepas lawatan itu, kami dapati lampu berkenaan mula dipasang di jambatan itu sekali gus melegakan penduduk di sini.

Saya difahamkan permohonan projek pemasangan lampu Jambatan Sungai Pahang itu kerap diajukan oleh Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada kerajaan negeri menerusi pentadbiran daerah sebelum ini tetapi tidak mendapat jawapan.

Hal ini menimbulkan pertanyaan dalam kalangan penduduk dan pelancong ke Taman Negara kenapa jambatan itu tanpa lampu sedangkan ia menjadi laluan alternatif untuk kenderaan berulang alik melalui jalan persekutuan antara bandar Jerantut ke Maran.

Terima kasih kerajaan negeri khususnya Menteri Besar kerana memandang serius kemudahan asas untuk keselesaan penduduk luar bandar dan pedalaman.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, August 10, 2011

dapat rumah


Warga emas dapat rumah

PENDUDUK bersama anggota polis bergotong-royong membaik pulih lantai dan dinding rumah Sadiyah Ismail di Kampung Jerantut Feri, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 10 Ogos - Sambutan Ramadan kali ini dianggap paling bermakna bagi seorang warga emas apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan sebanyak RM2,500 untuk membaik pulih rumahnya yang uzur di Jerantut Feri di sini, baru-baru ini.

Usaha membaik pulih rumah Sadiyah Ismail, 61, itu dilakukan secara gotong-royong oleh kakitangan JKM, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Jerantut Feri, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, Pasukan Pelindung, Pusat Asuhan Kanak-Kanak (PAKK) Pedah Jaya dan pelajar Sekolah Tunas Bakti, di sini.

Ibu tunggal yang mempunyai seramai sembilan anak dan 19 cucu itu sebelum ini tinggal di rumah usang warisan keluarga berusia 60 tahun.

Sadiyah ketika ditemui bersyukur kerana projek gotong-royong itu mengubah kehidupannya sekali gus dapat menjalani ibadah puasa dengan selesa pada tahun ini.

"Saya berterima kasih kepada JKM, penduduk dan mereka yang bertungkus lumus membaik pulih rumah ini dan lebih bermakna lagi ia disiapkan pada Ramadan ini.

"Tanpa bantuan ini, mungkin saya tidak ceria dan selesa menjalani ibadat puasa kerana tidak mampu membeli peralatan binaan lantaran pendapatan menjual kuih tidak seberapa," katanya kepada pemberita di Jerantut Feri di sini, kelmarin.

Menurut Sadiyah, kesempitan hidup bermula selepas kematian suaminya, Ismail Hassan tiga tahun lalu akibat serangan jantung dan untuk perbelanjaan harian, dia cuma mampu menjual kuih dan mengambil upah bekerja di restoran.

Dia juga berterima kasih kepada JKM kerana memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan untuk menampung keperluan sepanjang Ramadan dan persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Pegawai JKM Jerantut, Siti Zubaidah Aboo Salihu berkata, program gotong-royong membaik pulih rumah warga emas berkenaan merupakan yang pertama dijalankan pada tahun ini, manakala dua lagi masalah sama akan dilaksanakan di Kampung Hulu Cheka tidak lama lagi.

bengkel biskut raya di jerantut

Bengkel biskut raya Sabtu, Ahad

JERANTUT 10 Ogos - Kelab Sukan dan Rekreasi Majlis Daerah Jerantut (MDJ) akan mengadakan Bengkel Membuat Biskut Raya di Studio Mat Kilau di sini pada Sabtu dan Ahad ini.

Menurut satu kenyataan, peserta yang menyertai program itu akan diberi tunjuk ajar mengenai kaedah membuat beberapa jenis biskut dan kek oleh tenaga pengajar profesional.

Katanya, peserta akan mempelajari cara membuat beberapa jenis biskut seperti Almond London, biskut Nestum, biskut Cornflakes, kek nenas walnut dan biskut kelapa.

‘‘Penyertaan terhad kepada 20 peserta terawal yang mendaftar dan akan dikenakan yuran sebanyak RM20. Mereka yang berminat boleh menghubungi MDJ di talian 09-2662205,” katanya.

popia basah jengka

Popia basah juadah istimewa

KUALA KRAU 10 Ogos - Bulan Ramadan al-Mubarak bukan sahaja bulan keberkatan untuk umat Islam berlumba-lumba beribadah tetapi juga menjadi sumber rezeki kepada peniaga bazar Ramadan.

Bagi dua beradik, Norfazli Mazroni, 37, dan kakaknya, Norhalizah, 40, yang hanya menjual popia basah di Bazar Ramadan Bandar Tun Abdul Razak Jengka dekat sini, mereka mampu memperoleh pendapatan lebih RM1,000 sehari.

Tinjauan Utusan Malaysia di Bazar Ramadan Tun Abdul Razak Jengka mendapati gerai popia basah dua beradik itu menjadi tumpuan pelanggan sejak awal bulan puasa lagi.

Menurut Norfazli, hanya dengan harga 50 sen satu, lebih 2,000 popia basah dapat dijual setiap petang sekali gus mampu menjana pendapatan lumayan berbanding hari biasa.

Monday, August 8, 2011

ibu tunggal


Memo Editor
Cekal demi anak-anak

PADANG LUAS – Kehidupan sebagai ibu tunggal bukan semudah yang difikirkan segelintir masyarakat lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak pernah mengalaminya.

Namun, bagi Timah Tawang, 63, berkata, sejak berpisah dengan suaminya pada 2002, kehidupannya jauh berubah terutama dari segi ekonomi.

Menurutnya, jika dahulu, dia digelar peneroka wati namun kini dia boleh berbangga apabila mampu berdiri sendiri selain dibantu anaknya yang sudah bekerja.

“Perbezaan hidup dulu dan kini bukan menjadi alasan untuk saya menerima sahaja apa yang yang ditentukan kerana saya percaya, kita perlu bersedia berubah jika mahukan kebahagiaan,” katanya.

Dia berkata, sikap bekas suami yang mengabaikan tanggungjawab terhadap anak mereka terutama anak bongsu yang masih belajar ketika itu menyebabkan dia tidak boleh berdiam diri walaupun bekas suaminya mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Timah berkata, bagi memastikan anak bongsunya mendapat kehidupan selesa dan pendidikan yang sempurna, dia sanggup naik turun mahkamah untuk menuntut harta sepencarian.

Katanya, kepayahan menguruskan kes tuntutan di mahkamah berbaloi apabila penghakiman mengarahkan bekas suaminya membahagikan separuh hasil bahagian bagi semua tanah yang diusahakan di salah sebuah tanah rancangan dekat sini.

“Saya bersyukur apabila mendapat pembelaan sewajarnya demi anak-anak namun hampa dengan sikap bekas suami yang ingkar terhadap arahan tersebut,” katanya.

Menurutnya, oleh sebab proses mendapatkan hak anak-anak dan dirinya mengambil masa yang lama, Timah mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dengan membuka kedai runcit dan membuat kuih tradisional.

“Saya berharap, bekas suami dapat mematuhi arahan tersebut demi anak-anak supaya Aidilfitri yang bakal menjelma ini memberi sinar baru bagi kami,” katanya.

durian pun kebas


Pencuri kebas tiga durian

MELA - Hantu durian. Itulah gelaran yang sesuai diberikan kepada suspek yang memecah masuk rumah seorang penduduk di Taman Selinsing di sini dan sempat melarikan tiga durian dan tunai RM105.

Mangsa, Mohamed Razali Imam Endol, 61, berkata, dalam kejadian yang berlaku di rumahnya malam kelmarin, suspek turut mengambil kesempatan menjamah nasi dan lauk di dapur sebelum beredar keluar dari rumahnya.

“Pencuri itu sempat membawa lari tiga durian yang baru dibeli di pasar malam di sini selain turut mengambil dompet milik anak saya, Alif Firdaus yang mengandungi tunai berjumlah RM75, kad pengenalan, kad bank dan wang syiling berjumlah kira-kira RM30.

“Ketika kejadian saya bersama isteri, Nor Laila Othman, 49, tidur di bilik utama di bahagian hadapan rumah manakala dua anak lelaki kami keluar bersama rakan mereka,” katanya, di sini, kelmarin.

Mohamed Razali berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka kejadian tersebut berlaku di rumahnya kerana tidak ada kesan ketara rumahnya dimasuki pencuri.

“Isteri saya, Nor Laila ada bangun dari tidur untuk pergi ke tandas, namun dia terdengar bunyi pelik dari arah dapur ketika masuk semula ke bilik tidur dan menyangka bunyi kucing.

“Anak kami, Afzuimi, 27, dan Aidil Alif, 25, pulang ke rumah antara jam 1.30 pagi hingga 2.30 pagi semalam dan melihat keadaan rumah bersepah dengan pakaian tidak berlipat.

“Namun, mereka tidak fikir sesuatu yang mencurigakan berlaku di rumah dan hanya masuk tidur ke bilik masing-masing seperti biasa,” katanya.

Mohamed Razali berkata, mereka sekeluarga hanya menyedari rumah mereka dipecah masuk sekitar jam 8 pagi kelmarin apabila Nor Laila mengadu tentang kehilangan beg yang mengandungi buku bacaan serta dompet milik Alif Firdaus.

“Saya menjumpai buku bacaan milik isteri saya bertaburan di dalam longkang di hadapan rumah selain turut menjumpai dompet kosong milik Alif Firdaus,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga bersyukur kerana selamat daripada kejadian tersebut selain menyatakan tidak ada kehilangan barangan berharga di rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mangsa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah pagi kelmarin untuk membuat laporan polis.

Sunday, August 7, 2011

ibu tunggal

Ibu tunggal bersama dua anak nyaris maut

ROMPIN 7 Ogos - Seorang ibu tunggal yang sarat mengandung bersama dua anaknya nyaris maut apabila ruang tamu rumahnya musnah akibat dilanda ribut dan angin kencang di Kampung Janglau, di sini semalam.

Kejadian berlaku pukul 4 petang ketika Junaidah Khalid, 32, bersama dua anaknya iaitu Norasyikin Ismail, 7, dan Mohd. Fadzli, 5, sedang berehat di ruang tamu sebelum menyiapkan juadah berbuka puasa.

Junaidah berkata, bahagian bumbung rumahnya itu diterbangkan angin kuat manakala sebahagiannya pula runtuh ke lantai menyebabkan dia dan seorang lagi anaknya cedera.

"Dalam keadaan panik, kayu penahan zink bumbung rumah tiba-tiba terjatuh ke atas bahu kanan saya, sementara anak bongsu yang sedang duduk di atas riba mengalami cedera ringan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Junaidah, ketika itu dia hanya memikirkan keselamatan diri dan anak-anaknya untuk menyelamatkan diri kerana tidak menyangka ribut tersebut boleh menyebabkan bahagian ruang tamu rumahnya rosak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Kapten (B) Mohd. Johari Hussain bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rompin meninjau keadaan mangsa ribut di kawasan itu.

Katanya, bantuan segera berjumlah RM500 akan dihulurkan kepada semua mangsa terlibat menerusi Tabung Bencana Daerah selain menyalurkan peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman berupa barangan keperluan harian.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Saturday, August 6, 2011

berbuka di padang


Ramadan bukan pesta makan

KUANTAN–Masyarakat diingatkan bahawa tidak menjadikan bulan Ramadan sebagai pesta makanan kerana kebayakan mereka berpusu-pusu ke bazar membeli juadah berbuka.

Imam Satu Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah Satu, Mohd Khalil Mohd Zari berkata, beliau kecewa apabila masih ramai tidak memanfaatkan bulan mulia ini dengan beribadah di masjid, sebaliknya datang berbuka puasa di padang berhampiran kawasan masjid beramai-ramai.

Menurutnya, bilangan mereka yang datang membeli juadah di bazar berdekatan juga ramai, tetapi tidak ramai yang berjemaah di masjid.

“Puasa melatih kita untuk melawan nafsu terutamanya nafsu makan, tetapi apa yang saya lihat, masih ramai lagi yang mengasah nafsu makan mereka dengan berbelanja secara berlebihan dan pada masa yang sama tidak menjalankan ibadat.

“Ada juga dalam kalangan kita seolah-olah 'membalas dendam' membeli juadah yang berlebihan sehingga terbuang dan itu bukanlah apa yang patut kita amalkan dalam bulan yang mulia ini,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa matlamat berpuasa selama sebulan itu tidak tercapai jika masih ada yang bersikap sedemikian, malah rugi bagi sesiapa yang tidak memanfaatkan bulan ini dengan amal kebajikan.

Mohd Khalil berkata, hadis nabi juga mengatakan bahawa mereka yang tidak mengambil kesempatan dalam bulan ini adalah di kalangan umat yang kerugian kerana ia hanya sebulan sahaja dikerjakan dengan pahala yang berlipat kali ganda.

“Kita mengharapkan perubahan positif Ramadan ini untuk dimanfaatkan dalam kehidupan pada masa akan datang.

“Berbuka secara berjemaah di padang memang amalan baik, tetapi selepas berbuka, kita boleh berjemaah di masjid berdekatan untuk mengimarahkan bulan ini,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar masyarakat dapat perbetulkan diri dan dapat berebut pahala Ramadan yang hanya tinggal tiga minggu lagi untuk dilaksanakan.

Sementara itu, beliau mahu anak-anak kecil mula didedahkan dengan amalan berpuasa dan juga ibadat sebagai langkah didikan untuk mereka amalkan.

ayam golek madu


Cecah RM40,000 sebulan

TEMERLOH – Kedatangan Ramadan setiap tahun pastinya ditunggu-tunggu bukan sahaja buat mereka yang ingin beramal untuk menambah pahala, bahkan turut dinanti peniaga kecil bagi meraih pendapatan yang datang setahun sekali.

Sama seperti peniaga lain, Mohd Syazmeir Yusuf, 21, memang menantikan bulan mulia ini untuk menambah rezeki dengan menyediakan juadah berbuka puasa ‘ayam golek madu’ resipi ibunya, Noraini Abdullah.

Mohd Syazmeir yang berniaga di tapak Bazar Ramadan Kampung Paya Pulai begitu teruja apabila tiba Ramadan kerana dia dan keluarganya mampu meraih pendapatan tambahan sehingga RM1,400 sehari atau lebih RM40,000 sebulan.

Menurutnya, jumlah itu dikira secara purata berdasarkan hasil jualan yang mampu mencecah 70 ayam sehari dengan setiap ekor dijual dengan harga RM20.

“Ia kiraan secara kasar, pendapatan sebenar saya tidak berani cakap sebab ayah yang mengawal kewangan, namun secara mudah, jualan kami sekeluarga boleh mencecah 70 ekor dan kadang-kadang lebih,” katanya, semalam.

Mohd Syazmeir yang menetap di Kampung Tanjung Besar, di sini berkata, hasil jualan yang tinggi mungkin disebabkan resipi ayam golek madu ciptaan ibunya sangat digemari ramai, malah bapanya, Mohd Yusuf Daud 55, turut dikenali ramai.

Menurutnya, dia membuka perniagaan seawal jam 1.30 tengah hari setiap hari dan akan menutup operasi perniagaannya kira-kira jam 6.50 petang.

“Kami sudah berniaga di sini sejak empat tahun lalu dan tapak masih kekal, sebab itu pelanggan yang sudah mencuba makan ayam golek kami akan datang serta beli lagi.

“Selain berniaga di bazar Ramadan Kampung Paya Pulai, keluarga saya turut berniaga di bazar Ramadan Lurah Semantan, di pekan Temerloh.

“Kami sekeluarga seramai 10 orang akan bekerjasama setiap hari mencari rezeki dan sama-sama menikmati hasilnya,” katanya.

Mohd Syazmeir berkata, bagi memastikan kesegaran ayam terjamin serta mendapatkan bekalan dengan harga lebih murah, keluarganya akan berhubung dan mendapatkan bekalan terus dari ladang ayam berhampiran Triang, Bera.

Menurutnya, apabila habis bulan Ramadan, dia dan keluarga akan beralih kepada bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman jagung.

Friday, August 5, 2011

gerai rosak


Berpuluh gerai rosak teruk

Oleh HARIS FADILAH AHMADutusanpahang@utusan.com.my


NORHAZIMAH HADI mengemas barang jualannya yang musnah dalam kejadian ribut di pasar malam Pekan Sungai Koyan, Kuala Lipis, kelmarin.

KUALA LIPIS 5 Ogos - Berpuluh-puluh gerai di tapak pasar malam dan Bazar Ramadan Pekan Sungai Koyan, dekat sini rosak teruk akibat dilanda ribut dan hujan lebat malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, puluhan kanopi berterbangan dipukul angin kencang manakala barang jualan bertaburan di atas tanah dan dalam longkang.

Seorang peniaga sayur-sayuran, Norhazimah Hadi, 22, berkata, kejadian ribut itu merupakan kali pertama dialaminya sejak membantu ibu bapanya berniaga di pasar malam tersebut.

"Ketika angin kencang, keadaan bertambah kelam-kabut dan kedengaran tangisan kanak-kanak dan ada peniaga melaungkan azan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Norhazimah, dia dan adiknya sempat memegang payung dan kanopi supaya tidak diterbangkan angin kencang.

Seorang peniaga ikan bakar, Zulhazrul Zaiha, 30, berkata, ketika kejadian, dia pulang ke rumah untuk berbuka puasa sebelum menyambung perniagaan di bazar itu.

"Selepas berbuka puasa, saya bergegas ke gerai di tapak bazar Ramadan itu ketika angin kencang dan hujan lebat melanda.

"Saya baharu tiga hari memulakan perniagaan ikan bakar untuk menambah pendapatan sempena Ramadan ini tetapi musnah dalam sekelip mata sehingga menanggung kerugian sebanyak RM300," katanya.

Peniaga minuman, Jafri Siteh, 44, berkata, dia bersyukur kerana malapetaka berkenaan tidak membabitkan nyawa dan kecederaan ke atas peniaga dan orang ramai.

"Ketika kejadian, kebanyakan peniaga bazar Ramadan pulang ke rumah untuk berbuka puasa dan cuma yang tinggal hanya peniaga pasar malam," katanya.

Jafri menambah, para peniaga terbabit tidak sempat menyelamatkan peralatan perniagaan dan barangan jualan kerana kejadian berlaku terlalu pantas.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, August 3, 2011

merapoh


Merapoh bakal jadi pusat pertumbuhan baharu


KEDUDUKAN strategik kawasan Merapoh di Lipis yang menjadi penghubung antara Kota Bharu, Kelantan dengan Lembah Klang membolehkan kawasan itu berpotensi dibangunkan menjadi pusat sehenti dan bandar baharu.

Merapoh yang bersempadan dengan daerah Gua Musang, Kelantan kini menjadi destinasi persinggahan lebih 300 buah bas ekspres setiap hari sama ada untuk berhenti makan atau berehat.

Tempias pembangunan di Merapoh berasaskan pelancongan, pertanian dan alam sekitar dapat merancakkan lagi program lawatan sehari pelancong ke bandar bersejarah Kuala Lipis.

Wartawan Utusan Malaysia, HARIS FADILAH AHMAD menemubual Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, DATUK ABDUL RAHMAN MOHAMAD mengenai misi dan visi pembangunan di kawasan Lipis Timur itu.

UTUSAN: Mengapa Merapoh berpotensi sebagai sebuah pusat bandar baharu di Lipis?

ABDUL RAHMAN: Sejak 20 tahun lalu, saya melihat Merapoh sering disinggahi banyak bas ekspres yang membawa ramai penumpang di hentian rawat dan rehat (R&R) untuk berehat dan berbelanja.

Sehubungan itu, kawasan tersebut berpotensi dibangunkan sebagai pusat jualan hasil kampung yang diusahakan oleh petani seperti di R&R Sungai Perak di Perak.

Kemudahan jalan raya yang baik dan laluan kereta api antara Kelantan dan Pahang merupakan antara kemudahan yang mempercepatkan pertumbuhan Merapoh.

Ia sekali gus membantu pembangunan pertanian, pelancongan dan industri desa di kampung tradisional termasuk penempatan Orang Asli berdekatan Merapoh.

Sektor apakah yang memainkan peranan dalam memajukan kawasan ini?

Saya yakin sektor pertanian antara katalis utama membantu memajukan pusat pertumbuhan baharu di sini.

Pembabitan aktif petani menjual hasil kampung termasuk buah-buahan tempatan menjadikan Merapoh sebagai pusat persinggahan R&R yang dikenali ramai.

Justeru, Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di sini menggalakkan penduduk tempatan memajukan tanah terbiar untuk projek pertanian.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut membantu pemasaran dengan menyediakan kemudahan jualan, khidmat pasaran dan pusat pengumpulan hasil pertanian kedua terbesar di Lipis.

Apakah projek kemudahan asas yang sedang dan telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri di Merapoh?

Bagi merancakkan sektor perniagaan di Merapoh, Majlis Daerah Lipis (MDL) membina enam ruang perniagaan dan kedai makan untuk peniaga di sini.

Kita juga sedang membina pasar baharu bernilai RM277,000 untuk kemudahan penduduk dan pelancong berbelanja.

PPK Merapoh sedang merancang membangunkan stesen minyak miliknya sebagai pusat sehenti yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti kawasan R&R, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), restoran, gerai makan, cenderamata dan kraf tangan.

Hasrat PPK membangunkan kawasan berkenaan dengan lebih terancang bagi menarik bas ekspres berhenti di situ seterusnya membantu penduduk meningkatkan taraf ekonomi sekali gus memberi peluang kepada para pesertanya berniaga bagi memasarkan pelbagai produk pertanian, makanan, makanan ringan dan kraf tangan.

Kerajaan negeri juga memperuntukkan wang yang banyak untuk membina pam galak dan menaiktaraf bekalan air bersih di sekitar Merapoh, Pagar Sasak, Sungai Temau dan Chegar Perah.

Apakah projek pertanian terbesar yang bakal direalisasikan dalam tempoh terdekat ini di Merapoh?

FAMA akan mewujudkan Terminal Makanan Negara (Teman) di Kechau Tui berdekatan Merapoh sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran produk pertanian di kawasan Pahang Barat.

Hasrat FAMA untuk mewujudkan pusat itu berikutan banyak produk pertanian di daerah ini dan kawasan sekitarnya dan boleh dipasarkan di premis perniagaan dan pasar harian di Merapoh.

Kechau Tui yang berdekatan dengan Merapoh sebagai hab pasaran makanan utama di Pahang Barat juga dilengkapi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memudahkan hubungan antara pengeluar, pembekal dan pengguna.

Projek itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pertanian, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Apakah kesan yang akan wujud apabila kerajaan negeri menaiktaraf Merapoh sebagai pusat pertumbuhan baru berasaskan pertanian dan pelancongan di Lipis?

Penduduk Merapoh dijangka terus bertambah dan peluang memajukan tanah terbiar dengan projek pertanian serta industri desa dapat menawarkan peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk.

Kerajaan Pusat juga akan menaik taraf jalan Lipis-Gua Musang dengan membina laluan empat lorong menerusi projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bermula dari Pelangai, Bentong hingga ke sempadan Gua Musang dalam usaha menjana pertumbuhan ekonomi setempat.

Dengan pelaksanaan projek itu, saya berharap Merapoh akan turut menikmati hasil limpahan ECER dan menjadi sebuah bandar baharu selain menjadi pintu masuk ke Taman Negara yang menawarkan pelancongan bertaraf dunia.

bazar ramadan kuantan


Bazar Ramadan jadi pilihan warga Kuantan

MUHAMMAD Khairul Abdul Latiff membakar Murtabak menggunakan dapur panjang di bazar Ramadan berhampiran Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.

KUANTAN 3 Ogos - Kehadiran Ramadan sememangnya memberi seribu satu kenikmatan yang sangat besar kepada umat Islam.

Bukan itu sahaja, bulan penuh keberkatan ini sentiasa dinantikan kerana segala ibadah yang dilakukan selain berpuasa akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Malah, satu perkara yang cukup sinonim dengan bulan seribu rahmat ini adalah kewujudan bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa.

Apa yang boleh diperhatikan ialah 'perebutan' di kalangan peniaga yang berlumba-lumba mendapatkan tapak untuk berniaga di bazar bermula kira-kira dua bulan sebelum Ramadan menjelma.

Senario tersebut jelas menggambarkan kehadiran Ramadan mengundang rezeki yang berlimpah ruah terutama kepada peniaga.

Ini kerana, bazar Ramadan dilihat sebagai satu keperluan kerana kebanyakan golongan wanita masa kini adalah bekerja dan tidak mempunyai masa untuk menyediakan juadah berbuka.

Soal sedap atau sebaliknya bukan lagi menjadi persoalan asalkan semuanya terhidang di depan mata dan memudahkan.

Kemeriahan di bazar Ramadan juga menyebabkan golongan suri rumah tidak ketinggalan untuk mengunjunginya walaupun telah menyiapkan juadah berbuka di rumah.

Seolah-olah mengunjungi bazar Ramadan setiap kali tibanya bulan puasa seperti satu kemestian yang tidak boleh dilepaskan.

Segala jenis juadah seperti kuih-muih, lauk-pauk dan minuman yang tidak pernah disajikan selama ini, semuanya muncul.

Bagi seorang kakitangan kerajaan, Farhana Alias, 30, kekangan kerja menyebabkan dia memilih mengunjungi bazar untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

"Kewujudan bazar ini sememangnya memudahkan golongan seperti saya mendapatkan juadah berbuka puasa.

"Bukannya tidak terfikir untuk menyediakan sendiri tetapi masa yang terhad selepas balik kerja kira-kira pukul 5 petang menyebabkan niat untuk memasak terbatal," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Jalan Stadium di sini semalam.

Menurut Farhana, makanan yang dijual di bazar Ramadan juga semakin berkualiti sejak mendapat pemantauan daripada pihak berkuasa.

Sementara itu, Iskanda Awang Ismail, 43, berkata, dia lebih suka menikmati hidangan yang disediakan isteri di rumah tetapi pada masa sama sering mengunjungi bazar-bazar Ramadan di sekitar bandar ini.

"Saya suka melihat pelbagai juadah menarik terutama kuih-kuih tradisional yang jarang ditemui pada bulan-bulan biasa seperti kuih netbat dan apam baghdad.

"Kadangkala saya membeli juga beberapa juadah sampingan selepas berbuka puasa dengan juadah yang disediakan isteri," ujarnya yang merupakan seorang pekerja swasta.

Bagi Kadir Hussin, 37, dia yang bekerja sebagai pegawai pemasaran akan mengunjungi bazar setiap kali bulan Ramadan.

"Memang sangat wajar bazar-bazar Ramadan diwujudkan kerana ia memudahkan orang ramai yang seharian bekerja mendapatkan juadah berbuka puasa.

"Setiap kali tibanya Ramadan, saya tidak pernah melepaskan peluang mengunjunginya," katanya yang begitu menggemari nasi beriani Pakistan di Bazar Ramadan Jalan Stadium di sini.

Katanya, dengan adanya bazar Ramadan, dia tidak perlu bergegas pulang ke rumah untuk berbuka puasa.

''Seperti tahun-tahun sebelumnya, jika tidak sempat, adakalanya saya berbuka puasa di pejabat bersama rakan-rakan," jelasnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

ikan bakar tempoyak


Pernah rasa ikan bakar tempoyak?

Oleh M. RIZAL NOR
utusanpahang@utusan.com.my


SAIFUL Razman (kiri) melayan pelanggan yang ingin membeli ikan bakar di Bazar Ramadan di hadapan bangunan Majlis Daerah Jerantut, semalam. - utusan/M.Rizal Nor

JERANTUT 3 Ogos – Pahang cukup terkenal dengan masakan berasaskan tempoyak terutama ikan patin.

Tempoyak bukan sahaja disajikan dalam masakan berkuah tetapi turut digunakan dalam menyediakan rempah atau sambal ikan bakar.

Ikan bakar tempoyak merupakan salah satu menu yang terdapat di gerai milik Saiful Razman Abdul Kadir, 30, di Bazar Ramadan berhadapan bangunan Majlis Daerah Jerantut (MDJ), di sini.

Menurut Saiful Razman, rempah yang dicampur dengan tempoyak hanya disediakan bersama ikan patin dan talapia manakala ikan lain menggunakan rempah biasa.

“Saya adunkan sambal bersama tempoyak untuk mencari kelainan dalam menyediakan ikan bakar dan rasanya sangat enak serta sesuai dijadikan juadah berbuka puasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dia yang pertama kali berniaga di Bazar Ramadan itu memberitahu, jualan ikan bakar di gerainya mencecah sehingga 50 ekor sehari.

“Ramai pelanggan yang datang untuk mencuba ikan bakar tempoyak kerana menu ini tidak terdapat di gerai lain," jelasnya.

Menurutnya, ikan talapia dan patin dijual pada harga RM14 hingga RM20, pari (RM8 hingga RM15), terubok (RM25 hingga RM30) dan bawal (RM20 hingga RM25).

Katanya, setiap hidangan ikan bakar di gerainya disertakan air asam dan sambal sebagai pencicah.

Bagi memastikan rasa yang enak dan memenuhi cita rasa pelanggan, Saiful Razman mendapatkan bekalan ikan segar dari Kuantan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tuesday, August 2, 2011

salah tebuk da

Penyamun salah tebuk lubang dinding

KUANTAN 2 Ogos - Dua lelaki yang cuba memecah masuk ke bilik kebal Majlis Ugama Islam dam Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini, semalam, untuk merompak barangan pajakan terpaksa berputih mata apabila tersilap menebuk lubang dinding.

Kejadian disedari seorang kakitangan MUIP berusia 38 tahun yang baru tiba di pejabat untuk memulakan tugas kira-kira pukul 7.22 pagi.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, ketika sampai di pejabat, kakitangan terbabit terkejut mendapati pintu ke bilik mesyuarat terkopak.

"Kakitangan berkenaan mendapati satu lubang ditebuk dari dalam bilik tetamu untuk ke bilik kebal namun suspek tersilap apabila tebukan dinding itu menuju ke bilik lain.

"Kita percaya suspek tersalah tebuk laluan untuk ke bilik kebal Ar-Rahnu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Noor Asyikin, tiada sebarang kecurian berlaku melainkan kerosakan dinding dan pintu akibat kesan tebukan dan dikopak.

Tambahnya, siasatan awal melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, dua suspek lelaki yang memakai penutup kepala dan bersarung tangan dilihat berlegar-legar di dalam bangunan tersebut.

"Kita masih menjalankan siasatan dan kedua-dua suspek itu sedang dikenal pasti dan diburu polis," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemilik premis lain yang mempunyai peti besi supaya mengambil langkah kawalan lebih ketat dan sentiasa berwaspada terutama pada hujung minggu.

Monday, August 1, 2011

patriotisme


Pupuk semangat patriotisme

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanterengganu@utusan.com.my


SEBAHAGIAN kadet membaca doa sempena perasmian Perkhemahan Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang, baru-baru ini.

MARAN 1 Ogos - Perkhemahan Kadet Pertahanan Awam Malaysia (KPAM) peringkat kebangsaan di sini membabitkan 1,600 anggota berjaya mencapai matlamatnya dalam usaha mengukuh integrasi nasional dan memantapkan dan memupuk semangat patriotisme, disiplin serta nilai kerjasama.

Perkhemahan itu sebagai pentas bagi pelajar bersaing secara sihat dan mengekalkan semangat berpasukan serta setiakawan.

Perkhemahan enam hari baru-baru ini di Pusat Latihan Pertahanan Awam Wilayah Timur (PULAPAT), Bandar Tun Abdul Razak Jengka dekat sini menguji kemahiran kadet dan menilai tahap kemampuan peserta KPAM.

Program itu dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Pahang, Kolonel (PA) Che Othman Hussin.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Nadzri Ab. Wahab dan Pengelola Kanan Bahagian Kokurikulum dan Kebudayaan Kementerian Pelajaran, Wan Mohd. Ariffin Wan Hussien dan Timbalan Komandan Pusat Latihan Bomba Wilayah Timur, Hasmi Ghazali.

Che Othman berkata, penyertaan dari pelajar sekolah menengah itu dapat memupuk disiplin dan semangat berpasukan berteraskan toleransi tanpa mementingkan diri sendiri.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pelajar negeri ini lebih fokus menyertai kegiatan kokurikulum kerana falsafahnya mendidik pewaris bangsa yang patriotik.

Mazlan pula berkata, Kementerian Pelajaran mewajibkan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum supaya bersemangat waja, cekal dan tidak mudah terpedaya dengan tohmahan dan fitnah.

Menurut beliau, pelajar yang menganggotai badan beruniform perlu menghayati dan melaksanakan aktiviti dengan bersungguh-sungguh kerana ia memberi impak positif terhadap diri, keluarga dan negara.

''Sebagai contoh pelajar yang menyertai aktiviti kokurikulum mengajar mereka erti kepayahan, rintangan, semangat kerjasama dan cekal menghadapi cabaran tanpa mudah mengalah.

''Elemen inilah yang diperlukan negara apabila mereka menjadi pemimpin dan ahli masyarakat yang memiliki nilai-nilai kemanusiaan sejagat dan mempertahankan maruah bangsa, agama serta negara,'' katanya.

Hasmi pula menyifatkan perkhemahan KPAM sangat berjaya dan menepati matlamat.

''Setiap ahli kadet menjalani pelbagai aktiviti termasuk mendaki Gunung Senyum bagi menguji semangat berpasukan, setiakawan, gigih, cekal menghadapi rintangan," katanya.

Bagi Guru KPAM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astaka, Kuantan, Sri Sukma Sumario, 41, pasukan Kadet Pertahanan Awam dapat membentuk masyarakat terutama pelajar melalui pelbagai aktiviti kesukarelaan dan mencerna modal insan lebih dinamik.

''Pembabitan aktif kadet dalam perkhemahan ini dapat memberi kemahiran dalam aspek pertolongan cemas, menghadapi kebakaran dan menyelamat," jelasnya.

Seorang lagi guru SMK Sri Mahkota, Kuantan, Maseri Ismail, 43, berpendapat, pengukuhan falsafah dalam jiwa ahli KPAM akan mendorong mereka memberi perkhidmatan sukarela kepada sesiapa yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman.

''Di samping itu, kurikulum KPAM menanam semangat kerjasama, bertanggungjawab, berperikemanusiaan, taat setia dan cintakan sekolah,'' katanya.

Sementara itu, pelajar tingkatan lima SMK Padang Piol, Jerantut, Norhana Ahmad, 17, mengakui sangat teruja menyertai perkhemahan tersebut kerana dapat memupuk semangat semangat hormat-menghormati dan kejujuran selari dengan gagasan 1Malaysia.

Dua pelajar SMK Jengka 18 dekat sini, Faridah Zainol, 16, dan Fainur Hidayah Ismail, 17, berkata, aktiviti yang disertai dalam perkhemahan itu dapat mencungkil dan memupuk nilai serta etika kepimpinan yang diperlukan pelajar sebagai persediaan menjadi pemimpin akan datang.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

durian sekolah pawang nong


Sekolah Kebangsaan Pawang Nong miliki kebun durian sendiri

IDRIS Said (kanan) menikmati durian bersama warga pendidik di Sekolah Kebangsaan Pawang Nong, Jerantut, kelmarin.

JERANTUT 1 Ogos - Setiap kali tiba musim durian, keceriaan jelas terpancar pada wajah warga Sekolah Kebangsaan (SK) Pawang Nong, Ulu Cheka, dekat sini apabila mereka dapat menikmati keenakan 'raja buah' itu secara percuma.

SK Pawang Nong merupakan satu-satu sekolah di daerah ini yang memiliki kebun durian yang mempunyai 20 pokok yang mengeluarkan hasil sejak 20 tahun lalu.

Guru besar sekolah itu, Idris Said berkata, setiap kali tiba musim durian, buah yang gugur akan dapat dinikmati oleh semua 35 guru dan 300 murid termasuk kakitangan sokongannya.

"Kami akan mengumpulkan buah durian kampung yang gugur dan mengadakan pesta makan durian bersama semua warga sekolah ini biarpun jumlahnya tidak banyak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Idris memberitahu, pokok durian tersebut ditanam sejak sekolah berkenaan dibuka dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan guru (PIBG).

"Kami sebagai generasi baru ini turut mendapat hasil dari penat lelah mereka yang terdahulu namun separuh daripada pokok durian terpaksa ditebang untuk membina bangunan baru memandangkan jumlah murid yang semakin meningkat," ujarnya.

Menurutnya, durian kampung yang ditanam mempunyai isi yang tebal dan enak hingga menjadi kegilaan warga sekolah itu.

Setiap kali tiba musim durian katanya, sekolahnya akan didatangi oleh pelawat yang ingin melihat sendiri buah durian itu.

''Bagi memastikan semua guru dan murid dapat merasai durian tersebut, kami akan memasak pulut dan bubur durian dengan mengadakan majlis khas selepas waktu persekolahan.

"Durian yang gugur akan dikutip secara bergilir-gilir oleh tukang kebun sekolah sehingga buah yang terakhir dan setakat ini belum ada kejadian curi durian di sekolah ini," jelasnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: