Monday, April 2, 2012

taman di gebeng

Taman Perindustrian di Gebeng


Najib Tun Razak bersalaman dengan rakan sejawatnya, Wen Jiabao selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Taman Perindustrian Malaysia-China di Qinzhou, Nanning, China, semalam. – BERNAMA


NANNING, China 1 April – China bersetuju untuk membangunkan taman perindustrian seluas 606 hektar di Gebeng, Kuantan secara usaha sama dengan kerajaan dan syarikat di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembangunan yang menyamai model Taman Perindustrian Qinzhou (QIP) Malaysia-China di sini itu akan dilaksanakan secepat mungkin untuk manfaat kedua-dua negara.
Katanya, pemilihan Gebeng adalah disebabkan kedudukannya berhampiran Pelabuhan Kuantan yang menghadap Laut China Selatan dan memudahkan hubungan dengan beberapa pelabuhan di China.
‘‘Secara prinsipnya Perdana Menteri, Wen Jiabao telah bersetuju dengan projek ini dan kita sedang menggerakkan perinciannya dengan pihak yang bakal terlibat,’’ katanya pada sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Nanning di sini hari ini.
Menurut Najib, Tan Sri Ong Ka Ting yang dilantik Duta Khas beliau di China akan membincangkan perihal pembangunan taman perindustrian itu bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Adnan Yaakob.
Beliau turut melahirkan rasa bangganya kerana projek QIP Malaysia-China telah diangkat oleh Jiabao sebagai projek nasional yang diberi pelbagai insentif oleh kerajaan negara itu.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis pecah tanah QIP di sini, Perdana Menteri mengajak pihak industri dan perniagaan di republik ini menyertai pembangunan taman perindustrian di Malaysia sebagaimana di China.
Katanya, model kerjasama dua hala QIP adalah yang pertama seumpamanya antara Malaysia-China, justeru kedua-dua negara komited memainkan peranan menyokong dan memudahkan penyertaan syarikat-syarikat ke dalam projek tersebut.
Katanya, taman perindustrian seluas 55 kilometer persegi akan dibangunkan menerusi tiga fasa dengan yang pertama seluas 7.8 kilometer bagi projek perumahan, perkilangan, perindustrian, pejabat dan komersial dijangka menarik pelaburan sebanyak AS$300 juta.
“Dari perspektif serantau, Qinzhou terletak di lokasi strategik di pertengahan Zon Ekonomi Teluk Beibu Guangxhi menghadap Asia Tenggara mengukuhkan lagi usaha kita untuk mempromosi integrasi serantau,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut menekankan perihal hubungan Malaysia-China yang disifatkan pada paras paling kukuh berbanding sebelum ini.
Katanya, ikatan kekeluargaan dan persahabatan antara rakyat di kedua-dua negara telah terbukti, malah hubungan politik yang sedia kukuh semakin erat dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Wen Jiabao dalam ucapan alu-aluannya, memuji kesungguhan Najib untuk menyaksikan satu lagi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Beliau turut mengimbau jalinan hubungan diplomatik Malaysia-China yang dicetuskan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kira-kira 38 tahun lalu dan kini diteruskan oleh Najib.
“Sikap saling mempercayai membolehkan kedua-dua negara menjalin hubungan untuk tempoh yang lama walaupun diuji dengan pelbagai krisis termasuk krisis kewangan yang hakikatnya telah mengeratkan lagi kerjasama untuk manfaat rakyat,” katanya.
Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor diiringi delegasi Malaysia antara lain Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed serta Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting berada di sini untuk lawatan kerja sehari .
Mengenai pelawaan kepada pihak industri dan perniagaan untuk menjayakan projek seumpama itu di Malaysia, Najib berkata, ia membantu syarikat-syarikat dari China menyerlahkan pembabitan secara besar-besaran di Asia Tenggara dan membuka peluang kepada para usahawan dari kedua-dua negara mengembangkan perniagaan.
Menurutnya, projek QIP Malaysia-China dicadangkan sendiri oleh rakan sejawatnya, Jiabao ketika berkunjung ke Kuala Lumpur April tahun lepas. – Utusan

No comments:

Post a Comment