Sunday, April 29, 2012

ceburi bidang kemahiran

ARKIB : 28/04/2012

Galak anak-anak ceburi bidang kerjaya yang mereka minati

Shahiruddin Ab. Moin (tengah) bersama-sama pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud pada Karnival dan Hari Kecemerlangan sekolah berkenaan, semalam.
RAUB 27 April - Ibu bapa tidak seharusnya terlalu memaksa dan menentukan kerjaya anak-anak yang tidak mampu dilakukan kerana ia hanya akan menjejaskan masa depan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, sebaliknya ibu bapa perlu memberikan galakan serta dorongan supaya anak-anak menumpukan kepada mata pelajaran mengikut kerjaya pilihan dan minat mereka sendiri.
Katanya, sekiranya ibu atau bapa merupakan seorang doktor, ia tidak semestinya diwarisi oleh anak-anak kecuali mereka sendiri yang berminat untuk mengikuti jejak langkah ibu bapa masing-masing.
"Tindakan memaksa dan menekan anak belajar bidang atau kerjaya di luar kemampuan mereka hanya akan memusnahkan segala-galanya termasuk jaminan masa depan anak-anak itu sendiri.
"Selain gagal di bidang pelajaran, mereka akan merasa kecewa dan akhirnya menjadi murung dan akan bertindak di luar batasan yang memusnahkan harapan keluarga," kata Shahiruddin pada Majlis Karnival dan Hari Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud di sini hari ini.
Menurut beliau, walaupun bidang pendidikan memerlukan kecemerlangan dalam keputusan peperiksaan tetapi kebolehan pelajar untuk mencapai tahap tersebut amat sedikit kerana ia memerlukan bakat luar biasa.
Sehubungan itu, kata beliau, ibu bapa perlu memberikan nasihat dan dorongan agar anak-anak mereka memilih kerjaya yang sesuai dengan kehendak pasaran pekerjaan hari ini terutamanya kebolehan menguasai kemahiran dalam sektor industri.
Kata Shahiruddin, di negara maju, sektor pendidikan tidak terlalu menumpukan pendidikan akademik semata-mata tetapi memberikan tumpuan kepada kemahiran kerana keputusan peperiksaan bukan menentukan segala-galanya terutama dalam kejayaan pada masa depan.
Menurutnya, kegagalan dalam peperiksaan dan akademik bukan bererti masa depan pelajar sudah gelap tetapi mereka masih ada masa depan yang cerah dan peluang kedua dengan melanjutkan pelajaran di pusat-pusat kemahiran yang ada di negara ini.
"Meraka boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti kerana mudah menguasai ilmu kemahiran yang mereka minat dan mampu menguasainya.
"Selain itu saya juga berharap ibu bapa perlu bekerjasama dengan sekolah bagi mengatasi pelajaran anak-anak kerana tugas mendidik tidak terletak di bahu guru dan sekolah semata-mata," katanya.

No comments:

Post a Comment