Sunday, January 1, 2012

pura2 beli stokin

Beli setokin umpan samun
Oleh : Nik Amirulmu’Min Nik Min
Tarikh : January 1, 2012
samun-kedai
KUANTAN- Seorang penjenayah berpura-pura membeli sepasang setokin bagi mengelak disyaki pekerja dan pelanggan sebuah kedai kasut di sini sebelum bertindak menyamun juruwang yang bertugas di kaunter bayaran, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku di kedai kasut yang letaknya hanya kira-kira 30 meter dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Jalan Mahkota di sini.

Penjenayah bersenjatakan pisau itu bertindak berani apabila melakukan samun ketika beberapa pekerja wanita sedang sibuk melayan pelanggan yang datang untuk membeli kasut sekolah anak masing-masing.

Seorang pekerja, Nurul Huda Mohd Aziz, 20-an berkata, ketika itu dia dan pekerja lain sedang sibuk melayan pelanggan manakala juruwang dikenali sebagai Nor Azura berada di Kaunter bayaran.

“Saya ternampak lelaki itu masuk ke dalam kedai dan memilih sepasang setokin sebelum membawa ke kaunter kononnya untuk membuat bayaran.

“Saya sendiri tidak mensyaki sesuatu sebaliknya menganggap lelaki itu sebagai pelanggan biasa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Nurul berkata, dia ternampak seperti berlaku kekecohan di kaunter lalu cuba mendekati bagaimanapun lelaki itu terus melarikan diri.

“Berdasarkan cerita Nor Azura, lelaki tersebut mengacukan sebilah pisau kearahnya sebelum mengarahkannya membuka peti mesin bayaran.

“Nor Azura yang berada dalam ketakutan tidak mampu untuk bertindak manakala penjenayah yang berusia dalam lingkungan 30-an terus merampas wang tunai dari mesin bayaran sebelum melarikan diri,” katanya.

Dia berkata, selepas menyedari lelaki tersebut sebagai perompak, kami cuba mengejar bagaimanapun suspek sempat melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna kelabu yang dipandu seorang lelaki.

“Kami sempat mengecam nombor pendaftaran kenderaan terbabit yang menggunakan nombor pendaftaran Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan bagaimanapun dipercayai berjumlah RM2,000.

Sementara itu, Nor Azura yang masih terkejut dan trauma dengan peristiwa tersebut enggan ditemui bual.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan beliau menerima laporan berhubung kes tersebut dan siasatan kini sedang dijalankan termasuk mengenal pasti suspek terlibat.

No comments:

Post a Comment