Wednesday, December 28, 2011

jenayah siber

26 kes jenayah siber

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanktn@gmail.com

KUANTAN 28 Dis. - Polis negeri ini mencatatkan sebanyak 26 kes penipuan jenayah siber, bermula sejak Januari sehingga 21 Disember lalu, mengakibatkan jumlah kerugian RM1.3 juta.

Lebih membimbangkan, kebanyakan mereka yang ditipu terdiri daripada golongan berpendidikan serta berjawatan tinggi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Supritendan Thomas Navamoney berkata, kebanyakan modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan komputer selain telefon bimbit untuk menipu mangsa.

Beliau berkata, antaranya adalah panggilan palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, polis Hong Kong dan panggilan daripada pegawai kad kredit bank.

"Nombor-nombor telefon yang tertera pada skrin telefon bimbit mangsa pula adalah dari BNM atau Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Mangsa yang mudah terpedaya, tanpa berfikir panjang terus memindahkan wang atau berikan nombor akaun mereka beserta nombor pin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang mencatatkan jumlah kerugian tertinggi adalah sehingga RM400,000.

Thomas meminta orang ramai mengabaikan segera sekiranya mendapat panggilan daripada bank khususnya BNM atau polis yang memaklumkan berlaku masalah berhubung akaun atau kad kredit mereka.

"Mereka boleh terus pergi ke bank itu bagi mendapatkan pengesahan tentang perkara berkaitan atau pergi ke balai polis berhampiran.

"Jangan pindahkan wang atau mendedahkan maklumat akaun melalui telefon, emel kepada individu yang tidak dikenali," katanya.

Katanya, jika mempunyai maklumat, orang ramai diminta menghubungi segera polis Pahang di talian 09-5902222.

No comments:

Post a Comment