Thursday, May 31, 2012

ikan pelik

Gempar jumpa ikan pelik
NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
1 Jun 2012
Gempar jumpa ikan pelik
Zamirul Syafiq (kiri) bersama adik beradiknya dan penduduk kampung memegang ikan,
pelik sepanjang kira-kira dua meter untuk tatapan orang ramai.
KUANTAN - “Belum pun hilang rasa pelik selepas terbaca mengenai penemuan ikan ganjil oleh nelayan di Kerteh, Terengganu melalui sebuah akhbar kelmarin, hari ini saya sendiri pula yang menjumpai ikan spesies sama terdampar di Pantai Kampung Sungai Ular di sini,” kata seorang nelayan, Zainuddin Busu, 36.

Ikan pelik yang dipanggil ‘ikan naga’ itu ditemui kira-kira jam 8 pagi ketika dia bersama dua anaknya turun ke pantai untuk memukat ikan.

Zainuddin berkata, anaknya, Zamirul Syafiq, 16 terpandang objek pelik terapung di gigi air ketika mereka menaiki motosikal melalui pesisiran pantai tersebut.

“Pada mulanya kami sangka objek itu ular mati lalu mendekati bangkai tersebut.

“Saya dan anak terkejut apabila mendapati objek berwarna putih itu sebenarnya seekor ikan yang amat ganjil berukuran kira-kira dua meter dan berat dianggar hampir lapan kilogram,” katanya.

Dia berkata, ikan itu ditemui sudah mati tetapi keadaan badan masih baik, tidak busuk atau cedera .

Spesies ganjil

Dia yang membesar dalam suasana perkampungan nelayan di situ mengakui tidak pernah melihat ikan spesies tersebut sebaliknya mengetahui kewujudan ikan tersebut di perairan Pantai Timur melalui akhbar kelmarin.

“Semua nelayan di sini termasuk warga emas yang berpuluh tahun bergelumang dengan ombak mengakui tidak pernah melihat ikan ini,” katanya.

Zainuddin berkata, ikan itu amat ganjil dengan rupa yang agak menakutkan.

“Ikan berwarna putih ini memiliki mata bulat dan besar, mulut besar dengan bibir lembut, mempunyai kulit keras serta tajam seperti pari dan berkepala seperti naga.

“Manakala siripnya berwarna merah dan di kepala serta bawah mulutnya mempunyai sesungut panjang berwarna merah selain bintik tajam di bawah badan,” katanya.

Dia berkata, pada hari sebelumnya dia ada ternampak kelibat seakan ikan besar melibas- libas ekor di satu kawasan berhampiran tempat ikan itu ditemui.

“Pada mulanya saya beranggapan kelibat itu adalah ikan biasa yang besar sedang mengejar anak-anak ikan.

“Saya tidak nampak bentuk ikan itu dengan jelas namun percaya kelibat itu adalah ikan ini,” katanya.

Zainuddin berkata, mungkin ikan itu dari spesies ikan laut dalam yang tersesat ke perairan cetek dan tidak dapat menyesuaikan keadaan di perairan ini menyebabkan haiwan itu mati.

Boleh buat kajian

Dia berkata, dia menolak andaian sesetengah pihak bahawa kemunculan ikan itu mungkin satu petanda akan berlaku sesuatu kejadian di situ.

“Mungkin semua ini hanya satu kebetulan,” katanya.

Katanya lagi, saya belum bercadang untuk menjual ikan ini sebaliknya menunggu pihak Jabatan Perikanan datang melihat ikan ini hari ini (semalam).

“Kalau mereka hendak ambil untuk kajian, saya akan serahkan tapi jika tidak, saya sudi menjual kepada mana-mana pihak berminat.

Sementara itu, sumber Jabatan Perikanan Pahang berkata, ikan yang ditemui itu bukan luar biasa sebaliknya sejenis ikan yang selalunya menghuni dasar laut yang berkedalaman 500 hingga 1,000 meter.

Ikan Naga atau Oarfish (Regalecus Russelii) ini jarang ditemui di kawasan pesisir pantai bagaimanapun ada kalanya ia akan menghanyutkan diri ke kawasan pantai bila hendak mati.

“Ini kali pertama penemuan ikan ini dilaporkan terdampar di pantai ini dan kita tidak pasti punca sebenar haiwan ini mati," katanya.

orang asli mahu liputan

Rayu liputan telekomunikasi di Pos Betau

DUA Orang Asli yang mempunyai telefon bimbit tidak dapat menggunakan kemudahan itu kerana tiada rangkaian telefon mudah alih di Pos Betau, Lipis.
SAYA penduduk Orang Asli Pos Betau, daerah Lipis dan beberapa kampung berdekatan memohon kerajaan negeri agar supaya meminta jasa baik syarikat telekomunikasi melebarkan perkhidmatan talian mudah alih dan jalur lebar di kawasan ini.
Untuk makluman kerajaan, dalam kancah era moden, kami berasa tersisih dengan dunia luar kerana kawasan kampung ini masih belum menerima kemudahan rangkaian telefon mudah alih.
Kami berasa cemburu dengan penduduk Kampung Kuala Medang dan Gugusan Felda Sungai Koyan yang sudah menikmati kemudahan berkenaan begitu lama dan selesa untuk berhubung dengan saudara-mara dan rakan di tempat lain.
Untuk makluman kerajaan negeri, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menziarahi penduduk Pos Betau dan kami memperoleh jaminan daripada seorang pegawai telekomunikasi bahawa Pos Betau akan diberi talian mudah alih iaitu pemasangan satu menara berkaitan tidak lama lagi.
Sampai sekarang janji berkenaan belum direalisasikan dan kami masih mengharapkan agar teknologi rangkaian telefon mudah alih itu boleh dinikmati sepenuhnya sebelum pilihan raya tidak lama lagi.
Sayugia dinyatakan, iaitu hampir 2,000 penduduk, termasuk remaja dan belia masing-masing mempunyai satu telefon selular, tetapi tidak dapat dimanfaatkan kerana tidak ada talian berkenaan.
Kami terpaksa ke pekan Sungai Koyan atau ke tempat tinggi yang agak jauh dari kampung kami untuk menikmati perhubungan rangkaian dan berkomunikasi dengan saudara mara dan rakan di tempat lain.
Inilah pengisian pembangunan yang kami tagih walaupun pemimpin setempat dan agensi kerajaan kerap kali berbicara soal penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tetapi pengetahuan berkenaan diibaratkan seperti 'mengajar si pekak membaca'.
Saya optimis jika menara telekomunikasi didirikan di Pos Betau sudah tentu perkhidmatan telefon mudah alih, talian jalur lebar khususnya kemudahan Internet memberi impak kepada anak cucu kami yang mempunyai notebook dapat mengkases maklumat ketika pulang bercuti dan membuat kerja sekolah.
Pun begitu, saya tidak nafikan kemudahan itu juga memberi manfaat besar kepada agensi kerajaan, iaitu Klinik Kesihatan, balai penghulu, sekolah, tadika dan orang perseorangan dapat menikmati akses komunikasi dengan lebih selesa.
Kemudahan itu juga dapat dinikmati oleh pemandu dan pengguna jalan raya dari Sungai Koyan ke Cameron Highlands yang melalui kawasan Pos Betau khususnya untuk meminta bantuan kecemasan ketika kemalangan atau kerosakan kenderaan semasa perjalanan.
Menerusi Rakan Pahang minggu ini, saya berharap kemudahan talian berkenaan dapat direalisasikan dengan pembinaan menara telekomunikasi untuk keperluan penduduk Orang Asli di Pos Betau dan kampung berhampiran.
Kami juga ingin menikmati transformasi pembangunan modal insan dan sosial kerajaan Barisan Nasional BN dan mencanai kemahiran ICT dalam kalangan penduduk dan anak Orang Asli yang mampu menjangkau zaman asalkan diberi peluang dan kemudahan tersebut.

Wednesday, May 30, 2012

ikip bakal naik taraf

ARKIB : 30/05/2012

Kampus tetap Kolej Antarabangsa IKIP bakal siap 2017

Dua pelajar IKIP, Isnul Fitri Shamsuddin dan Mahmud Junoh (kiri) mendengar penerangan daripada Pensyarah Kejuruteraan Elektrikal IKIP, Wan Haslinda Wan Manan mengenai kereta solar IKIP di galeri pameran pada majlis perasmian Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Kampus IKIP Tanjung Lumpur di Yayasan Pahang, Kuantan, kelmarin.
KUANTAN 29 Mei - Kampus tetap Kolej Antarabangsa IKIP yang dibina di tapak seluas 6.16 hektar di Tanjung Lumpur di sini dijangka siap sepenuhnya menjelang 2017.
Pengerusi Lembaga Pengarah IKIP Education Sdn. Bhd., Prof. Datuk Dr. Abdul Monir Yaakob berkata, projek yang dibangunkan secara berperingkat itu melibatkan kos RM106 juta menerusi tiga fasa.
"Pembangunan kampus tetap ini merupakan satu langkah dalam usaha meningkatkan prasarana IKIP yang sedia ada.
"Ini adalah bersesuaian dengan usia IKIP yang telah mencapai 20 tahun dalam sektor pendidikan tinggi di negara ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Induk Pembangunan Kampus IKIP yang turut mengadakan pameran di Yayasan Pahang di sini semalam.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Pada majlis itu, Adnan turut melancarkan buku ke-10 karya Abdul Monir yang bertajuk Islam dan Kebebasan Beragama Menurut Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Abdul Monir, pembinaan kampus tetap itu mampu meluaskan peranan IKIP dalam menjana modal insan yang berketerampilan, berkualiti dan cemerlang dalam memacu pembangunan negara.
"Kampus tetap ini mampu memuatkan 5,000 penuntut dalam satu masa apabila siap beroperasi kelak. Empat bangunan asrama yang dicadangkan dalam pembinaan ini boleh menempatkan seramai 2,000 penuntut," jelasnya.
Tambahnya, kampus tetap itu turut dilengkapi padang futsal, bola jaring dan bola sepak bagi membolehkan penuntut beriadah dengan selesa.
"Selain itu, kemudahan ruang niaga juga disediakan dalam kampus tetap bagi memudahkan penuntut mendapatkan barangan keperluan," jelasnya.

Saturday, May 26, 2012

rebut durian runtuh

Bergaduh rebut durian runtuh
Wartawan Sinar Harian
26 Mei 2012
Bergaduh rebut durian runtuh
Penerima durian runtuh menandatangani borang sebagai tanda menerima cek RM5,000.
BANDAR TUN RAZAK – Sejak pengagihan durian runtuh fasa pertama, terdapat aduan mengatakan berlaku pergaduhan dan perbalahan dalam keluarga peneroka berkaitan hak mengambil wang tersebut.

Perkara itu diakui Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Rancangan (JKKR) Felda Jengka 13, Zainuddin Jantan.

Zainuddin berkata, beliau pernah didatangi anak peneroka sudah ketiadaan ibu bapa yang mempersoalkan cara pengagihan durian runtuh itu sehingga berlaku pergaduhan dalam keluarganya.

“Dia datang menuntut hak untuk mendapatkan duit durian runtuh itu memandangkan kedua-dua ibu bapanya sudah meninggal dunia.

“Dalam tuntutan itu dia menyatakan haknya sebagaianak yang menjaga ibu bapa ketika masih hidup, sedangkan adik-beradik lain hanya lepas tangan,” katanya.

Beliau berkata, bukan sahaja ketua peneroka, malahan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) turut membincangkan mengenai masalah tersebut.

“Saya sebagai ketua kampung hanya mampu memberikan nasihat. Pada saya, jalan terbaik dengan mengagihkan durian runtuh itu sama rata.

“Tidak kira siapa pernah menjaga ibu bapa, durian runtuh itu sepatutnya menjadi harta pusaka dan perlu diagihkan sesama mereka,” katanya.

Zainuddin berkata, pengagihan durian runtuh itu turut membimbangkan banyak pihak walaupun belum terjadi lagi pergaduhan besar di tanah rancangan tersebut.

“Ini baru pengagihan durian runtuh fasa pertama. Belum lagi memasuki fasa kedua dan ketiga tidak lama lagi.

“Justeru, saya berharap ada persefahaman dalam kalangan adik-beradik. Mereka perlu sedar sebusuk mana sekalipun adik-beradik, mereka tetap darah daging kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jengka, Wan Salman Wan Ismail berkata, pergaduhan terjadi untuk merebut durian runtuh dianggap kepincangan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

“Inilah dinamakan kepincangan dalam institusi keluarga. Namun saya percaya hanya sesetengah keluarga menghadapi masalah sebegini. “Bagi mereka tidak menghadapi sebarang masalah, tahniah saya ucapkan kerana berjaya mengawal institusi keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah menunjukkan cara untuk mengagihkan durian runtuh tersebut dan kini terserah kepada peneroka menguruskannya.

“Berikan kepada mereka yang berhak dan agihkan durian runtuh itu secara adil dengan apa cara sekalipun,” katanya.

uitm pahang menang

ARKIB : 23/05/2012

UiTM Pahang, Terengganu juara pertandingan Percussion

Hilmi Ab. Rahman (berdiri, enam dari kiri) bersama kontinjen Pahang yang memenangi Pertandingan Percussion 1UiTM 1Malaysia Ke-5 di UiTM Cawangan Pahang di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran, baru-baru ini.
MARAN 22 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandar Tun Razak Jengka di sini dan cawangan Terengganu muncul pasukan terbaik pada Pertandingan Percussion 1UiTM 1Malaysia di sini baru-baru ini.
Pertandingan yang bertemakan "Beat The Heat, Hit The Bitte" diadakan di Dataran Integrasi UiTM kampus cawangan Pahang dengan disertai 192 peserta dari 10 kampus di seluruh negara.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UiTM, Prof. Dr. Azni Zain Ahmed dan turut dihadiri Rektor UiTM Pahang, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman dan Pengarah Pusat Kokurikulum, Prof. Madya Dr. Mohammed Yaziz Ahmad.
Pegawai Kokurikulum UiTM Cawangan Pahang, Mat Zaid Yazid berkata, dua kategori dipertandingkan iaitu kumpulan dan individu.
Menurutnya, UiTM Pahang memenangi kategori Individu Cymbals Terbaik dan johan kategori berkumpulan sekali gus dinobatkan sebagai pasukan terbaik pada pertandingan itu.
Katanya, pemenang kategori individu Solo Snare Terbaik disandang UiTM Cawangan Kedah, Bass Drum Terbaik (UiTM Cawangan Kelantan), Drum Major Terbaik (UiTM Shah Alam) dan Marching Bell Terbaik (UiTM Terengganu).
"Naib johan kategori kumpulan adalah UiTM Terengganu dan tempat ketiga, UiTM Cawangan Kelantan yang mempamerkan persembahan hebat," katanya di sini baru-baru ini.
Mohammed Yaziz berkata, program itu bertujuan mempertingkatkan kemahiran bermain alat muzik secara solo mahupun berkumpulan serta menjadi medan ujian pencapaian kemahiran pasukan pancaragam.
Jelasnya, ia dapat menanam elemen kreativiti ahli dalam mempelbagaikan gaya persembahan, memupuk semangat kerjasama antara pasukan yang bertanding.
"Pertandingan itu dapat mengeratkan lagi ikatan persahabatan sesama pelajar, staf dan pihak pengurusan UiTM dari seluruh cawangan di negara ini," katanya.

Thursday, May 24, 2012

curi besi

Dua pencuri besi kantoi
Wartawan Sinar Harian
25 Mei 2012
Dua pencuri besi kantoi
Rakaman CCTV menunjukkan dua individu dipercayai sedang mencuri besi penutup longkang di Jalan Ahmad Shah dan Jalan Datuk Bahaman pada malam 22 Mei lalu.
BANDAR TEMERLOH – Peniaga di bandar ini melahirkan rasa bimbang dengan kegiatan curi penutup longkang yang semakin berleluasa.

Kejadian terbaru pada 22 Mei lalu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis perniagaan di Jalan Ahmad Shah dan Jalan Datuk Bahaman, di mana lebih 20 besi penutup longkang dilaporkan hilang.

Seorang peniaga, Chong Chin Wah berkata, kejadian terbaru itu berlaku sekitar jam 8 hingga 9 malam ketika keadaan di belakang premis pernigaan di kawasan  terbabit mulai lengang.

Menurutnya, ramai peniaga di situ tidak menyedari kegiatan jenayah itu berlaku berhampiran premis mereka sehinggalah diberitahu beberapa peniaga lain keesokan harinya.

“Saya tidak pasti mengenai kejadian itu, tetapi ada rakan saya menunjukkan rakaman CCTV. Ada dua individu yang terlibat dan mereka naik kereta Proton Wira.

“Seorang menunggu di dalam kereta sambil rakannya mencungkil besi penutup longkang di belakang premis terbabit,” katanya.

Chin Wah berkata, laporan polis sudah dibuat dan peniaga berharap mereka yang terlibat ditangkap segera kerana menyusahkan banyak pihak.

Katanya, sesetengah peniaga terpaksa menampal dengan simen setiap besi penutup longkang supaya lebih selamat.

“Besi penutup longkang yang dijual kepada pembeli besi buruk mempunyai nilai yang tinggi kerana kualiti dan berat barangan itu.

“Tidak hairanlah kenapa terlalu banyak kes kecurian berlaku dalam kawasan perumahan, taman rekreasi dan premis perniagaan kerana ia mampu memberi pendapatan lumayan kepada si pencuri,” katanya

jual daun getah

ARKIB : 24/05/2012

Daun getah hasilkan produk komersial

SEBAHAGIAN daripada gubahan bunga daun getah yang dihasilkan peserta program Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil, Kuala Tembeling, Pahang, semalam.
JERANTUT 23 Mei - Kenaikan harga getah di negara ini memberi manfaat kepada pengusaha ladang dan kebun tersebut kerana sebelum ini harga yang dijual agak rendah sehingga menyukarkan mereka menguruskan kewangan.
Bukan setakat itu sahaja, pokok getah itu turut mendatangkan faedah sama ada kayu dan daunnya berikutan ia boleh dipelbagaikan bagi tujuan tertentu termasuk perabot.
Bagaimanapun, bagi sekumpulan kaum hawa di Kuala Tembeling di sini, mereka memilih daun getah untuk dijadikan bunga sebagai salah satu cabang keusahawanan dalam mencari sumber pendapatan.
Projek bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah program Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) itu diusahakan oleh 10 orang suri rumah.
Penyelarasnya, Rogayah Saat, 46, berkata, dia menghadiri kursus untuk membuat dan menggubah bunga menggunakan daun getah yang dianjurkan oleh agensi itu di Terengganu pada 1999.
Setahun kemudian jelasnya, kumpulan wanita berkenaan mendapat bantuan kewangan daripada RISDA untuk dijadikan modal bagi memulakan perniagaan mereka menghasilkan bunga daripada daun pokok berkenaan.
Katanya, antara hasil kerja ahli kumpulan tersebut termasuk bunga hiasan, bunga telur, bingkai gambar dan penanda buku.
"Setangkai bunga dijual pada harga RM2.50 hingga RM10 manakala bunga yang siap digubah dijual dengan harga RM35 hingga RM250 bergantung kepada saiz.
"Selain menjual bunga yang telah siap, kita turut menghasilkan bunga mengikut cita rasa dan tempahan pengguna terutama dari segi saiz dan warna," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mengulas mengenai cara pembuatan bunga tersebut, Rogayah berkata, daun getah yang digunakan haruslah berkualiti dengan saiz ukuran satu hingga 10 inci.
Menurutnya, pemilihan daun sangat penting untuk mendapatkan hasil yang memuaskan dan bekalan itu diperoleh melalui pembekal dari Johor dan Melaka dengan harga mencecah RM350 sekilogram.
"Sebelum digubah menjadi bunga, daun-daun tersebut direndam ke dalam air atau dasar sungai untuk proses membuang lapisan hijau.
"Proses ini perlu mengambil masa lama sehingga tiga minggu untuk mendapatkan kualiti yang baik," katanya.
Tambahnya, daun yang telah hilang lapisan hijau akan direndam ke dalam peluntur supaya menjadi putih dan cantik.
Rogayah berkata, proses pengeringan daun tersebut hanya dijalankan menggunakan kipas sahaja dan tidak boleh diletakkan di bawah cahaya matahari kerana ia akan menjadi rapuh dan mudah terkoyak.
"Bunga-bunga yang telah siap akan diwarnakan menggunakan warna-warna yang cantik dan terang untuk menarik perhatian pelanggan," ujarnya.
Selain menjual kepada rakan-rakan dan jiran, katanya, hasil kerja kumpulan terbabit turut dipasarkan kepada orang ramai setiap kali berlangsungnya program tertentu di Jerantut.
"Alhamdulillah, sambutan diterima amat menggalakkan dan kami lihat produk ini mempunyai potensi yang sangat luas.
"Kami banyak menerima tempahan bunga telur yang digunakan untuk majlis tertentu terutama kenduri kahwin dan berharap perusahaan itu dapat menembusi pasaran luar Jerantut dan dikomersialkan sehingga ke peringkat antarabangsa," jelasnya.

siswa berbakti

ARKIB : 23/05/2012

Siswa UIAM baik pulih PDK Felda Chegar Perah

MOHAMAD Shahrom Osman (tengah) bersama sebahagian penuntut UIAM dan keluarga angkat mereka semasa projek gotong-royong membaik pulih bangunan PDK sempena Projek Kembara Bakti Siswa di Felda Chegar Perah, Kuala Lipis, baru-baru ini.
KUALA LIPIS 22 Mei - Seramai 12 kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Felda Chegar Perah, di sini gembira apabila 60 penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Selangor membaik pulih pusat berkenaan bersama masyarakat peneroka, baru-baru ini.
Selain mengecat, penuntut Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Pendidikan Kaunseling dan Fakulti Sains Sosial universiti itu turut melukis mural dan menyediakan ruang pembelajaran yang lebih menarik di bangunan PDK tersebut.
Projek itu dilaksanakan menerusi Program Kembara Bakti Siswa di bawah program kegiatan luar Pusat Tanggungjawab Sosial Universiti (Censerve) UIAM.
Program tersebut turut mendapat sokongan dan dijayakan bersama oleh Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman.
Hadir sama, Pengarah Pusat Tanggungjawab Sosial UIA, Martinelli Hashim; Pengurus Felda Chegar Perah, Tarmugi Abas dan Ketua Kampung Felda Chegar Perah, Sazali Abdul Wahab.
Pengarah Projek, Mohd. Hanis Mazlan berkata, usaha itu bertujuan memberi keselesaan dan menarik minat kanak-kanak OKU mengikuti pembelajaran dengan lebih seronok.
"Kami rasa terpanggil apabila diberitahu rancangan ini mampu membantu menaik taraf bangunan berkenaan agar lebih kondusif dan menarik," katanya.
Justeru itu, tambah Mohd. Hanis, sebagai penuntut yang bakal menjadi pemimpin masyarakat dalam semua bidang, komitmen terhadap golongan itu secara tidak langsung dapat menceriakan mereka untuk mengikuti pembelajaran dengan berkesan.

Wednesday, May 23, 2012

tangan hitam

Tangan gadis bertukar hitam
Wartawan Sinar Harian
24 Mei 2012
Tangan gadis bertukar hitam
Penduduk melihat keadaan Norzahidah sambil diperhatikan Mohd Roslan (kanan).
BANDAR BENTONG – Seorang peneroka di Felda Kemasul, dekat sini, mahu penjelasan lanjut berhubung keadaan tangan kanan anak sulungnya yang bertukar menjadi hitam dan kini hidup ibarat orang kurang upaya (OKU) selepas hampir sebulan mendapat rawatan di hospital.

Mohd Roslan Dollah, 49, berkata, anak sulungnya, Norzahidah, 22, mengalami demam panas hingga tidak sedarkan diri pada 8 April lalu dan mereka sekeluarga membawanya ke Klinik Kesihatan Chemomoi, dekat sini.

Menurutnya, Norzahidah kemudiannya dibawa menaiki ambulans ke sebuah hospital di negeri ini untuk mendapat rawatan lanjut.

“Anak saya dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi) dan pada hari kelima dia dimasukkan ke situ, saya mendapati tangan kanan anak saya sudah bertukar warna menjadi biru kehitaman.

“Saya cuba bertanyakan punca mengapa ia terjadi, namun tidak diberikan penjelasan sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Roslan berkata, kirakira 10 hari menerima rawatan di unit rawatan rapi, anaknya dipindahkan ke wad biasa sebelum dibenarkan pulang pada 9 Mei lalu.

Bagaimanapun katanya, apa yang menyedihkan tangan anaknya bukan sahaja hitam hingga ke paras siku, namun keupayaannya juga semakin terhad.

“Dahulu anak saya normal dan bekerja sebagai pembantu kedai di Bera, tetapi selepas keluar hospital, dia tidak berdaya hingga terpaksa diletakkan atas kerusi roda dan memakai lampin pakai buang.

“Setiap hari kami terpaksa menghantar Norzahidah ke Klinik Kesihatan Chemomoi untuk mencuci bahagian tangannya yang hitam, manakala kaki sebelah kirinya juga semakin lemah dari hari ke hari,” katanya.

Mohd Roslan berkata, mereka sekeluarga sedih melihat keadaan Norzahidah kerana tidak seperti dahulu dan memerlukan bantuan ahli keluarga untuk menguruskan diri.

Menurutnya, keadaan yang berlaku memberi kesan kepada kehidupan mereka sekeluarga memandangkan Norzahidah merupakan anak sulung daripada lima beradik.

“Kami cuma mahukan pembelaan sewajarnya atas apa yang berlaku kerana ia melibatkan masa depan Norzahidah walaupun semasa menerima rawatan, doktor ada menyarankan supaya tangan anak saya dipotong.

“Namun apa yang kami kesalkan ialah sehingga kini kami masih tidak mengetahui dengan jelas penyakit dialami Norzahidah kerana penerangan diberikan semasa menerima rawatan di hospital berbeza-beza,” katanya.

letong hilang

Misteri kehilangan Letong
Wartawan Sinar Harian
24 Mei 2012
Misteri kehilangan Letong
Nani menunjukkan foto Letong yang tidak pulang ke rumah dipercayai hilang sejak enam bulan lalu.
MARAN - “Dalam mimpi tiga hari lalu, Letong cakap dia mahu balik tapi tak lepas nak balik”.

Demikian kata seorang penduduk Kampung Orang Asli Batu 55 di sini, Nani Gel, 47, yang bingung dengan misteri kehilangan abangnya sejak enam bulan lalu.

Nani berkata, tiada sebarang petunjuk atau petanda ditemui bagi menjejaki abangnya itu, Letong, 53, yang juga sakit mental sejak berusia 18 tahun akibat demam panas.

Menurutnya, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran pada 6 Disember 2011 namun misteri kehilangan Letong masih menjadi tanda tanya.

“Polis ada memberitahu bahawa mereka sudah mencari di hospital berdekatan sekiranya Letong ada menerima rawatan kerana mungkin dihantar oleh orang awam.

“Tiga hari lalu saya bermimpi, Letong berada di tepi longkang sebuah rumah kayu uzur dan bercakap mahu pulang tapi tidak lepas. “Saya rapat dengan Letong malah menjaganya sejak berusia 18 tahun dan ini merupakan kali pertama Letong hilang,” katanya kepada Sinar Harian.

Nani berkata, dia tidak pernah berputus asa menjejaki Letong dan sentiasa mencari abangnya itu di sekitar Felda Bukit Tajau, Kampung Kuala Sentul, Bandar Maran serta jalan menghala ke Mentakab.

Menurutnya, Letong kebiasaan akan keluar sendirian seawal jam 8 pagi dan akan pulang selewat jam 3 petang malah tidak pernah mengganggu orang lain.

“Firasat saya, Letong masih hidup dan jika ditakdirkan dia sudah tiada

xbawa mykad kena jel

Ibu hamil lima bulan kena penjara 45 hari
ROSILAWATI ROSEDI
24 Mei 2012
Ibu hamil lima bulan kena penjara 45 hari
Nurul Huda terpaksa meringkuk dalam penjara selepas bersalah kerana
gagal tunjukkan Mykad dalam satu operasi akhir Februari lalu.
KUANTAN - Gara-gara gagal menunjukkan kad pengenalan miliknya, seorang ibu mengandung lima bulan terpaksa meringkuk di penjara selama 45 hari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Trafik di sini, semalam.

Sebelum itu, tertuduh, Nurul Huda Muda, 35 dari Kampung Beruas, Pekan yang bekerja sebagai pembantu pam minyak merayu kepada Majistret Tuan Ruziani Tuan Lah supaya tidak dikenakan denda kerana tidak mempunyai wang.

Tertuduh memberikan alasan dia tidak berkemampuan dan masih mempunyai dua anak yang masih kecil.

Tuan Ruziani kemudiannya menetapkan hukuman itu berkuat kuasa semalam.

Mengikut fakta kes, Nurul gagal mempamerkan kad pengenalan miliknya dalam satu operasi terhadap anggota polis di hadapan Hotel Planet, Jalan Bukit Ubi di sini kira-kira jam 1.30 pagi pada 29 Februari lalu.

Tertuduh disabitkan di bawah Peraturan (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum, RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadilla Mohd Ali.

lori masuk kedai

Lapan nyaris maut lori rempuh kedai makan
Wartawan Sinar Harian
24 Mei 2012
Lapan nyaris maut lori rempuh kedai makan
Beberapa pelanggan melihat keadaan lori jenis Fuso yang merempuh masuk ke dalam sebuah kedai makan, pagi semalam.
BANDAR TEMERLOH – Keasyikan lapan pelanggan menikmati sarapan pagi di sebuah kedai makan, di sini, pagi semalam tergendala apabila sebuah lori tanpa muatan merempuh masuk ke dalam kedai terbabit akibat terbabas selepas terlanggar seekor babi hutan melintas jalan.

Kejadian berlaku jam 10 pagi di Jalan Kuantan Kuala Lumpur dekat Kampung Batu 4, di sini, ketika terdapat lapan pelanggan bersama dua pembantu kedai yang sedang asyik melayan pelanggan dalam kedai berkenaan.

“Saya dengar bunyi bising macam helikopter nak jatuh, tiba-tiba meluru masuk sebuah lori ke dalam kedai dan merempuh sedikit pagar serta meja makan sebelum berhenti betul-betul depan pelanggan.

“Nasib baik pelanggan cepat mengelak. Beberapa pelanggan lagi cuba membantu mengeluarkan pemandu lori yang terperangkap di dalam kenderaannya,” kata pembantu kedai makan nasi kerabu, Sukaramai, semalam.

Rashidah Rashid 38, berkata, mujur semasa kejadian ramai pelanggan sudah beredar dan hanya tinggal lapan pelanggan di dalam kedai terbabit.

“Biasanya pelanggan sarapan pagi di sini antara jam 8 hingga 9 pagi setiap hari, nasib baik semasa kejadian tidak ada ramai orang,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku beberapa pelanggan melihat keadaan lori jenis Fuso yang merempuh masuk ke dalam sebuah kedai makan, pagi semalam begitu pantas dan ketika itu dia dalam perjalanan menghantar lori terbabit kepada penjual di Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebaik tiba di hadapan kedai berkenaan, seekor babi hutan meluru dari semak berhampiran untuk melintas jalan.

“Saya tak sempat elak dan melanggarnya, kemudian saya cuba kawal semula lori tetapi gagal dan terus masuk ke dalam kedai. “Sejak bekerja lebih setahun lalu dengan sebuah syarikat automotif di Pekan, ini kejadian paling teruk saya alami. Saya memang kerap menggunakan jalan ini dua hingga tiga kali sebulan menghantar lori ke penjual di Kuala Lumpur,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

pantai kotor

Sampah sarap penuhi persekitaran, pemandangan jadi hodoh
Wartawan Sinar Harian
23 Mei 2012
Sampah sarap penuhi persekitaran, pemandangan jadi hodoh
Keadaan Pantai Lagenda dipenuhi sampah sarap yang menjelikkan pandangan mata
KAMPUNG SERANDU – Keindahan Pantai Legenda dekat sini terjejas akibat pembuangan sampah sarap sekali gus memburukkan pandangan bentuk muka bumi pantai yang landai itu.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati pantai yang dikenali dengan nama ‘Air Leleh’ itu dicemari plastik, botol kosong dan pembungkus makanan mencemari kawasan itu serta boleh memberi kesan kepada hidupan laut.

Beberapa pengunjung yang ditemui kesal kerana pantai yang berpotensi sebagai tempat pelancongan itu tidak mendapat perhatian pen­duduk dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Seorang pengunjung, Mohd Faris Hilmie Ali, 22, berkata, pantai itu perlu disenaraikan antara lokasi yang mampu menarik pelancong dan penduduk tempatan untuk ­aktiviti rekreasi.

Katanya, PBT boleh menaiktarafkan kawasan itu supaya menjadi lokasi kunjungan pilihan orang ramai untuk berkelah dan mandi-manda.

“Walaupun keadaannya ­tidak pernah berubah, namun pantai ini sentiasa dikunjungi orang ramai pada hujung minggu,” katanya.

Pemuda itu berpendapat, usaha mengubah keadaan pantai itu perlu dilaksanakan ­supaya lebih berpotensi ­sebagai pusat pelancongan yang ­menarik di daerah Pekan.

Seorang lagi pelancong, Zulkarnain Isa, 37, berkata, kehadiran peniaga makanan dan minuman di kawasan ini suatu masa dahulu memberi keceriaan kepada alam semula jadi di sini.

Katanya, walaupun pantai itu semakin hilang ­keindahannya tetapi masih menjadi pilihan orang ramai yang ingin merehatkan ­fikiran serta membawa keluarga bersantai.

“Pantai ini sebenarnya mempunyai banyak ­kelebihan kerana lokasinya berada di kawasan perkampungan yang memberi peluang kepada pengunjung untuk ­menikmati pemandangan indah di sini.

Zulkairnain turut mencadangkan PBT menambah­ ­infrastruktur di pantai itu selain pembersihan.

Katanya, pengunjung ­sudah pasti memerlukan kemudahan seperti papan ­tanda, taman kanak-kanak, surau dan tandas serta ­tapak ­perkhemahan yang ­boleh membantu meningkatkan ­industri pelancongan di ­daerah ini.

Tuesday, May 22, 2012

parkir tak cukup

Sikap ambil mudah susahkan pengguna lain
M FEISAL NORAWI
21 Mei 2012
Sikap ambil mudah susahkan pengguna lain
Penunggang motosikal meletakkan kenderaan dalam parkir kereta, manakala pacuan empat roda di sebelahnya menggunakan lebih daripada satu petak sekali gus.
TEMERLOH – Terdapat sesetengah pengguna motosikal yang bersikap ambil mudah dengan meletakkan kenderaan mereka di kawasan parkir kereta menyebabkan pengguna lain tidak selesa dan marah, tambahan pula parkir di bandar ini tidak mencukupi.
Keadaan semakin parah apabila terdapat sesetengah pemilik kereta yang bertindak meletakkan kenderaan mereka dalam dua kotak parkir sekali gus hingga menyebabkan ruang parkir sedia ada semakin berkurangan.
Pengguna, Roslan Zainal berkata, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) perlu peka berhubung permasalahan itu dengan mengambil tindakan sewajarnya.
“Masalah ini tidak akan berlaku jika pemilik kenderaan tidak mementingkan diri sendiri dengan meletakkan kenderaan di tempat tidak sepatutnya sehingga menyusahkan pengguna lain.
“Sehubungan itu, mereka wajar dikenakan tindakan seperti kompaun untuk mengelakkan perkara sebegini terus berlaku,” katanya.
Dia berkata, kawasan parkir dalam bandar semakin terhad dan pertambahan kenderaan menjadi antara faktor keadaan seperti itu berlaku.
Oleh itu katanya, untuk mengatasi masalah tersebut, MPT perlu mengambil beberapa langkah sesuai antaranya dengan menambah lagi bilangan parkir kereta dan motosikal di samping mengenakan kompaun kepada pengguna yang menyalah guna petak parkir.
“Langkah tersebut secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah kekurangan tempat parkir yang semakin kritikal sejak kebelakangan ini,” katanya.

mangsa ribut

Ribut tinggal kenangan ngeri
Wartawan Sinar Harian
22 Mei 2012
Abd Manan menunjukkan kesan parut jahitan di dahinya akibat kejadian berkenaan.
Abd Manan menunjukkan kesan parut jahitan di dahinya akibat kejadian berkenaan.
PEKAN – Kejadian ribut yang berlaku hampir dua ­minggu lalu, di sini, meninggalkan kesan kepada warga emas yang ­cedera ketika sedang minum bersama anaknya di salah se­buah kedai makan di Peramu.

Menceritakan ­kembali ­detik cemas itu, Abd Manan Daud yang juga Ketua Kampung Kiambang, Ganchong ­berkata, dia ­bersama anak lelakinya, Mohd Haneff, 31, ­sedang ­makan kira-kira jam 8.20 malam.

Menurutnya, ketika itu, hujan semakin lebat dan ramai pelanggan yang berada di kedai selain orang ramai yang tumpang berteduh di bawah kedai berkenaan ekoran cuaca yang semakin buruk.

“Petir dan kilat sambar menyambar dan semua yang berada di kedai semakin bimbang dan ketakutan apabila hujan semakin lebat dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti.

“Keadaan ketika itu ­seperti perang dunia dan orang ­ramai yang ada di ­sekitar turut ­bertempiaran ­menyelamatkan diri dengan menumpang teduh di barisan kedai ­berdekatan,” ­katanya ­kepada Sinar Harian.

Abd Manan berkata, ­bekalan elektrik kemudiannya terputus dan keadaan jadi huru hara apabila tiba-tiba angin kuat meranapkan ­keseluruhan kedai yang dibina sepenuhnya dengan kayu.

“Kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata dan saya tidak ingat apa-apa sebelum terdengar anak memanggil nama saya ketika sedang terbaring di lantai selepas dihempap ­bumbung dan tiang kayu.

“Keadaan ketika itu menjadi huru hara apabila ramai pelanggan yang dihempap bumbung dan tiang kedai yang runtuh malah penglihatan saya turut terbatas ekoran muka dipenuhi darah kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala,” katanya.

Menurutnya, selepas berjaya dipapah keluar daripada runtuhan kedai berkenaan, dia dibawa ke Hospital Pekan bagi tujuan rawatan sebelum dibawa dengan ambulan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan ekoran kecederaan yang dialami agak teruk.

“Dalam keadaan kalut anak saya sendiri tidak ­menyedari yang dia juga ­mengalami ­kecederaan dan ­menerima ­jahitan di jari ­ekoran ­terkena zink ­tajam ­ketika ­menyelamatkan saya.

“Kejadian itu masih jelas di ingatan namun saya ­bersyukur kerana terselamat ­dalam ­kejadian ribut ­berkenaan dan mengakui agak fobia ­apabila bencana berkenaan kerap berulang sejak kebelakangan ini,” katanya.

bantuan dari yayasan pahang

ARKIB : 22/05/2012

Yayasan Pahang belanja RM678j

KUANTAN 21 Mei - Yayasan Pahang membelanjakan sebanyak RM678 juta bagi membantu kecemerlangan pendidikan sekolah rendah dan menengah di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, daripada jumlah itu, RM213 juta diberikan kepada 536,477 penerima bagi pembangunan pendidikan meliputi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Yayasan turut mengadakan pakatan strategik dengan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang (BTPNP) sebagai pemangkin ke arah pembangunan pendidikan.
"Pelbagai program dianjurkan daripada pakatan strategik itu antaranya memberi fokus kepada para pelajar tingkatan lima dengan bermatlamat menambahkan jumlah anak negeri ini ke menara gading," kata beliau.
Adnan berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd. Zaili Besar (BN-Panching) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-12 di Wisma Seri Pahang, di sini hari ini.
Jawapan bertulis beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak.
Menurut Adnan, program kecemerlangan yang dianjurkan Yayasan Pahang menunjukkan perkembangan positif iaitu kenaikan kepada 92 peratus pelajar lulus SPM pada 2011 berbanding 73 peratus pada 1996.
"Selain program peningkatan kualiti pendidikan, yayasan itu turut membantu anak-anak Pahang agar tidak tercicir dalam pelajaran dengan pemberian biasiswa di sekolah menengah dan rendah.
"Biasiswa bagi sekolah rendah diperkenalkan pada 2002 iaitu yayasan terawal mewujudkan bantuan seperti itu bagi ibu bapa yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan," jelasnya.

bantuan baiki rumah

ARKIB : 22/05/2012

RM500,000 baiki 100 rumah di Bera

Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri) menyampaikan baucar BR1M kepada penerima dalam kawasan Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda Bera, baru-baru ini.
BERA 21 Mei - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi membaik pulih 100 rumah penduduk miskin di daerah ini di bawah Projek Nadi Kasih sepanjang tahun ini.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap rumah akan menerima peruntukan RM5,000 bagi kerja membaik pulih termasuk menggantikan atap, dinding, tandas dan kerosakan lain yang difikirkan perlu.
Menurutnya, tahun lepas sebanyak 100 rumah penduduk di daerah ini telah dibaik pulih di bawah program yang sama.
"Kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin masalah rakyat dan program tersebut bertujuan membantu golongan terbabit mengatasi bebanan hidup mereka selain memberi kediaman lebih selesa," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 800 penduduk kawasan Parlimen Bera di Kompleks Rakan Muda di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, usaha tersebut akan dilakukan secara berterusan berikutan kemungkinan masih terdapat penduduk yang tidak tersenarai atau terlepas pandang.
Beliau berharap semua pihak bekerjasama mengemaskini data sedia ada supaya mereka yang layak dapat menerima bantuan tersebut.

Saturday, May 19, 2012

kampung tanpa wayar

ARKIB : 18/05/2012

Sasar 318 Kampung Tanpa Wayar

KUANTAN 17 Mei - Kerajaan negeri menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 318 lokasi Kampung Tanpa Wayar (KTW) di seluruh negeri yang menyediakan akses Internet tanpa wayar dalam lingkungan 250 meter dari lokasi terpilih.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 200 kampung telah dilengkapi dengan perkhidmatan jalur lebar (WiFi), manakala baki sebanyak 118 akan dilaksanakan pada tahun ini.
"Langkah ini akan memberi lonjakan kepada penembusan jalur lebar di kawasan kampung dan di luar bandar seterusnya merapatkan lagi jurang digital.
"Pelaksanaan jalur lebar ini merupakan bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) manakala Telekom Malaysia (TM) sebagai agensi pelaksana," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Jaafar (BN-Jenderak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-12 di Wisma Seri Pahang di sini hari ini.
Menurut Mohd. Sharkar, kerajaan Pusat telah melaksanakan program KTW ini mengikut perancangan secara berperingkat.
"Bagi program di bawah kerajaan negeri pula, pembangunan kemudahan teknologi maklumat dan komuniti dilaksanakan melalui Program ICT Desa.
"Program ICT Desa ini melibatkan kerjasama di antara pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang," jelasnya.
Katanya, kerajaan negeri hanya membekalkan kemudahan infrastruktur ICT kepada perpustakaan bagi menyokong perlaksanaan aktiviti komuniti.

gangguan air di BERA

Gangguan air di Bera 23 Mei ini

KUANTAN 19 Mei - Beberapa kawasan di daerah Bera akan mengalami gangguan bekalan air pada 23 Mei ini berikutan kerja-kerja penyambungan paip 'Tee' bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Menurut Pengurus Daerah, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Hezree Ishak, kawasan terlibat bermula dari tempat pelupusan pembuangan sampah Kampung Chuat/Kampung Bongkok sehingga ke persekitaran Pejabat Haiwan Daerah Bera.
"Pihak Paip akan menghantar bekalan air bagi menampung keperluan pengguna di kawasan yang terbabit.
''Sehubungan itu pengguna dinasihatkan menyimpan air secukupnya," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Friday, May 18, 2012

br1m pahang

ARKIB : 18/05/2012

224,398 mohon BR1M diluluskan

KUANTAN 17 Mei - Sebanyak 224,398 permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diluluskan di negeri ini. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, jumlah tersebut diperoleh daripada 254,847 permohonan yang dikemukakan sehingga 5 April lalu.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41,945 permohonan terpaksa ditolak.
“Antara sebabnya ialah tiada maklumat pemohon di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bujang dan tiada tanggungan, pendapatan di borang melebihi RM3,000, permohonan si pemohon atau daripada suami atau isteri telah ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Pang Tsu Ming (BN-Semambu) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-12 di Wisma Seri Pahang di sini hari ini.
Menjawab soalan Syed Mohammed Tuan Lonnik (Pas-Beserah) mengenai isu pencerobohan tanah Orang Asli, Adnan menegaskan, tiada pencerobohan berlaku.

jba hutang 1 billion

ARKIB : 18/05/2012

Pengkorporatan JBA mampu selesai hutang RM1b

KUANTAN 17 Mei - Kerajaan negeri dijangka dapat menyelesaikan beban hutang sebanyak RM1 bilion dengan Kerajaan Pusat apabila Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang dikorporatkan baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, wang sebanyak RM1 bilion itu sebelum ini digunakan bagi meningkatkan prasarana JBA.
"Melalui Perkara 655 dan 654 Akta Perkhidmatan Bekalan Air Negara, kita dalam peringkat kedua untuk memindahkan hutang yang ditanggung kepada Kerajaan Pusat.
"Justeru, satu badan yang dilantik iaitu Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan menilai semua aset yang dimiliki JBA dan memajak semula pada Perbadanan Air Pahang (Paip)," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil (BN-Luit) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-12 di Wisma Seri Pahang di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri turut berunding dengan Kerajaan Pusat bagi melupuskan hutang tersebut dan ia menunjukkan perkembangan yang positif.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Datuk Chuah Boon Seong (BN-Mentakab), beliau memberitahu, sehingga kini tiada sebarang cadangan kenaikan tarif air sejak JBA dikorporatkan.
"Bagaimanapun mengenai impak terhadap pengguna, maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Paip," jelasnya.

bidang ict

ARKIB : 16/05/2012

Tambah pengetahuan bidang ICT

SEORANG pelajar bertanyakan soalan kepada salah seorang penceramah pada Seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi: Transformasi Kehidupan Manusia di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan.
KUANTAN 15 Mei - Seramai 250 pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi sekitar daerah ini dan Pekan menyertai Seminar Teknologi Maklumat dan Komunikasi: Transformasi Kehidupan Manusia yang diadakan di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang di sini baru-baru ini.
Seminar anjuran penuntut Sarjana Sains Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP) itu bertujuan mendedahkan peserta mengenai perhubungan manusia dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
Antara peserta yang hadir ialah penuntut UMP, Kolej Universiti Shahputra, Kolej Polytech Mara, Kolej Antarabangsa IKIP, Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) dan Kolej Profesional Mara.
Selain itu, pelajar sekolah yang turut serta ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib dan SMK Ahmad, Pekan.
Dekan FSKKP, Prof. Madya Dr. Jasni Mohamad Zain berkata, penganjuran itu memberi pengetahuan tambahan tentang penggunaan teknologi secara berhemah dalam kalangan masyarakat supaya mereka memanfaatkan perkara tertentu dalam kehidupan.
"Seharusnya manusia lebih peka terhadap kemajuan teknologi ICT dan mampu menyumbang ke arah meningkatkan penggunaan sumber, fasiliti serta mengurangkan kos operasi selain menjamin keselamatan masyarakat," katanya di sini baru-baru ini.
Menurutnya, peserta juga dapat meningkatkan pengalaman, pengetahuan dan kefahaman mereka tentang ICT, sekali gus mengurangkan stigma serta kekeliruan berkaitan isu penyalahgunaan perkara tersebut.
"Saya percaya penyertaan peserta dalam seminar itu dapat menambahkan lagi maklumat dan penggunaan ICT dalam kehidupan seharian," katanya.
Antara penceramah yang hadir pada seminar itu ialah Pengerusi Pertubuhan Kebangsaan Komputer Malaysia (MNCC), Datuk Dr. Raja Malik Mohamed dan Naib Presiden Cyber Security Response Services, Adli Wahid.
Turut sama menyampaikan ceramah ialah Presiden Hi Tech Padu Berhad, Safiee Mohamad dan wakil dari Local Host Sdn. Bhd., Amir Haris Ahmad yang menyampaikan ucapan bertajuk Rangkaian dan Internet Dalam ICT.

bahaya di selekoh kota gelangi

ARKIB : 18/05/2012

Selekoh maut di Kota Gelanggi Satu

ORANG ramai melihat kenderaan kakitangan Felda yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Felda Kota Gelanggi Satu, Jerantut, baru-baru ini.
Saudara Pengarang,
BARU-baru ini saya melihat kemalangan ngeri di jalan berselekoh menghala ke Felda Kota Gelanggi Satu dekat Jerantut yang membabitkan sebuah lori dan kereta yang membawa kakitangan Felda Kota Gelanggi Tiga.
Saya sempat melihat insiden menyayat hati itu apabila pemandu kenderaan Felda yang juga kenalan saya maut di tempat kejadian, manakala rakannya yang juga seorang pengurus yang duduk di sebelah mengalami kecederaan serius dan kini masih di hospital.
Malah, pada hari berkenaan juga berlaku kecelakaan di lokasi sama membabitkan seorang kakitangan kerajaan yang berulang-alik ke tempat kerja.
Saya tidak boleh membuat andaian bagaimana kemalangan itu boleh berlaku. Siapakah yang yang menyebabkan kecelakaan itu atau adakah ia berpunca daripada kenderaan terbabit kerana tiada di tempat kejadian, malah di luar pengetahuan saya.
Justeru, saya mahu memberi sedikit pandangan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil rakyat agar lebih menumpukan kawasan yang dianggap lokasi hitam di kawasan Felda Gugusan Gelanggi dan Pulau Tawar.
Tahniah kerajaan negeri kerana menyediakan kemudahan jalan raya yang cukup baik tetapi belum memadai menyedarkan pemandu termasuk penunggang motosikal yang kerap berulang-alik termasuk saya saban hari ke tempat kerja.
Apa yang saya hendak memberi teguran kepada pihak berwajib iaitu spesifikasi jalan berselekoh tidak dipasang papan tanda isyarat keselamatan termasuk lampu refleksi dan garisan belang kuning yang tebal untuk mengingatkan pengguna agar lebih berwaspada.
Untuk makluman pihak berwajib, jalan melalui Kota Gelanggi Satu berkenaan merupakan laluan alternatif kenderaan dari bandar Jerantut ke Felda Kota Gelanggi Dua, Felda Tekam Utara dan Gugusan Felda Lepar.
Penduduk setempat menganggap selekoh yang berbahaya itu sebagai 'selekoh betik' yang kini sudah meragut empat nyawa ketika waktu sibuk dengan pelbagai jenis kenderaan termasuk motosikal pelajar ke sekolah menengah berdekatan.
Senario kesesakan kenderaan di laluan lurus dan selekoh tempat kejadian antara fenomena yang berbahaya lebih-lebih lagi ketika kabus pada waktu pagi dan malam.
Apa yang saya harapkan JKR dapat memasang papan tanda dan lampu amaran bahaya, lampu refleksi dan lebih relevan iaitu garisan belang kuning yang tebal yang dapat mengurangkan kelajuan kenderaan.
Kita berharap ada usaha penambahbaikan spesifikasi keselamatan jalan raya di semua laluan kawasan Felda di negeri ini kerana lokasi berkenaan antara penyumbang kemalangan maut.
Kemalangan membabitkan kematian dan kecederaan dua kakitangan Felda yang berpengalaman telah merugikan Felda sendiri dan sumber manusia penjawat kerajaan yang sepatutnya tidak berlaku walaupun konotasi 'malang tidak berbau' sentiasa menghantui kehidupan manusia.

Sunday, May 13, 2012

silakan keluar felda

Keluar jika tidak suka
AZIZAH SHAFIEI
14 Mei 2012
Keluar jika tidak suka
Peneroka Felda Mayam bergambar beramai-ramai selepas majlis penyerahan durian runtuh, semalam.
BERA -Peneroka yang berasa diri mereka tertipu atau menjadi mangsa penipuan kerajaan dan Felda diminta meninggalkan tanah rancangan.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada guna terus tinggal di tanah rancangan Felda jika mereka berasa kehidupan tidak pernah berubah dan masih dihimpit kemiskinan.

Menurutnya, peneroka seperti itu jika masih berada di tanah rancangan hanya akan menjadi parasit dan sentiasa meracuni pemikiran peneroka lain dengan menyebarkan pelbagai tohmahan terhadap kerajaan serta pengurusan Felda.

“Kalau tidak pandai bersyukur, sila tulis surat dan keluar dari Felda supaya tempat mereka boleh diisi orang lain kerana masih ramai lagi berminat untuk menyertai Felda.

“Tetapi, mereka sanggup jadi duri dalam daging yang sanggup mengkhianati perjuangan peneroka dan kerajaan dalam usaha memajukan tanah rancangan,” katanya semasa berucap pada majlis Pemimpin Bersama Peneroka dan penyerahan wang durian runtuh Felda di Dewan Orang Ramai Felda Mayam, semalam.

Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan berkata, ­pemberian RM15,000 ke­pada setiap keluarga membuktikan ­kerajaan menghargai pe­ngorbanan peneroka yang setia ­bersama kerajaan serta Felda.

Katanya, sesiapa yang menganggap wang itu haram diminta tidak mengambilnya atau memulangkan semula wang tersebut.

“Jika wang itu dianggap haram, maka ia tidak boleh digunakan dan perlu dipulangkan semula kepada Felda,” katanya.

Thursday, May 10, 2012

jengka 8

ARKIB : 10/05/2012

Jengka 8 sesak bagaikan pesta

Kesesakan lalu lintas di Felda Jengka 8 pada Majlis Sejahtera Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8, kelmarin. - UTUSAN/Djohan Shahrin Shah
JERANTUT 9 Mei - Sesak bagaikan pesta! Demikian gambaran suasana ketika pengumuman durian runtuh sebanyak RM15,000 bagi setiap keluarga peneroka Felda oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Felda Jengka 8, dekat sini, semalam.
Masakan tidak, perjalanan untuk ke tapak Majlis Sejahtera Peneroka Felda Bersama Perdana Menteri di padang awam Felda Jengka 8 itu perlu ditempuhi dengan kesesakan jalan raya sejauh lima hingga enam kilometer sehingga ada yang sanggup berjalan kaki.
Khemah tempat di mana para peneroka berhimpun bergemuruh dengan tepukan dan laungan gembira golongan terbabit ketika Perdana Menteri mengumumkan durian runtuh yang begitu lumayan untuk mereka.
Ada antara 50,000 peneroka secara spontan menadah tangan berdoa dan menitiskan air mata sejurus Najib mengumumkan bayaran masing-masing RM5,000 kepada ketua keluarga, isteri dan generasi kedua mereka.
Malah, ramai isteri peneroka seperti tidak percaya mendapat perhatian khusus Perdana Menteri dan ada antara mereka berpelukan antara satu sama lain kerana begitu gembira, ada juga yang menangis tanda bersyukur.
Najib dalam ucapannya berkata, pemberian RM5,000 kepada isteri peneroka itu sebagai mengiktiraf peranan wanita.
"Pemberian ini bukan bermakna kita tidak percaya kepada suami, tetapi untuk berlaku adil. Isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) juga selalu ingatkan saya mengenai perkara ini.
"Jadi, kita berikan RM5,000 ini kepada isteri peneroka sebagai mengiktiraf peranan mereka," katanya sambil menerima tepukan dan sorakan gemuruh daripada isteri peneroka yang hadir pada majlis tersebut.
Generasi kedua yang turut mendapat bahagian daripada durian runtuh itu bukan sahaja terkedu apabila pengumuman Najib, malah ramai antara mereka tidak menyangka akan turut dihargai oleh Felda.
Jadi, sejurus pengumuman itu, mereka memberikan sorakan gemuruh kepada Najib seolah-olah berada di dalam stadium apabila pemain bola sepak menjaringkan gol.
Sorokan yang diberikan itu turut disusuli dengan tiupan vuvuzela yang popular sewaktu Piala Dunia di Afrika Selatan pada 2010.
Sementara itu, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dalam ucapannya berkata, pemberian durian runtuh itu sebagai menghargai kerja keras dan pengorbanan para peneroka selama ini.
Selain itu, katanya, ia juga bertujuan mempermudahkan penyertaan mereka untuk menikmati segala faedah daripada penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).
"Selepas pengumuman ini, pembangkang pasti akan terus memutarbelitkan fakta mengenai FGVH, mereka sebelum ini telah pun menggunakan mahkamah untuk menghalang penyenaraian ini.
"Kita jangan terpengaruh kumpulan ini. Kita perlu terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri, bukan sahaja untuk mengubah Felda menjadi sebuah syarikat global, malah mentadbir negara ini," katanya.
Pada akhir majlis tersebut, Najib dikerumuni oleh para peneroka dan generasi kedua Felda yang mahu bersalam, bergambar dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri tersebut.
Dalam perjalanan menuju ke bas dan kereta untuk pulang ke destinasi masing-masing, suami, isteri dan anak-anak warga peneroka dilihat begitu gembira, ada yang masih tersenyum dan kedengaran pelbagai loghat apabila mereka berborak antara satu sama lain mengenai pemberian durian runtuh itu.
Ada loghat dari Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Johor dan Negeri Sembilan yang kesemuanya tidak henti-henti bercakap mengenai durian runtuh yang mereka sendiri tidak sangka jumlah sebanyak itu.
Terdapat juga keluarga peneroka yang terpaksa menunggu lama untuk pulang kerana bas rosak, tetapi mereka tidak sedikit pun menunjukkan reaksi marah, sebaliknya sabar menunggu walaupun cuaca agak panas.
Turut menumpang tuah dengan kehadiran lautan manusia itu pastinya golongan peniaga terutama makanan dan minuman yang turut tersenyum lebar dengan keuntungan besar semalam.

Monday, May 7, 2012

wanita 4k

Wanita perlu ada ciri 4K
Wartawan Sinar Harian
7 Mei 2012
Wanita perlu ada ciri 4K
Najib melawat pameran peserta Pandu Puteri selepas merasmikan Pandu Puteri Turun Padang di Rompin, semalam.
KUALA ROMPIN - Golongan wanita luar bandar perlu mempunyai ciri 4K iaitu keilmuan, kemahiran, keusahawanan dan kepimpinan dalam usaha memperkasa serta meningkatkan taraf hidup mereka pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, wanita di negara ini mempunyai kedudukan yang baik jika dibandingkan wanita negara lain kerana mereka tidak memperjuangkan hak kesamarataan gender.

Sehubungan itu katanya, golongan wanita perlu mempunyai empat elemen berkenaan untuk memartabatkan taraf kehidupan mereka seiring dengan golongan wanita di kawasan bandar.

“Aspek keilmuan adalah perkara paling penting kerana ia membabitkan ilmu secara formal dan sebaliknya terutama ketika kita mendidik anak-anak.

“Jika perkara itu diabaikan, maka tidak mustahil masalah sosial seperti samseng jalanan dan mat rempit akan meningkat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pandu Puteri Turun Padang Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang, di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang, Tengku Puan Tunku Azizah dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Najib berkata, aspek kemahiran dan keusahawanan saling berkaitan kerana ia mampu menambahkan pendapatan golongan wanita jika keduanya dipraktikkan secara maksimum.

Beliau berkata, wanita boleh meminta bantuan daripada agensi kerajaan untuk membantu mereka memulakan langkah pertama dalam bidang keusahawanan.

“Agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) boleh membantu mereka jika mahu pergi jauh dalam bidang keusahawanan, namun ia perlu disertai dengan aspek kemahiran.

“Aspek kepimpinan pula dapat diperoleh dengan pembabitan secara langsung dalam aktiviti badan bukan kerajaan seperti Pandu Puteri ini. Jika kesemua aspek ini dimiliki nescaya wanita desa akan menjadi lebih unggul,” katanya.

hidup bersama peneroka

Pelajari cara hidup peneroka
Wartawan Sinar Harian
7 Mei 2012
Pelajari cara hidup peneroka
Barisan pelajar dan penduduk kampung bergambar kenangan sebelum mereka kembali semula ke kampus.
JENGKA – Seramai 31 penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan mengadakan lawatan ke Felda Jengka 9, dekat sini bagi meninjau dan mempelajari kehidupan peneroka, di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Program, Syazwan Zainudin, 20, ­berkata, lawatan ke tanah rancangan tersebut adalah kali pertama diadakan di lokasi itu.

“Kami selaku jawatan­kuasa Majlis Perwakilan Mahallah Al-Tabari sememangnya ­merancang untuk ­mengadakan lawatan ke mana-mana tanah rancangan.

“Kebetulan, ada dalam kalangan kami yang tinggal di Jengka, justeru mencadangkan agar kami melakukan lawatan ke Felda Jengka 9,” katanya.

Menurutnya, ­pelbagai ­aktiviti dijalankan ­seperti g­otong-royong, membuka kaunter pemeriksaan oleh pelajar perubatan dan mempelajari cara mencantas kelapa sawit.

“Ia merupakan satu pengalaman berharga dan selama ini kami hanya mendengar cakap-cakap orang berkaitan kehidupan masyarakat di Felda.

Apabila sudah menjejakkan kaki ke sini, barulah kami dapat merasai suasana kehidupan di tanah rancangan,” katanya.

Dia berkata, penuntut yang hadir amat berbesar hati dan terharu dengan sambutan dan kemesraan yang ditunjukkan penduduk di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Rancangan (JKKR) Felda Jengka 9, Mat Daud Jusoh berkata, beliau mewakili pen­duduk kampung berterima ­kasih kepada penuntut yang sudi ­datang ke Felda Jengka 9.

“Kami amat menghargai dan mengalu-alukan ­kehadiran mereka ke Felda Jengka 9 ini pada bila-bila masa.

“Kehadiran mereka secara tidak langsung dapat memperkenalkan Felda Jengka 9 kepada masyarakat luar,” katanya.

air merah

Fenomena ‘air merah’ berulang
WAN JUHAIDA WAN HASSAN
6 Mei 2012
Fenomena ‘air merah’ berulang
Tebing sungai masih ada kesan lumpur walaupun air surut dan warna kembali normal
RAUB – Penduduk daerah ini sekali lagi digemparkan dengan keadaan air Sungai Lipis yang bertukar warna kemerahan seperti bercampur darah selepas kejadian pertama berlaku akhir November tahun lalu.

Seorang penduduk di Kampung Batu Talam, Amirawa Merah, 41, berkata, aktiviti perlombongan bijih besi di kawasan pedalaman Ulu Sungai perlu pemantauan supaya pihak berkenaan tidak sewenangnya membuat pelepasan air takungan bercampur lumpur pekat.

Menurutnya, perbuatan itu hanya mencemarkan pemandangan Sungai Lipis yang menjadi tarikan pe-lancongan di beberapa kawasan seperti Dataran Batu Malim sebagai tapak Pesta Air dan Jeram Besu.

“Jika dahulu, penduduk dapat mengesan perbuatan melepaskan air takungan berlumpur hanya dilakukan ketika hujan lebat atau semasa keadaan paras air sungai tinggi sahaja.

“Tetapi kali ini lebih kerap sehingga saban hari air Sungai Lipis menjadi keruh dan hari ini (semalam), keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.

Amirawa berkata, penduduk tidak selesa menghadapi keadaan seperti itu dan saban hari meluahkan kemarahan kerana perbuatan pengusaha lombong terbabit seperti tidak menghormati mereka.

Katanya, isu itu pernah mendapat perhatian umum selepas tersiar dalam akhbar akhir tahun lalu, tetapi pihak berkenaan seperti tidak malu langsung kepada masyarakat setempat.

“Aktiviti perlombongan itu bermula dari Bukit Batu Menangis dalam kawasan Ulu Sungai, manakala limpahan air berlumpur disalirkan ke anak Sungai Keta, dekat situ.

“Air akan mengalir terus ke Sungai Lipis yang akan disalurkan ke loji sebagai sumber air bersih kepada penduduk setempat,” katanya.

Dia berkata, kaki pancing juga tidak berpuas hati kerana langsung tidak dapat memancing ikan ketika air bertukar warna kemerahan.

Menurutnya, sekiranya penduduk mandi ketika air keruh, pakaian mereka akan kotor dengan warna keperangan dan pasti tidak dapat dipakai lagi.

“Kita harap pihak berkenaan menjalankan pemantauan secara serius kerana ia menjejaskan keselesaan penduduk setempat di samping mencemar imej daerah.

“Jarak Sungai Lipis lebih kurang 50 kilometer dan keadaan warna kemerahan ini tidak berubah daripada hulu sungai hingga ke kuala melepasi Sega, Kuala Atok, Jeram Besu serta Benta,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Jeram Besu pula berharap Kerajaan Negeri memantau dan mengkaji sebarang aktiviti dilakukan dalam hutan di Ulu Sungai sama ada benar-benar mengikut peraturan atau sebaliknya.

Timbalan Ketua Umno Cawangan Jeram Besu, Md Zin Salleh berkata, Sungai Lipis bukan sahaja menjadi sumber bekalan air kepada penduduk setempat, malahan ia terletak di tepi jalan utama Kuala Lumpur – Kota Bharu yang mudah dilihat pengunjung.

Menurutnya, masyarakat luar pasti memberi persepsi negatif apabila sungai itu bertukar warna kemerahan, manakala pinggirnya dipenuhi lumpur pekat.

“Masyarakat sudah mengetahui mengenai tarikan pelancongan di Pusat Rekreasi Sukan Air dekat Batu Malim dan kawasan untuk melaksanakan aktiviti lasak meredah jeram di Kampung Jeram Besu.

“Keadaan air sungai yang berubah warna menjadi keruh, berlumpur dan kemerahan ini memberi kesan buruk kepada persekitaran,” katanya.

Beliau berkata, sebahagian penduduk terutama belia Kampung Jeram Besu menjana pendapatan sebagai pemandu pelancong yang memperkenalkan aktiviti lasak meredah jeram di sini.

Katanya, selama ini, pelancong asing turut menjalankan aktiviti di situ termasuk dari Singapura, Taiwan, Amerika Syarikat, Tanah Arab dan beberapa negara lain.

“Kita terkilan kerana keadaan seperti ini berulang lagi hanya dalam tempoh enam bulan. Malah, kekeruhan air lebih teruk berbanding sebelum ini,” katanya.