Tiga beranak lemas di pantai
Tarikh : January 2, 2012
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, seorang pengurus sebuah tanah rancangan Felda di Temerloh, Zubir Othman, 57, bersama seorang anaknya, Ahmad Zuhaidi Zubir, 29, yang bertugas sebagai mekanik Produa berjaya diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian.
Bagaimanapun Zubir disahkan meninggal dunia sebaik tiba di darat dipercayai akibat sesak nafas manakala mayat seorang lagi anaknya, , Ahmad Zuhaimi Zubir, 32, juru teknik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan yang turut tenggelam ditemui kira-kira jam 6.15 petang tidak jauh dari lokasi kejadian.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.
Menantu mangsa, Norazimah Zakaria, 24, berkata, dia yang tinggal di Kampung Kurnia, Jalan Gambang di sini datang bersama suami, Ahmad Zuhaidi ke pantai peranginan itu untuk bercuti bersama ahli keluarga yang lain termasuk bapa mertuanya yang datang dari Jengka untuk bercuti.
Menurutnya, mereka tiba kira-kira jam 12 pagi manakala tragedi itu berlaku kira-kira jam 2 petang.
“Ketika itu ayah dan abang ipar sedang bermain bola di dalam air manakala kami semua berada di pantai.
“Tiba-tiba bola yang digunakan mereka dipercayai terlepas ke tengah jadi ayah dan abang ipar cuba untuk mengambilnya sebelum kedua-duanya tenggelam ditarik arus,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Norazimah berkata, suaminya dipercayai cuba untuk menolong bagaimanapun dia juga turut lemas.
“Salah seorang kakak ipar saya, nampak kejadian itu lalu menjerit meminta tolong sebelum beberapa pengunjung pantai datang untuk membantu menyelamatkan mereka bertiga.
“Ayah dan suami berjaya ditarik ke darat tetapi abang ipar terus tenggelam,” katanya yang bertugas sebagai pereka grafik di sini.
Isteri Ahmad Zuhaimi, Nor Najihah Zakari, 28, yang bertugas sebagai guru turut berada di tempat kejadian bagaimanapun dia yang terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya enggan ditemu bual.
Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Mat Yusoff Hamat berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 2.40 petang sebelum 16 anggota dikerahkan menjalankan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa yang lemas.
Menurutnya, sebaik mereka tiba, dua mangsa berjaya diselamatkan orang ramai bagaimanapun salah seorang disahkan meninggal dunia.
“Sebuah bot dan dua jet ski digunakan dalam operasi yang turut dibantu empat anggota dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur.
“Operasi mencari dan menyelamatkan mangsa ditamatkan kira-kira jam 6.30 petang selepas mangsa terakhir, Ahmad Zuhaimi berjaya ditemu pasukan penyelamati,” katanya.
No comments:
Post a Comment