Sunday, April 15, 2012

kobera

ARKIB : 15/04/2012

SKM stabilkan 15 Kobera di Pahang


Zazali Harun (duduk dua dari kiri) bersama Ahmad Shukri Ismail (duduk tengah) dan Lau Lee (duduk dua dari kanan) bersama kakitangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Jerantut, Pahang, baru-baru ini.


JERANTUT 14 April - Sebanyak 15 Koperasi Bela Rakyat (Kobera) di negeri ini akan distabilkan semula oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berikutan kegagalan koperasi terbabit menguruskan perniagaan mereka dengan berkesan.
Pengarah SKM Pahang, Zazali Harun berkata, langkah itu diambil berikutan kegagalan koperasi berfungsi dengan baik yang berpunca daripada masalah dalaman seperti pengurusan.
Menurutnya, Kobera merupakan koperasi yang ditubuhkan oleh SKM bagi membantu peserta di bawah garis kemiskinan terutama golongan miskin dan miskin tegar melibatkan diri dalam perniagaan, sekali gus menambah pendapatan mereka.
"Kerjasama pemimpin serta agensi kerajaan terbabit yang tampil memberi tunjuk ajar, khidmat nasihat dan projek ekonomi bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan mereka malah, berjaya mengeluarkan golongan itu daripada kemiskinan," katanya selepas majlis perasmian Program Taklimat Gerakan Koperasi di Padang Bola Sepak Jerantut, di sini baru-baru ini.
Program yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail itu turut dihadiri ADUN Damak, Datuk Lau Lee.
Zazali berkata, SKM menyediakan pelbagai dana untuk menggerakkan aktiviti ekonomi Kobera seperti peruntukan permulaan projek berjumlah RM30,000 selain bantuan pembangunan dan pengukuhan projek.
Menurutnya, ahli lembaga Kobera perlu bergerak aktif bersama kepimpinannya untuk membolehkan projek ekonomi bersesuaian dapat dilakukan seterusnya membantu meningkatkan pendapatan dalam kalangan ahli.
Beliau turut memuji Kobera Pulau Tawar di sini yang menjadi antara koperasi paling aktif dan berjaya di negeri ini kerana mempunyai projek ekonomi tersendiri iaitu pembuatan kuih bahulu.
Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, koperasi di negara ini antara organisasi berstruktur yang terbaik selain menjadi jentera ekonomi ketiga kerajaan dalam meningkatkan pendapatan rakyat.
Katanya, kegagalan segelintir koperasi adalah kerana masalah pengurusan dan dalaman pengurusan itu sendiri selain tiada penglibatan pemimpin setempat.

No comments:

Post a Comment