Wednesday, April 18, 2012

modal insan

ARKIB : 18/04/2012

Program pembangunan modal insan di Lipis berjaya


Pensyarah dan guru pelatih IPGKTAA bersama murid Orang Asli mengadakan program pendidikan kesihatan di Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 17 April - Daerah Lipis antara yang bertuah kerana kerajaan Persekutuan dan negeri memberi fokus terhadap projek pembangunan modal insan berasaskan transformasi dalam bidang pendidikan untuk penduduk luar bandar dan pedalaman.
Sehingga kini, daerah ini memiliki pelbagai institusi pendidikan seperti Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) di Bukit Sarang; Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Lanar; Kolej Komuniti cawangan Lipis dan Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Lipis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya kini berusaha memohon agar kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibina di Bukit Sarang bagi memenuhi keperluan dalam bidang pengajian seperti pelancongan, perhutanan, perniagaan dan keusahawanan.
"Kita mempunyai tapak yang sesuai di Bukit Sarang jika Kementerian Pengajian Tinggi mahu membina kampus berkenaan di sini.
"Sesuai dengan tempias pembangunan oleh kerajaan negeri di Pahang Barat, Lipis berupaya mengambil bahagian dan menjadi pemacu dalam sektor pendidikan kerana permintaan sumber manusia serta pasaran kerja yang semakin meningkat termasuk program keusahawanan," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Mengenai kewujudan IPGKTAA beliau memberitahu, penduduk tempatan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana penubuhan institut berkenaan antara perintis pembangunan pendidikan di sini.
Katanya, institut itu menjadi mercu tanda pendidikan khususnya latihan perguruan kepada ramai guru berijazah untuk dihantar ke luar bandar dan pedalaman Pahang termasuk tempat lain di negara ini.
Tambahnya, sehingga kini IPGKTAA berjaya melahirkan ramai golongan pendidik yang mengajar di pedalaman daerah ini khususnya di kawasan penempatan Orang Asli.
Katanya, antara sekolah kebangsaan di pedalaman dan penempatan Orang Asli yang menerima kehadiran guru lepasan institut itu ialah di Pos Lenjang, Pos Senderut, Pos Titom, Pos Pantos, Pos Lanai dan perkampungan di pesisiran Sungai Jelai.

No comments:

Post a Comment