Monday, April 2, 2012

kapal perang jadi tukun

Berakhir sejarah kapal perang


Kapal KM Sipadan tenggelam perlahan-lahan untuk dijadikan tukun rekreasi di kawasan Sawadi, Pulau Tioman, baru-baru ini.


PULAU TIOMAN 1 April - Bermula pada tahun 1964, ia muncul antara aset terpenting Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan diberi tugasan mengawal beberapa kawasan perairan negara.
Tanggungjawab kapal peronda KD Sri Sarawak ketika itu bukan sahaja menjaga kedaulatan perairan negara termasuk di Selat Melaka, malah menghalang sebarang bentuk pencerobohan pihak asing.
Ketika itu kapal berkenaan telah mencatatkan pelbagai rekod cemerlang bagi TLDM termasuk beberapa tangkapan nelayan asing yang menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia.
Setelah sekian lama bersama TLDM, kapal tersebut kemudian diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada tahun 2005.
Ia sejajar dengan penubuhan dan perkembangan Maritim Malaysia dalam mengawal perairan negara dari sebarang bentuk pencerobohan.
Nama kapal berkenaan turut ditukar kepada KM Sipadan sebagai memberi nafas baru terhadap peranannya manakala tugasan pula lebih tertumpu di perairan Negeri Pahang.
Walaupun ditugaskan bersama Maritim Malaysia, KM Sipadan terus mencatat rekod cemerlang dalam menjaga kedaulatan negara.
Namun tidak dinafikan, perubahan semasa dengan perkembangan teknologi canggih, secara tidak langsung menjadikan kapal peronda berkenaan secara perlahan-lahan ketinggalan ke belakang.
Kehadiran kapal-kapal peronda baru dengan sistem enjin serta persenjataan yang lebih canggih dan moden, memperlihatkan KM Sipadan kian tercicir.
Dengan usianya yang menjangkau 48 tahun ditambah pula saingan dari kapal-kapal perang generasi baru, KM Sipadan dilihat kurang 'sesuai' dengan tugasan yang semakin mencabar.
Selain itu, kos penyelenggaraan KM Sipadan yang kian meningkat malah mencecah hampir RM1 juta, menyebabkan satu keputusan terpaksa diambil bagi 'menamatkan' riwayat dan sejarah kapal berkenaan.
Pada akhir tahun lalu, KM Sipadan ditamatkan perkhidmatannya setelah begitu lama berjasa kepada negara ini.
Penamatan tugasan kapal itu bukan bermakna ia dilupakan terus, sebaliknya Maritim Malaysia bersetuju KM Sipadan diserahkan kepada Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) untuk dijadikan tukun rekreasi.
Inilah peranan terbaru KM Sipadan, iaitu sebagai tukun rekreasi dan diletakkan di dasar laut.
Langkah tersebut walaupun meninggalkan pelbagai perasaan yang menyentuh jiwa pada petugas TLDM dan Maritim Malaysia, namun dari satu segi memperlihatkan kapal tersebut masih diberikan tanggungjawab yang berbeza.
Jika dahulu KM Sipadan beroperasi di permukaan laut tapi kini ia berfungsi di dasar lautan.
Pada satu majlis penuh bersejarah dan agak menyentuh jiwa, KM Sipadan diserahkan kepada JTLM bertempat di Pulau Tioman baru-baru ini.
Sebaik sahaja selesai dokumen penyerahan kapal ditandatangani, bermulalah era di mana KM Sipadan dijadikan tukun rekreasi.
Air kemudian dimasukkan ke perut kapal dengan membuka beberapa injap di bahagian bawah kapal.
Pada masa sama, air juga dimasukkan menggunakan saluran getah dari bahagian atas kapal.
Tidak sampai 40 minit, KM Sipadan secara perlahan-lahan tenggelam dan terus menjunam ke dasar laut di kawasan Sawadi, Pulau Tioman pada kedalaman 30 meter.
Begitulah berakhirnya riwayat sebuah kapal perang yang panjangnya 31.4 meter, lebar tujuh meter manakala beratnya 109 tan.
Sebelum ditenggelamkan, enjin KM Sipadan terlebih dahulu dikeluarkan dan beberapa bahagian badan kapal dicuci bagi memastikan tidak terdapat minyak yang boleh mencemarkan dasar laut.
Turut dikeluarkan ialah meriam yang diguna semasa ia beroperasi.
Dari satu segi kapal tersebut sebenarnya 'tidak dilupuskan' sebaliknya ia kini meneruskan tugas yang berlainan iaitu sebagai tukun.
KM Sipadan adalah tukun rekreasi pertama yang merupakan sebuah kapal peronda di Pulau Tioman dan juga perairan pantai timur Semenanjung.
Kapal itu akan menjadi tumpuan para penyelam tempatan dan juga luar negara.
Secara langsung langkah menjadikan tukun rekreasi bakal meningkatkan jumlah kehadiran pelancongan ke Pulau Tioman dan Malaysia.
Disebabkan kedalaman tukun rekreasi itu, para penyelaman yang hendak melihat kapal berkenaan perlulah memiliki lesen menyelam di peringkat 'advance'.
Dengan kata lain, para penyelamat baru atau 'open water' perlu meningkatkan kemahiran mereka terlebih dahulu sebelum dibenarkan menyelam ke tahap yang lebih dalam.
Keadaan ini memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha pusat selam terutama di Pulau Tioman apabila kalangan penyelam datang untuk mendapatkan lesen selam 'advance' sebelum dibenarkan menyelam ke tukun KM Sipadan.
Perkembangan ini akan meningkatkan lagi pendapatan pengusaha dan pusat-pusat skuba di Pulau Tioman.
Satu lagi perkembangan positif ialah tukun KM Sipadan itu bakal menjadi pusat pembiakan terumbu dan perlindungan hidupan laut seperti ikan.
Apabila ini berlaku, Pulau Tioman berjaya mewujudkan satu lagi lokasi selaman menarik yang sebelum ini berjumlah 42 lokasi.
Difahamkan pada masa hadapan, beberapa lagi tukun rekreasi seperti kereta kebal dan kapal terbang kemungkinan besar akan diletakkan di dasar laut sekitar Pulau Tioman.
Semua perkembangan ini bakal menarik lebih ramai penyelam dan pelancong sama ada tempatan mahupun asing.
Lebih menarik apabila Pulau Tioman kelak diletakkan antara kawasan pelancongan paling menarik di peringkat antarabangsa.

No comments:

Post a Comment