Thursday, May 3, 2012

produk baru

ARKIB : 02/05/2012

Pelajar Polisas hasilkan 27 produk baru

DUA pengunjung (kanan) merasai makanan yang dihasilkan oleh pelajar Diploma Teknologi Makanan, Politeknik Sultan Ahmad Shah di Kuantan, baru-baru ini.
KUANTAN 1 Mei -Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) di sini menganjurkan program Pembangunan Produk Makanan dengan kerjasama Kelab Teknologi Makanan (Ketema) di Dewan Sri Makmur institut itu, baru-baru ini.
Program berkenaan melibatkan seramai 108 pelajar Diploma Teknologi Makanan semester empat dari Jabatan Teknologi Makanan (JTM) dengan menghasilkan 27 jenis produk makanan baru berinovasi tinggi daripada penyelidikan yang dihasilkan.
Langkah tersebut dibuat bagi mendedahkan para pelajar tentang kaedah pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam menghasilkan sesuatu produk makanan dan memastikan pengeluaran tersebut menepati kehendak pasaran.
Menurut Ketua JTM, Aizat Sarafuddin Abd. Aziz, tujuan diadakan program tersebut adalah memastikan segala maklumat dan pengetahuan mengenai fungsi serta peranan teknologi makanan dalam kehidupan seharian dapat disampaikan kepada masyarakat.
Katanya, ia juga merupakan satu platform mengetengahkan kreativiti dan inovasi pelajar di institut tersebut dalam industri makanan di negara ini.
"Diharapkan produk makanan yang dihasilkan mampu diketengahkan dan mempunyai nilai komersial untuk pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.
Beliau memberitahu, setiap pelajar perlu menguasai perkara tertentu seperti kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, kerja berpasukan, keusahawanan dan bersikap profesional.
Katanya, ketetapan itu dibuat sebagai memenuhi standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
"Produk makanan yang dipamerkan diberi pemarkahan berdasarkan beberapa kriteria iaitu rasa, warna, reka bentuk, nutrisi, pembungkusan, label, harga, jangka hayat dan inovasi potensi produk untuk dipasarkan.
"Pemarkahan diadili oleh empat juri yang diketuai oleh Pensyarah Kulliyah Sains Kesihatan Bersekutu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan, Prof. Madya Dr. Ibrahim Abu Bakar," katanya.

No comments:

Post a Comment