Wednesday, December 19, 2012

wajar contohi

ARKIB : 18/12/2012

Wajar dicontohi semua pihak - ADUN Guai

Ahli rombongan Sukarelawan Pejabat Perdana Menteri bersama penduduk kampung selepas majlis gotong-royong di Kampung Batu Papan, Bera.
BERA 17 Dis. - Kehadiran pasukan sukarelawan Pejabat Perdana Menteri untuk membantu penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai wajar dicontohi kerana kerja-kerja kebajikan bukan sahaja merentasi batas kaum dan agama malah turut melangkaui sempadan negeri dan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Nurol Azali Sulaiman berkata, jika terdapat lebih ramai sukarelawan yang mempunyai semangat seperti kakitangan Pejabat Perdana Menteri itu, pastinya hubungan dengan masyarakat luar bandar dapat dirapatkan.
"Sebagai wakil rakyat Guai, saya gembira kerana mereka turut memilih kawasan ini bagi melaksanakan tanggungjawab sosial membantu dan beramah mesra dengan penduduk di sini," kata beliau.
Tambah Nurol Azali, program seperti itu dapat mendedahkan kehidupan masyarakat desa seperti kebudayaan, masakan dan pertuturan yang mungkin asing kepada masyarakat luar.
Katanya, ini kerana pasukan sukarelawan itu juga mempunyai latar belakang yang berbeza apabila berasal dari negeri dan daerah yang berlainan.
Pada majlis itu, Nurol Azali turut mempromosikan keranda pasang siap yang dicipta oleh penuntut Institut Kemahiran Mara (IKM) Alor Setar bagi menjimatkan masa dan memudahkan urusan pengkebumian jenazah.
"Ilham mencipta keranda pasang siap ini datang daripada saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu rakyat negara ini berfikir dari sudut yang bebas.
"Melalui pemikiran seperti itu, kita dapat melahirkan hasil inovasi untuk memenuhi keperluan masyarakat," katanya yang juga Ahli Majlis Mara.
Beliau memberitahu, keranda itu yang mampu menampung berat sehingga 150 kilogram turut dibekalkan dengan kain kapan dan kapur barus.
Katanya, IKM yang menjadi inkubator bagi mempromosikan keranda pasang siap itu telah melantik Koperasi Islamik Malaysia (KIM) untuk memasarkan keranda tersebut kepada umat Islam di negara ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121218/wp_02/Wajar-dicontohi-semua-pihak---ADUN-Guai#ixzz2FXiFawdn
© Utusan Melayu (M) Bhd

dun guai

ARKIB : 18/12/2012

Staf Pejabat PM 'turun padang' ke DUN Guai

Para pemain daripaada Pasukan Sukarelawan Pejabat Perdana Menteri bergambar dengan pemain pasukan DUN Guai sebelum memulakan perlawanan persahabatan di padang Majlis Daerah Bera.
BERA 17 Dis. - Semangat kesukarelaan sememangnya satu elemen penting dalam komuniti kerana perkara itu dapat membentuk peribadi murni seseorang individu seperti sanggup berkorban untuk membantu orang lain yang ditimpa musibah tanpa mengenal kaum dan agama.
Bersandarkan semangat itu, seramai 40 kakitangan Pejabat Perdana Menteri telah membentuk satu pasukan sukarelawan sejak tiga tahun lalu bagi membantu rakyat yang kurang bernasib baik di seluruh negara.
Pasukan ini telah merantau dan meredah hampir seluruh pelosok negara menemui golongan kurang bernasib baik bagi menghulurkan sumbangan dan tenaga supaya mereka berasa terbela dan diingati.
Baru-baru ini, pasukan sukarelawan Pejabat Perdana Menteri itu menyertai program gotong-royong sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1434 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai dalam Parlimen Bera.
Pasukan sukarelawan itu yang diketuai Datuk Mohd. Poad Jelani menjalankan aktiviti membersihkan tanah perkuburan Kampung Batu Papan serta menyampaikan sumbangan kepada penduduk miskin dan peserta majlis berkhatan yang melibatkan 37 kanak-kanak di Durian Tawar.
Menurut Mohd. Poad, program tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kakitangan Pejabat Perdana Menteri untuk membantu rakyat miskin dan kurang bernasib baik di seluruh negara.
"Ini adalah tahun ketiga pasukan sukarelawan ini menjalankan pelbagai aktiviti untuk mendekati rakyat miskin supaya kita dapat menyelami dan merasai sendiri kesusahan yang dialami golongan terbabit.
"Dalam tempoh tiga tahun ini kami telah menganjurkan lebih 15 kali program dengan menjelajah beberapa daerah, antaranya membantu masyarakat miskin di Tawau, Pulau Tioman, Sabak Bernam dan beberapa kawasan lain lagi," katanya kepada pemberita pada majlis berkenaan.
Menurut beliau, selain rakyat miskin, kumpulan itu juga membantu mangsa bencana alam seperti mangsa banjir, melawat pesakit di hospital, gotong-royong membersihkan rumah orang tua, rumah kebajikan dan sebagainya.
Katanya, penglibatan sukarelawan kakitangan Pejabat Perdana Menteri itu tidak membabitkan agenda politik sebaliknya dibuat atas kesedaran mereka sendiri untuk turut serta membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Sementara itu, salah seorang ahli sukarelawan yang ditemui, Rozilan Salleh berkata, lebih banyak pasukan sukarelawan ditubuhkan adalah lebih baik terutamanya dalam kalangan generasi muda.
"Pasukan sukarelawan ditubuhkan bukan untuk membantu golongan kurang bernasib baik sahaja tetapi dengan sendirinya dapat memupuk semangat patriotisme terutamanya kepada golongan muda bagi mempertahankan asas pembinaan negara.
"Semangat kesukarelaan perlu disemai dan ditanam dalam jiwa generasi muda khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia," kata Rozilan.
Tambahnya, kesukaran hidup yang terpaksa ditempuhi oleh mereka yang ditimpa musibah, kemiskinan atau disebabkan fizikal yang kurang sempurna dapat memberikan keinsafan kepada ahli sesebuah pasukan sukarelawan.
Secara tidak langsung kata beliau, usaha itu dapat meningkatkan lagi usaha untuk membantu golongan terbabit yang seharusnya dipikul oleh rakyat yang bernasib baik dan bukan mengharapkan kerajaan semata-mata menangani masalah tersebut.
"Menerusi kerja sukarela ini, kita dapat menjiwai semangat orang muda supaya menghormati dan menghargai warga emas kerana suatu hari nanti kita juga akan melalui usia dan pengalaman seperti itu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121218/wp_01/Staf-Pejabat-PM-turun-padang-ke-DUN-Guai#ixzz2FXhurAHt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Friday, December 14, 2012

curi kabel

Berang lima kali kabel dicuri
Wartawan Sinar Harian
14 Disember 2012
Berang lima kali kabel dicuri
Ahmad menunjukkan kabel TM yang terputus kerana dicuri di Kampung Paya Luas, Kuala Krau.
TEMERLOH - Penduduk kampung ini berang apabila pencuri kabel Telekom Malaysia (TM) semakin berani setelah berjaya melarikan 10 kabel di tiang utama ke perkampungan itu.
Penduduk Ahmad Lela, 48, berkata, kecurian itu berlaku seminggu lalu dan mereka menyedari apabila melihat 10 kabel TM terputus.
Menurutnya, kejadian kecurian itu kerap berlaku dan kali ini pencuri itu berjaya mendapat habuan besar hasil kerja jahat yang mereka lakukan.

“Kita berasa sangat kesal kerana pencuri itu semakin berani dan berjaya ‘makan besar’.

"Kita tidak menyedari bila pencuri itu melakukan kerja tersebut dan dipercayai dilakukan dalam kumpulan yang ramai," katanya.

Ahmad Lela berkata, penduduk di sini sudah buntu memikirkan cara untuk mencegah kegiatan mencuri kabel itu kerana sepanjang tahun ini sahaja sudah lebih lima kali ia berlaku.
Menurutnya, dalam hal ini pihak TM pasti mengalami kerugian besar kerana perlu kerap mengganti dan membaiki kabel yang dicuri pihak tidak bertanggungjawab itu.
“Kampung ini agak terpencil dan ia memudahkan pihak tersebut mencuri dan dipercayai dilakukan pada lewat malam
“Masalah ini pastinya menyebabkan pengguna TM tidak dapat menggunakan perkhidmatan itu dalam jangka yang panjang," katanya.

Sehubungan itu katanya, penduduk harap pihak TM dapat membaiki semula kabel tersebut dengan kadar segera.

ular tedung

Tedung selar dalam rumah
Wartawan Sinar Harian
15 Disember 2012
Tedung selar
Anggota JPAM berjaya menangkap tedung selar berukuran lebih kurang dua meter, kelmarin.
FELDA TRIANG 1, Bera - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Bera berjaya menangkap seekor tedung selar di sebuah rumah penduduk dekat sini, kelmarin.

Ular sepanjang dua meter dengan berat lima kilogram itu ditangkap dengan menggunakan kemahiran dan kecekapan lima anggota JPAM.

Pegawainya, Ahmad Azmi Nafiah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk menerusi panggilan kecemasan 999 kira-kira jam 5.30 petang dan anggotanya bergegas ke lokasi.

“Tetapi, kecekapan anggota kita berjaya menangkap ular tedung itu yang berlingkaran di sebuah rak di rumah penduduk itu,” katanya.

Ahmad Azmi berkata, setakat ini, anggotanya kerap terlibat dengan kes tangkapan ular dan memusnahkan sarang tebuan.

Katanya, semua anggota diberikan kursus menjalani latihan kemahiran untuk menangkap ular namun keanggotaan sukarelawan sedia ada belum mencukupi untuk menampung keperluan kes kecemasan seperti ini di daerah ini.

“Kita masih memerlukan anggota baru dalam pasukan ini tetapi mestilah benar-benar aktif bagi membantu menggerakkan JPAM.

“Mereka yang berminat boleh menyertai JPAM dan latihan serta kursus akan diberikan dari semasa ke semasa,” katanya kepada Sinar Harian.