Sunday, April 29, 2012

komplek terbesar di lanchang

ARKIB : 28/04/2012

Kompleks produk pertanian terbesar akan dibina di Lanchang

TEMERLOH 27 April - Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah kompleks memasarkan produk pertanian terbesar di Lanchang, dekat sini dalam usaha menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke daerah ini tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, langkah itu merupakan satu lagi nilai tambah kepada daya tarikan pelancongan sedia ada di Lanchang yang kini popular dengan Pusat Konservasi Gajah.
Malah katanya, Lanchang sangat relevan diketengahkan sebagai destinasi pelancongan kerana banyak lokasi menarik bertaraf dunia seperti titik tengah Semenanjung selain kedudukannya yang strategik kerana dihubungkan dengan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
"Kompleks berkenaan beserta dataran restoran itu kelak akan memudahkan pengunjung luar menikmati makanan tradisional Pahang seperti tempoyak ikan patin dan masakan asam rom selain membolehkan mereka membeli produk tempatan sebagai cenderahati.
"Lanchang yang berhampiran dengan Kuala Lumpur iaitu kira-kira sejam perjalanan memudahkan peminat masakan ikan patin dan pencinta alam semula jadi untuk ke sini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mohd. Sharkar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang berkata, pelancong yang melawat Pusat Konservasi Gajah memerlukan kompleks bersepadu seperti itu.
Katanya, di Lanchang juga terdapat Taman Kekal Pengeluaran Makanan seluas 3,600 hektar yang dimajukan dengan ladang buah-buahan komersial.
Tambah beliau, projek berskala besar di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang menambah lagi 'koleksi' keistimewaan Lanchang sebagai zon industri hiliran ternama negara.
Di samping itu, katanya, pusat Deerland iaitu kawasan pemeliharaan semulajadi rusa turut menjadi tarikan orang ramai ke situ.
"Di Lanchang juga terdapat Institut Biodiversiti Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Bukit Rengit yang mempunyai muzium fauna terbesar membabitkan kira-kira 30,000 koleksi haiwan yang diawet," ujarnya.
Kata beliau, selain serangga antara haiwan yang diawet di muzium itu ialah harimau, kucing hutan, musang, pelanduk, beruang, rusa dan kelawar.

No comments:

Post a Comment