Friday, April 27, 2012

mau litar la..

ARKIB : 27/04/2012

Mohon kerajaan bina litar di Jengka

Saudara Pengarang,
SUKAN lumba kereta dan motosikal pecut atau dikenali sebagai drag kini semakin popular di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka sejak perlumbaannya dianjurkan pada tahun lepas.
Kerjasama mantap antara Kelab Bermotor Jengka dan Majlis Belia Felda Wilayah Jengka (MBFWJ) berjaya menarik penyertaan lebih 150 motosikal dan kereta dalam perlumbaan itu.
Laluan lurus di hadapan bangunan Balora Mastika menjadi litar tetap kepada penganjur, namun ia tidak disenangi oleh masyarakat setempat yang merungut kerana penganjur terpaksa menutup laluan tersebut.
Pada masa sama, orang ramai turut tidak senang duduk apabila deruman enjin kenderaan mengganggu ketenteraman hidup mereka kerana perlumbaan berlanjutan hingga lewat malam.
Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan negeri dan pihak Felda perlu mencari alternatif membina litar untuk sukan tersebut di kawasan yang jauh dari kediaman dan kawasan perumahan.
Difahamkan, pihak MBFWJ mengemukakan cadangan untuk membina litar drag kepada kerajaan negeri dan Felda, namun sehingga kini belum mendapat maklum balas.
Lokasi litar yang dicadangkan oleh pihak MBFWJ adalah laluan lurus yang sebelum ini menjadi landasan kapal terbang berhampiran Kilang Alps di laluan Jengka ke Maran.
Jalan lurus lebih satu kilometer itu amat sesuai dijadikan litar selain jauh dari kawasan perumahan dan mempunyai tempat letak kereta yang banyak.
Sambutan hangat penggemar sukan tersebut menyebabkan penganjur mengadakan perlumbaan tiga hingga empat kali setahun.
Saya rasa kerajaan negeri dan Felda patut memandang serius perkara ini kerana ia memberi kesan yang positif terutama kepada generasi kedua Felda untuk membangunkan sukan bermotor di negara ini selain mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti lumba haram.

No comments:

Post a Comment