Monday, April 23, 2012

gebeng

MCKIP di Gebeng tanda iklim pelaburan sihat di Kuantan
Oleh ALAMAYA

USAHA bagi mewujudkan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) dalam kawasan perindustrian Gebeng adalah tanda jelas betapa tingginya keyakinan kerajaan serta pelabur tentang sihatnya iklim pelaburan di Pahang khususnya Kuantan.

Ini di sebalik taktik menakut-nakutkan oleh puak-puak pembangkang yang sengaja memberi gambaran negatif mengenai daerah ini ekoran kehadiran projek pemprosesan logam tanah jarang Lynas yang mereka dakwa sebagai berbahaya, di kawasan perindustrian yang sama.

Usaha bagi mewujudkan MCKIP diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berada di Nanning, China pada 1 April lalu, sempena Majlis Pecah Tanah China-Malaysia Qinzhou Industrial Park di sana.

"Mungkin ada mengatakan Kuantan tidak sihat, tidak kondusif daripada segi kesihatan. Kalau ada pandangan negatif, ini tidak betul sebenarnya (dengan usaha mewujudkan MCKIP)," kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Bahawa pelaburan yang sebahagian besarnya dijangka datang dari China sendiri katanya, adalah sesuatu yang menarik sementelah negara itu kini merupakan kuasa ekonomi besar dunia.

''Kita seharusnya memandang ke arah China bagi meningkatkan hubungan dua hala dan dengan persetujuan ini (bagi mewujudkan MCKIP) Insya-Allah, Kuantan akan menjadi semakin maju, secara tidak langsung dapat menolak tanggapan negatif tentangnya," kata Adnan.

Dan, belum pun sempat reda pengumuman mengenai MCKIP oleh Najib itu, sebuah syarikat gergasi dari republik itu dijangka berada di Kuantan dalam tempoh beberapa hari lagi, bagi meninjau untuk melabur di taman perindustrian berkenaan.

Setakat ini, belum diketahui lagi jenis pelaburan yang akan dilakukan tetapi difahamkan, nilainya dijangka mencecah sehingga RM2,000 juta! Dan ini tentunya permulaan yang baik untuk pembangunan MCKIP sendiri.

Ke arah merealisasikan kewujudan MCKIP itu kata Adnan, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah mengenal pasti kawasan seluas 607.5 hektar (1,500 ekar) dalam kawasan perindustrian Gebeng, untuk dijadikan MCKIP tersebut.

Kawasan ini terletak tidak jauh dari kawasan perumahan ala-dusun yang dibangunkan oleh sebuah agensi kerajaan negeri dikenali sebagai ASPA Cottage di sebelah baratnya, dan sempadan dengan Terengganu di sebelah utaranya.

Asalnya, kawasan 607.5 hektar ini yang terletak di pinggir sebelah kiri laluan Gebeng By-pass menuju ke Pelabuhan Kuantan, adalah sebahagian daripada 931.5 hektar (2,300 ekar) yang dicadangkan oleh PKNP sejak lima tahun lepas, untuk dibangunkan keseluruhannya sebagai Gebeng City Centre.

Cadangan PKNP itu bagaimanapun tinggal cadangan akibat kekangan kewangan. Ekoran itu, ECERDC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri dan turut dianggotai oleh Adnan, mencadangkan kawasan 607.5 hektar tersebut sebagai MCKIP.

MCKIP ini diperkenalkan sebagai lanjutan kepada persetujuan antara Malaysia dan China bagi membangunkan CMQIP yang mana majlis pecah tanahnya telah disempurnakan oleh kedua-dua Najib dan rakan sejawatannya, Wen Jiabao di sana.

Dengan wujudnya MCKIP sebagai 'sister industrial park', turut diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara, Malaysia dan China.

Sebagai taman perindustrian yang terletak dalam SEZ-ECER, secara tidak langsung MCKIP akan turut mendapat faedah daripada lokasi strategik zon berkenaan yang berperanan sebagai gerbang pelaburan ke seluruh negara ASEAN dan Asia Pasifik dengan jumlah penduduk keseluruhannya kira-kira 4,000 juta orang!

"Ini bakal menyumbang kepada peluang keemasan untuk kedua-dua masyarakat perdagangan Malaysia dan China untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di rantau ini," kata Ketua Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John.

Kedudukan geografi Kuantan yang menghadap Laut China Selatan serta hampir dengan China pula dikatakan sebagai faktor penting yang dapat menjanakan lagi pembangunan kedua-dua MCKIP dan CMQIP.

Kata Jebasingam lagi, bekalan bijih besi yang kaya di Malaysia boleh sahaja dieksport dari Pelabuhan Kuantan (kira-kira 5 km dari MCKIP) ke Pelabuhan Qinzhou bagi menyokong industri-industri perkapalan dan alat- ganti serta automotif dan alat-ganti di Qinzhou.

"Pelabuhan Kuantan akan dapat menyumbang sebagai hab serantau pusat pengumpulan bagi kontena di Asia Tenggara untuk menyokong membangunkan kemudahan-kemudahan logistik serta juga industri pembuatan dan automotif di Qinzhou,'' jelas beliau.

Dalam MCKIP sendiri, ECERDC menyasarkan agar taman perindustrian baru ini turut menumpukan kepada pelbagai jenis industri seperti pembuatan komponen automotif, pemprosesan makanan, produk pengguna, dan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Ke arah itulah pelbagai insentif kewangan turut ditawarkan dan antaranya pengecualian cukai 100 peratus selama 10 tahun, pengecualian cukai import dan cukai jualan selain daripada penawaran harga tanah perindustrian yang berdaya saing.

Dengan Perdana Menteri sendiri memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan MCKIP ini manakala kerajaan negeri di bawah Menteri Besar selaku pemudah caranya, taman perindustrian terbaru ini dijangka dapat mencapai kejayaan yang dihasratkan dalam tempoh yang singkat.

No comments:

Post a Comment