Thursday, April 5, 2012

reka fesyen

Prospek kerjaya dorong ikuti kursus rekaan


Pensyarah Rekaan Fesyen IASC, Faridah Ahmad, memberi tunjuk ajar kepada seorang pelajarnya pada bengkel jahitan di Kuantan, kelmarin.


KUANTAN 4 April - Kursus rekaan fesyen terus menarik minat para lepasan sekolah berikutan prospek kerjaya yang cerah selain menjanjikan pulangan lumayan.
Seorang pelajar kursus rekaan fesyen di IKIP Advanced Skills Centre (IASC) di sini, Syahirah Sulaiman, 19, berkata, dia memilih bidang itu kerana minat yang terlalu mendalam.
Katanya, selain berminat menjadi seorang pereka fesyen terkemuka suatu hari nanti, dia juga bercita-cita memiliki sebuah butik pakaian.
"Saya akan belajar bersungguh-sungguh demi mencapai impian ini dan akan menggunakan segala ilmu yang diperoleh dalam kerjaya nanti," katanya.
Seorang lagi pelajar, Nur Fatihah Mohamed Taib, 20, pula berkata, pereka fesyen adalah cita-citanya sejak di bangku sekolah rendah.
"Selepas habis sekolah menengah saya sempat mengambil kursus selama enam bulan di GiatMara sebelum menyambung pengajian di sini.
"Kini saya berada di tahap dua dan akan meneruskan pembelajaran sehingga ke tahap empat bagi merealisasikan cita-cita saya," katanya.
Sementara itu, Nurul Khairunnisha Zumara, 20, dari Kuala Lumpur berkata, selain ingin menjadi pereka fesyen yang disegani dia juga mahu menjadi seorang pensyarah dalam bidang tersebut.
"Saya ingin berkongsi idea dan menyampaikan ilmu kepada sesiapa yang berminat dalam bidang ini.
"Selain itu saya juga ingin membantu ibu mengembangkan perniagaannya memandangkan ibu memiliki sebuah butik menjual pakaian di Kuala Lumpur," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment