Thursday, April 12, 2012

stadium temerloh naik taraf

ARKIB : 12/04/2012

RM3j naik taraf Stadium MPT


TEMPAT duduk berbumbung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh hanya mampu memuat 2,000 penonton sahaja dan bakal dinaik taraf selepas menerima peruntukan RM3 juta bagi kemudahan 10,000 penonton menyaksikan bola sepak di stadium itu.


TEMERLOH 11 April - Para peminat bola sepak di negeri ini khususnya di Pahang Barat bakal menyaksikan perlawanan sukan itu dengan selesa apabila kerajaan memperuntukan RM3 juta bagi menaik taraf Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di sini.
Pengumuman peruntukan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa beliau merasmikan program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) 1Azam Peringkat Negeri Pahang di Dataran Tok Gajah di sini pada Sabtu lalu.
Berita gembira tersebut merealisasikan usaha banyak pihak khususnya Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBSNP), MPT dan Persatuan Bola Sepak Temerloh (Temerloh FA) yang tidak jemu mencari peruntukan bagi menambah keselesaan penonton dan peminat bola sepak di negeri ini.
Berikutan peruntukan itu, tempat duduk di stadium tersebut akan ditambah sebanyak 10,000 berbanding 2,000 ketika ini.
Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Abdul Muain Abdul Hamid berkata, kapasiti tempat duduk akan ditambah memandangkan ketika ini penonton yang menyaksikan perlawanan bola sepak dalam keadaan tidak selesa termasuk duduk di atas bukit.
Menurutnya, peruntukan itu akan disalurkan kepada MPT yang akan menguruskan kerja naik taraf stadium berkenaan mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Kita memang perlukan sebuah stadium yang mampu menampung 10,000 penonton terutama di daerah ini sekali gus menarik pengunjung dan penonton dari Pahang Barat ke daerah ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Bagi Naib Presiden PBSNP Datuk Akbar VV Abu, seluruh peminat bola sepak di negeri ini berterima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin dengan denyut nadi rakyat di daerah ini.
“Dengan adanya sebuah stadium yang mempunyai kapasiti 10,000 tempat duduk akan menyemarakan lagi bola sepak Pahang.
“Saya harap dengan keputusan ini kita boleh kekalkan baki perlawanan Liga Perdana musim ini di Temerloh. Dengan lengkapnya kemudahan di stadium itu nanti akan menambah bilangan pengunjung sekali gus meningkatkan ekonomi peniaga setempat,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, beliau berharap PBSNP memberi pertimbangan untuk terus mengekalkan pertandingan bola sepak tempatan di stadium itu pada masa hadapan.
“Kita lihat stadium akan dinaiktaraf, jumlah penonton semakin ramai dan akan memberi semangat kepada pemain-pemain Pahang beraksi di sini.
“Untuk itu tidak salah jika kita cuba kekalkan perlawanan bola sepak Liga Malaysia di Temerloh,” katanya.

No comments:

Post a Comment