Friday, April 27, 2012

klinik di chemomoi

ARKIB : 27/04/2012

Klinik Kesihatan Chemomoi bernilai RM12.9 juta sedia kemudahan terbaik

Adnan Yaakob dan Liow Tiong Lai memotong riben ketika merasmikan Klinik Kesihatan Chemomoi, Bentong, baru-baru ini. - utusan/Ali Mahmood
BENTONG 26 April - Pembinaan Klinik Kesihatan Chemomoi (KKC) dekat sini yang bernilai RM12.9 juta adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam merealisasikan matlamat menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk semua rakyat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pembinaan KKC yang dimulakan pada 28 Ogos 2008 menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan siap sepenuhnya pada 1 Disember lalu adalah reka bentuk klinik kesihatan jenis lima iaitu untuk kapasiti pesakit kurang daripada 150 orang sehari.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, secara tidak langsung reka bentuk klinik yang pertama di Semenanjung itu akan menjadi rujukan kepada negeri lain sekiranya mereka ingin membangunkan klinik kesihatan jenis lima.
''Klinik ini menawarkan perkhidmatan seperti pesakit luar untuk pesakit kronik dan akut, kesihatan ibu dan anak, kecemasan, pergigian, makmal patologi dam kesihatan primer, farmasi serta perkhidmatan khusus seperti klinik berhenti merokok dan penyakit berjangkit kronik termasuk tibi.
''Pembinaan klinik ini juga menunjukkan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan berusaha dengan gigih untuk memberi perkhidmatan berkualiti kepada rakyat yang memerlukannya termasuk di luar bandar," katanya ketika berucap pada majlis perasmian KKC yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, dekat sini kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abd. Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Kamarul Zaman Md. Isa.
Menurut Tiong Lai, keseluruhannya kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM529.9 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk melaksanakan 58 projek berkaitan kesihatan termasuk membina dua hospital baru di Rompin dan Bera.
''Peruntukan itu dibahagikan kepada dua fasa, yang pertama membabitkan peruntukan RM243 juta bagi melaksanakan projek antara tahun 2010 hingga 2011 dan melaksanakan 22 projek fasa kedua bagi tempoh 2012 hingga 2013 dengan peruntukan RM286.9 juta," katanya.

No comments:

Post a Comment