Saturday, January 28, 2012

terjejas

Peniaga pasar besar terjejas
WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Januari 2012
Peniaga pasar besar terjejas
KUALA ROMPIN – Peniaga Pasar Besar Kuala Rompin mendakwa mereka terpaksa menanggung kerugian setiap hari berikutan mengalami masalah kekurangan pelanggan selepas kewujudan dua pasar raya di bandar ini.

Pembukaan dua pasar raya yang turut menawarkan barangan basah itu menyebabkan pembeli lebih selesa membeli-belah di pasar raya berbanding di Pasar Besar Kuala Rompin.

Seorang peniaga ikan, Rusitah Muhamed, 42, berkata, kekurangan pelanggan menyebabkan pendapatannya semakin merosot dan terjejas teruk sejak berpindah ke pasar baru itu.

“Pelanggan biasanya lebih senang membeli barangan basah di pasar raya itu kerana ia terletak di tengah-tengah bandar Kuala Rompin, berbanding kedudukan pasar ini yang jauh ke dalam,” katanya kepada Sinar Harian.

Rusitah berkata, peniaga juga amat tertekan dan menyifatkan pembukaan pasar raya tersebut melumpuhkan perniagaan kecil-kecilan di pasar besar itu.
“Sudahlah sebelum ini pelanggan susah untuk singgah ke pasar besar disebabkan masalah pengangkutan awam.

Kini timbul pula masalah lain apabila wujud dua pasar raya yang turut menawarkan barangan sama seperti yang ada di pasar ini,” katanya.

Seorang peniaga sayur, Khatijah Buruk, 61, berkata, dia tidak pernah berdepan masalah kekurangan pelanggan sejak berniaga sayur lebih 10 tahun lalu.
Namun katanya, sejak pembukaan dua pasar raya itu, dia berasa seolah-olah tertindas.

“Kami peniaga kecil tidak mempunyai modal besar kerana hanya menjual sayur. Jadi pembukaan dua pasar raya di tengah-tengah bandar ini menyebabkan perniagaan kami terus lumpuh,” katanya.

Sehubungan itu dia berkata, peniaga kecil-kecilan sepertinya berharap kerajaan dapat membantu menangani hal itu memandangkan kebanyakan daripada mereka hanya bergantung kepada perniagaan terbabit.

“Inilah punca pendapatan kami sejak sekian lama. Namun jika masalah ini terus berlaku, pasar besar ini mungkin akan hilang pelanggan kerana kebanyakan mereka lebih selesa membeli di pasar raya,” katanya.

Rohani Mohd Lidin, 38, berkata, pembukaan sebuah pasar raya di bandar ini menyebabkan pendapatan mereka merosot teruk hingga mengakibatkan sebahagian daripada peniaga sayur terpaksa ‘gulung tikar’.
“Kalau tiada untung, bagaimana kami mahu berniaga? Jadi tidak hairanlah apabila ramai peniaga sayur di sini ambil keputusan untuk cari kerja lain bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

No comments:

Post a Comment