Saturday, January 28, 2012

tapak rumah

Tapak rumah untuk golongan berpendapatan rendah

28 Januari 2012

JERANTUT - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar yang belum mempunyai tapak rumah bakal memperolehnya tidak lama lagi, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail.

Beliau berkata, Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut sedang meneliti pembahagian lot tapak berkenaan.

"Sebanyak 700 lot tapak rumah akan disediakan di Kampung Bukit Rang, Simpang Jengka Lapan, Kampong Perak dan Kampung Ibul Tunggal kesemuanya di Pulau Tawar.

"Nama-nama pemohon sedang dikaji dan diteliti sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk diluluskan," katanya pada majlis perjumpaan dan dialog bersama penduduk Pulau Tawar dekat sini, semalam.

Ahmad Shukri berkata, pemberiaan lot tanah itu merupakan satu mekanisme kerajaan untuk menyelesaikan masalah penempatan golongan belia yang sudah berkeluarga dan penduduk setempat yang berpendapatan rendah untuk membina rumah.

Dalam pada itu, beliau berkata kawasan seluas 150 hektar di simpang Felda Jengka 8 akan dibangunkan sebagai Pusat Pertumbuhan Desa dengan pelbagai projek termasuk perumahan, rumah kedai dan kemudahan-kemudahan lain.

Kerja-kerja membersih kawasan tersebut sedang dilakukan dan 200 buah unit rumah pelbagai jenis akan dibina di kawasan itu tahun ini, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment