Sunday, January 29, 2012

ambil iktibar dari pantai sepat

Tragedi Pantai Sepat: Iktibar kepada pihak berkuasa, orang ramai

Oleh Mohd. Fairuz Yusof
utusanpahang@utusan.com.my

CUTI musim perayaan Tahun Baru Cina tahun ini mencatat kenangan pahit di negeri ini apabila tiga kematian akibat tragedi mati lemas berlaku di Pantai Sepat, Kuantan pada 22 dan 23 Januari lalu.

Tragedi tersebut meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja keluarga mangsa terbabit tetapi juga seluruh rakyat negeri ini yang turut simpati terhadap kejadian itu.

Dalam kejadian pertama pada 22 Januari lalu, dua beradik lemas ketika mandi-manda di Pantai Sepat bersama keluarga mereka yang menghabiskan cuti musim perayaan itu.

Mohd. Zaiful Abu Talib, 13, dan adik tirinya, Mohd. Saiful Mohd, 11, dari Sungai Isap, Kuantan meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

Keesokan harinya, Pantai Sepat meragut lagi seorang remaja iaitu R.Avin, 16, dari Air Putih, Kuantan ketika mereka berkelah di situ.

Tiga kematian dicatatkan dalam tempoh dua hari dan lima nyawa dalam tempoh Januari ini. Jumlah yang dicatatkan dalam tempoh itu merupakan sesuatu yang menyedihkan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff, keadaan cuaca tidak menentu di negeri ini berikutan musim Monsun Timur Laut yang diramalkan sehingga Mac depan bukanlah tempoh sesuai untuk membawa ahli keluarga bermandi-manda di pantai.

Pihak berkuasa juga telah menaikkan bendera merah di pesisir pantai bukan sahaja di Pantai Sepat tetapi juga di kawasan lain bagi memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak bermandi-manda di situ.

Bagi Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pula, mereka menambah lebih banyak papan tanda amaran mengenai bahaya mandi sewaktu hujan dan ombak besar di pantai tumpuan orang awam terutamanya di Pantai Sepat.

Yang Dipertua MPK, Datuk Zukkifli Yaacob berkata, pihaknya sebelum ini hanya meletakkan papan tanda amaran di kawasan yang dianggap sebagai tumpuan sahaja.

"Sebagai langkah untuk mengelakkan kejadian ini (lemas) daripada terus berlaku, MPK dalam masa terdekat akan memasang lebih banyak papan tanda amaran terutama di Pantai Sepat selepas lima kematian berlaku pada bulan ini.

"Kita juga akan menaikkan bendera merah sebagai amaran sekiranya pantai tersebut berbahaya dan tidak boleh ada aktiviti pada waktu itu. Orang ramai juga perlu pastikan ada amaran atau tidak sebelum mandi," katanya

Papan tanda itu bukan sahaja diletakkan di pantai tersebut tetapi juga di Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam di Kuantan.

Namun, atas ikatan kekeluargaan, pantai menjadi lokasi terbaik mengeratkan hubungan silaturahim tetapi boleh membawa padah jika tidak mengambil langkah keselamatan supaya mengelakkan sesuatu kejadian buruk berlaku di situ.

Di sekitar pantai negeri ini khususnya di kawasan Pahang Timur, perubahan Monsun Timur Laut boleh mengundang bahaya kepada mereka yang ingin berkelah di tepi pantai.

Selain keadaan angin kuat, deruman ombak juga boleh mengundang rasa bimbang sekiranya mahu bermandi di kawasan pantai.

Penulis pergi ke pantai tersebut bagi melihat sendiri bagaimana keadaannya dan didapati kawasan berkenaan tidak sesuai untuk bermandi-manda.

Walaupun tempat tersebut bersih dan tidak dicemari sebarang pembangunan tetapi pengunjung yang ingin berkelah di situ boleh menilai situasi pantai sama ada ia sesuai untuk mandi atau tidak.

Jika bahaya, elakkan membenarkan anak-anak mereka bermandi di situ. Ini kerana keadaan itu sekurang-kurangnya dapat mengelakkan mereka daripada kehilangan ahli keluarga.

Walaupun ketiga-tiga pantai berkenaan kurang popular, tetapi ia menjadi tumpuan walaupun jumlahnya tidak ramai.

Di sinilah pihak berkuasa khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) memberi perhatian terhadap kawasan tersebut kerana jumlah pengunjung akan meningkat terutama pada cuti hujung minggu, cuti persekolahan dan cuti perayaan.

Bukan mahu menambah beban kepada agensi kerajaan tersebut dalam tugas mereka, tetapi bersama-sama memantau keadaan di pantai supaya mengelak sesuatu tragedi lebih buruk berlaku di situ.

Jika adanya pasukan itu sekurang-kurangnya ia memberi teguran kepada pengunjung terbabit supaya tidak bermandi manda dan hanya memerhatikan pergerakan mereka supaya tidak mendekati pantai jika keadaan pantai tidak mengizinkan.

Kepada pengunjung khususnya ibu bapa, jika keadaan pantai merbahaya, elakkan bermandi dan lakukan aktiviti yang tidak menjemukan mereka.

Justeru, tragedi yang berlaku itu membawa iktibar kepada semua supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengawasi pergerakan anak mereka ketika berada di pantai.

No comments:

Post a Comment