Friday, January 20, 2012

unit pencegah jenayah

YPJM Pahang wujudkan Unit Peronda Cegah Jenayah

KUANTAN 20 Jan. - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) Pahang akan mewujudkan Unit Peronda Cegah Jenayah dalam usaha membantu Polis Pahang membanteras kegiatan itu khususnya di daerah ini.

Pengerusinya, Datuk Johny Ch'ng Ewe Gee berkata, unit tersebut akan dianggotai sukarelawan seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan polis sukarelawan.

Menurutnya, buat permulaan satu unit peronda tersebut akan ditubuhkan dalam masa terdekat melibatkan empat anggota yang akan melakukan rondaan di kawasan dikenali pasti kerap berlakunya kejadian jenayah.

"Usaha itu membuktikan masyarakat turut sama membantu polis dalam membanteras kegiatan jenayah di kawasan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan 250 kotak limau kepada Kelab Media Pahang (KMP) sempena perayaan Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Johny berkata, jumlah unit tersebut akan ditambah secara berperingkat-peringkat bagi membolehkan ramai sukarelawan menyertainya.

Tambahnya, ia berikutan terdapat sukarelawan yang turut sama membantu polis dalam menangani jenayah tersebut.

Jelasnya, beberapa kawasan di daerah ini yang dipercayai kerap berlakunya jenayah dikenal pasti akan dilibatkan dalam rondaan di situ supaya para penduduk tidak bimbang tentang keselamatan mereka.

Dalam pada itu, beliau meminta warga bandar ini supaya merapatkan hubungan sesama jiran bagi mengekang kegiatan pecah rumah dan samun di kawasan perumahan masing-masing.

Katanya, cara tersebut akan membuatkan penjenayah sukar memasuki kawasan perumahan disebabkan hubungan erat komuniti terbabit sekali gus mewujudkan ketenteraman di tempat mereka.

No comments:

Post a Comment