Thursday, April 19, 2012

projek naik taraf

Penduduk dakwa projek naik taraf tidak setimpal
Wartawan Sinar Harian
19 April 2012
Penduduk dakwa projek naik taraf tidak setimpal
MUADZAM SHAH – Jawatankuasa penduduk Desa Dahlia mengibaratkan projek naik taraf pusat kegiatan di kawasan itu ‘indah khabar dari rupa’.
Mereka kesal dan mendakwa kerja naik taraf itu tidak memenuhi hasrat dipersetujui secara lisan antara kontraktor, jawatankuasa penduduk serta wakil Unit Pembangunan Luar Bandar (PLB).
Difahamkan beberapa kemudahan diminta penduduk juga tiada sedangkan sebelum ia dilaksanakan, kontraktor bertanggungjawab bersetuju untuk melakukan kerja tersebut.
Lebih kesal, penduduk mendakwa projek bernilai RM35,000 diperuntukkan PLB untuk kerja naik taraf kedua-dua bangunan pusat itu tidak setimpal dengan hasil dilakukan dua kontraktor berasingan terbabit.
Ibarat lepas batuk di tangga
Ketua Umno Cawangan Desa Dahlia, Mohd Darus Yaakub berkata, jawatankuasa penduduk mempersoalkan sikap dua kontraktor yang diberi tanggungjawab untuk membaik pulih kedua-dua bangunan tersebut.
Menurutnya, kontraktor pertama diamanahkan untuk melaksanakan kerja baik pulih bangunan di pusat itu dengan nilai RM5,000.
Manakala katanya, kontraktor kedua pula dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kerja baik pulih bangunan asal yang turut menempatkan sebuah kabin dengan nilai RM30,000.
Bagaimanapun katanya, penduduk kecewa kerana kerja dilaksanakan kedua-dua kontraktor itu boleh diumpamakan seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ selepas siap sepenuhnya sejak lebih dua minggu lalu.
“Kami sungguh terkilan kerana projek itu tidak memenuhi permintaan kami sebelum ini memandangkan terdapat beberapa kemudahan lain tidak disiapkan seperti dirancang,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, PLB sepatutnya menilai sendiri kerja dilaksanakan kedua-dua kontraktor itu memandangkan terdapat beberapa kemudahan tidak dapat disiapkan seperti singki kabinet, paip air singki dan simen belakang hingga ke pagar.
Selain itu katanya, hasrat jawatankuasa supaya kontraktor memasang pintu pagar untuk ke taman bersebelahan juga tidak kesampaian.
Kontraktor tidak tunai janji
Ketua Desa Dahlia, Omar Jaafar berkata, penduduk juga kesal dengan sikap lepas tangan kontraktor selepas projek itu siap dan merayu supaya pihak berkenaan melaksanakan segala kemudahan dijanjikan sebelum ini.
Katanya, hanya terdapat beberapa kerja siap sepenuhnya seperti mengecat bangunan, menambah ruang belakang bangunan asal, mengganti pintu tandas dan pintu belakang bangunan baru serta menampal simen.
Menurutnya, penduduk tidak kisah sekiranya kontraktor mahu meraih keuntungan, namun berharap semua kemudahan tersedia seperti dipersetujui bersama.
“Kerja menampal simen di belakang bangunan tidak dilaksanakan sepenuhnya hingga menyebabkan penduduk tidak berpuas hati,” katanya.
Simen elak air bertakung
Ketua Wanita Desa Dahlia, Patimah Awang Besar berkata, cadangan menampal simen di bahagian belakang bangunan hingga ke pagar sejauh 1.5 meter bertujuan mengelak air hujan bertakung di kawasan berkenaan.
Katanya, ia berikutan air akan bertakung di belakang pusat itu hingga menyukarkan penduduk menjalankan sebarang aktiviti setempat terutama pada musim tengkujuh.
“Kami berharap masalah ini dapat diatasi sebaiknya dengan adanya peruntukan itu. Namun, kami terkilan apabila kontraktor tidak dapat menampal simen di bahagian belakang bangunan yang sering bertakung air,” katanya.
Timbalan Ketua Wanita Desa Dahlia, Ros Adibah Abu berkata, kontraktor juga dipercayai menggunakan atap lama di bahagian belakang bangunan itu.
“Kami sungguh kesal kerana kontraktor mengguna pakai barangan lama untuk memasang atap baru di belakang bangunan lama pusat ini,” katanya.
Ikut skop tugasan
Sementara itu Pegawai Daerah, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha berkata, Projek itu sebenarnya dipersetujui PLB dan jawatankuasa penduduk.
“Sebelum pelaksanaan sebarang projek, kita akan buat pelan komunikasi dengan memanggil jawatankuasa dan ketua desa untuk membincangkan mengenai keutamaan serta keperluan berdasarkan peruntukan.
“Perkara ini sudah dibincangkan dan keputusan mengenainya juga dicapai untuk menentukan perlaksanaan projek itu,” katanya.
Beliau berkata, kontraktor hanya menjalankan kerja-kerja naik taraf seperti terdapat dalam skop tugasan.
“Jika mereka tidak berpuas hati, jawatankuasa penduduk boleh buat aduan kepada ketua desa dan membawa perkara ini kepada wakil rakyat atau pegawai daerah,” katanya.

No comments:

Post a Comment