Sunday, January 1, 2012

dapat cermin mata weh...

1,000 penduduk DUN Chini dapat bantuan cermin mata


Abu Bakar Harun (kanan) beramah mesra dengan seorang penduduk yang melakukan pemeriksaan mata pada Majlis Pemberian Cermin Mata di SK Chini 3 dan 5, Pekan, Pahang, baru-baru ini.


PEKAN 1 Jan. - Sebanyak RM200,000 diperuntukkan bagi memberi bantuan cermin mata kepada 1,000 penerima dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini secara berperingkat mulai kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun berkata, bantuan tersebut merupakan dana daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan.
"Kita buat pemberian ini secara lima peringkat, setiap peringkat kita akan beri kepada seramai 200 orang yang terdiri daripada orang kurang berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU).
"Pemilihan penerima ini dibuat oleh pemimpin masyarakat setempat seperti ketua kampung, penghulu dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," katanya kepada Utusan Malaysia pada Majlis Pemberian Cermin Mata di Sekolah Kebangsaan (SK) Chini 3 dan 5 di sini, kelmarin.
Beliau berkata, kesemua mereka yang dipilih adalah dari tanah rancangan Gugusan Felda Chini, perkampungan tradisional dan juga perkampungan Orang Asli.
Dalam pada itu, katanya, dana untuk pemberian cermin mata itu adalah sebahagian daripada dana keseluruhan sebanyak RM500,000 yang diperuntukkan oleh Ahli Parlimen Pekan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.
"Selebihnya daripada dana ini akan disalurkan kepada penduduk yang miskin secara berperingkat. Mereka akan menerima bantuan berbentuk wang tunai," katanya.
Sementara itu, seorang penerima, Yuha Sani, 69, berkata, dia berterima kasih kepada pihak yang berkenaan kerana memberinya cermin mata.
"Sebelum ini saya sudah memakai cermin mata namun dengan adanya cermin mata baru ini akan membolehkan saya membuat kerja dengan lebih mudah," katanya.
Seorang lagi penerima, Mohamad Razali Hassan, 57, berkata, ini merupakan kali pertama dia menerima bantuan tersebut.

No comments:

Post a Comment