Monday, January 23, 2012

cili

Tanaman cili fertigasi 'membuahkan' hasil lumayan


Dari kanan, Abdul Khalid Md. Adam, Rosdi Salleh dan Rosli Salleh ditemani oleh Mohd. Razaki Abd. Razak menunjukkan cili segar untuk dipasarkan di bawah projek Champion di Kuala Medang, Kuala Lipis baru-baru ini.


KUALA LIPIS 23 Jan. - Bagi seorang usahawan tani di Kuala Medang, Hulu Jelai dekat sini, Abdul Khalid Md. Adam, dia percaya cili adalah salah satu tanaman yang mampu membuka peluang kepada para petani untuk memperoleh pendapatan yang lumayan.
Justeru, Abd. Khalid, 52, menanam keazaman untuk melebarkan lagi projek pertanian komersial itu di tanah terbiar di kampung berkenaan.
Azam itu disemai setelah melihat kepada potensi yang ada pada bidang pertanian, khususnya tanaman cili merah.
Dibantu oleh dua rakannya, Rosdi Salleh, 43, dan Rosli Salleh, 48, usahawan tani itu terus merintis peluang di bawah Projek Champion dan Program Pembasmian Kemiskinan Daerah Lipis dengan mengusahakan projek pengeluaran cili yang bermutu tinggi.
"Projek Champion dimulakan sejak Oktober 2009. Ia sentiasa mendapat kerjasama dan pemantauan Pejabat Daerah Lipis, Pejabat Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Penghulu Mukim Hulu Jelai.
"Projek tanaman yang menggunakan benih Cilly King itu diusahakan di tanah terbiar satu setengah hektar milik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Medang.
"Ia dimulakan dengan tanaman benih 8,000 batang pokok cili sejak Januari tahun lalu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Medang dekat sini, baru-baru ini.
Katanya, pada peringkat awal projek itu, usaha mereka mendapat galakan daripada Penghulu Mukim Hulu Jelai serta memperoleh bantuan daripada kerajaan negeri RM60,000 yang disalurkan melalui Pejabat Daerah Lipis.
"Saya bersyukur dan menarik nafas lega setelah bergelumang sedikit kesukaran, kini menikmati hasil pengeluaran pertama Mac tahun lalu dengan tuaian 10 tan dan anggaran pendapatan sebanyak RM20,000.
"Alhamdulillah hasil meningkat kepada 30 tan lagi bagi pusingan tanaman berakhir tahun lalu," kata usahawan tani tersebut sambil tersenyum puas.
Abd. Khalid berkata, usaha itu bukan sahaja dinikmati bersendirian, malah kejayaan projek tersebut terletak pada kegigihan dan kemahiran dua rakannya, Rosdi dan Rosli yang sebelum ini pernah mengusahakan projek tanaman pertanian komersial di Kuala Medang.
"Projek tanaman cili menggunakan kaedah fertigasi itu diusahakan di tanah milik JKKK dengan menggunakan baja khas sememangnya mampu memberi hasil lumayan.
"Kami menjangkakan pendapatan kasar boleh mencapai RM90,000 dalam tempoh enam bulan menerusi teknik fertigasi.
"Apapun, projek sebegini memerlukan penjagaan dan pemantauan yang bersungguh-sungguh secara berjadual," katanya.
Tambahnya, dia turut mengambil enam penduduk di bawah kategori miskin tegar untuk bekerja dan membantu pengurusan ladang berkenaan kerana cili semakin banyak untuk dipetik sehingga satu tan sehari bagi pasaran di Lembah Klang dan FAMA di sini.

No comments:

Post a Comment