Thursday, April 19, 2012

roboh gerai

MPK bertindak ikut prosedur
Wartawan Sinar Harian
19 April 2012
MPK bertindak ikut prosedur
KUANTAN - Tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) merobohkan gerai yang dibina di tapak taman permainan di Jalan Air Putih 2, di sini pada 14 April lalu adalah wajar memandangkan enam notis sudah dikeluarkan kepada pemilik tersebut.
Malah tindakan itu diambil selepas pertimbangan sewajarnya dilakukan MPK bagi memastikan peraturan yang di bawah Seksyen 72 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta133) tidak pandang remeh.
Pengerusi Barisan Nasional Indera Mahkota, Datuk Mohd Hazmi Yusof berkata, peniaga terbabit seharusnya tahu had sekiranya mahu berniaga dan bukannya mengambil kesempatan di atas kelonggaran yang diberikan MPK.
“Tindakan peniaga membesarkan kawasan perniagaan dan menambah struktur binaan di kawasan yang tidak dibenarkan menimbulkan pelbagai rungutan daripada penduduk setempat yang mendakwa mereka ‘hilang’ tempat beriadah.
“Sebagai pihak berkuasa tempatan, MPK perlu mengambil tindakan kerana perkara itu melanggar undang-undang,” katanya ketika ditemui pada sidang media bersama wakil penduduk Air Putih di sini.
Hadir sama, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Air Putih Timur, Ong Seo Choon.
Mohd Hazmi turut menyelar pihak yang mempertikaikan tindakan itu malah melabelkan MPK zalim berikutan perkara itu.
Katanya, enam notis yang dikeluarkan MPK sudah cukup untuk menunjukkan bahawa peniaga terbabit sudah diberi masa yang cukup untuk melakukan perubahan.
“Bagaimanapun, mereka tetap berdegil dan berfikir MPK tidak berani bertindak. Perkara itu salah dan ia wajar dikenakan tindakan.
“Saya harap perkara ini menjadi pengajaran kepada peniaga yang lain agar tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan PBT sehingga menjejaskan komuniti setempat,” katanya.
Katanya, MPK sedia membantu pihak terbabit mencari tapak perniagaan yang sesuai sekiranya mereka memohon.
Justeru, Mohd Hazmi mahu perkara itu tidak lagi menjadi isu kepada mana-mana pihak kerana tindakan itu adalah yang terbaik untuk semua.
“Saya harap MPK akan menyediakan prasarana riadah di tapak itu terutama untuk kanak-kanak dan juga warga emas serta komuniti setempat mendapat manfaat,” katanya.

No comments:

Post a Comment