Tuesday, January 10, 2012

penyakit

Malu kerana hidung berbau
Nurliza elami
January 10, 2012
hidung berbau
GUAR CHEMPEDAK - Begitulah nasib yang dialami seorang pelajar tingkatan satu yang dikesan menghidapi penyakit ketumbuhan dalam hidungnya sejak Julai tahun lalu.

Ibunya, Habsah Ismail, 39, berkata, anak sulungnya daripada tiga beradik, Norhanim Kamarudin, 13, dikesan mempunyai ketumbuhan dalam lubang hidung sebelah kanan sejak Julai tahun lalu sekali gus mengubah kehidupan anak gadisnya itu.

Menurutnya, tahun ini sudah empat kali Norhanim enggan ke sekolah kerana masalah hidung berbau.

“Jika kami bawa dia naik kereta, satu kereta berbau disebabkan penyakit di hidungnya itu.

“Ini menyebabkan dia malu dan enggan ke sekolah. Walaupun pihak sekolah memahami keadaannya namun, saya risau akan menjejaskan pembelajarannya nanti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Batu 17, semalam.

Habsah berkata, pembedahan membuang ketumbuhan di hidungnya itu dijangka dilakukan pada 29 Januari ini.

“Namun, bagi saya tarikh ini begitu lewat kerana sepanjang tempoh untuk menunggu tarikh tersebut saya bimbang Norhanim tidak mahu ke sekolah,” katanya.

Habsah berkata, dia mahu membawa Norhanim mendapatkan rawatan di hospital swasta sementara menunggu tarikh pembedahan itu bagi mengurangkan bau di hidungnya namun, mengalami masalah kewangan.

Menurutnya, pendapatan dia dan suaminya, Kamarudin Saad, 43, cuma bergantung kepada hasil jualan kuih-muih yang diletakkan di beberapa gerai di sekitar kawasan ini iaitu sekitar RM700 sebulan bergantung kepada keadaan.

“Dengan pendapatan sebanyak itu kami perlu menyara tiga anak termasuk Norhanim yang masih bersekolah sementara saya pula sedang mengandung anak keempat kami yang kini berusia lapan bulan.
“Kami tidak mampu untuk berusaha mengubati penyakit Norhanim bagi menghilangkan bau di hidungnya agar dia tidak malu ke sekolah lagi sementara menanti tarikh pembedahan yang dijangka pada 29 Januari ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar,” katanya.

Habsah berkata, Norhanim memerlukan sejenis ubat berbentuk serbuk iaitu Sodium Bicarbonate (Nasal Douche) yang perlu dibancuh dan dimasukkan ke dalam hidungnya untuk menghilangkan bau.

Menurutnya, ubat itu diambil mereka di HSB sebelum ini, namun habis digunakan dan mereka tidak mampu untuk terus berulang alik ke HSB untuk mengambil ubat itu.

Dia merayu kepada pihak korporat mahupun individu yang sudi membantu meringankan bebanan mereka untuk menampung kos rawatan sementara menunggu tarikh pembedahan Norhanim.

Kepada sesiapa yang sudi membantu boleh menghulurkan sumbangan anda kepada Norhanim melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Habsah Ismail bernombor 02116-29-86469676-7.

No comments:

Post a Comment