Thursday, April 19, 2012

benteras dadah dari sekolah

Banteras gejala dadah di peringkat sekolah rendah
Wartawan Sinar Harian
19 April 2012
Banteras gejala dadah di peringkat sekolah rendah
KUALA LIPIS - Biarpun pelbagai kempen diadakan bagi memerangi gejala dadah di negara ini, namun usaha tersebut belum menampakkan hasil yang jelas kerana masalah penagihan dan pengedaran dadah masih bermaharajalela.
Slogan Dadah Musuh Negara seolah-olah tidak memberi kesan kepada pencinta bahan yang mengkhayalkan itu dan undang-undang sedia ada tidak sedikit pun digeruni penagih dan pengedar dadah.
Bagi menyahut seruan Kementerian Pelajaran yang menyasarkan Sekolah Bebas Dadah 2012, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Besar di sini mengadakan Minggu Antidadah Peringkat Sekolah, kelmarin.
Setiausaha Pendidikan Pencegahan Dadah SK Tanjung Besar, Norhaslinda Mohd Noor berkata, program sehari itu diadakan bertujuan membanteras gejala penyalahgunaan dadah di peringkat akar umbi.
“Kita perlu membanteras gejala dadah ini di peringkat sekolah rendah lagi kerana murid-murid belum mengenali bahan yang dibuat menggunakan dadah serta kesannya kepada kehidupan seharian.
“Pada usia antara 10 tahun hingga 12 tahun juga mendorong mereka berjinak dengan rokok yang menjadi punca utama sebelum terlibat dengan penagihan dadah,” katanya sempena program tersebut, kelmarin.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Afizal Ahmad Pahmin berkata, aspek pendidikan pencegahan dadah amat penting diterapkan kepada kanak-kanak sejak di bangku sekolah rendah lagi memandangkan mereka adalah warisan kepimpinan negara pada masa hadapan.
Menurutnya, matlamat pendidikan pencegahan dadah di sekolah untuk memberi pengetahuan, kesedaran dan keinsafan kepada murid serta warga sekolah agar mereka menjauhi najis dadah dan berupaya menentang ancaman dadah.

No comments:

Post a Comment