Sunday, April 29, 2012

pencuri dalam kawasan masjid

ARKIB : 29/04/2012

Terkilan motosikal dicuri di pekarangan masjid

ROMPIN 28 April - Dua jemaah Masjid Felda Keratong 5, di sini, berputih mata selepas motosikal mereka yang diletakkan di pekarangan masjid itu lesap akibat dikebas pencuri Khamis lalu.
Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu disedari oleh kedua-dua mangsa sebaik saja mahu pulang ke rumah setelah selesai menunaikan solat isyak di masjid berkenaan.
Seorang mangsa, Muhamad Daud, 63, berkata, motosikal jenis Honda EX5 miliknya itu diletakkan di ruang letak kenderaan di pekarangan masjid namun tidak menyangka motosikal bernilai RM5,000 itu lesap dilarikan pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya meletakkan kenderaan di bahagian pintu masuk tepi parkir masjid, namun terkejut apabila motosikal yang digunakan untuk ulang alik ke masjid setiap hari sudah tidak ada di tempatnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Seorang lagi jemaah yang turut menjadi mangsa, Mohd. Omar Kasihan, 63, berkata, dia yang kehilangan motosikal jenis Modenas Kriss percaya suspek yang melakukan jenayah itu hanya mengambil bahagian komponen motosikal sebelum menjualnya kepada pembeli besi buruk.
“Mereka tidak akan menjual motosikal ini kerana perbuatan itu mungkin boleh menyebabkan mereka dicekup pihak berkuasa," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supritendan Johari Jahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan telah menerima laporan polis yang dibuat mangsa di Balai Polis Bandar Tun Razak.
Beliau juga telah mengarahkan unit peronda polis untuk melakukan rondaan secara lebih kerap di kawasan masjid berkenaan.

No comments:

Post a Comment