Friday, April 27, 2012

bn prihatin

ARKIB : 26/04/2012

Bukti keprihatinan BN

Adnan Yaakob dan Liow Tiong Lai (kanan) beramah mesra dengan warga emas dan orang kurang upaya yang menghadiri majlis perasmian Klinik Kesihatan Chemomoi, Bentong, semalam.
BENTONG 25 April - Peruntukan besar untuk kemudahan kesihatan dalam Bajet negara pada setiap tahun membuktikan keprihatinan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) kepada keperluan setiap lapisan rakyat termasuk di luar bandar.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, seperti pendidikan, kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap kesihatan dengan membina lebih banyak klinik kesihatan dan klinik desa bagi kemudahan rakyat mendapat rawatan terbaik.
''Pembinaan Klinik Kesihatan Chemomoi yang berharga RM12.9 juta ini misalnya, membuktikan kerajaan cukup prihatin kerana ingin membolehkan rakyat mendapat rawatan segera.
''Klinik yang serba moden ini mampu memberikan perkhidmatan kepada lebih 8,000 penduduk di kawasan Felda Chemomoi, Felda Sungai Kemahal, Felda Kemasul, Felda Mengkarak, Ladang Mengkarak dan kawasan sekitarnya," katanya.
Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Kesihatan Chemomoi dekat sini petang semalam.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Kamarul Zaman Md. Isa.
Menurut Adnan, dengan adanya klinik tersebut, penduduk di kawasan berkenaan tidak lagi perlu pergi jauh sehingga ke Hospital Bentong untuk mendapat rawatan penyakit tertentu termasuk penyakit kronik.
Tambahnya, Klinik Kesihatan Chemomoi menawarkan perkhidmatan seperti kemudahan pesakit luar, penjagaan kesihatan ibu dan anak, kecemasan, pergigian, makmal patologi, farmasi dan perkhidmatan khusus seperti klinik berhenti merokok dan penyakit berjangkit kronik termasuk tibi.
Adnan memberitahu, pembinaan klinik ini yang mempunyai seorang doktor dan dua pembantu perubatan serta 10 jururawat merupakan sebahagian daripada pembangunan yang dirancang bagi setiap lima tahun menerusi Rancangan Malaysia untuk memastikan setiap rakyat mendapat rawatan yang pantas dan cekap.
Dalam perkembangan lain, Adnan menghargai sokongan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pahang terhadap beliau apabila pertubuhan itu membuat laporan polis dua hari lalu bagi membantah tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meminta beliau melepas jawatan sebagai Menteri Besar.
''Itu adalah perkara biasa dalam dunia politik apabila ada pihak yang meminta Menteri Besar berundur dan saya serah perkara ini kepada Allah dan rakyat untuk menentukannya.
''Bagaimanapun permintaan tersebut yang didalangi pembangkang menunjukkan mereka tidak boleh menang dalam pilihan raya umum akan datang dan sebab itu mereka minta saya letak jawatan dan bagi saya permintaan mereka itu adalah berjuang untuk benda yang salah," katanya.

No comments:

Post a Comment