Friday, April 13, 2012

jalan ke merapoh dah ok

ARKIB : 13/04/2012

Terima kasih kerajaan naik taraf jalan Kuala Lipis-Merapoh


Jalan Kuala Lipis ke Merapoh antara laluan yang akan dinaik taraf untuk keselesaan penduduk di Merapoh, Kuala Lipis.


SAYA penduduk kawasan Merapoh terpanggil melahirkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan negeri dan pemimpin Barisan Nasional (BN) kerana melaksanakan projek menaik taraf jalan raya dari Kuala Lipis ke Merapoh.
Saya difahamkan projek sejauh 85 kilometer itu bermula dari Kampung Relong dan kini dalam proses mengenal pasti jajaran baru, mengurangkan selekoh dan bukit sekali gus dapat memberikan keselesaan serta keselamatan kepada pemandu kenderaan.
Ingin dinyatakan bahawa jalan raya itu antara laluan 'panas' yang sering melibatkan kemalangan maut membabitkan pelbagai jenis kenderaan serta kehilangan nyawa dan harta benda.
Tragedi bas terbalik dan berlanggar sehingga membabitkan nyawa manusia ketika musim perayaan dilaporkan media beberapa tahun lalu sudah cukup menginsafkan pelbagai pihak khususnya kerajaan negeri betapa pentingnya kemudahan jalan raya baru dan selamat.
Laluan yang kerap mengundang kecelakaan iaitu di Bukit Tujuh, Pagar Sasak, Chegar Perah, Sungai Temau dan berdekatan Merapoh antara senario yang mencatat sejarah hitam di kalangan mereka yang masih hidup serta pernah terbabit dengan kemalangan itu.
Menerusi Rakan Pahang ini, saya memohon kepada kerajaan negeri membina sebuah lagi kawasan Rehat dan Rawat (R&R) berdekatan Bukit Tujuh untuk kemudahan pemandu khususnya mereka yang berulang alik dari Lembah Klang ke Kelantan.
Saya berpendapat pemodenan jalan raya antara Kuala Lipis ke Merapoh memang tepat pada masanya kerana usaha melestarikan pembangunan dalam sektor pertanian dan pelancongan dapat dipercepatkan serta memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Jalan raya yang selesa dan selamat memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi yang pesat dan kita tidak akan kehilangan ramai lagi insan yang tidak berdosa akibat kecuaian pihak lain.
Akhir kata, syabas kepada kerajaan negeri dan diharapkan usaha membaik pulih dan menaik taraf jajaran di laluan berkenaan dipercepatkan sekali gus menzahirkan janji kerajaan BN Pahang untuk rakyat di daerah Kuala Lipis sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.
AYUNI MULTATULLAH
Kampung Relau, Merapoh

No comments:

Post a Comment