Sunday, January 15, 2012

air xde la boss

700 keluarga di Kemayan kembali tiada air


Penduduk Kampung Pasal terpaksa menggunakan air yang dipam dari telaga yang dibina oleh Kementerian Kesihatan apabila bekalan air dari telaga tiub dipotong oleh pihak kontraktor di Bera, semalam.


BERA 15 Jan. - Kegembiraan 700 keluarga di enam kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan dekat sini menikmati bekalan air bersih sejak setahun lalu kembali suram apabila bekalan air di kawasan mereka dihentikan empat hari lalu.
Bekalan itu dihentikan oleh sub-kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembinaan projek air bawah tanah di kampung berkenaan apabila membuka semula sistem penyaluran air yang disalurkan dari tangki utama ke rumah penduduk.
Kampung yang terbabit dengan masalah itu adalah Kampung Pasal dan lima buah kampung Orang Asli iaitu Kampung Kuin Lanjut, Kampung Pathir, Lubuk Perah, Kuala Serting dan Lubuk Tembangan serta sebuah lagi kampung Orang Asli di Kampung Bukit Ngeri, Lanchang, Temerloh.
Utusan Malaysia yang membuat tinjauan di Kampung Pasal difahamkan, kontraktor terbabit membuka semula sistem itu kerana kontraktor utama gagal membuat pembayaran tertunggak RM2.9 juta.
Timbalan Batin, Darus Lambak berkata, beliau mewakili 40 keluarga dan penduduk yang mendiami kampung itu sejak dibuka pada 1970 membuat laporan polis terhadap kontraktor tersebut.
Beliau kecewa kerana penduduk kampung dijadikan ''kambing hitam' berikutan masalah pembayaran tertunggak yang tidak ada kaitan dengan mereka.
''Sepatutnya mereka berunding dengan kontraktor utama bagi mendapat semula bayaran kerja-kerja membina saluran air bawah tanah bagi membekalkan air kepada kami di sini.
''Saya berharap mereka dapat menyambung semula peralatan dan sistem bekalan air di tangki utama dan juga saluran paip yang disambungkan ke rumah-rumah kami," kata Darus kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Darus, penduduk kampung berkenaan yang bersempadanan dengan Negeri Sembilan dan Johor hidup menderita kerana sebelum ini mereka tidak pernah menikmati bekalan air bersih sejak 40 tahun lalu.
Katanya, kerajaan negeri tidak dapat membekalkan air bersih berikutan kedudukan kampung yang dilindungi tanah ladang milik individu sejauh enam kilometer daripada jalan utama Muadzam Shah - Bahau, Negeri Sembilan.
Jelasnya, pemilik ladang itu hanya membenarkan kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad memasang tiang elektrik bagi menyalurkan bekalan elektrik ke kampung mereka.
Sebagai penyelesaian, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah mengeluarkan peruntukan bagi membina telaga tiub di kampung tersebut dan di enam buah kampung lagi.
''Malah, saya diberitahu kementerian terbabit telah menjelaskan semua pembayaran kepada kontraktor yang berpejabat di Shah Alam, Selangor.
''Sebelum ada sumber air bawah tanah, kami menggunakan air yang dipam dari lima buah telaga yang dibina oleh Kementerian Kesihatan dan juga air Sungai Palong," katanya.
Bagaimanapun air sungai dan telaga kini telah dicemari oleh sisa kimia yang dilepaskan oleh kilang kelapa sawit dan getah di kawasan berhampiran.

No comments:

Post a Comment