Tuesday, April 24, 2012

ARKIB : 23/04/2012

RM2 juta bantu 200 peniaga kecil

BERA 22 April - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) memperuntukkan sebanyak RM2 juta dengan menyasarkan 200 peniaga kecil daerah ini akan mendapat pinjaman tersebut sepanjang tahun ini.
Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agensi itu menyediakan pinjaman tersebut bagi membantu usahawan dan peniaga kecil terutamanya di kawasan luar bandar.
Menurutnya, sehingga kini TEKUN telah memberi pinjaman kepada lebih 50 usahawan dan peniaga melibatkan pinjaman RM600,000.
"TEKUN yang mula operasi di Bera sejak 2000 mendapat sambutan menggalakkan di kalangan peniaga berikutan kaedah pembiayaannya lebih mudah berbanding mendapat pinjaman bank atau institusi kewangan.
"Sepanjang tahun lalu, TEKUN mengeluarkan pinjaman berjumlah RM1.2 juta kepada 80 peminjam di daerah ini sebagai usaha kerajaan melahirkan lebih ramai peniaga dan usahawan kecil," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan pinjaman TEKUN kepada 22 usahawan kecil Bera membabitkan RM247,000 di sini hari ini.
Ismail Sabri yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, sejak 2008 sehingga kini seramai 846 telah diberikan pinjaman sebanyak RM4.7 juta.
Menurut beliau, daripada segi pembayaran balik, usahawan kecil Bera mempunyai rekod pembayaran balik yang baik apabila 90 peratus daripada mereka menjelaskan hutang mengikut jadual.
Jelasnya, mereka yang enggan membayar membalik pinjaman tanpa alasan munasabah akan diambil tindakan undang-undang.
"Peniaga yang mendapat pinjaman TEKUN perlu bertanggungjawab menjelaskan pinjaman mereka supaya pinjaman boleh diberikan kepada usahawan lain selepas ini," katanya.

No comments:

Post a Comment